
Seperti tidak pernah berlaku sesuatu yang buruk, haiwan liar yang dikatakan menjadi punca virus corona dijual seperti sebelum ini. Setelah statistik rasmi menunjukkan hampir tiada kes baharu di China.
Maka hari ini semua orang percaya bahawa wabak sudah berakhir dan tidak perlu risau lagi. Perkara ini mula menimbulkan tidak senang hati dan rasa bimbang di kalangan masyarakat dunia apabila pasar yang menjual haiwan eksotik kembali aktif dan kelawar dipromosikan secara besar-besaran.
Haiwan liar inilah yang menjadi titik-tolak kepada negara-negara lain terjerumus dengan pendemik ini. Malah terdapat negara terpaksa lockdown gara-gara Covid-19 yang berasal dari Wuhan, China ini.
Pasar Kembali Dibuka
BEIJING: Selepas tiga bulan penularan wabak Covid-19, pasar daging di sekitar dua bandar terkemuka di Guilin dan Dongguan, China kembali menjual kelawar dan kala jengking serta pelbagai haiwan eksotik yang digunakan dalam perubatan tradisional.
Daily Star melaporkan, penemuan mengejutkan itu mendapati haiwan liar dan eksotik berkenaan yang dikaitkan dengan punca tercetusnya wabak itu banyak dijual secara terbuka di bandar berkenaan.
Banyak tempat di republik itu, meraikan ‘kemenangan’ memerangi Covid-19 dengan membuka perniagaan buat pertama kalinya semalam selepas beberapa bulan ditutup.
Senario itu dilihat koresponden Daily Mail yang menggambarkannya sangat teruk dan mendatangkan masalah.
“Pasar ini kembali beroperasi sama macam mereka buat sebelum koronavirus,” lapor koresponden itu yang dihalang pengawal keselamatan bagi merakam gambar.

Sumber: Daily Mail
MW: Barangkali kemenangan negara China melawan COVID-19 membuatkan mereka alpa. Sebaiknya mereka mengambil langkah berjaga-jaga kerana menurut saintis haiwan-haiwan liar ini menjadi punca kepada penularan virus COVID-19. Walaupun sup kelawar sering digunakan dalam perubatan China, namun hentikanlah buat sementara waktu.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
11 Intipati Penting Belanjawan 2019, Golongan Wanita, Suri Rumah & Mak-Mak Kena Ambil Tahu!

Isi Kandungan
ToggleHari ini mencatat sejarah, buat pertama kalinya Kerajaan baharu Pakatan Harapan membentangkan belanjawan negara untuk tahun 2019.Pembentangan tersebut diumumkan oleh YB Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat petang tadi bertemakan Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera.
Memetik Teks Ucapan Belanjawan 2019, Kerajaan baharu Pakatan Harapan berusaha keras meningkatkan kesejahteraan ekonomi rakyat, memulihkan kekuatan fiskal dan melaksanakan pelbagai pembaharuan institusi bagi menambah baik ketelusan dan akauntabiliti yang penting kepada Malaysia untuk bangkit kembali sebagai ‘Harimau Asia’.Belanjawan 2019 akan memperuntukkan sejumlah RM314.5 bilion dalam perbelanjaan berbanding anggaran RM290.4 bilion peruntukan pada tahun 2018.
Ramai yang ternanti-nanti intipati belanjawan serta perubahan yang akan dibawa oleh kerajaan baru ini.Khususnya dalam menjaga kebajikan rakyat.Golongan wanita, suri rumah dan mak mak juga tidak terkecuali ingin mengetahui manfaat dan kepentingan yang bakal diperolehi.
Antara Intipati Penting Belanjawan 2019;
1. Bantuan Sara Hidup Diteruskan
Kerajaan akan meneruskan dan menambah baik Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah dengan menyalurkan peruntukan secara lebih bersasar.
- Isi rumah berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah akan menerima bantuan berjumlah RM1,000.
- Isi rumah berpendapatan bulanan dari RM2,001 hingga RM3,000 ke bawah akan menerima bantuan berjumlah RM750.
- Isi rumah berpendapatan bulanan dari RM3,001 hingga RM4,000 akan menerima bantuan berjumlah RM500.
Kerajaan juga akan memperkenalkan kadar tambahan BSH sebanyak RM120 untuk setiap anak berumur 18 tahun ke bawah terhad kepada empat orang, kecuali anak orang kurang upaya (OKU) yang tidak dihadkan umur mereka.
Dengan kata lain, bagi golongan isi rumah dengan pendapatan RM2,000 ke bawah dan mempunyai empat orang anak, bantuan yang akan diterima secara keseluruhan ialah RM1,480.
2.Subsidi Elektrik Isi Rumah Ditingkat RM40 Ke Bawah
Kerajaan akan meningkatkan kadar subsidi bil elektrik isi rumah daripada RM20 dan ke bawah kepada RM40 dan ke bawah.Namun penyaluran subsidi itu hanya dikhususkan kepada golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar dengan program e-Kasih.
Kerajaan mampu meningkatkan kadar subsidi kepada RM40 sebulan dan memanfaatkan 185,000 akaun. Peruntukan sebanyak RM80 juta disediakan.
3.Subsidi Petrol RON95 Kereta & Motosikal
Subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter diberikan kepada pihak yang memiliki sebuah kereta sahaja yang berkapasiti enjin 1,500cc dan ke bawah serta motosikal berkapasiti enjin 125cc dan ke bawah.
Subsidi itu terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta dan 40 liter bagi motosikal. Ia dijangka dilaksanakan bermula suku kedua tahun depan dengan peruntukan sebanyak RM2 bilion.Menurutnya lagi, mekanisme subsidi itu dijangka dapat memanfaatkan seramai empat juta pemilik kereta dan 2.6 juta pemilik motosikal.
Kerajaan akan mengapungkan semula harga petrol RON95 di pasaran berdasarkan Mekanisme Harga Automatik (APM).
4.(KWSP) i-SURI Untuk Suri Rumah
Untuk golongan suri rumah di bawah program eKasih, Kerajaan telah memperkenalkan sebuah skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-SURI.
Melalui skim ini, Kerajaan akan menyediakan geran padanan RM40 setiap bulan sebagai insentif kepada suami penyayang yang mencarum dengan kadar minimum RM5 sebulan kepada simpanan persaraan isteri.Sebanyak RM45 juta diperuntukkan untuk skim ini.
5.Cuti Tanpa Rekod 7 Hari Tunai Umrah
Kerajaan telah meluluskan kemudahan Cuti Tanpa Rekod kepada pegawai beragama Islam untuk menunaikan ibadah umrah sebanyak 7 hari sekali sepanjang tempoh perkhidmatan.
Bagi menghargai 201,600 penjawat awam yang bukan beragama Islam,Kerajaan bersetuju memanjangkan kemudahan cuti tanpa rekodyang sama bagi tujuan keagamaan.
6. Manfaat Tambahan Pegawai Lantikan Kontrak
Pegawai Lantikan Kontrak (contract of service) di dalam perkhidmatan awam, Kerajaan memperuntukkan RM10 juta setahun untuk memanjangkan kemudahan perubatan kepada ibu bapa pegawai lantikan kontrak.
Selain itu, kemudahan Cuti Kuarantin turut dipanjangkan kepada pegawai lantikan kontrak yang anaknya menghidap penyakit berjangkit bermula 12 November 2018.
7. Gaji Minimum RM1,100
Menyedari keperluan dan kepentingan untuk memastikan kadar gaji dapat menampung suasana kenaikan kos sara hidup, Kerajaan mencadangkan kenaikan gaji minimum kepada RM1,100 di seluruh Malaysia mulai 1 Januari 2019.

8.Dana Perlindungan Kesihatan Nasional B40
Kerajaan komited membantu isi rumah untuk memperkukuh kedudukan kewangan melalui perlindungan insuran dan takaful. Kerajaan melalui usahasama dengan syarikat insurans swasta, akan memperkenalkan Dana Perlindungan Kesihatan Nasional B40.
Skim yang akan bermula pada 1 Januari 2019 ini, akan menyediakan perlindungan percuma ke atas 4 penyakit kritikal utama sehingga RM8,000 dan maksimum 14 hari pendapatan gantian semasa rawatan hospital pada kadar RM50 sehari atau bersamaan RM700 setahun.
9. Teruskan saringan Mamogram, Vaksinasi HPV, Pap Smear
Meneruskan program saringan percuma pengesanan kanser payudara (mamogram), program vaksinasi HPV dan ujian saringan Pap Smear di hospital dan klinik Kerajaan dengan peruntukan sebanyak RM20 juta yang akan memanfaatkan seramai 70,000 wanita.
10.Premis Makanan Kawasan Larangan Merokok
Kementerian Kesihatan telah mensasarkan tahun 2045 ke arah Malaysia Bebas Asap Rokok. Oleh itu,Kementerian akan memperluaskan kawasan larangan merokok melibatkan semua restoran atau kedai makanan yang akan diwartakan mulai 1 Januari 2019.
11.Tambah 50 Taska Di Bangunan Kerajaan
Peruntukan RM10 juta disediakan untuk menambah 50 Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di bangunan Kerajaan ke arah meringankan bebanan kerja ibu yang bekerja. Kerajaan juga akan terus menggalakkan dan memberi insentif kepada sektor swasta ke arah memastikan peluang pekerjaan yang saksama bagi wanita.
Semoga belanjawan 2019 memberi manfaat buat semua golongan dari segala peringkat demi kemakmuran dan keharmonian negara.
Sumber:Bharian, Utusan,Iluminasi, Laman Rasmi Belanjawan 2019
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Kain OK Dengan Harga, Jahitan Kemas,” Anak Ramai Kena Bijak Membeli

“Kain OK Dengan Harga, Jahitan Kemas,” Anak Ramai Kena Bijak Membeli.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 kepada semua murid tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa bermula Januari 2023.
Bantuan tersebut pastinya cukup melegakan hati mak ayah, secara tidak langsung dapat meringankan beban dan membantu membuat persediaan untuk anak-anak kembali ke sekolah nanti. Terutamanya bagi yang mempunyai anak ramai.
Bagi mak ayah yang dalam perancangan untuk membeli barang-barang persekolahan anak dengan wang bantuan tersebut, boleh jadikan perkongsian daripada Puan Nawal Sabkhi ini sebagai panduan.Paling penting perlu lebih bijak membeli.
Punya la kami nak paham apa yang boleh dibeli dengan duit RM150 GOVERNMENT bagi. Jangan nak komplain banyak sebab kami sendiri pi beli brand JONY N JENY dekat HARI HARI. Siap ada balance lagi RM 17.60 tak termasuk beg sekolah.
Baju sehelai :RM 21.90*2 = 43.80
Seluar sehelai :RM 29.90*2 = 59.80
Kasut sepasang :RM16.90 = 16.90
Stoken 3 helai :RM11.90 = 11.90
TOTAL : RM 132.40
Kalau orang kata ‘wey.. takkan anak hang pakai brand ni. Ni kedai biasa ja kot.. Paling-paling mesti CANGGIH’ memang aku siku mata dia bagi tenggelam pehtu bijik mata turun kat rengkong.
Nanti kalau aku list brand beg, baju, kasut sekolah nanti kata hang anak sorang bole la..(semua dah ready dan kasut ada yang masih elok takyah la nak habaq brand kan).
