“Pengebumian enam sekeluarga mangsa Sungai Korok paling menyayat hati”- setiausaha masjid kongsi rasa sayu. Suasana hiba menyelubungi tanah perkuburan Islam Masjid At-Taqwa apabila enam sekeluarga yang ditemukan lemas dalam kereta di Sungai Korok
dikebumikan serentak dalam satu liang lahad, baru-baru ini.Menurut Setiausaha Masjid At-Taqwa, Mhd. Shukri Hassan, inilah pengalaman paling memilukan sepanjang beliau terlibat dalam menguruskan jenazah.
“Pengebumian enam beranak adalah yang paling sayu pernah saya urus, saya terlalu sedih apabila mengenangkan ada anak-anak kecil termasuk bayi dalam kejadian itu,” luahnya ketika ditemui.
Mangsa terdiri daripada pasangan suami isteri, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan isteri, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, bersama empat anak mereka, Putra Rayyan Nur Izzat, 9; Hawa Adriana Nur Izzat, 8; Annayla Humaira Nur Izzat, 7; dan bayi lelaki berusia enam bulan, Tuah Haydar.
Mhd. Shukri berkongsi rasa sebak apabila lima keranda dibawa masuk ke ruang solat masjid untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan.
“SAYA DIMAKLUMKAN JENAZAH BAYI DILETAKKAN DI DALAM SALAH SATU KERANDA AHLI KELUARGANYA. MEMANG TAK BOLEH TAHAN PERASAAN JIKA IA MELIBATKAN ANAK-ANAK KECIL SEBAB TERINGATKAN ANAK SAUDARA.
Selain itu, saya tiada anak walaupun usia perkahwinan sudah 37 tahun, namun semua itu saya terima sebagai anugerah dan rezeki Allah,” katanya lagi.
Menurut beliau, air mata gugur tatkala melihat enam jenazah daripada satu keluarga disemadikan sekaligus sesuatu yang sangat jarang berlaku.
“Inilah pengebumian paling sayu kerana melibatkan enam jenazah daripada sebuah keluarga. Semasa proses pengebumian malam Isnin lalu, lebih 1,000 hadir beri penghormatan,” ujarnya.
Atas dasar simpati dan tanggungjawab, pihak pengurusan masjid membuat keputusan untuk menanggung kos penggalian liang lahad berjumlah RM1,800 sebagai bantuan kepada keluarga mangsa.
Tambah beliau, kerja-kerja penggalian dimulakan pada jam 3 petang oleh seramai 15 individu, dan berjaya disiapkan sebelum waktu solat Isyak.
Insiden menyayat hati itu sebelum ini dilaporkan apabila kehilangan sekeluarga berkenaan sejak Sabtu akhirnya terjawab selepas kereta jenis Proton Iswara yang mereka naiki ditemukan dalam sungai kira-kira 48 jam kemudian.
Lebih meruntun jiwa, kesemua mangsa ditemukan dalam posisi duduk di bahagian belakang kereta, berpelukan antara satu sama lain, dipercayai dalam usaha menyelamatkan diri sebelum gagal keluar.
Difahamkan, ketika kejadian, mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Jerlun selepas bermalam di kediaman adik kepada Mohamad Azim, Nur Adliah Syuhada, 26, di Taman Seri Aman.
Sumber: Kosmo online
Baca artikel lain juga: Tragedi Sungai Korok, Keluarga Teruskan Perniagaan Roti Canai Arwah Suami, Isteri
Tragedi Sungai Korok, “Semalam Qisya Pakai Baju Arwah Uminya, Mungkin Dia Rindu Nenek Qisya
Tragedi Sungai Korok, 10 Nyawa Terkorban Sejak 2018 Termasuk Enam Sekeluarga
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE