Mak-mak yang baru dua tiga anak pun dah rasa keletihan dan penat nak uruskan mereka. Inikan pula 6 orang anak yang masih kecil. Boleh bayang betapa letihnya nak mengurus dan membesarkan mereka.
Satu soalan yang selalu buatkan orang bertanya pada mak-mak anak ramai ini tentulah macam mana uruskan mereka. Sebab, rata-rata mak-mak yang anak ramai ni, anak mereka bukan saja bersusun, malah jadual harian pun kemas teratur.
Kalah mak yang ada anak dua tiga. Elok saja mereka handle tak ada pun anak-anak yang tercicir. Antara contoh yang baik inilah kehidupan ibu anak 6, Puan Haslinda MatIsa yang juga seorang IT Consultant dalam industri Oil & Gas. Sampaikan kawan-kawan pun nak tahu rahsianya.
Macam Mana You Manage Linda, I Dua Pun Tak Larat
“Berapa anak you Linda?”
“Enam kak, Alhamdulillah.”
“Macammana you manage Linda? I dua orang pun dah tak larat.”
Sama je kak. Saya pun tak larat masa anak dua dan tiga. Letihnya Tuhan sahaja yang tahu. Namun, bila dah bertambah jadi empat, lima dan lepas tu enam, jadi mudah pula.
Macammana boleh jadi mudah ya? Pengalaman mengajar kita. Ya, fasa membesarkan anak pertama dan kedua adalah paling mencabar. Pertama kali kena handle bangun malam, basuh berak kencing, muntah dan sebagainya.
Ads
Ibarat ujian dalam perkahwinan, boleh gagal andai tidak bijak mengawal keadaan. Nak mudah, ambil maid untuk membantu. Jadi tidaklah tertekan sangat bila balik kerja, anak-anak dah terurus. Tinggal nak main-main je dengan mak ayah.
Selepas Anak Kelima & Keenam Lahir, Jadi Makin Mudah
Saya dah merasa fasa ada maid, hantar ke pengasuh dan hantar anak ke taska seawal umur dua bulan. Alhamdulillah, saya dapat pengasuh yang sangat baik, dan taska juga bagus. Saya tak suka banyak songeh sebab saya tahu susah payah jaga anak kecil.
Ads
Selepas anak kelima dan enam lahir, saya mula rasa semakin ramai anak, semakin mudah rupanya. Terutama bila yang atas dah besar dan boleh bantu ibu didapur, buatkan susu adik, malah ibu ayah berpeluang dating berdua tanpa gangguan. Adik dah boleh ditinggalkan dengan kakak dan abang.
Awal-awal sahaja susah, kemana-mana kena angkut anak. Drama air tumpah kat restoran dah terlalu biasa dah. Bila jadi je, ayah atau ibu saling senyum. Kena lagi kita. Jadi bila kami nampak pasangan muda dengan anak-anak kecil di kedai makan, kami dah tak hairan.
Ads
Bawa Anak Kecil Makan Kedai, Drama Meja Makan Pun Berlaku
Kami faham sangat dah. Suami dan isteri tu mesti dah bosan makan kat rumah, sekali sekala nak merasa makan di luar. Maka diangkut anak-anak kecil sekali. Dan drama meja makan pun berlaku. Kami senyum seperti melihat flashback zaman kami dahulu.
Yang penting, suami isteri faham tugas masing-masing. Anak-anak adalah harta. Harta sepercintaan. Tanpa cinta, tak adalah mereka. Maka bila saat membesarkan mereka, hadirkan lah cinta yang sama.
Letih dan penat akan berlalu. Bila anak tidur, berehatlah.
Nak layan drama Korea pun boleh, sekali sekala nak juga ya. Bila mereka dah besar, kita pula rindu akan memori masa kecil mereka.
Dah, jangan keluh kesah andai anak-anak masih kecil dan meragam.
Fikirlah bagaimana mak kita jaga kita dulu. Entah-entah kita ni lagi teruk kot buat kat mak kita.
Baru-baru ini di sebuah akhbar mendedahkan punca remeh temeh dan ada yang tidak masuk akal berlakunya perceraian. Antaranya, isteri suka membasuh baju pada waktu malam, punggung isteri menggerutu, suami tidak suka isteri makan dalam kereta, lambat menyediakan makanan dan banyak lagi.
Kenapa institusi kekeluargaan hari ini terlalu longgar? Sehingga begitu senang untuk suami melafazkan cerai? Malah perceraian yang berlaku dalam masyarakat seolah-olah menjadi seperti perkara mainan sahaja.
Menurut Inspirator Psikologi Kejayaan, Puan Saleha Idris, “Kata kunci pada perhubungan rumah tangga adalah KENAL dan FAHAM. Apabila kita sudah kenal dan faham barulah kita dapat berkomunikasi dengan baik.
“Membina rumah tangga bukan mudah seperti disangka. Semua alasan yang diberikan untuk meruntuhkan rumah tangga adalah selalunya perkara yang tidak boleh diterima.
“Di dalam psikologi, itu hanya dipanggil sebagai proses adaptasi dan akomodasi. Adaptasi adalah proses penyesuaian pasangan dengan alam perkahwinan.
“Yang mana apa sahaja berlaku kita perlu mengubah cara fikir dan sudut pandang kita sebelum ini dipanggil akomodasi.”
Contohnya seorang isteri atau suami yang kahwin mereka sudah lama membina cara fikir iaitu atas faktor cara kita dibesarkan, sekolah, budaya dan sebagainya.
Jadi dalam perkahwinan kita perlu ada matlamat untuk memulihkan dan membina keseimbangan di dalam personaliti, gaya hidup, komunikasi dan sebagainya.
1. Selalunya penceraian yang tanpa alasan yang tidak konkrit hanyalah kerana emosi negatif yang melebihi logik. Atau ketidakcerdikan dalam melayari rumah tangga.
2. Kolam jiwa yang penuh kelodak keegoan. Masing-masing menuding jari pada pasangan, isteri tidak faham suami dan suami tidak faham isteri.
3. Mungkin bagi sesetengah pihak merasakan perkara ini melucukan tetapi inilah realiti. Ada kalanya mereka memberikan alasan yang tidak munasabah untuk bercerai, adakah kerana masyarakat kita pada hari ini terlalu memikirkan soal yang remeh temeh?
Soal remeh temeh ini adalah disebabkan gaya hidup kita bukan kepada ketuhanan tetapi lebih kepada materialistik.
4. Apabila seorang isteri melihat suaminya lebih rendah dari sudut pendidikan, kewangan, cara hidup dan sebagainya. Mereka mudah memperlekehkan suami dan tidak tahu untuk hormat.
Suami pula dengan keegoan dan kurang kesabaran akan menyebabkan mereka tidak ada kesatuan dan keserasian.
5. Mudahnya mereka ingat lafaz dan akad yang dihasilkan hanya sebagai mainan duniawi bukan sebagai membina hubungan terus kepada Tuhan hingga ukhrawi.
Perkahwinan tiada matlamat yang jelas hanya untuk membina impian penuh tipuan.
6. Setiap fasa perkahwinan ada ujian tersendiri. Jika tak kuat dan tiada ilmu nak harungi setiap fasa dalam perkahwinan : fasa awal, fasa pertengahan dan fasa akhir maka penceraian yang jadi.
7. Faktor diam sendiri dalam menyelesaikan masalah dan tiada perbincangan dengan yang pakar dan pengalaman membuatkan mereka terjerat dalam kasih yang dibina. Keputusannya CERAI.
Antara penyelesaian yang boleh diambil pertama, terus menerus memenuhi diri dengan ilmu. Hanya dengan ilmu dapat membantu kita. Kedua, ada diskusi dengan kaunselor atau yang lebih berpengalaman.
Apabila berjumpa dengan orang yang lebih pakar, nasihat mereka umpama mutiara yang berharga dapat mengubah sedikit sebanyak mindset kita yang tepu dan kurang ilmu.
Bagi pasangan yang sudah mempunyai anak, anak yang masih kecil itu menjadi mangsa akibat kebodohan keputusan yang dibuat oleh ibu dan ayah yang hanya pentingkan diri sendiri.
Mereka umpama kain putih suci dan murni. Kita yang mencorakkan kesedihan dan keburukan kepada mereka.
Dalam psikologi, keperluan pertama dalam membina personaliti dan watak diri yang baik adalah bermula saat mereka kecil. Apakah keperluan? Iaitu kasih sayang yang baik dari penjaga anak itu.
Semak kembali anak kita.
Adakah mereka dibina dalam ruang persekitaran kasih sayang atau permusuhan. Akan ada perbezaan personaliti keduanya.
I. Anak yang dibina dalam persekitaran kasih sayang dan positif membesar lebih gembira, sihat dan personaliti yang baik.
II. Anak yang dibina dalam persekitaran sebaliknya akan mudah sedih, sakit dan watak diri yang tidak baik.
Untuk pasangan yang muda pula, kewangan, dan psikologi diri juga akan terganggu. Mungkin mereka lebih berhati atau ada rasa kerisauan dalam membina rumah tangga yang seterusnya.
1. Jangan ingat bila seseorang itu berkahwin, ilmu rumah tangga hadir sendiri. Ia perlu dituntut dan diperoleh.
2. Semua pihak terus mengambil langkah untuk membina kerukunan rumah tangga, institusi kerajaan, swasta terus mengambil langkah supaya statistik penceraian tidak berleluasa.
Matlamat membina keluarga sakinah, mawaddah wa rahmah itu dituntut di dalam al-Quran dan juga agama lain. Lafaz penceraian adalah mudah dan yang dapat mengharungi rumah tangga adalah yang kuat jiwa mental dan emosi.
“Punca utama penceraian adalah kerana asas kehidupan yang tidak kuat iaitu pendidikan agama. Ramai yang cetek ilmu agama dan salah guna mengikut keperluan mereka dan bukannya supaya kita dapat kembali ke landasan yang betul.
Bila isteri buat silap dalam agama, wajib sang suami yang perbetulkan. Cari pendekatan supaya teguran diterima oleh isteri.
Bukan cari kesalahan isteri dan seterusnya hukum dengan penceraian. Lelaki kenalah jadi khalifah dalam rumah tangga bukannya jadi hakim yang menjatuhkan hukuman secara membuta tuli.
“Tak kurang juga dengan dugaan dekat luar terutamanya di tempat bekerja. Isteri zaman sekarang banyak berkerjaya, nak uruskan rumah tangga, anak-anak dan urusan keluarga yang lain.
Isteri bekerja untuk sama-sama bantu suami, tapi berapa ramai suami yang bila balik kerja sama-sama uruskan urusan rumah?
Kalau perkara asas ini seperti tanggungjawab dan sebagainya dikupas sejak sebelum nikah dan mereka dalaminya, Insya-Allah kes penceraian dapat dibendung dan dikurangkan,” Sharifah Othman
“Bila seseorang itu belum berkahwin,ia menganggap isu seperti ini remeh untuk dijadikan alasan bercerai.
“Walau bagaimana pun, situasi berbeza pada pasangan yang sudah berkahwin. Malah, dalam hubungan suami isteri, kadang-kadang ada perkara yang dianggap remeh oleh orang luar tetapi ia boleh menjadi masalah besar jika sudah hidup bersama.
“Oleh itu, kemungkinan alasan tersebut diguna pakai kerana sudah terlalu lama dipendam hingga mendatangkan kesan negatif dalam hubungan perkahwinan tersebut,” Nurul Shamira Rashikin
“Tak dinafikan memang wujud alasan-alasan bercerai yang tak munasabah seperti fizikal isteri yang tidak menepati cita rasa suami dan sebagainya.
Bagi saya itu mungkin disebabkan pengaruh media massa terutamanya televisyen. Isteri pun sama juga, sebab suami tak menepati ciri-ciri yang mereka mahukan maka itu dijadikan alasan untuk berpisah setelah berumah tangga.
Namun begitu, kadang-kadang itu hanya sekadar alasan untuk diberikan kepada orang ramai atau hakim ketika proses penceraian berlaku, mungkin ada alasan lain yang tidak dapat dikongsi.
Bukan itu sahaja, bagi saya keadaan ekonomi dan sara hidup yang tinggi pada masa kini juga menyumbang kepada punca penceraian yang tinggi dalam masyarakat hari ini.
Maka komunikasi itu amat penting dalam sesebuah perhubungan. Kalau ada yang tak kena jangan dipendam dan berbincanglah demi kesejahteraan rumah tangga yang dibina,” Mahadi Ibrahim
“Tujuan perkahwinan ialah menyusun pergaulan antara lelaki dan wanita supaya diredhai Allah SWT. Oleh yang demikian, setiap pasangan seharusnya saling melengkapi setiap kekurangan pasangan.
Bagi saya antara perkara yang perlu dititik beratkan dalam menjaga keharmonian rumah tangga ialah jangan melihat ke belakang.
Contohnya, asyik mengungkit alasan saat awal perkahwinan, berfikir secara logik kerana konflik boleh mengheret hal lain yang sebetulnya tidak terlibat, lihat kelebihan pasangan dan bukan sebaliknya.
Insya-Allah dengan berbuat demikian rumah tangga yang terbina akan lebih harmoni dan bahagia,” Mohd Azli
Penulis : Norhayati Suboh & Shahrina Azlin Abdullah
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Isu doula hangat diperkatakan kebelakangan ini. Terbaru, melibatkan kes kematian bayi yang dilahirkan dirumah disebabkan komplikasi.Perkara ini, mendapat perhatian meluas di media sosial termasuklah Mufti Wilayah Persekutuan sendiri. Mohon para mak-mak yang pernah berhasrat untuk mendapatkan khidmat doula dan bersalin ikut ‘pandai’ sendiri dirumah fikirlah sedalam-dalamnya. Proses bersalin bukan perkara main-main, ia melibatkan dua nyawa ibu dan anak.
Isu doula mula timbul beberapa tahun kebelakangan ini dan menjadi semakin hangat apabila dikejutkan dengan kematian seorang bayi yang dilahirkan di rumah, tanpa kehadiran bidan atau pakar perubatan bertauliah. Bayi berkenaan dikatakan meninggal dunia akibat komplikasi kerana bayi dan ibunya hanya berada di bawah pengawasan doula.
Walaupun kes ini masih dalam siasatan pihak berkuasa, kami merasa terpanggil untuk mengulas isu ini secara menyeluruh berdasarkan laporan-laporan yang diperoleh daripada sumber-sumber kedua-dua belah pihak. Kami namakan Bayan Linnas pada kali ini dengan tajuk Hukum Menggunakan Khidmat Doula.
Sebelum kami memberi jawapan dengan lebih terperinci, kami mulakan dahulu dengan definisi khidmat doula. Perkataan ‘doula’ itu sendiri berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud “hamba wanita”.
Kamus English Oxford menghuraikan doula sebagai “woman, typically without formal obstetric training, who is employed to provide guidance and support to a pregnant woman during labour.” (wanita, tipikalnya tanpa latihan perbidanan yang formal, yang mana diambil bekerja untuk menyediakan panduan dan sokongan kepada wanita mengandung semasa proses kelahiran)
Menurut penjelasan American Pregnancy Organization, doula adalah seorang pelatih profesional yang membantu memberikan sokongan dari segi emosi, pendidikan (contohnya, ilmu kehamilan, cara meneran, cara bernafas) dan fizikal (secara sentuhan seperti urutan)[1].
Sokongan ini diberikan kepada ibu yang hamil, akan bersalin, atau telah bersalin. Tugas utama doula adalah untuk membantu para ibu mempunyai pengalaman bersalin yang selamat, menenangkan dan diingati.
Menurut WebMD, secara asasnya, terdapat 3 jenis doula:
Doula Antepartum membantu memberi ilmu kehamilan dan mengajar cara-cara bersalin kepada ibu mengandung.
Doula Labor pula berada di sisi ibu ketika bersalin.
Manakala, Doula Postpartum akan berada di sisi ibu selepas bersalin dan membantu dalam hal penjagaan bayi dan penyusuan termasuk penjagaan ibu dan pengurusan kerja rumah.[2]
Kes kematian bayi yang melibatkan doula baru-baru ini di Malaysia membuka mata banyak pihak akan betapa seriusnya isu ini dalam kalangan masyarakat kita. Begitu juga ada kes kematian wanita yang bersalin akibat daripada khidmat doula yang tidak profesional.
Doula sebagaimana pengamalan di luar negara, menggalakkan kelahiran bayi di hospital dengan dibantu oleh doktor. Mereka tidak berperanan mengambil alih tugas bidan dan doktor terlatih.
Ini kerana, sekiranya berlaku apa-apa komplikasi seperti pendarahan selepas kelahiran, proses kelahiran yang memerlukan caesarean, janin stres di dalam kandungan, tersangkut dan bayi songsang, ia memerlukan kemahiran yang tinggi oleh pakar. Jika tidak, ia mungkin boleh membawa kepada kematian ibu atau bayi atau kedua-duanya.
