Memang ada benarnya emosi memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian kita. Emosi yang berubah-ubah, membuatkan diri kita mudah terganggu dan tertekan. Adalah penting untuk kita menjaga emosi sendiri. Kena belajar untuk bertenang, fikir secara rasional dan terima dengan hati terbuka dalam menghadapi sesuatu perkara.
Baca perkongsian daripada Puan Sariah Suhailah Chik ini.
Jaga emosi
Jaga emosi
Jaga emosi
Kalau orang tanya saya, apa yang penting dalam hidup kita, inilah jawapannya. Jaga emosi.
Emosi kita ni dia macam suis. Suisnya tak ok, memang banyak perkara tak boleh selesai.
Emosi ni berubah-ubah. Pagi cantik je, gembira, seronok. Tengah hari skit bila lapar, dah mula tak sabar, nak marah-marah. Petang dah penat kerja, nak kena uruskan anak-anak lagi, jadi penat pulak. Rasa tertekan pun mula datang.
Nak tak nak, kita kena belajar.
1. Belajar Bertenang
Dalam banyak perkara yang kita lalui ni, ada benda yang kita salah tempat nak ‘overthinking’ dan salah tempat nak kalut.
Macam anak tumpahkan air. Kita tak boleh nak rilek. Kita bising, kita membebel. Sedangkan, hanya perlu ambil kain dan lap. Kalau anak dah besar, ajarkan dia ambil kain dan ajar dia lap. Lain kali, hati-hati. Cukup.
Bila kita mula membebel, kita seperti ‘on’ suis untuk terus penat.
Saya pun tak sentiasa boleh diam tak membebel. Tapi, banyak kali saya perasan, membebel saya ni tak ke mana. Malah saya makin stress.
Ads
2. Belajar Rasional
Bila kita boleh bertenang, kita akan lebih rasional. Ajar otak kita berfikir dengan lebih rasional. Mana yang lebih baik? Mana yang lebih sesuai? Mana yang win-win situation?
Dulu, saya banyak tak rasional. Anak menangis je pun. Tapi, nak dihukum macam mencuri sebabnya kita rasa dia bising, rasa macam memalukan, rasa macam menangis tak kena kes.
Padahal, rasionalnya, anak menangis ada normal. Mereka sedang luahkan emosi. Kalau mereka tak menangis, memendam semuanya, maka anak kita tak normal.
3. Belajar Terima Dengan Hati Terbuka
Emosi kita banyak penat apabila kita tak boleh terima sesuatu. Suami balik lambat, tak boleh terima. Suami tak tolong kat dapur, tak boleh terima.
Bila kita penat, memang kita geram sangat kalau suami tak membantu. Isteri dah berpeluh dari pagi, suami senang lenang tidur, main telefon.
Ads
Kalau cakap kena redha, memang macam orang bodoh. Tapi, satu perkara yang kita tak boleh pertikai, kita tak akan boleh kawal perangai orang lain. Kita tak boleh nak ubah orang.
Kalau dah diberitahu dengan baik, tapi masih berkali-kali ulang rakaman yang sama, maka terima itu sebagai ujian. Ya, terima. Ya Allah, aku terima semua ni sebagai ujian untukku. Bantulah aku. Move on! Buat yang kita mampu saja, yang tak mampu, tinggalkan.
InsyaAllah. Allahu a’lam.
Mingguan Wanita: Setuju sangat, penting untuk kita jaga emosi dan hati sendiri. Belajarlah untuk bertenang, bertindak secara rasional dan menerima dengan hati terbuka pada sesuatu perkara.
Soal doa dan tutur kata, mak ayah kena hati-hati. “Bila bercakap jangan ikut lepas saja.’ Lagi-lagi tentang perkara negatif, fikir dahulu sebelum berkata-kata.
Bimbang jika perkara tak elok itu terjadi kepada anak-anak mak ayah asbab hanya dek kerana kata-kata sendiri. Ikuti perkongsian Azlan Noor ini dan hadam baik-baik iya.
Satu hari Surihati tak sengaja tersebut sesuatu yang tidak sepatutnya kepada anak sulung kami. Saya terus tegur. Sebab saya tahu, kata-kata kita tuju kepada anak-anak juga adalah doa.
Dan doa seorang ibu ni sangat makbul. Tak boleh dibuat main.
Saya teringat kawan saya pernah cerita. Masa tu ada majlis di rumahnya. Saudara-mara berkumpul.
Apabila ramai macam itu, budak-budaklah paling seronok. Bermain bergurau dengan sepupu sepapat semua. Kawan saya cerita, masa tu la budak-budak dok berkejar turun naik tangga. Sekali dia perasan, anak dia ada sekali.
“Jangan berlari atas tangga tu. Jatuh karang. Boleh sakit nanti.”
Tak lama lepas keluar dari mulut dia tu,
“Gedebukkk!!”
Dengar bunyi datang dari tangga. Bergegas di pergi tengok. Dan betul sangkaan dia. Anak dia yang berlari di tangga tadi yang jatuh. Berdarah dahi, pecah bibir. Meraung la sekuat hati si anak tu.
“Masin betul mulut kita ni. Asal sebut je, senang sangat jadi.”
Kedengaran nada menyesal.
Betul suatu musibah atau kejadian tu, Allah dah tentukan qada dan qadar dia.
Cuma dalam soal doa dan tutur kata, mak ayah kena hati-hati. Ramai tak perasan benda ni. Terutama bila bercakap ikut lepas je. Tak ada istilah bergurau dalam soal ni. Lagi-lagi perkataan yang tak elok atau negatif.
Bayangkan kata-kata negatif yang dituju kepada anak-anak. Saya pernah dengar orang maki anak depan- depan,
“Kau ni semua benda reti buat, tak boleh harap langsung.”
“Kalau sehari tak susahkan aku boleh tak? Tak boleh tengok orang senang sungguh la.”
Kita yang dengar ni pun rasa berdesing telinga bila dengar, inikan pulak anak-anak.
Menurut kajian, kata-kata negatif sebegitu boleh lukakan hati anak yang paling dalam. Benda ni akan impak pertumbuhan emosi dan mental anak-anak kita.
Kesannya akan nampak bila dia dewasa nanti. Kerana apabila satu-satu perkataan yang diulang-ulang setiap hari, minda bawah sedar anak yang dengar tadi akan terima dan anggap kata-kata tersebut betul, dan terus bentuk identiti dia.
Hari hari kena maki ‘tak guna”, “tak guna”, maka jadilah dia anak tak berguna.
Hari-hari kena cemuh “bodoh”, “bengap”, maka jadilah dia sebagaimana yang dicemuhkan tadi.
Kita mungkin tidak sampai tahap maki hamun anak. Tapi kata-kata yang terkeluar dari mulut kita tanpa sengaja tu, itu juga doa. Lebih malang jika dia yang tak elok tadi Allah makbulkan. Nauzubillah.
Mak ayah, mulai dari sekarang,
1. Lazimi sebut yang baik-baik kepada anak.
Guna perkataan konstruktif yang boleh bini jati diri dia. Setiap hari, puji anak-anak bila mereka buat kebaikan. Jika perlu tegur, gunakan perkataan yang baik.
“Abang good boy sebab selalu solat awal waktu.”
“Bagus kakak selalu kemas mainan lepas main.”
2. Gantikan pendekatan kritik kepada menerangkan.
Kanak-kanak juga ada ego dan maruah. Perasaan mereka mudah terguris bila kritik. Gunakan pendekatan ‘Menerangkan’. Kenapa ini salah. Kenapa itu tak boleh. Mereka lagi senang faham.
3. Guna petua orang dulu-dulu. Guna perkataan positif.
Sebelum marah anak-anak, lazimkan sebut tukar perkataan negatif kepada positif. Lama lama nanti jadi tabiat bila nak tegur anak akan guna perkataan baik.
“Anak bertuah.”
“Bijak punya anak.”
4. Banyakkan komunikasi dengan anak.
Dari kecil latih berkomunikasi dua hala. Supaya mereka tahu apa yang kita nak cakap tu penting dan mereka ras yang diri mereka juga penting.
5. Sentiasa berdoa dengan sebut nama anak.
Tiap kali berdoa, sebutlah nama anak dalam doa. Setiap anak, apa yang kita nak mereka jadi, kita doakan mereka. Doa sungguh-sungguh. Bangun tahajjud, solat hajat.
Doa Allah lembutkan hati anak supaya jadi anak soleh dan solehah. Moga yang kita tersilap sebut kepada mereka dulu, Allah ganti kan dengan kebaikan.
Kalau kita pernah terlanjur berkata tak elok kepada anak, inilah masa kita berubah.
Sama- sama belajar dan ubah pendekatan kita dalam mendidik anak-anak.
Jom doa yang baik-baik untuk anak-anak kita.
Cuba periksa barang dekat rumah mak-mak. Ada tak barang rumah yang masih elok, tapi tak digunakan lebih setahun. Gerenti ada saja kan?
Janganlah rasa sayang nak jual semula ya. Kalau simpan pun tentu sampai tahun depan masih juga sama kedudukannya di tempat yang sama.
Saranan wanita ini, Faridah Yusof berguna untuk dicuba oleh mak-mak yang ada banyak barang rumah tapi masih tersimpan elok dalam almari tu. Dan ada sebab kenapa dicadangkan agar dijual saja, bukan disedekahkan kepada orang lain.
Andai ada barang-barang di rumah yang masih elok dan boleh dimanfaatkan tetapi tidak digunakan setelah lebih dari satu tahun, lebih baik dijual.
Masuk sahaja mana-mana grup barangan terpakai atau ada dipanggil ‘preloved’.
Cuba iklankan. Ada juga yang iklan di ruang media sosial sendiri.
Kenapa jual? Kenapa tidak disedekahkan?
Apabila dijual, kita akan dapat sedikit tunai. Dengan tunai, boleh bayar hutang, bayar zakat yang kita pernah terlupa dulu-dulu.
Satu perkara lagi, orang susah atau miskin akan merasa lebih gembira dapat beli barang terpakai yang masih elok berbanding menerima barang sedekah.
Terutama mereka yang dulunya berstatus M40, dengan kos perbelanjaan yang meningkat, status mereka menjadi B40.
Mereka akan lebih yakin diri dapat membeli untuk keluarga. Maruah mereka tidak tercalar seolah-olah mereka ini tidak berusaha untuk kehidupan sekiranya asyik menerima sedekah dan pemberian barangan dari orang.
Kecuali mereka yang sudah tidak berdaya untuk kerja, sakit terlantar, biasanya mereka redha menerima pemberian, hadiah, infaq dari orang lain.
Ada sahabat yang berjaya membayar hutang pelajaran dengan menjual barangan peribadi /preloved item.
Daripada barangan itu rosak dan lusuh tidak dimanfaatkan, alangkah baik bila dapat memberi manfaat kepada orang lain.
Mingguan Wanita : Bagus saranan ini. Lebih baik dijual daripada dibiarkan berhabuk. Lagipun, bila sampai masa perlu untuk mak-mak lakukan ‘declutter’ kediaman rumah masing-masing.
Sumber/Foto : Faridah Yusof / Jean van der Meulen via Pexels
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Suami ‘pergi’ selepas sambut hari jadi. ‘Abang, doakan ayang kuat galas tanggungjawab sebagai mama dan juga papa kepada anak-anak.
Pemergian suami tercinta adalah sesuatu yang memilukan. Hilang tempat bergantung, bersandar dan juga teman tidur adalah mimpi ngeri buat wanita.
Namun apakan daya bila takdir mengatasi segalanya seperti mana yang dilalui oleh Puan Nurul Husna ini. Suaminya pergi buat selamanya begitu saja.
Our last family portrait bersama arwah.
29 Mei 2022, 28 Syawal 1443H (Ahad)
Kami sambut 2 hari awal birthday arwah disebabkan ada kekangan masa. Masa ini, arwah tak tunjuk langsung tanda yang pelik.
Dia tetap sama macam selalu. Happy go lucky, makan lalu, tak merungut sakit, tiada perkataan atau ayat yang luar biasa pun yang akan membuatkan kita rasa ada sesuatu yang tak kena.
31 Mei 2022, 30 Syawal 1443H (Selasa)
‘Happy Birthday Papa’.
Kebetulan arwah perlu selesaikan urusan kerja di Johor. Aku bila ada hari-hari penting macam ini yang memerlukan perjalanan yang jauh, aku mula tak sedap hati. Tapi memikirkan demi sesuap nasi kami anak beranak, aku izinkan.
