Nak mencipta bahagia dalam rumah tangga itu sebenarnya mudah. Asalkan suami isteri sama-sama jalankan tanggungjawab masing-masing. Saling memahami dan tidak berlebihan dalam menuntut haknya. Lagi-lagi bab rumah kemas ini. Ada ‘check and balance’ nya, saling mengimbangi antara satu sama lain.
Dan bagusnya pasangan ini, Izyan Izdihar Shaarani apabila masing-masing faham peranannya. Baik suami, isteri mahupun anak-anak tidak memaksa antara satu sama lain. Saling berkadaran dalam melaksanakan tanggungjawab dan tugasan dalam rumah.
Bagusnya!
Jadual Isteri Bekerja, Jadi Makin Sibuk Bila Balik Rumah
Saya isteri yang bekerja.
Saya bekerja jauh dari rumah. Sampai rumah dah maghrib. Hari hari begitulah jadual saya.
Sampai rumah katakanlah 7.30pm. Dalam jadual saya, pukul 10 adalah waktu anak masuk tidur. Jadi, saya hanya ada masa 2 jam setengah untuk buat semua ni,
Kalau saya nak pastikan saya mampu buat kesemua 17 perkara tu dalam tempoh 2 jam setengah, sorang-sorang, dengan berkualiti, saya tak sepatutnya duduk di planet bumi. Saya sepatutnya sudahpun menjadi bidadari sorga.
Kerja Rumah.. Buat Ikut Kemampuan Diri
Jadi, sebab saya rasa mustahil saya boleh buat semua tu setiap hari dalam tempoh 2 jam setengah, maka saya memilih untuk buat semua itu dengan timeline saya sendiri. Dan mengikut cara saya yang saya mampu. Yang penting tetapkan objektif:
1. Anak dan suami dapat perhatian sewajarnya 2. Rumah tidak terlalu bersepah 3. Perut masing-masing kenyang 4. Kami semua dapat habiskan masa yang berkualiti bersama walaupun sekejap 5. Kami semua gembira
Apa-apa sahaja yang saya buat atau tak buat, saya pastikan kelima-lima objektif tersebut tercapai. Rasa mampu masak, masak. Tak mampu masak, order. Yang penting tak ada yang mengamuk lapar.
Rasa larat kemas rumah, kemas. Larat sapu, sapu, larat vacuum, vacuum. Tak larat, kemas meja aje sudahlah. Kemaskan yang superficial je, kemaskan kawasan yang nampak jelas di mata: atas sofa, atas meja, depan tv. Yang lain, esok esok lah buat. Apa yang penting, rumah tak sehingga ke tahap tongkang pecah.
Basuh kain biasanya memang mudah, tekan tekan je. Tapi nak jemur tu kadang dah tak larat. Kalau kami laki bini masih larat, sidai. Tak larat, suami bawa je pergi laundry, keringkan. Kalau suami pun dah tertidur, tak larat nak bangun pergi laundry, aku biarkan aje. Esok aku tekan balik mesin tu, ha basuh lagi sekali. Benda boleh rileks, buat apa stress.
Baju? Alah..larat lipat, lipat. Tak larat saya susun je bakul bakul tu dalam bilik baju. Tutup pintu. Settle. Ada masa lapang, hujung minggu, lepak dalam tu sambil pasang lagu, slow slow lipat lah. Bukan jadi serbuk pun baju baju tau kalau lambat lipat. Chill aje udah.
Ads
Sapu sampah dan vacuum? Larat, buat. Tak larat, kutip sampah yang besar-besar. Lap pakai kain lap kalau ada benda yang tumpah tumpah bawah meja, dah. Kalau nak mop bagai kau tunggu ajelah hujung minggu. Nak berkilat sangat lantai tu setiap masa nak buat apa? Cermin?
Iron baju? Kalau larat iron semua hujung minggu, iron. Tak larat iron je sikit-sikit. Kalau tak sempat sebelum tidur, esok subuh aku bangun awal sepuluh minit dari biasa, ha iron. Apedehal.