Setelah meneliti dan menekuni isu ini, disamping mendapatkan maklumat dari pakar perubatan[3], kami berpandangan penggunaan khidmat doula adalah TIDAK BOLEH dilakukan TANPA pemerhatian doktor atau bidan yang terlatih.
Alasan tidak mahu melahirkan anak di hospital kerana isu aurat tidak timbul kini dengan adanya seluar bersalin mesra aurat, hospital-hospital tertentu yang menawarkan khidmat bersalin dengan menutup aurat, disamping perlu difahami bahawa nyawa adalah jauh lebih penting maslahatnya berbanding aurat dalam situasi tersebut.
Selain itu, meyakini bahawa melahirkan anak di rumah adalah mencontohi Maryam alahissalam adalah tidak benar kerana kejadian yang berlaku di zaman tersebut adalah kehendak Allah SWT untuk membuktikan kekuasaan-Nya. Adapun bagi manusia selainnya, tidak terlepas daripada aspek sabab-musabab-musabbib al-asbab (causality).
Apa yang diusahakan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia jelas menunjukkan kejayaan dalam pengurangan kadar kematian ibu bersalin dari tahun demi tahun, begitu juga kadar kematian bayi.
Bagi tahun 2017, 12.5 kematian bayi dalam setiap 1,000 kelahiran berbanding 12.9 pada tahun 2016 dan 13.69 pada tahun 2014. Dalam masa yang sama, amat penting supaya penjagaan sejak mengandung dilakukan di tempat-tempat yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, bukannya hanya melalui konsultasi doula semata-mata.
Suka untuk kami ingatkan kepada pengamal perubatan dan juga doula, sebuah hadis daripada Amru’ bin Syu’aib, daripada bapanya, daripada datuknya bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengubati dan tidak diketahui daripadanya (tidak mahir) ilmu perubatan, maka dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).”(Riwayat Abu Daud, no. 2633)
Maksudnya: “(Dia tidak mengetahui) Rawatan yang sahih, yang kebiasaannya boleh membawa kepada kesalahan. Maka dia tersilap dalam rawatannya dan menyebabkan terjadi sesuatu yang buruk (atau kecacatan/kematian) pada pesakit. (Lihat Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 6/2293)
Al-Muzhiri menjelaskan,
مَنْ شرع في علم الطب ولا يكون مشهورًا فيه، فإذا عالج مريضًا فهو ضامن
Maksudnya: Barangsiapa yang memasuki ilmu perubatan dan dia tidak menjadi masyhur dalamnya (tidak menguasainya), jika dia mengubat pesakit, dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).” (Lihat al-Mafatih Syarh al-Masabih, 4/217)
Ini juga satu bentuk peringatan daripada Rasulullah SAW untuk tidak bermudah-mudahan dalam ilmu perubatan sekiranya tidak ada pengetahuan yang cukup mendalam tentangnya kerana ia akan membawa risiko kepada pesakit sendiri.
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudharatkan diri sendiri dan orang lain.”
Riwayat Ibn Majah (2341) dan al-Daruqutni (4/228) serta selainnya dengan sanad yang bersambung, juga diriwayatkan oleh Imam Malik (2/746) dalam Muwattho’ secara mursal dari Amr bin Yahya dari bapanya dari Rasulullah SAW, beliau tidak menyebutkan Abu Sa’id. Namun ia memiliki jalan-jalan yang sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.) Hadis hasan.
Perkataan dharar (ضرر) dan dhirar (ضرار) sebahagian ulama berpendapat kedua lafaz ini dengan satu makna dan disebut dengan kedua-duanya sebagai ta’kid (penguat).
Ibn Habib berpendapat dharar (ضرر) di sisi ahli bahasa arab adalah isim (kata nama). Sebaliknya dhirar (ضرار) pula memberi maksud fi’il (kata kerja)
Al-Khusyani berpendapat: “Dharar (ضرر) ialah yang mendapat manfaat bagi kamu sedangkan jiran kamu pula mendapat mudarat. Sebaliknya perkataan dhirar (ضرار) di mana ia tidak memberi sebarang manfaat dan ke atas jiran kamu sedangkan kamu mendapat mudarat. Inilah wajah yang baik dari sudut maknanya.”
Imam Ibn Daqiq al-‘Id menyebut, bahawa al-Mahasini berkata: “Bahawa yang dimaksudkan dengan merugikan adalah melakukan sesuatu yang bermanfaat bagi dirinya, tetapi menyebabkan orang lain mendapatkan mudharat”.
Ini adalah pendapat yang benar. Sebahagian ulama berkata: “Yang dimaksud dengan ‘kamu membahayakan’ iaitu engkau merugikan orang yang tidak merugikan kamu. Sedangkan yang dimaksudkan “saling merugikan” iaitu engkau membalas orang yang merugikan kamu dengan hal yang tidak setara dan bukan untuk membela kebenaran.”
Berdasarkan hadis di atas, menyelamatkan nyawa dari sebarang mudharat dan yang membawa kepada mudharat adalah wajib. Ini bertepatan dengan prinsip penjagaan nyawa (hifz al-nafs) dalam maqasid syari’ah yang diletakkan oleh Imam al-Ghazali dalam bahagian dharuriyyat. Kita amat berharap agar setiap nyawa dapat diselamatkan dari tindakan yang boleh membawa kepada kematian disebabkan oleh doula yang tidak bertanggungjawab.
Dalam banyak hadis, Rasulullah SAW melarang segala perlakuan yang boleh membahayakan sesama Muslim. Sabda Nabi SAW:
Maksudnya: Sesungguhnya darah kalian dan harta kalian haram atas kalian
(Riwayat Muslim, no. 1218)
Melakukan sesuatu yang membahayakan atau mencalarkan kehormatan dan juga melibatkan harta atau jiwa umat Islam adalah tindakan kezaliman yang diharamkan oleh Allah SWT.
Justeru, marilah sama-sama kita menginsafi seperti dalam isu ini dengan merujuk kepada pakar-pakar perubatan yang telah diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia agar sebarang tindakan rawatan kesihatan sentiasa dalam keadaan yang selamat.
Akhukum fillah,
SS Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan 11 Februari 2018
Musim panas lit-lit kering berangin ini, mak ayah kenalah extra jaga-jaga. Sebabnya penyakit memang senang sangat nak singgah kat tubuh mak ayah mahupun anak-anak. Boleh jadi, tak semena-mena boleh batuk pakej selesema berjemaah sekali dengan anak-anak malah jiran.
“Kasihan tengok anak-anak kecil batuk berbunyi-bunyi. Siap kahak kuning, kuning hijau, selesema dan dedor-dedor badan anak nak demam.”
“Alhamdulillah.
“Syukur. Sejak kami sekeluarga makan ubat batuk ini settle batuk berkahak.” Kongsi Puan Rina (Hanya Rina) ibu anak dara empat ini.
Petua ubat batuk semula jadi yang beliau amalkan meminumnya bersama keluarga ini sangat simple dan jimat.
“Modal lebih kurang RM10. Nak lebih jimat, boleh bancuh dengan air. Boleh juga dihidangkan pada tetamu. Sedap. Sangat selamat. Boleh diambil tanpa khuatir terover dose. Yang penting berkesan.”
Madu – 1 botol (yang diternak kira ori juga) Lemon – 2 – 3 biji Cengkih – 9 butir (dalam bilangan ganjil)
Botol comel-comel (kasi anak bangga makan ubat)
Dituang madu secara berlapis-lapis dengan dua bahan lain, lemon dipotong ikut suka tanpa diperah dan tabur cengkih sehingga penuh bekas.
Perap campuran bahan tadi semalam untuk serasi berdansakan mereka, alami satu proses dipangil penapaian. Dan simpan dalam peti ais chill.
Dewasa : 2 sudu besar/ 3-4 kali sehari.
Kanak-kanak : 2 sudu kecil / 3 kali sehari atau ikut keperluan. Bagi beragama Islam, sebelum makan selawat 3x. Tak perlu minum air.
• Sama fungsi sebagai detoksifikasi
• Membakar lemak dalam tubuh
• Mencegah kolesterol
• Bagus untuk pencernaan perut.
•Awet Muda ( saya suka saya suka)
• Anti-bakteria
• Antiseptik
• Buang Angin
• Natural Pain killer (tahan sakit)