Sejak tragedi pemergian adik Zara Qairina Mahathir, 13, isu prosiding mahkamah membabitkan lima remaja perempuan bawah umur terus menjadi perhatian masyarakat. Namun, kekeliruan timbul apabila perintah larangan bersuara atau gag order dikeluarkan oleh mahkamah.
Peguam keluarga Allahyarhamah, Hamid Ismail, tampil menjelaskan bahawa larangan itu bukan bertujuan melindungi mana-mana pihak tertentu, apatah lagi individu berstatus VVIP, sebaliknya kerana kelima-lima tertuduh adalah kanak-kanak di bawah umur yang dilindungi oleh undang-undang.
“Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 jelas menyatakan identiti kanak-kanak tidak boleh didedahkan. Nama, tempat tinggal, malah maklumat ibu bapa mereka juga tidak boleh dipublikasikan sepanjang siasatan dan perbicaraan.
Bukan sebab ada VVIP. Itu undang-undang, bukan permainan orang atas,” jelas Hamid kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.
Menurut Hamid lagi, pihaknya memohon agar masyarakat bertenang dan menunggu penjelasan rasmi daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Kalau kami dedahkan, itu melanggar arahan mahkamah. Harap AGC dapat keluarkan kenyataan untuk jelaskan kepada netizen. Buat masa ini, kami tidak boleh berkongsi apa-apa berkaitan prosiding di Mahkamah Kanak-Kanak kerana terikat dengan undang-undang,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihak peguam telah memfailkan permohonan untuk menjadi orang berkepentingan dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina dan kini menunggu tarikh pendengaran, dijangka dalam minggu ini.
Hari ini, lima remaja terbabit hadir ke Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu sekitar jam 8.25 pagi. Mereka dituduh mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan kerana menggunakan atau membuat perkataan berunsur ancaman, kesat atau menghina terhadap Allahyarhamah Zara Qairina.
Gag order ialah perintah larangan bersuara atau mendedahkan maklumat tertentu yang dikeluarkan oleh mahkamah.
Tujuannya adalah untuk melindungi identiti atau maklumat sensitif, terutama jika melibatkan kanak-kanak di bawah umur.
Mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001, nama, alamat, dan butiran keluarga kanak-kanak tidak boleh disiarkan sepanjang siasatan atau perbicaraan.
Jadi, gag order dalam kes Allahyarhamah Zara Qairina ini bukan kerana ada VVIP terlibat, tetapi kerana undang-undang sendiri melindungi hak kanak-kanak.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Sumber: kosmo.com.my