Agar Tak Susah, Dahulukan Yang Wajib
Yang penting, ini. Bagi saya, ini yang wajib:
1. Spend time dengan anak. Kita dah tinggalkan dia sepanjang hari. Biarkanlah dia nak bergelumang dengan kita selama 2 jam setengah tu. Itu je masa yang kita ada dengan dia. 2. Ajar anak mengaji. Seboleh boleh kami suami isteri cuba untuk tak skip rutin yang ini. 3. Spend quality time together. Setengah jam pun jadi. Waktu dinner, wajib duduk semeja. Sembang, gelak, bahan each other. Kalau sempat, kami tengok Netflix sesama. Sekejap pun tak apa. Dapat tengok satu episod naruto pun jadi. 4. Buat breakfast pagi-pagi (cipta menu yang boleh dibuat dan dimakan segera) untuk anak dan suami. Saya suka spend time dengan anak dan suami sebelum masing-masing berpisah ke destinasi masing-masing. Sekejap pun jadi. Sebab nak jumpa semula nuuu maghrib nanti.
Keinginan untuk rumah yang berkilat, bersih, dan tersusun macam muzium tu adalah kehendak kita sahaja. Ia bukan keperluan. Kita takkan mati dan menyesal kalau rumah kita bukan rumah yang paling berkilat di daerah kita.
Tapi, memberi masa dan perhatian yang secukupnya kepada anak adalah suatu prioriti yang kita tak boleh tolak ansur dah. Yang itu ya, kita akan menyesal apabila suatu hari nanti, dia rupanya-rupanya dah besar dan tak mahu sembang dan spend time dengan kita dah. Masa tu, kita duduk lah dalam rumah yang berkilat macam muzium tu dengan suasana yang sangat sunyi.
Rumah Berkilat Macam Muzium Tak Beri Bahagia
Rumah yang berkilat dan tersusun macam muzium tak boleh beri kita kebahagiaan pun. Ia hanya beri kita kepuasan yang sementara. Sebabnya esok lusa, bersepah balik.
Ads
Fokuslah dengan objektif yang lebih utama, kemenjadian anak-anak dan memori yang dicipta bersama untuk dikenang sampai bila-bila.
Tapi betul, saya boleh hidup dengan timeline dan pace macam ni kerana saya dianugerahkan suami yang memahami, rajin membantu, mengambil separuh daripada tugasan rumahtangga bersama dan anak juga sudah boleh membantu banyak benda.
Percayalah,
Kesefahaman itu bukan dicipta overnight sahaja. Ia sudah pun melalui proses pertengkaran, kemerajukan, perbincangan, latihan, mesyuarat, persidangan, dan ngauman ngauman serta sedu sedan yang mendayu-dayu. Tapi, selagi Allah ada dalam setiap perbalahan tu, insyaallah kita suami isteri akan baik-baik sahaja.
Saya teguh dengan modul ‘penat sama-sama, rehat sama-sama’. Jangan mengalah selagi objektif modul tak tercapai!
Tak perlu ada sesiapa yang terkorban pun dalam struggle pengurusan rumahtangga.
Selagi kita suami isteri masing-masing cuba lapangkan dada untuk cuba memahami dan bersifat ihsan towards each other, Allah akan bantu kita.
Berdoalah Moga Allah Bantu..
Doa banyak banyak pada Allah… “Ya Allah, kau berilah ilham kepada suamiku agar dia faham isi hati ku ni Ya allah.” Doa begitu selalu.
Suami ni, dia bukan macam anak-anak, boleh ditengking-tengking kalau tak dengar cakap, bukan boleh dipecah perintah kalau nak minta dia buat sesuatu. Tapi, jika kena caranya, insyaallah dia akan buat apa yang kita harapkan dia buat dengan seikhlasnya juga.
Ads
Yang saya tulis ni, bukan tips. Tapi ini kisah hidup saya yang baru sepuluh tahun berumahtangga. Alhamdulillah, segalanya makin tenang, dan kurang dah tunggang langgang.
Bagi yang baru meniti setahun dua tahun tiga tahun empat tahun tu, sabar…sabar..sabar…tenang…banyakkan komunikasi..merajuklah, menangislah, memintalah, bersuaralah…agar akhirnya isi hati kita sampai kepada suami.
Isteri Jangan Takut Untuk Meluah..
Orang lelaki ni otak dia slow sikit bab faham isi hati isteri ni. Kita kena luah luah luah luah luah banyak banyak banyak banyak kali sampailah dia register, oh begitu rupanya yang bini aku nak. Hahahaha!
Rileks k, jangan stress.. mak mak bawak bertenang. Buat apa yang termampu. Kita semua dah usaha dah sebaiknya. Mak mak memang semua akan berusaha pastikan yang terbaik untuk anak dan rumahtangga nya.
Buat saudara mara adik-beradik ipar-duai jiran tetangga dan sahabat handai, jangan sibuk judge rumahtangga orang lain tu tak kemas lah, tak berkilat lah, tak bersih bersinar lah, bini orang tu malaslah, tak rajin masaklah apa lah yee. Itu rumahtangga dia, suami dia, anak anak dia. Dan boleh sahaja objektif dia dan kita tak sama. So SOP pengurusannya pun tak sama. So kita senyap aje sudah. Tak puas hati, kemam aje diam-diam. Tak payah sibuk. Selagi tak ada perkara yang menyusahkan kita, biarkan mereka. Kau sakit mata? Pejam. Kau sakit hati? Ha tu kau punya pasal. Selagi dia tak kacau kau, sudah.
Suami Bantu Buat Kerja Rumah, Bukan Tanda Takut Bini..
Suami, teruskanlah berbuat ihsan kepada isteri. Percayalah, Isteri anda pasti sedang sentiasa mencuba melakukan yang terbaik untuk anda dan anak-anak, dengan cara yang dia tahu, dan dengan kudrat yang dia mampu.
Kalau ada sesiapa yang hasut fikiran anda agar jangan bantu isteri, biarkan isteri buat sendiri sebab itu tugas isteri, kalau bantu isteri tu tandanya anda takut bini, ha kau pergi hembus auzubillahi minasyaitooonnn nirrrajimmmm kat ubun ubun dia. Kalau nampak tak lut, kau azankan je kat telinga dia bang. Bisikan syaiton sungguh!
Isteri happy, anak anak happy, anda sendiri pun akan happy. Bahagia itu kita yang cipta.
Ciptalah.
(Eh ya Allah, bila aku baca balik, panjangnya! Anda dah baca sampai bottom line ni kira tahniahlah!)
MW : Wah! Bagus tip bab rumah kemas ini.. Apa pun biarlah sama-sama hadap. Barulah tanggungjawab itu jadi ringan dan tak membebankan.
Apa anda fikir jika saya cadangkan setiap pasangan yang berkahwin diwajibkan mengukur tahap EQ masing-masing? Saya pasti rasa yang terangkat kening sekarang.
Apa pula EQ ini? Kalau IQ itu mungkin ramai yang tahu, bukan?
Dalam kata mudah, IQ ialah ukuran kepintaran akal seseorang itu. Jika orang itu IQnya tinggi maka dikatakan orang itu pandai. Jika IQ rendah maka dikatakan kurang pandai.
Namun sejak kebelakangan ini, IQ didapati tidak begitu tepat menentukan kejayaan seseorang itu dalam hidup. Ada orang yang IQnya tinggi tetapi hidupnya berterabur dan tunggang langgang. Keluarga hancur dan kerjaya hanya setakat sederhana sahaja.
Sekarang semakin ramai beralih daripada IQ kepada EQ iaitu Kepintaran Emosi. Laporan World Economic Forum terbaru menunjukkan EQ berada di tangga keenam yang dicari oleh majikan menjelang tahun 2020.
Bagaimana pula dengan rumah tangga? Jika majikan mahu tahu tahap EQ pekerjanya, mengapa anda tidak mahu tahu EQ sendiri dan EQ pasangan anda?
Apa faedahnya mengetahui EQ dengan potensi kebahagiaan rumah tangga? Saya berikan contoh berikut. Jika anda dibesarkan dalam persekitaran yang baik, ada tahap pendidikan yang memuaskan, ibu bapa penyayang, adik beradik yang saling tolong menolong maka besar kemungkinan anda memiliki tahap EQ yang baik.
Orang yang membesar dalam persekitaran yang perit dan keras biasanya mempunyai EQ yang tercalar.
Gambar sekadar hiasan / Kredit foto : drama Nur 2
Tanda-Tanda Pasangan EQ Rendah, Boleh Runtuhkan Rumah Tangga
Cepat Marah Tak Kira Tempat
Yang pertama dan semakin menjadi isu sekarang ialah ketidakmampuan mengawal emosi. Antaranya orang yang cepat marah dan tidak segan menunjukkan kemarahannya tidak kira tempat, tidak kira masa dan tidak kena cara.
Ini adalah faktor penyebab penderaan dalam rumah tangga. Selain itu orang yang berfikir negatif, mudah tersinggung atau jiwa sensitif juga termasuk dalam kategori ini.
Mereka ini terlalu mudah membenarkan kata-kata itu masuk dan merobek perasaan sendiri. Mereka ini sangat terdedah kepada ‘stress’ yang tidak berfaedah.
Konon Percaya Boleh Baca Perangai Orang Lain
Kategori kedua ialah orang yang begitu percaya yang dia boleh ‘membaca perangai’ orang lain. Mereka ini selalu menemui kesilapan dan kesalahan pasangan tetapi tidak nampak kelemahan sendiri.
Orang yang memiliki EQ tinggi bukan sahaja boleh membaca emosi orang lain tetapi juga mengawal emosi sendiri. Jika pasangannya ada kelemahan tertentu dia ada dua pilihan.
Pertama; memaksa pasangannya berubah. Kedua; mempengaruhi pasangannya untuk berubah.
Sikap pertama ialah sifat orang EQ rendah sementara sifat kedua ialah orang yang mempunyai EQ yang tinggi.
Dia boleh mengawal emosinya dengan melihat masa hadapan dan memilih tindakan terbaik untuk mengubah pasangannya menjadi lebih baik.
Gambar sekadar hiasan / Kredit foto : drama Nur 2
Lihat Bahasa Tubuh, Ikhlas Atau Sebaliknya
Yang terakhir ialah bahasa badan. Mulut dan lidah boleh berkata dusta tetapi tidak lirikan mata dan nada suara. Keikhlasan adalah salah satu frekuensi gelombang dalam EQ.
Hanya orang yang pintar mengawal emosi boleh menukar sudut pandang untuk mendapatkan keikhlasan dalam perbuatan.
Dengan cara itu kita akan mampu memancarkan frekuensi keikhlasan itu sehingga masuk ke dalam perasaan pasangan.
Sentuhan fizikal, pandangan mata dan nada suara yang ikhlas itu hanya datang dari lubuk hati manusia yang mempunyai EQ tinggi.
Sebagai contoh anda tahu yang dia ada perempuan di luar sana. Anda boleh isytihar perang terbuka. Saya tidak kata salah sebab itu memang hak anda! Tapi apa jadi selepas perang itu?
Menang jadi abu, kalah jadi arang, bukan?
Bagaimana jika pilih cara berbeza?
Nyatakan dengan tenang perasaan anda untuk bersama dengannya masuk ke Jannah bersama dengan anak-anak. Pandang matanya.
Pastikan hati anda ikhlas (bukan seperti rasa mahu menelan dia hidup-hidup!) dan pegang hujung jarinya. Saya jamin, esok pagi pasti dia akan tinggalkan perempuan itu!. Cubalah.
Penulis : Dr Syed Yusaini Yahya, Relationship Coach, Promind Training And Consultation. Beliau juga merupakan kolumnis ruangan Nota Untuk Isteri di majalah Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Tidak dinafikan besar harapan mak ayah, agar anak-anak dapat menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira seawal usia. Namun mak ayah juga perlu ingat perkembangan kognitif setiap kanak-kanak adalah tidak sama. Ada yang cepat dan mudah belajar dan ada yang sebaliknya. Jangan sesekali membuat andaian mudah anak pada usia 5 dan 6 tahun, yang masih tidak pandai 3 kemahiran ini mempunyai masalah pembelajaran atau disleksia.
Semoga perkongsian oleh Dr Norzila Zakariaini membuka mata dan hati kita sebagai mak ayah sekaligus menambah ilmu perkembangan anak-anak.
Jemput baca perkongsian Psikiatri ini;
Anak boleh membaca dan menulis dengan baik disahkan disleksia dan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU)
Seorang ibu membawa anaknya ke klinik. Keluarga mereka ini baru berpindah ke Kelantan. Anaknya yang berusia 7 tahun disahkan mengalami disleksia dan sudahpun didaftarkan sebagai OKU. Katanya penilaian dijalankan di **M di Kuala Lumpur. Ketika penilaian dijalankan anak ini baru berusia 5 tahun lebih.
Doktor yang melihat anak ini membincangkan kes ini dengan saya kerana pada hari klinik tersebut anak ini boleh membaca dengan baik dan tidak menunjukkan tanda lain seperti mereka yang mengalami disleksia.
Saya hanya tersenyum mendengar perjalanan kisah anak ini sehingga disahkan sebagai disleksia. Kalau di klinik saya, minta maaf lah Dr Norzila tidak akan semudah itu untuk mengisi borang pendaftaran Orang Kurang Upaya kecuali kes yang betul-betul jelas gejala dan tandanya.
Apakah yang dilihat pada usia 5 tahun? Ya betul gejala disleksia memang boleh diperhatikan pada usia ini, namun mengapa tergesa-gesa mengesahkan anak ini sebagai disleksia sedangkan pada usia 5 tahun adalah perkara biasa menulis b dan d terbalik, hatta tidak pandai menulis juga perkara biasa jika masuk ke Tadika yang menggunakan konsep “belajar melalui bermain’. Mereka tidak menekankan penggunanan pensil dan kertas tetapi menekankan bermain sambil belajar.
Beri Mereka Masa
Anak saya Hisham masuk darjah satu tulis nama pun terbalik dari kanan ke kiri. Z, M, N B, D R tidak terkira acapkali ditulis terbalik. Tapi saya tidak mengatakan dia sebagai disleksia. Tanpa intervensi khas Hisham melalui darjah satu seperti pelajar lain. Dia tidak boleh membaca pun. Namun saya tidaklah memaksanya membaca kerana Hisham lahir pada hujung bulan Oktober, maknanya ketika dia masuk darjah 1 usianya baru 6 tahun 2 bulan.
Menyedari perkembangan kognitif seoarang kanak-kanak pada usia Hisham saya tidak bimbang langsung. Walaupun dapat nombor 6 terakhir dari 210 pelajar dan duduk dalam kelas paling akhir, namun oleh kerana dia adalah anak yang tipikal, Hisham mampu membaca pada hujung darjah 1. Sekarang berilah apa saja semua sudah boleh dibacanya.
Walaupun saya tidak gemarkan cara pelajar dinilai dengan peperiksaan penggal, namun di satu sudut saya mempersembahkan cerita anak seusia Hisham agar jangan didiagnos sebagai disleksia lagi. Berilah mereka masa untuk melalui fasa pembesaran dan perkembangan kognitif yang normal. Insha Allah jika tiada maslah lain dalam komunikasi dan sosial anak ini mampu menguasai kemahiran menulis, membaca seperti anak-anak yang lain.
Anak kita tidak jadi pandai tiba-tiba, mereka perlukan masa untuk menguasai kemahiran menulis, membaca dan mengira. Namun jika usia 5 tahun cikgu tadika dah buat kenyataan
“anak puan tidak berikan tumpuan dalam kelas, sampai sekarang masih belum boleh menulis dan membaca”, atau
” anak puan selalu tak siap kerja sekolah, asyik main saja”atau
“anak puan selalu tulis terbalik, diajar berkali-kali pun tak boleh nak ingat”
… anda silap cikgu. Mereka bukan tak boleh menguasai semua itu tetapi belum sampai masanya mereka mampu menguasai kemahiran tersebut.
Hantar Intervensi & Penilaian
Ya saya tidak nafikan ada anak-anak yang extraordinary, umur 3 atau 4 tahun sudah boleh membaca. memang hebat, itu anugerah Allah. namun struktur otak manusia ini tidak serupa maka fungsinya juga tidak sama. Pasti ada yang sel-sel saraf yang berhubung dengan pantas, dan ada yang agak perlahan namun masih dalam spektrum yang normal.
Mereka yang mempunyai sel saraf yang pantas berhubung memang cepat belajar, namun yang agak perlahan pasti lambat sedikit. Janganlah jadikan pelajar yang extraordinary ini sebagai piawai. Habis nanti semua pelajar lain dilabel disleksia dan ada masalah pembelajaran.
Penilai-penilai pun lihatlah usia anak yang anda nilai itu, 5 tahun disahkan disleksia dan disahkan OKU, pada saya itu melampau. Para doktor pun update lah ilmu tentang disleksia kerana saya tahu bukan semua doktor faham tentang disleksia. Hantar untuk intervensi dulu, nilai semula dan lihat perkembangan pada usia berapa ketika itu, Jika sudah berpuashati dengan intervensi pun masih sukar membaca, menulis maka mungkin layak didaftar sebagai OKU (ikut hukum di Malaysia – itupun kalau ibu bapa setuju… ini belum masuk isu kelas pendidikan inklusif lagi).
Maka pesanan saya untuk para doktor, jangan lah cepat sangat buat diagnosis disleksia. Kalau berjumpa saya sudah pasti temujanji ke dua adalah 6 bulan selepas yang pertama, setelah pelajar dihantar menjalani terapi carakerja sebagai intervensi awal. Ibu bapa juga diberi peluang untuk memikirkan adakah perlu untuk mendaftar anak sebagai OKU dalam tempoh 6 bulan tersebut.
Saya paling tidak suka mendaftarkan pelajar disleksia sebagai OKU kerana mereka tidak mampu menguasai kemahiran asas menulis membaca dan mengira bukan disebabkan masalah mereka, tetapi masalah pengajaran yang terlalu rigid sedangkan ada beratus cara pembelajaran yang boleh digunakan untuk membantu anak-anak dengan disleksia. Inilah yang saya katakan disleksia adalah “teaching disability” dan bukan “learning disability”.
Disleksia Satu Anugerah
Kembali kepada kisah anak tadi, saya terangkan pandangan saya bahawa anak ini sekarang tidak ada gejala disleksia, dan status OKU yang telah diperolehinya boleh ditarik balik. Kasihan ibu ini kerana selama ini beranggapan anaknya adalah orang kurang upaya.
Sebenarnya disleksia adalah satu anugerah namun di Malaysia terpaksa diberikan status OKU! Lihatlah bagaimana mereka yang mengalami disleksia dalam dunia ini mencipta nama dalam pelbagai bidang selain akademik.Disleksia adalah anugerah, ya ianya anugerah!
Pada satu sudut yang lain pula, ibu bapa pun janganlah bimbang sangat bila anak belum mampu membaca pada usia 6 tahun jika aspek kehidupan yang lain adalah normal. Ingatlah kisah Hisham anak saya tu ya. Berilah mereka peluang. Kalau 8 tahun belum kenal huruf ya saya agak bimbang. Namun tidak salah untuk hantar penilaian jika gejala amat ketara. pastinya yang terbaik adalah pengesanan awal dan intervensi awal.
Semoga bermanfaat!
Jadi buat mak ayah, tak perlu bimbang sangat iya.Jadikan perkongsian oleh Psikiatri ini sebagai panduan dan rujukan. Perkembangan setiap anak-anak adalah berbeza.Berikan mereka masa dan biarlah anak belajar seiring peringkat usia mereka.
Benarkah taraf mak saudara dikatakan lebih tinggi daripada mak mentua? Memang ramai yang rapat dan langsung tidak berasa kekok atau segan bila bersama mak saudara. Hubungan dengan mak saudara rapatnya seperti dengan ibu sendiri.
Jadi, tak mustahil juga sesetengah kita cukup rapat dengan mak saudara sebelah mak atau rapat dengan kedua-duanya (mak dan ayah). Itu sahajalah mak saudara yang kita ada. Tiada galang gantinya seperti mak ayah kita juga.
Mak Saudara Tarafnya Lebih Tinggi Dari Mak Mentua
Dalam perkongsian video tiktok yang dikatakan oleh Ustaz Badli Shah, menyarankan supaya menjaga hubungan dengan mak saudara ini. Tak bermaksud bila berkahwin, kita kena buang mak mentua tapi taraf mak saudara itu lebih tinggi dari mentua, hanya dia seorang dunia akhirat.
Antara mak saudara dengan mak mentua mana yang lebih penting untuk jaga hubungan. Inilah ulasan yang diberikan oleh Ustaz Badli Shah.
Kalau dibincangkan hukum, mak saudara dengan mak mentua, mana lebih penting untuk jaga hubungan. Sudah tentulah mak saudara.
Sebab mak saudara itu adalah adik beradik mak atau ayah kita. Sudah tentulah anak saudara boleh bersalam dengan mak saudara. Tapi berapa ramai anak saudara yang rapat dan baik dengan mak saudara.
Hormati & Jagalah Hubungan Baik-baik
Bukan Buang Mentua
Tarafnya tak boleh lawan dengan mak mentua sebab mak mentua boleh dicari bila kahwin lain, dapatlah mak mentua baru tapi mak saudara itu, hanya dia seorang yang kita ada. Tiada galang gantinya.
Betul apa yang dikongsikan ini. Bukan nak buang mak mentua, dia pun sama taraf seperti mak kita juga tapi itulah, kalau kahwin baru dapat mentua baru. Paling penting adalah jaga hubungan sesama kita.
Seorang wanita ditemukan maut tergantung di kipas siling di rumahnya di Kulim selepas dipercayai membunuh anak perempuannya berusia empat tahun akibat tekanan emosi. Kes tragis ini disiasat mengikut Seksyen 302 dan 307 Kanun Keseksaan.