Arwah sampai dari Johor dalam pukul 10.00 malam. Dia pergi lepak makan dulu dan balik rumah dalam pukul 11.15 malam.
Aku dan anak-anak sudah standby kek belakang pintu, nak surprise kononnya.
Zieya ada ada tanya,
“Mama, kenapa kita nak potong kek papa lagi, kan kita dah potong kek hari tu? ”
Lancar saja mulut aku menjawab,
“Antara mama dengan papa, kita tak tahu siapa yang akan meninggal dulu. Selagi ada masa, kita ambil peluang untuk raikan hari-hari istimewa macam ni”
Dan malam tu berlalu dengan penuh gelak ketawa kami anak beranak.
1 Jun 2022, 1 Zulkaedah 1443H (Rabu)
Arwah uruskan anak-anak yang bersekolah macam biasa. Aku pula pergi pejabat, last jumpa arwah pagi itu saja, aku salam dan bergegas sebab sudah lambat.
Pukul 1.41.petang, aku masih berwhatsapp dengan arwah. Pukul 3.30 petang aku whatsapp tapi tidak ada respon. Masa ini langsung tak rasa apa sebab aku andaikan arwah mungkin sibuk uruskan anak kecil kami, Hafiya.
Pukul 5.20 petang, aku sampai rumah. Dari luar dengar suara Hafiya nangis, bukak pintu tapi berkunci. Dah rasa pelik kenapa pintu berkunci. Selalu petang macam ini pintu tak kan berkunci sebab arwah sudah keluar ambik anak-anak balik kafa.
Buka saja pintu rumah, ada sesusuk tubuh yang sangat aku kenali sudah terbaring kaku, di hujungnya ada anak kecil yang menangis, entah untuk berapa lama aku tak pasti.
Allahuakbar.
Aku berlari dapatkan arwah. Aku pegang tangan, aku pegang leher, aku bukak mata arwah. Sejuk, tiada respon dan tanpa sebarang nadi. Hati aku kuat mengatakan yang arwah sudah tak ada.
REDHA.
Perlahan-lahan aku capai anak kecil, aku call 999. Pihak berkenaan nak guide cara CPR tapi aku menolak, sebab hati aku kuat mengatakan arwah sudah tak ada masa itu.
Dengan anak yang tengah menangis mana mungkin aku ada kekuatan untuk buat CPR. Cuma aku mintak ambulans datang dengan segera.
Aku call anak buah arwah, family dan beberapa kenalan untuk datang rumah. Aku WhatsApp dan call family untuk maklumkan keadaan arwah.
Pihak ambulans sampai, mereka mintak izin untuk buat CPR. Aku juga minta izin untuk uruskan Hafiya dan solat asar. Selesai solat, selesai jugak CPR, pihak paramedik maklumkan yang arwah sudah tidak ada.
Innalillahiwainnailaihirajiun.
REDHA, aku redha dengan ujian-Mu ya Allah.
Aku tanyakan apa langkah seterusnya sebab aku tak ada pengalaman uruskan kes macam ini. Jiran-jiran sebelah mula datang menjenguk, dan mula membantu mana yang patut.
Dari urusan dengan pihak polis, surau, perbadanan Putrajaya, semua selesai dengan mudahnya, alhamdulillah Ya Allah. Jiran-jiran tolong, komuniti Presint 11 tolong, family dan kawan-kawan juga tidak terkecuali.
Bermula maghrib, ramai kenalan arwah, kenalan aku sendiri, jiran-jiran, family, yang jauh yang dekat memenuhi ruang rumah. Sungguh aku tak sangka terlalu ramai yang sayangkan arwah.
Bagi yang bertanyakan apa sakit arwah, cukup aku simpulkan arwah meninggal disebabkan jantung.
Dan malam berlalu dengan terlalu perlahan bagi aku. Mungkin untuk aku habiskan masa akhir aku bersama arwah dengan sebaiknya.
Sambil membaca yassin, baca al-quran, aku usap perlahan muka arwah, tangan arwah, badan arwah. Ya, ini kali terakhir aku berpeluang untuk berkhidmat untuk insan yang paling aku sayang.