So yang anak ramai kena bijak membeli. Bagi aku tak malu pun pakai brand JONY N JENY ni. Aku dah selidik, telek, usha dan kain dia OK dengan harga, jahitan kemas. Ada lg satu brand NO PROBLEM kain pun elok.Aku beli jugak sebab nak try cemana.
Nota buku laliku :
Saja nak habaq sikit kasut tu beli sebab nak ganti dengan kasut PJPK
Mesti Baca: Cermin Kereta Guru Besar Dipecah, Wang Bantuan Awal Sekolah RM109,000 Lesap!
Baca Lagi Di Sini:Senangnya Nila Baju Sekolah Guna Mesin Basuh,Tak Bercapuk Nampak Seakan Baru!
Artikel Menarik:Wanita Ini Kongsi Tip Mudah Cuci Baju Uniform Sekolah Anak Agar Sentiasa Putih, Tak Perlu Sental!

Mingguan Wanita:Semoga perkongsian ini bermanfaat. Buat mak ayah nak beli barang keperluan persekolahan anak boleh pertimbangkan. Lebih-lebih lagi yang ada anak ramai, kena bijak membeli setanding kualiti namun jimat. Zaman sekarang ni serba serbi kena lebih berjimat. Bukan semua kena tukar baru. Yang mana masih elok, boleh pakai tak perlu beli.
Sumber: Nawal Sabkhi
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ketika Diri Disahkan Anxiety, Anak Sulungnya Autisme, Ibu Pula Bipolar Disorder

Isi Kandungan
ToggleBeratnya ujian tuhan untuk wanita ini, Norlia Ismail. Bukan saja dirinya alami Anxiety Disorder (gangguan kebimbangan), malah anaknya pula didiagnos Mild Autisme. Lebih mengundang debar, ibunya pula disahkan Bipolar Disorder (gangguan bipolar / emosi berubah-ubah antara kemurungan dan mania).
Sejak itu, Norlia mula berkongsi kisah. Memberi kesedaran akan penyakit yang melibatkan mental melalui penulisan di ruangan facebooknya.
Hadamkan perkongsian ilmu yang sedikit sebanyak menjadi panduan untuk kita faham betapa tak mudahnya ujian sakit sebegini. Mohon kita bertoleransi.
Anak Sulung Didiagnos Mild Autisme
RAHSIA.
Assalamualaikum..
Izinkan saya menceritakan secebis dari keseluruhan perjalanan hidup saya.
Anak sulung saya, namanya Naim.
Kini berusia 6 tahun.
Anak saya ini, didiagnosis sebagai Mild Autisme pada 23 April 2019 yang lepas. Namun begitu, saya telah diberitahu tentang keadaan anak saya (Autisme) oleh Pakar Kanak-kanak semasa umurnya 4 tahun, iaitu pada 2 tahun lepas.
[Saya mohon tiada sesiapa yang bersikap ‘judgemental’ di sini.]
Saya ingin kongsikan keadaan anak saya yang memang bila difikirkan, ketara benar kelainannya sejak dia masih bayi lagi. Petanda awal memang nampak jelas seawal selepas saya berpantang melahirkannya.
Anak saya ketika bayi, sangat jarang menangis. Ramai yang kata anak saya pasti senang dijaga kerana tidak banyak merengek dan meragam waima ketika demam atau tidak menyusu lama sekalipun. Ketika sakit, dia lebih banyak diam dari menangis.
Anak Tak Teruja Lihat Permainan
Malahan, anak saya tidak menunjukkan minat terhadap mainan yang biasa dimain oleh budak lain. Andai diberi kereta, diterbalikkan. Dia sangat teruja melihat benda yang berpusing dan bergerak tidak henti-henti seperti kipas, lif dan papan tanda elektronik di kedai. Andai dilambakkan berbagai jenis mainan, dicampak-campak. ‘Keterujaannya’ melihat mainan tidak begitu terserlah..
