Ibu muda mungkin baru dengar nasi lemuni ini. Pokok lemuni sejenis pokok herba banyak dijumpai di kampung-kampung. Di pekan agak sukar mahu temuinya. Ada juga pencinta herba yang menanam untuk dijadikan campuran nasi ulam.
Rupa-rupanya daun lemuni ini amat bermanfaat untuk ibu selepas bersalin yang dah nak habis pantang. Ini perkongsian resepi berpantang daripada Puan Zahwani Mohd Nor. Katanya ini resepi turun temurun.
“Pernah tak dengar nasi daun lemuni. Kalau orang utagha ni besa sangat dah ni. Kak Wani orang Melaka. Tapi disebabkan campuran dari Perak (sebelah mak), biasa jugalah dengar nasi daun lemuni ni. Terutama sekali masa dalam pantang.”
” Kisahnya, di bahagian Melaka, susah sikit nak jumpa pokok daun lemuni. Tiga kali bersalin, akhirnya berjodoh juga. Dapat makan nasi daun lemuni sebab pokoknya baru dapat hidup. Syukur. Nak tau macam mana rupa pokok lemuni, tengok kat gambar bawah ni.”
Kredit foto : Harian Metro
Kenapa Nasi Daun Lemuni
Ada banyak sangat khasiat. Bagus untuk peredaran darah. Adat orang tua-tua yang menjaga orang berpantang ni, nasi lemuni ini dibuat apabila sudah cukup 42 dan 44 hari berpantang.
AWAS!
Ads
Nasi lemuni tak sesuai untuk mereka yang mudah pitam. “Masak untuk orang boleh. Baca dan Share resepi Kak Wani untuk orang lain pun boleh sangat.
“Ini resepi tok nenek turun temurun ni. Doakan susur galur Kak Wani semoga dicucuri rahmat Allah selalu. Okey.”
“Nasi ini bagus untuk membuang angin dalam badan dan menjadikan badan ibu rasa lebih ringan dan segar. Sila expect untuk berlaku angin ribut puss puss dalam badan anda. Kalau makan berjemaah bersama keluarga, lepas makan duduk dalam jarak jauh naaa.” .
Bahan-bahan Nasi Lemuni Untuk Ibu Tamat Pantang
Segenggam daun lemuni
Jintan manis
Jintan putih
Lada hitam
Halba
1 inci halia
3 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
3 cawan beras
Santan
Garam
Ads
Follow cara-caranya
1. Kisar halus bahan kecuali santan dan garam.
2. Basuh beras dan toskan
3. Masukkan bahan kisar ke dalam beras tadi
4. Campurkan santan dan sukat air secukupnya.
5. Masak seperti masak nasi lemak. Jangan lupa perasakan dengan garam ye.
Ads
Makan Nasi Lemuni Dengan Lauk Ikan Berempah
Nasi lemuni untuk ibu berpantang sesuai dimakan bersama lauk ikan berempah. Caranya seperti di bawah:-
Sediakan Bahan-bahan Lauk Ikan Berempah
Ikan seperti ikan merah
Jintan manis
Jintan putih
Lada hitam
Halia
Bawang merah
Bawang putih
Kunyit
Santan
Cara-caranya
1. Goreng ikan merah seperti biasa dan ketepikan
2. Semua bahan kecuali ikan dikisar halus.
3. Tumis bahan kisar hingga naik minyak
4. Tambahkan santan
5. Masukkan ikan goreng tadi.
6. Reneh sehingga kuah agak kering
Nasi daun lemuni dengan ikan rempah siap dihidang dan dimakan panas-panas untuk ibu menamatkan lauk pantangnya. Selamat mencuba!
Sumber / Foto : Facebook Zahwani Mohd Nor, Harian Metro
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ustaz Ebit Lew aktif memberi dakwah kepada anak-anak remaja di sekitar Kuala Lumpur. Tanpa mengira waktu, ustaz akan menghabiskan malam harinya berdakwah, minta anak-anak ini bersolat, jaga solat sebab itu sajalah cara nak bagi Allah sayang.
Tak sedikit pun persepsi kurang senang terdetik dari hatinya. Cuma kata-kata Allah sayang, solat itulah yang berkali-kali keluar dari bibir Ustaz Ebit Lew. Sesekali ambil peluang tonton live ustaz di facebooknya.
Hidayah itu bukan saja sampai pada hati anak-anak ini. Malah terkesan untuk anda yang menontonnya. Tapi jangan sesekali memberi persepsi, mengeji, mengecam mereka. Kerana tindakan sebegitu menjadikan anak-anak ini lebih mulia dari anda.
Betapa kasih dan sayang yang Ustaz Ebit Lew berikan memberi rasa kasih dan cinta dalam hati anak-anak ini. Cinta pada Yang Esa, sama seperti tanda ‘Allah itu satu’ yang mereka tunjukkan dalam gambar yang anda tatap di atas. Allahuakhbar!
Sebak dan menangis jumpa anak-anak remaja belasan tahun di kuala lumpur waktu tengah malam… Mereka semua baik-baik sangat. Dahagakan kebaikan. Disebalik setiap anak-anak ini ada kisah hidup mereka…kami belajar doa sama-sama. Rasa sayu jer hati ini. Serius rindu sangat. Rindu Nabi saw..
Seorang anak ini tanya, ustaz betul ke boleh solat kalau rambut warna? Kalau bertindik, kalau minum arak atau berjudi…
Jawab saya walau apapun jangan tinggal solat. Yang lain belum sempurna takper. Yang penting jaga solat. Bila jaga solat, Allah jaga kita. Rindulah ustaz nak solat. Dah lama teringin nak solat. Tinggal jer..
Takpe adik, Allah baik. Allah maha pengampun. Yang beri adik semua Islam ialah Allah. Allah tak pernah salah. Dalam Al-Quran kata kita sebaik-baik kejadian. Sempurna. Adik semua telah didoakan oleh Nabi saw.
Nanti ustaz nak ajak pergi belajar sambil Jalan Genting Highland dua tiga hari. Nak tak? Jom ustaz bila-bila nanti ajaklah..
Hensem dan cantik-cantik semuanya. Bila pusing KL ramai anak remaja. Kalau malam minggu mat rempat penuh seluruh highway seluruh malaysia. Takde jalan yang kosong. Mereka rindukan Allah sebenarnya. Mereka rindukan bahagia. Bila baca fatihah. Semua pandai baca fatihah. Baik semuanya..
Sayangilah. Doakanlah semua anak remaja kita. Saya menangis sebab mereka ini semua baik-baik. Kita tak tahu ujian hidup yang mereka rasai ketika kecil. Doakanlah dan sayangilah anak ini semua.
Setiap kali saya suap anak remaja ini makan. Mereka terus buka mulut. Mereka suka kena suap. Mereka dahagakan kebaikan. Keikhlasan. Hidup untuk Allah..
Teringat dulu ada orang sayang saya. Suapkan saya, sediakan tempat tidur tengah malam, ada orang bayar yuran saya belajar. Rindu semua yang dakwah saya. Rindu arwah ibu saya. Rindu bapa saya. Rindu cikgu-cikgu saya..saya semenjak 12 tahun belajar berdakwah ke pedalaman, remaja dan dimana sahaja.. Terima kaseh Allah.
Sedih salah saya kurang beri masa berdakwah…janganlah merendahkan sesiapa. Lepas ini paling kurang nampak terus doa hidayat. Kalau berani berilah salam, belanja makan, dan beri sedikit nasihat. Ambil berat hal mereka..
Ya Allah..saya sangat sayang anak remaja ini semua. Ya Allah sayangilah anak remaja ini semua. Jadikanlah mereka matahari hidayah..
Sumber/Foto : Facebook Ebit Lew
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Doa tidak pernah putus kala sujud di hadapan Allah SWT malahan bibirnya tidak pernah lekang mengharapkan keajaiban terjadi! Tiada ibu yang sanggup melihat anak sulung yang dulu cukup cergas namun kini berubah 100 peratus selepas kemalangan jalan raya.
Ini sekali gus mengubah situasi si anak yang kini dirinya terpaksa diurus sepenuhnya. Semoga bulan penuh keberkatan ini memberikan sinar buat Siti Hapsiah Ismail dan anaknya itu.
Tarikh 15 Februari 2017, ibu kepada tiga anak ini dikejutkan dengan berita anak sulungnya kemalangan ketika ke sekolah. Insiden bermula apabila motosikal Mohamad Syazwan, 17 tahun bergesel dengan sebuah lagi motosikal milik kawannya sebelum kedua-duanya jatuh tersembam. Kepalang malang, belum sempat bangun, sebuah lagi motosikal yang datang dari arah belakang telah melenyek ke bahagian mukanya. Biar memakai topi keledar (helmet separuh) namun lenyekan itu telah mengakibatkan tulang kepalanya berselisih dan rahangnya patah.
“Saya dihubungi kawan sekolahnya memaklumkan Along (panggilan untuk Syazwan) kemalangan pada pagi itu. Saya sangat terperanjat kerana Along baru saja keluar dari rumah untuk ke sekolahnya di Sekolah Menengah Vokasional Kulim, Jalan Junjong kira-kira 45 minit perjalanan dari rumah di Taman Mutiara ini. Awalnya saya sangkakan hanya kemalangan kecil tetapi sama sekali saya tidak menyangka, kemalangan itu telah mengubah masa depan Along.
“Pada hari dimasukkan ke hospital, muka Along mulai membengkak. Pada malam 16 Februari, dia dimasukkan ke wad pembedahan kerana bahagian tempurung kepalanya yang cedera itu sudah mula mengumpul cecair. Sebahagian tempurung kepalanya perlu dipotong untuk mengelakkan bahaya lebih besar jika cecair itu tidak disedut keluar dengan segera. Along juga perlukan pemantuan doktor dari semasa ke semasa bagi melihat perkembangan dirinya.
“Alhamdulillah… Sekarang sudah tiga bulan berlalu dan pemeriksaan doktor mendapati cecair itu tidak melebihi paras tempurung kepalanya. InsyaAllah pada pemeriksaan akan datang, besar kemungkinan tempurung kepalanya yang sekarang ini disimpan oleh pihak hospital dapat dipasang kembali. Doktor memberi tempoh sehingga setahun. Kata doktor tengkorak boleh mengecut akibat proses semula jadi dan andai itu berlaku, kepala Along besar kemungkinan akan melekuk seperti sekarang ini,” katanya yang sepakat dengan suami untuk memasang kembali tempurung di kepala anaknya.
Menurut Siti Hapsiah juga, akibat kemalangan dan kesan lenyekan tayar motor di kepala Along, mata anaknya tidak berhenti-henti berkedip biarpun sudah tiga bulan kemalangan itu berlaku.
“Sebab itulah saya meletakkan pita pelekat di kelopak mata Along bagi mengurangkan tekanan. Saya juga selalu bercakap-cakap dengannya biarpun tahu dia tidak mampu melakukan apa-apa buat masa ini,” katanya yang mengakui sebak setiap kali memandang wajah Syazwan yang mengambil jurusan elektrik di SM Vokasional.
Sebenarnya tragedi kemalangan ketika ke sekolah secara konvoi beramai-ramai dengan kawan sekolahnya tiga bulan lalu memberikan kesan yang bukan sedikit ke atas diri Mohamad Syazwan Hamidon. Selepas terjatuh akibat geselan di handle motosikalnya, kemudian kepala dilenyek oleh motosikal di belakang, keadaan Syazwan memang teruk.
Menurut ibunya, Syazwan yang terbaring kaku akibat kemalangan itu, disangkakan telah meninggal dunia oleh mereka yang berada di tempat kejadian namun sebaik dirinya dibawa masuk ke dalam ambulan dan mendapat bantuan cemasan, dia tersedar dan kembali bernafas, biarpun sebelum itu paramedik mengakui Syazwan seperti tidak bernafas ketika itu.
“Situasi anak teruk. Mukanya mulai membengkak di tempat kejadian lagi. Disebabkan nafasnya terhenti, oksigen tidak sampai ke bahagian otak sekaligus doktor mengesahkan Along sudah tidak memahami lagi situasi sekelilingnya kerana ketidakupayaan otaknya berfungsi dengan baik.
“Along bagaikan anak kecil yang perlu diuruskan 24 jam. Lehernya ditebuk bagi memudahkan dia bernafas dan di perutnya satu saluran dibuat untuk saluran susu yang akan diberikan kepadanya setiap tiga jam sekali. Sesekali kakinya akan menggeletar seolah-olah kekejangan. Saya akan menarik tapak kakinya dan memberikan urutan lembut bagi menghentikan kekejangan itu.
“Kata doktor, ia proses semulajadi bagi mereka yang terbaring lama dan saya perlu membuat latihan fisio bagi mengelak kakinya terus mengeras. Setiap hari, saya akan mengurut kakinya perlahan-lahan bagi mengelakkan sarafnya kejang jika tidak diurut,” katanya yang tidak putus berdoa agar anak itu kembali sihat dan sembuh biarpun doktor memberitahu tiada apa boleh dilakukan lagi.
“Biarpun harapan untuk Along sembuh sukar tetapi saya tidak putus harapan. Sesekali melihatkan gerakan tubuhnya hati saya sudah gembira. Tidak ada apa yang mustahil dengan izin Allah,” ujar ibu penyayang yang mempunyai tiga orang anak ini iaitu Syazwan, 17, Danial Aiman Hamidon, 15 dan Nelly Maisara, 9 tahun.
Tidak pernah terfikir, anak yang dahulunya cukup pandai mengambil hati, tidak melawan bila dimarahi dan tidak melenting biarpun ditegur, tetapi kini anak itu terbaring lesu, tanpa mampu melakukan apa-apa.
“Kita lihat tubuhnya sihat, tiada apa kekurangan tetapi kerana oksigen gagal membekal ke otaknya selama beberapa minit semasa kejadian kemalangan itu, membuatkan Along terlantar begini,” katanya dan memberitahu susu sentiasa akan dibekalkan ke tubuhnya bagi mengelakkan anaknya lapar.
“Susu Ensure ini suami beli pada harga RM74.90 untuk 800 gram. Hanya cukup untuk dua hari sahaja. Buat masa ini, kami belum mendapat apa-apa bantuan. Suami dahulu kerja kilang dan kami berniaga kecil-kecilan depan rumah. Dengan duit simpanan itulah digunakan untuk membeli susunya. Kami pernah ke pusat Zakat, tetapi pihak itu memberitahu bantuan hanya diberi sekali sahaja setahun. Alhamdulillah ada NGO yang sudi membantu dengan memberi dua tin susu sebulan.
“Tilam air yang Along tidur sekarang pun kami beli yang terpakai, dengan harga RM500. Katil dan penyedut ini diberi sementara oleh pihak hospital.
Ikutkan dengan segala keperluannya, memang tidak akan mencukupi untuk satu jangka masa panjang dan suami hanya membawa lori menjual air penapis. Dulu masa sihat, Alonglah yang bantu kami berniaga tetapi sekarang dirinya pun terpaksa diurus,” ujar Siti Hapsiah berkali-kali memberitahu, dia mengharapkan keajaiban dari Yang Maha Kuasa agar Syazwan sembuh kembali.
Bagi anda yang ingin menyalurkan sumbangan kewangan untuk meringankan bebanan keluarga ini, salurkan sumbangan itu ke akaun Bank Simpanan Nasional di akaun 02004-41-0000988-7 atas nama Siti Hapsiah Ismail. Semoga bantuan anda dapat balasan baik daripada Allah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bila lepas bersalin ramai yang cukup teruja nak ziarah bayi tanpa ambil kira bab pantang larang yang patut diikut. Haa… tak boleh main redah ya sebab bayi boleh terdedah dengan banyak risiko penyakit malah kadang si ibu masih perlukan rehat..
Sebenarnya tak salah nak bagi orang datang ziarah tetapi anda patut ambil tahu beberapa pantang larang jaga bayi baru lahir, jom semak..
Seeloknya pada minggu pertama kehidupan seorang bayi, pendedahan pada bakteria dan kuman boleh beri masalah serius. Ini kerana sistem imunisasi mereka masih belum berfungsi sepenuhnya. Mencium dan memegang bayi tanpa mencuci tangan boleh menyebabkan bayi terdedah kepada pelbagai penyakit kerana sistem imunisasi bayi masih belum dapat melindungi badan mereka daripada ancaman bakteria dan kuman.
Kalau takut orang terasa hati, anda sebagai ibu ayah boleh jelaskan dengan cara paling ‘manis’ pada pelawat supaya tidak mencium bayi anda pada minggu pertama kelahirannya. Jika pelawat tersebut dalam keadaan tidak sihat, nasihatkan mereka supaya pastikan diri mereka betul-betul sihat. Tak perlu rasa bersalah sebab kesihatan bayi lagi penting!
Jangan bawa atau dedahkan bayi anda di khalayak ramai kerana bayi yang masih belum mempunyai sistem imunisasi yang kuat boleh mendapat penyakit dengan mudah. Bersabarlah seketika sehingga bayi itu betul-betul bersedia untuk mengahadapi pelbagai lagi dugaan dan keadaan di dunia ni.
Ada sesetengah mak suka biasakan bayi tidur dalam keadaan sunyi, konon nak bagi anak lena dan senanglah ibu nak rehat. Tak perlulah sampai mengubah tak boleh pasang TV, sentiasa menutup pintu dan langsir kerana bimbang suasana menjadi bising untuk bayi tidur. Suasana yang sedikit bising tak beri masalah, biarkan bayi terbiasa dengan suasana itu supaya sampai satu masa bayi mudah tidur walau keadaan bising.
Kalau pun nak jimat, janganlah sampai bayi jadi mangsa. Sila tukar lampin lebih kerap sebab kulit bayi lagi sensitif. Jadi jangan biarkan bayi memakai lampin yang telah kotor terlalu lama. Ingat, bayi yang baru lahir lebih kerap membuang air berbanding bayi yang berusia 6 bulan dan ke atas. Terlalu nak jimat pun jangan sampai bayi jadi mangsa kena ruam gatal!
Mungkin anak suka ‘bergayut’ di badan dan ini kadang menyukarkan ibu nak buat makan atau nak buat kerja lain. Haaa… janganlah kejam sangat, baru seminggu bayi lahir, anda dah beri dia puting! sudah beri puting? Kasihan pada bayi, waktu ini gusi dia lembut lagi. Bayi dilahirkan memang dengan sifat semulajadi untuk menghisap susu badan ibu kerana mengandungi zat yang terbaik yang bayi perlukan. Memberi puting pada peringkat awal boleh menggangu jadual pemakanan bayi. Kalau rajin beri susu badan, bayi akan rasa selesa dengan ibunya dan akan menghasilkan satu ikatan kasih sayang antara ibu dan anak. Itu bonus, bukan?