Tenangnya arwah, bersih mukanya. Lagi buatkan aku redha. Aku tahu, arwah orang yang sangat baik. Dia sudah jalankan tanggungjawab sebagai hamba, sebagai suami, sebagai papa, sebagai kawan, sebagai jiran, sebagai anak, abang ipar dan adik dengan sebaiknya.
2 Jun 2022, 2 Zulkaedah 1443H (Khamis)
Arwah dibawa ke Surau Al-Furqan, Presint 11 untuk dimandikan, dikapankan dan solat.
Masyallah bang, ramainya orang. Ramai yang sayangkan abang. Abang baik, semua orang cakap benda yang sama. Abang suka belanja makan dalam diam, abang mudahkan urusan orang, abang baik dengan semua. Subhanallah.
Urusan disurau selesai dengan mudahnya. Pihak surau dan team pengurusan jenazah sangat membantu. Alhamdulillah.
Perjalananan diteruskan ke Tanah Perkuburan Islam, Presint 20, Putrajaya.
Sekali lagi, ramainya orang sayangkan abang. Masyallah. Urusan pengkebumian berjalan dengan lancar, pihak perbadanan sangat menyantuni keluarga arwah dan menjalankan khidmat dengan sebaik mungkin.
Talkin dibacakan, untuk iktibar dan peringatan untuk kita yang masih hidup di dunia.
Abang, selamat jalan ke negeri abadi. Ayang redha. Abang seorang yang sangat pentingkan keluarga, family man. Nak lepak makan dengan kawan-kawan pun abang pastikan kami anak bini abang makan dulu.
Abang sangat baik untuk ayang dan anak-anak. Abang cuba penuhi setiap masa bersama dan keinginan kami tanpa rasa jemu.
Allah jemput abang sehari selepas abang sudah gembira menyambut birthday dengan ayang dan anak-anak. Allah bagi pinjaman tak ternilai nie selama 12 tahun untuk kita bersama. Sayangnya Allah dekat kita kan bang. Dan yang pasti, Allah lebih sayangkan abang.
Walaupun ayang tak tahu macam mana saat-saat akhir pengakhiran abang, ayang tak tahu pukul berapa abang pergi, ayang tak tahu sebab apa abang boleh rebah.
Tapi ayang pasti, abang hanya nak mudahkan urusan ayang dengan menguruskan jenazah abang. Semua itu tetap menjadi rahsia Dia, Maha Pencipta dan disaksikan anak kecil, Hafiya yang masih tak mengerti apa.
Kuat Galas Tanggungjawab
Allahuakbar.
6 Jun 2022, 6 Zulkaedah 1443H (Isnin)
Hari ni genap 6 hari hidup kami tanpa kehadiran abang disisi. Ayang tahu abang ‘ada’. Anak-anak semua okey, main dengan sepupu-sepupu bagi hilangkan rasa rindu dekat abang.
Cuma Hafiya, badan sudah dedar. Rindu papa barangkali, tapi tak pandai nak luah .
Abang, doakan ayang kuat nak galas tanggungjawab sebagai mama dan papa. Doakan ayang berjaya pimpin anak-anak hingga ke syurga. Abang tunggu kami dekat sana, ya.
Buat kenalan arwah dan semua yang mengenali, sekiranya arwah ada buat salah silap, saya bagi pihak arwah mohon ampun dan maaf dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Dan sekiranya arwah ada berhutang, mohon sangat-sangat maklumkan kepada saya ya.
Buat keluarga tercinta samada keluarga sendiri dan keluarga mertua, jiran, kawan-kawan yang mengenali Husna dan yang sangat husna sayang, terima kasih atas sokongan dan kasih sayang semua.
Terima kasih atas keprihatinan dan kebajikan, terima kasih untuk doa-doa dan ucapan kekuatan. Terbukti Husna tak keseorangan.
Doakan Husna terus kuat, demi anak-anak dan perjalanan masa depan. Mohon juga doakan arwah ya.
Big hugs.
Assalamualaikum dan Al-Fatihah.
Mingguan Wanita : Ciptalah memori indah sebanyak mungkin kerana bila mereka tiada, hanya potret dan kenangan yang akan kekal sebagai ingatan buat selamanya.