Peguam Dedah Ibu Berhabis RM40K Anak Jadi Mangsa IC Disalahguna, Niat Cari Kerja Tapi Ke Penjara

Share

Peguam dedah ibu berhabis RM40k anak jadi mangsa kad pengenalan disalah guna buka syarikat, niat cari kerja berakhir ke penjara. Sindiket kerja palsu kini dikesan mengubah taktik dengan menjadikan anak-anak muda yang sedang mencari pekerjaan sebagai mangsa meraih kekayaan dengan kejam.

Mereka menawarkan pekerjaan kepada anak muda dan kemudian meminta kad pengenalan untuk  membuka bank bagi pembayaran gaji.

Ironinya, kad pengenalan ini disalah guna untuk membuka syarikat yang  terlibat dengan urus niaga haram. Namun bila pihak berkuasa polis membuat serbuan, anak muda ini terpaksa menanggung semua kesalahan termasuk ke penjara sementara scammer terlepas kerana tiada sebarang bukti.

Hal ini didedahkan seorang peguam, Nora Bahari di threadnya di mana dirinya bertemu beberapa mangsa di mahkamah ketika urusan kerja. Jelasnya, semakin ramai anak muda diperdaya oleh scammer dan ada antara kes mereka ini dituduh di bawah undang-undang berat termasuk Seksyen 424C Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).

Bismillah. It takes me some time to write this. Saya tahu mungkin suara saya tak mampu nak bantu mangsa-mangsa kat luar tapi saya harap kita dapat jaga sesama kita.

Kebelakangan ini, saya nampak ramai anak-anak muda dibawa ke Mahkamah dan dituduh di bawah pertuduhan keldai akaun/muled akaun.

“Kali ini modus operandi scammer telah berubah yang mana mereka menggunakan anak-anak muda yang mencari kerja dan dengan secara salah menggunakan nama anak-anak muda tersebut dengan mendaftarkan nama mereka di dalam syarikat tanpa pengetahuan.

“Kemudian mereka perdaya anak-anak muda ini untuk buka akaun bank kononnya untuk akaun gaji. Tapi sebenarnya diperdayakan buka akaun bank bagi syarikat. Tiba-tiba beritahu, akaun tak boleh guna, gaji bayar secara cash,” katanya yang berkhidmat di Tetuan Adnan Rahim & Co.

Berkongsi kebenaran menakutkan ini, jelas peguam yang berpengalaman 12 tahun dalam dunia guaman, kebanyakan mangsa adalah anak-anak muda yang naif, kurang pendidikan dan terdesak untuk mencari kerja.

“Maka sebab mereka ini mudah percaya dan naif maka mereka turutkan saja apa yang “tauke” tu buat. Tapi sebaliknya yang terjadi tanpa pengetahuan mereka, akaun bank yang mereka buka tadi yang kononnya untuk gaji dan tak aktif tu telah diguna pakai oleh scammer untuk tujuan scam pelaburan. Banyak transaksi wang yang masuk ke dalam akaun tanpa mereka tahu pun.  

Jelasnya lagi, dulu scammer menggunakan akaun individu tapi kini lebih terkehadapan menggunakan akaun syarikat.

“Ada antaranya muda lagi, sekitar 18 ke 25 tahun. Syarikat pun baru wujud beberapa bulan. Buat bisnes skim pelaburan. Ini sebahagian dari tanda-tanda red flag. Anak-anak muda ini tak tahu apa benda tentang syarikat pun. Tak dapat apa-apa manfaat tapi akhirnya ke penjara kerana dituduh sebagai scammer,” jelasnya memaklumkan, kes begini akan terus menular kerana untuk membuka syarikat hanya perlu mendaftarkannya secara dalam talian saja.

“Lebih mudah dan cepat tapi lebih banyak akan terpedaya. Sebabnya mereka ada nama penuh,kad pengenalan dan alamat semua. Semua maklumat ini adalah perangkap anak-anak muda. Jadi kena hati-hati.

“Ada anak muda yang ditangkap tak tahu aapa-apa tapi perlu road show satu Malaysia bila ada orang buat aduan atas akaun bank kita. Mereka terpinga-pinga bila disoal polis. Masih muda tapi disoal tentang scam pelaburan. Mereka tak tahu apa-apa,’katanya lagi.

Dalam pada itu, peguam ini turut berkongsi  kisah seorang ibu yang berhabisan  hampir RM40,000 demi menyelamatkan anaknya yang dituduh kerana syarikat palsu namun akhirnya terpaksa menerima hakikat tak mampu melawan scammer jahat begini.

“Ada lebih 30 laporan polis terhadap akaun tersebut di seluruh Malaysia. Kali ini si ibu tidak mampu lagi. Anaknya pasrah untuk di penjara walaupun dia tak pernah tahu langsung tentang syarikat yang kononnya dia miliki,” katanya.

Kes seperti ini makin meningkat dan menjadi mangsa adalah anak-anak muda melayu kita. Dituduh di bawah Seksyen 424C Kanun Keseksaan. Hukuman denda sahaja minimum 10k. Saya tengok setiap tertuduh, mereka ini tak tahu kenapa mereka harus di Mahkamah. Clueless. Paling kesian, bila mereka mengaku bersalah dan dihantar ke penjara.

“Saya harap anak-anak muda kita kena lebih berhati-hati. Dan kita juga jaga dan ambik tahu hal keluarga kita. Nak cari kerja, hati-hati. Jangan mudah percaya pada orang.

Dalam memberi kesedaran kepada orang ramai bahaya scammer yang memperdaya anak muda, seorang individu berkongsi pengalaman pernah menolak pembukaan syarikat melibatkan individu berusia 19 tahun kerana berasa was-was.

“Ya Allahh. Sy ni CoSec. Baru je saya declined klien nak daftar syarikat SDN BHD guna ic beberapa orang yang berumur 19-20 tahun. Bila minta nak jumpa, dia cakap tak perlu. Just nak  online saja. Takkanlah umur 19 dah jadi directorkan. I dah rasa lain & terus reject. Takut ic tu dicuri ke ape ke. Rupanya ada sindiket ye.

Apa pun, sebaiknya anak muda berhati-hati dengan tawaran kerja dan jangan terlalu terdesak.
Inilah realiti pahit. Anak muda kita yang naif jadi korban sistem. Mereka cuma mahu cari kerja tetapi berakhir di lokap, di mahkamah dan di penjara.

Semoga masyarakat lebih peka, ibu bapa lebih mengambil tahu, dan anak-anak muda lebih berhati-hati. Jangan sesekali serah dokumen peribadi sewenangnya. Ingat, tawaran kerja yang nampak indah boleh berakhir dengan gari di tangan.

Published by
Almaswa Haji Che Ros