Haaa… jangan menganggap demam itu perkara kecil sebab demam yang terlalu tinggi boleh membahayakan bayi kena sawan. Paling penting, jangan sesekali pakaikan selimut, ini akan menyebabkan suhu badan naik. Sila bawa anak terus ke klinik berdekatan untuk rawatan.
Bukan main syok kalau dapat anak perempuan, ibu mulalah nak gayakan bayi ikut hati sendiri. Ya, zaman sekarang ni kalau klik online… macam-macam jenis headband akan keluar. Manalah ibu tak tergoda! Ada ibu yang terlalu teruja mahu memakaikan baju cantik pada bayi. Boleh, tapi jangan sampai ‘meranakan’ bayi sendiri. Kadang dipakaikan headband yang ketat, baju renda-renda sampai bayi rimas! Tak perlulah over excited nak gayakan bayi, pilih pakaian yang selesa dan paling penting baju yang tak terlalu panas. Anak tu kecil lagi, esok-esok dah besar bolehlah pakaikan baju yang sesuai.
Walau macam mana lapar pun anak, tolonglah jangan bagi bayi makan terlalu awal. Nampak lapar pun, jangan pandai-pandai ya! Nak beri makan pada bayi, disarankan doktor bermula pada umur 6 bulan dan ke atas. Makanan yang dibenarkan pula hanya bubur atau nestum sahaja. Jangan memandai lenyek nasi pula, kalau tetiba kena sembelit kasihan anak yang masih tak tahu apa-apa.
Perkara ini cukup penting untuk memastikan yang bayi sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat. Sibuk macam mana pun, janganlah sampai skip temu janji dengan doktor. Kalau was-was bab penjagaan anak, ibu boleh kongsi dan terus tanya nurse atau doktor. Ini penting demi kesihatan bayi anda.
Masih ramai yang pandang remeh soal upload gambar di media sosial, mungkin nak kongsikan perasaan gembira tetapi anda patut tahu bayi yang baru lahir dan berumur di bawah 40 hari mengalami dua jenis gangguan iaitu gangguan fizikal dan juga gangguan rohani. Kita perlu mengambil berat mengenai gangguan rohani yang terdiri daripada Ain (sihir tanpa jin) dan Ummu Sibyan (sejenis jin yang membawa penyakit).
Kalau kita upload atau share gambar bayi yang baru lahir ni (bawah 40hari) di laman sosial, dikhuatiri bayi ini akan terkesan dengan Al-Ain iaitu sihir tanpa jin atau mata jahat yang memerhati.
Tak pelik, ada sesetengah ibu ayag excited sangat nak ambil gambar bayi sampai lupa nak buat benda paling penting ini. Tolong ya, ini adalah adab dalam menyambut bayi baru lahir dalam Islam. Rahsia azan dan iqamah pada bayi yang baru lahir ini ialah syaitan akan lari daripada kalimah azan itu, walaupun sebelum itu dia ternanti-nantikan saat kelahiran bayi tersebut. Azan dan iqamat ini merupakan seruan yang mulia kepada bayi yang beru lahir yang mengandungi kebesaran Allah dan kata-kata dua kalimah syahadah. Perkara ini diibaratkan sebagai mentalkin pada si bayi yang baru lahir mengenai kebesaran yang maha Esa dan kebesaran syiar Islam yang bakal di pikul oleh bayi berkenaan. Kesan azan dan iqamat ini akan sampai terus ke lubuk hatinya dan akan kesan ini akal kekal di dalam jiwa bayi tersebut. In Shaa Allah.
Hanya itu yang anda patut tahu bila anda bertukar status jadi ibu dan ayah, masih belum terlambat untuk anda amalkan semoga bermanfaat buat anda semua!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ibu bapa anak kanak-kanak yang tertinggal di dalam kereta semalam dilihat sukar mengawal perasaan dan hanya menangis ketika menunggu jenazah anak di Unit Forensik Hospital Rembau.