Kredit foto; Berita Harian

Akur dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan, sekolah juga ditutup sejak penularan virus Covid-19. Tempoh yang lama bercuti di rumah membuatkan anak-anak mula rindukan sekolah. Jika sebelum ini, anak-anak agak liat mahu ke sekolah.

Kini mereka mula bertanya pada mak, ayah bila sekolah akan dibuka seperti biasa. Mungkin langkah cikgu Raja Haslina Raja Semail ini boleh dijadikan idea kepada mak-mak di luar sana bila anak-anak teringin sangat hendak ke sekolah.

Sarungkan sahaja pakaian seragam, kemudian ikuti jadual di rumah seperti betul-betul berada di sekolah. Barulah kurang rasa rindu itu, mak ayah bolehlah cuba idea ini jika anak-anak sudah bertanya bila sekolah akan buka.

Memahami Kehendak Anak-anak

Berpakaian seragam sekolah dan mengikuti jadual waktu pembelajaran seperti biasa ketika di rumah antara pendekatan yang diambil seorang guru di sini terhadap anaknya dalam memastikan mereka tidak ketinggalan walaupun sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Raja Haslina Raja Semail yang mengajar subjek Bahasa Inggeris dan Sains di Sekolah Kebangsaan St Mark dekat sini mahu anak-anaknya Haris Aiman Yeoh,16, Anis Salsabilla, 14, Aidil Amin ,13 dan Aira Sumayyah,10, menjadikan rumah mereka di Taman Saujana Permai, di sini sama seperti berada di sekolah.

Ini kerana, katanya, beliau memahami kehendak anak-anaknya yang mula rindukan sekolah berikutan lebih dua minggu tidak bersekolah.

IKLAN

Justeru tercetus idea untuk menjadikan rumah sama seperti anak-anak berada di sekolah dan menjalani pembelajaran seperti biasa apabila mereka mengikuti subjek yang ditetapkan dalam jadual kelas masing-masing.

“Keempat-empat anak saya selalu bertanya mengenai sekolah mereka dan sudah semestinya mereka rindukan suasana persekolahan maka saya suruh mereka memakai baju sekolah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Rutin Sama Seperti Ke Sekolah

Jelasnya, anak-anaknya akan memulakan kelas pada jam 8 pagi kemudian rehat untuk makan pada jam 10 pagi dan menghabiskan pembelajaran antara jam 12 tengah hari hingga 2 petang sama seperti mereka berada di sekolah.

Selepas itu, mereka akan membuat aktiviti lain seperti membantu saya memasak, membuat kuih, berkebun dan sebagainya.

IKLAN

“Ini adalah aktiviti kami untuk menghilangkan rasa bosan di rumah dan bersyukur sangat anak-anak gembira,” katanya yang turut dibantu suaminya, Muhammad Yusuf Yeoh Abdullah.

Raja Haslina berkata, selain menguruskan pembelajaran anak-anaknya, dia juga turut mengikuti perkembangan anak muridnya melalui aplikasi WhatsApp.

Saya tahu pada ketika ini tidak semua murid dapat dihubungi kerana ada yang tiada gajet dan jika ada sekali pun capaian internet tidak begitu baik namun saya tetap melihat serta memberi tugasan untuk disiapkan kepada murid yang mempunyai capaian internet yang baik.

IKLAN

“Ini antara cabaran yang dihadapi guru pada ketika ini tetapi demi melaksanakan amanah pada anak bangsa saya akan melakukan dengan apa jua cara,” katanya.

Hilangkan Rindu Pada Sekolah

Sementara itu, Haris Aiman berkata, berpakaian sekolah di rumah mengingatkannya kepada rakan-rakannya dan berharap wabak penyakit yang melanda negara dapat diatasi dengan secepat mungkin.

Saya gembira dengan idea ibu yang suruh kami berpakaian sekolah kerana terasa sudah lama sangat tidak memakainya yang ia menghilangkan sedikit rasa rindu,” katanya.

Sumber: Berita Harian

MW: Semoga PKP ini akan berakhir, begitu juga rantaian Covid-19. Selepas itu kehidupan kita akan kembali normal dan anak-anak dapat bersekolah sepeti biasa. Insyallah.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI