Pempengaruh Raih Laba, Hasil Tunggang Kes Zara Qairina

Share

Pempengaruh raih laba hasil tunggang kes Zara Qairina. Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menzahirkan rasa kesal apabila ada pempengaruh media sosial sanggup mengeksploitasi kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, 13, dengan menjadikannya kandungan demi keuntungan.

Pempengaruh Raih Laba, Hasil Tunggang Kes Zara Qairina

Menurut beliau, lebih menyedihkan apabila terdapat pihak yang tanpa rasa tanggungjawab menyebarkan maklumat palsu mengenai Allahyarham hanya untuk meraih perhatian dan tontonan tinggi di platform digital.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. – Foto BERNAMA

Fahmi turut menyuarakan kebimbangan berhubung sikap segelintir pengguna internet yang dilihat mudah percaya bulat-bulat terhadap apa sahaja yang tersebar di media sosial sehingga seolah-olah membentuk satu budaya baharu dalam kalangan netizen.

Beliau mendedahkan ada individu yang sebelum ini terlibat dengan penipuan atau ‘scam’ bertindak menyamar sebagai pakar patologi, kononnya terbabit dalam proses bedah siasat berkaitan kematian Zara Qairina.

“Kita nampak memang ada satu budaya rata-rata warga netizen. Mereka terima bulat-bulat apa yang mereka lihat dalam media sosial. Ada menjadi mangsa kepada ‘scam’ melibatkan AI (kecerdasan buatan) ‘deepfake’. Ada percaya di Hulu Perak, Gerik ada kereta kabel.

“Jadi itulah sebab kenapa kita dapati media sosial ini kita perlu berhati-hati. Ia bukan seperti media arus perdana, bukan seperti surat khabar di mana akhbar kita tahu ada etika dan integriti kewartawanan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menambah, Persatuan Wartawan Sabah (SJA) turut mengecam tindakan segelintir pempengaruh yang hadir di lokasi tertentu dan bertindak seolah-olah wartawan, sedangkan tujuan sebenar mereka adalah mencipta kandungan bagi meraih keuntungan peribadi.

“Itu sebabnya Persatuan Wartawan Sabah (SJA) mengeluarkan satu kenyataan mengkritik pempengaruh yang datang memenuhi tempat-tempat seolah-olah mereka wartawan dan bertanya (soalan) tapi sebenarnya niat mereka untuk hasilkan kandungan dengan niat (raih) profit (keuntungan) untuk diri sendiri.

“Bila jumlah tontonan berjuta mesti ada pulangan kewangan kepada pempengaruh itu. Tapi aspek integriti, aspek pengesahan identiti tidak dilakukan,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan agensi di bawah Kementerian Komunikasi seperti Jabatan Penerangan (JAPEN), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) serta Jabatan Penyiaran memperbanyakkan kandungan yang dapat memberi kefahaman kepada rakyat, khususnya isu-isu tular di media sosial.

Fahmi menegaskan langkah itu amat penting termasuk bagi menjelaskan isu berkaitan kes Zara Qairina yang kini dalam proses perbicaraan di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu.

“Memang benar Akta Kanak-Kanak 2001 Seksyen 15 dengan sangat jelas bahawa terdapat sekatan dikenakan apabila sesuatu kes itu melibatkan kanak-kanak.

“Ia bukan atas arahan mana-mana pihak tetapi berdasarkan undang-undang sedia ada. Mana-mana kes membabitkan remaja di bawah umur 18 tahun, memang akta akan terpakai. Ia secara automatik,” katanya.

Sumber: Berita Harian 

Baca artikel lain juga: Kes Zara Qairina: Datuk Ram Singh Wakili 1 Daripada 5 Tertuduh

Datuk Ram Singh: Saya Beri Khidmat Percuma, Tertuduh Bukan Anak VVIP

 

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE

Published by
Has