Ketika bertambah usianya, satu yang saya sedar tentang anak saya ialah dia tidak mahu bercampur dengan kanak-kanak lain. Dia lebih memilih untuk mengasingkan diri. Andai ramai orang datang ke rumah, sekejap sahaja dia hilang. Rupanya dia lari masuk ke dalam bilik. Bukan sekali, tetapi setiap kali.
Mulanya saya fikir dia tidak biasa memandangkan saya yang menjaganya selama ini (anak saya tidak pernah dihantar ke rumah pengasuh), rupanya itu adalah salah satu petanda. Dia juga sangat sukar menumpukan perhatian, fokusnya tiada, hubungan mata apatah lagi. Naim juga tersangat jarang menoleh apabila dilaungkan namanya.
Pernah suatu ketika dahulu anak saya ini menghantukkan kepalanya ke dinding dan kelihatan ‘enjoy’ pula melakukannya.
Tanda-tanda Autisme Sebelum Umur Anak 4 Tahun
Sebenarnya ada banyak lagi tanda-tanda Autisme yang jelas kelihatan sebelum umurnya 4 tahun, tetapi saya ringkaskan di sini sahaja.
Antaranya:
1- Tidak menunjukkan minat kepada mainan.
2- Tidak tahu bermain olok-olok.
3- Ketawa berdekah-dekah tidak sesuai dengan keadaan.
4- Tidak bermain dengan rakan sebaya.
5- Tiada hubungan mata.
6- Suka memutar objek.
7- Menunjukkan keinginannya dengan tangan orang dewasa.
8- Perbuatan berulang contohnya mengibaskan tangan.
9- Tidak bercakap sehinggalah umurnya 3 tahun 9 bulan.
Usaha Ibu Bantu Anak Autisme Capai Kemajuan Diri
Walaupun begitu, anak saya telah menunjukkan beberapa kemajuan dalam beberapa tahun ini. Progresnya pantas!
Boleh juga saya simpulkan beberapa kemajuan Naim di sini iaitu:
1- Dari tidak boleh bercakap, sudah boleh bercakap dan Naim juga sudah boleh membaca semasa umurnya 4 tahun (tanpa paksaan).
2- Dari pakai pampers, sekarang sudah tidak pakai pampers (latihan selama hampir 4 minggu dengan berpuluh kali kencing merata dan berak di ruang tamu).
3- Dari lemah pegang pensel dan selalu menulis atas angin (tiada tekanan dan menulis seperti tiada tulisan pada kertas), sekarang Naim sudah boleh menulis dengan lebih baik dari sebelumnya.
4- Dari suka bersendiri, sekarang dia sudah boleh menyertai kumpulan.
5- Boleh menguruskan diri sendiri.
6- Sudah pandai mengayuh basikal. Yeay!
Dan ada beberapa lagi kemajuan lain.
Ramai dari kita yang hanya nampak hasilnya, tetapi tidak mengambil kira usaha yang telah dikerah.
“Alahai, anak kau kan Mild. Bukan susah sangat nak jaga, bukan susah sangat nak ajar. Dia kan cuma mild.”
Sejujurnya, saya sedikit marah bila mana mendengar kata-kata ini. Kerana apa? Kerana bagi saya, golongan yang mengecam ini diibaratkan seperti orang yang sedang melihat sekeping gambar, mereka hanya mampu melihat apa yang terpapar di kertas, tanpa mengetahui cerita di sebalik gambar.
Mild, Severe atau apa sahaja, persekitaran kita dalam menghadapi dugaan mungkin berbeza. Mungkin kalian menerima sokongan yang baik, yang lain pula sebaliknya. Mungkin anda berduit dan punya banyak masa, tidak di pihak yang lainnya.
Anxiety Disorder, Luaran Nampak Elok, Sakitnya Tak Terlihat
Saya, didiagnosis sebagai Anxiety Disorder with Mild Panic Attack.
Perasaan anak saya, kini dapat saya rasakan walau mungkin hanya sedikit. Pesakit Anxiety Disorder, luarannya nampak elok dan baik-baik sahaja tetapi sakitnya tidak terlihat. Perjuangannya dengan anxiety yang dialami, kadangkala tidak difahami dan dianggap remeh. Kadangkala dianggap cuma mainan perasaan, dianggap lemah iman, dianggap tidak pandai menguruskan tekanan, tidak pandai jaga diri, lemah, lembik dan paling menyedihkan, dianggapnya kami ini ‘tiada apa-apa’.
Kawan-kawan,
Senyuman di wajah, mampu menutupi beribu rasa. Mengaburi mata. Adakah senyuman ini benar menunjukkan kebahagiaan?
Akhirnya Keluarga Buka Rahsia, Ibu Alami Bipolar Disorder
Sebenarnya, ada satu lagi perkara yang tidak pernah saya beritahu kepada orang lain, hanya ahli keluarga, 2-3 orang rakan dan saudara rapat saya sahaja yang tahu.
Mak saya, didiagnosis sebagai Bipolar Disorder. Buat pengetahuan, kami tidak pernah menghebahkan kepada orang luar berkenaan penyakit mak saya. Selama ini, kami tadahkan telinga mendengar ‘cakap-cakap belakang orang’ bila mak saya sakit.

Sakit mak saya, bermusim-musim. Mak tidak boleh banyak berfikir. Sepanjang hidup saya, macam-macam mulut orang yang saya dengar dan dari situ saya mula tersedar yang kita ini tidak boleh berharap kepada manusia, tetapi perlu menyandarkan pengharapan kepada Allah kerana hati manusia ini berbolak-balik. Sekejap baik, sekejap bermuka-muka. Tetapi begitu jugalah saya, kerana saya juga manusia..
Sampailah satu hari saya katakan pada ayah saya (mak dan ayah saya tinggal bersama saya), “Ayah, tak apalah kita cakap mak ada Bipolar Disorder. Barulah orang lain faham kenapa mak jadi sekian sekian. Tak adalah orang lain nak pelik sangat bila tengok mak mula jadi lain.”
Kisah Sakit Ibu Yang Membukakan Pintu Hati
Hal berkenaan mak saya juga mula membuka hati saya untuk terbuka berkongsi cerita mengenai Autisme dan Anxiety Disorder.
Saya tahu tidak semua faham dan mahu memahami. Tetapi sekurang-kurangnya saya sudah menjalankan sedikit tanggungjawab saya, meningkatkan kesedaran orang awam berkenaan Autisme dan penyakit mental.
Semoga lebih ramai yang cakna.
Kawan-kawan,
Andai ada kelakuan dari anak saya yang mungkin disalahertikan, ini bukan silap saya, tetapi silap orang lain yang tidak mahu memahami apa itu Autisme. Saya sudah sebarkan kesedaran, walau mungkin hanya sedikit, tetapi sekurang-kurangnya saya sudah menjalankan sedikit tanggungjawab dengan memberi semampu penjelasan sebelumnya.
Akhir kata, saya mohon tiada mana-mana individu yang membandingkan anak saya, Naim dengan anak- anak tipikal kalian. Naim ini Autisme, tolong faham ya?
Mohon maaf juga andai ada kesilapan dari pihak saya.. Saya hanya berkongsi rasa, semoga perkongsian ini mampu menambahkan pahala buat diri saya yang banyak lompong kehidupannya.
Kawan-kawan,
Simpati. Empati.
Ramai yang hanya tahu menyebutnya, tetapi tidak tahu makna.
Ramai yang nampak, tetapi dengan sengaja menjadi buta.
MW : Sebenarnya ramai lagi di luar sana yang masih berahsia. Simpan sorang-sorang sakit emosi yang mereka alami. Jika anda kenal, bantulah mereka untuk mendapatkan rawatan segera.
Sumber/Foto : Norlia Ismail
Anxiety Disorder Fighter.
Proud Autism Mom.
Bipolar Disorder Caregiver.
Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI