Ikutkan mulut memang sedap mengata itu dan ini lagi-lagi kesalahan orang lain. Cuba bayangkan suatu hati dengan kuasa Allah apa yang berlaku itu terjadi pada kita, barulah hilang kata-kata.
Oleh sebab itu bila nampak salah orang jangan mengata sebaliknya berdoa, hidup umpama roda nanti akan berpusing pada kita. Beringatlah sebelum menuding dan menghina kesalahan orang itu dan ini.
Ikuti perkongsian Ustaz Firdaus Mokhtar ini dan hadam betul-betul:
Nampak Salah Orang Jangan Mengata
Kalau nampak satu kesalahan di depan mata, ingatlah kita, anak-anak dan cucu cicit kita boleh jadi terlibat kesalahan yang sama.
Jika nampak satu kesusahan di depan mata, ingatlah kita pun boleh berada dalam keadaan itu nanti.
Kalau nampak satu kesenangan di depan mata yang bukan kita punya, ingatlah nanti Tuhan boleh beri yang sama buat kita.
Setiap yang kita nampak, semuanya boleh berlaku pada kita juga. Hidupkan macam roda. Kadang yang berlaku pada orang lain, berpusing dan berlaku pada kita pula.
Maka,
1. Elakkan mengata atau menghina mereka yang bersalah tetapi doakan. Doakan juga kita dan keluarga tidak terlibat dosa yang sama akan datang. Ketenangan akan hadir dalam doa kita.
2. Bantulah sekali pun kita dalam keadaan tak cukup. Bahagia itu datang setiap kali kita membantu orang lain.
Ads
3. Bersyukurlah dengan apa yang kita ada. Kerana apa yang ada inilah yang sangat sesuai untuk kita buat masa ini. Berbahagialah.
Begitulah hidup ini. Kena sentiasa bersederhana. Selamat pagi kawan-kawan semua.
MW: Lumrah manusia mengata tanpa sedar, jadi sebaiknya setiap kali tersedar daripada kesilapan cepat-cepat bertaubat dan memohon ampun. Hiduplah dengan cara bersederhana, bersyukur dengan setiap kurniaan-Nya. Insyallah bahagia dunia dan akhirat.
Menurut Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh, hubungan yang baik dan erat antara ibubapa dan anak amatlah penting untuk menyempurnakan proses ‘taujih’ (pendidikan), ‘tasbit’ (pengukuhan) dan ‘himayah’ (perlindungan).
“Menurut Imam Al-Ghazali, setiap bentuk pendidikan perlulah melalui 3 fasa utama tersebut. Proses tersebut amat penting supaya ibubapa tidak melepaskan tanggungjawab sebagai pendidik, penguat dan pelindung anak-anak.
“Hari ini, ramai ibu bapa yang menuntut hak untuk menghukum anak-anak, termasuk merotan dengan alasan untuk mendidik.
‘’Namun tidak ramai yang bermuhasabah sama ada mereka telah menyempurnakan hak anak-anak, iaitu hak untuk dibimbing, diberi pengukuhan dan tempoh masa yang sesuai untuk menjadi anak yang soleh dan solehah sebelum dihukum jika mereka melakukan kesilapan.
“Sebab itulah, jika anak-anak kita mempunyai agama yang hidup, kita tidak perlu bimbang dengan apa jua cabaran dalam dunia hari ini kerana mereka akan dilindungi oleh disiplin agamanya,” katanya.
Beliau juga menyatakan dari sudut pandang agama, proses pendidikan anak-anak sebenarnya bermula seawal dari mereka berada dalam kandungan ibu.
“Ibu yang hamil mestilah selalu membaca Al-Quran, melakukan ibadah yang fardhu, selalu berdoa dan makan dari rezeki yang halal. Apabila lahir, anak tersebut perlu diperteguhkan akidah (iman) melalui pelbagai teladan dari ibubapa. Setelah mumayyiz, anak perlulah mula diberi pendidikan jasmani dan rohani yang seimbang,” sambungnya.
Sebagai ibu bapa bagaimana Dr. Nik Salida juga menerangkan penting untuk menyuntik elemen keimanan dalam diri anak-anak sejak dari mereka kecil.
“Untuk menyuntik elemen keimanan dalam diri anak-anak sejak mereka kecil, ibubapa perlulah terlebih dahulu menunjukkan teladan dan qudwah yang baik. Ibubapa perlu saling berkasih sayang dan menghormati antara satu sama lain.
“Ibubapa perlu menjadikan Al-Quran sebagai asas pembinaan rumahtangga dan tarbiyah. Selain itu, mereka perlu mempunyai ilmu agama asas yang lengkap, iaitu tentang akidah, ibadah, munakahat, jinayat dan tasawuf.
“Setelah mempunyai ‘bekalan’ tersebut, ibubapa bolehlah memulakan langkah yang seterusnya. Kata Ibnu Qayyim, yang seharusnya dilakukan oleh seorang Muslim untuk menyembuhkan hatinya ialah melalui Al-Quran. Cara yang sama sepatutnya dilakukan untuk mendidik iman manusia. Caranya ialah dengan mengalihkan hati dari dunia kepada akhirat.
“Kedua, menghadapkan semua hati kepada pengertian-pengertian Al-Qur’an, memikirkan dan memahami apa yang dimaksudkan dan mengapa ia diturunkan serta mengamati semua ayat-ayat-Nya. Al-Quran dan Sunnah banyak sekali mengungkapkan tentang keagungan Allah SWT. Seseorang Muslim jika dihadapkan dengan keagungan Allah, hati mereka akan bergetar dan jiwanya akan tunduk.
“Ketiga, membekalkan sebanyak mungkin ilmu kepada anak-anak. Allah berfirman dalam surah Al-Fathir ayat 28 yang bermaksud: ‘Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya ialah orang-orang yang berilmu’.
“Keempat, membiasakan anak-anak memperbanyakkan ibadah, termasuk ibadah sunat. Ibadah fizikal seperti puasa, ibadah harta seperti zakat, ibadah lisan seperti doa dan zikir dan ibadah yang yang menggabungkan semuanya seperti haji sangat bermanfaat untuk menyembuhkan iman yang lemah.
“Banyak melakukan ibadah bukan hanya menambah keimanan tetapi juga menyediakan banyak pintu untuk ke syurga.” terangnya.
Setiap orang menginginkan hidup bahagia bersama pasangan masing-masing. Meraih kebahagiaan menjadi impian setiap pasangan. Kebahagiaan itu tidak akan datang bergolek tanpa usaha.
Pilihan di tangan anda sendiri sama ada untuk merasa bahagia atau sebaliknya. Peguam Syarie, Amirul Akmal ini berkongsi tip yang boleh dijadikan panduan buat anda dan pasangan untuk hidup bahagia.
Suami Isteri Ciptalah Bahagia Elak Bercerai
Kongsi Amirul Akmal;
“Sedih apabila melihat statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysiaini yang menunjukkan jumlah penceraian agak tinggi dan membimbangkan. Tidak dinafikan setiap pertemuan pasti ada perpisahan,
“Itulah lumrah dalam sesebuah pertemuan kita dengan seseorang. Namun begitu, tiada siapa yang menyangka bahawa mereka akan bercerai dan berpisah dengan pasangan sama ada penceraian hidup atau penceraian mati.
“Realiti harini ramai pasangan yang tidak dapat mempertahankan rumahtangga mereka dek kerana kekurangan ilmu pengurusan rumahtangga mahupun kerana faktor lain.
“Terdapat beberapa kajian yang telah dilakukan oleh para sarjana untuk mengenal pasti faktor yang menyebabkan berlakunya penceraian di kalangan pasangan.
“Para sarjana telah mengariskan beberapa faktor yang perlu senantiasa di tambah baik dari semasa ke semasa bagi mengutuhkan sesebuah hubungan rumah tangga.
Konflik Rumah Tangga Sentiasa Wujud
“Tidak dinafikan sedangkan kita sendiri akan tergigit lidah dan terluka sekali sekala. Bahkan kita pula sesama insan yang melayari bahtera rumah tangga konflik dan permasalahan ini senantiasa akan muncul sepanjang pelayaran bahtera perkahwinan kita.
“Para sarjana telah meletakkan faktor-faktor asas ini sebagai faktor yang penting dalam untuk mengekalkan sesuatu perkahwinan iaitu komunikasi, toleransi dan kesabaran.
“Komunikasi dalam perkahwinan merujuk kepada interaksi yang sihat di dalam perhubungan suami isteri dan ianya merupakan suatu faktor yang penting dalam membina keharmonian di dalam rumahtangga serta dapat meningkatkan kesejahteraan hidup sesuatu pasangan. Komunikasi ini dipanggil sebagai sebagai komunikasi yang positif.
7 Elemen Kukuhkan Perkahwinan
“Menurut Gottman dan Silver sarjana barat yang telah membuat kajian mengenai komunikasi yang positif ini, mereka telah menjelaskan secara terperinci bahawa suatu komunikasi yang positif itu perlu mempunyai elemen-elemen ini bagi memperkukuhkan perkahwinan iaitu:
1) Meningkatkan peta cinta. 2) Menanamkan rasa kasih dan cinta kepada pasangan. 3) Saling bergantungan di antara satu sama lain. 4) Membenarkan pasangan mempengaruhi diri. 5) Menyelesaikan masalah yang boleh diselesaikan. 6) Mengatasi segala kesukaran yang dihadapi. 7) Membina satu makna dalam perkahwinan yang dapat dikongsi bersama pasangan suami dan isteri.
“Oleh yang demikian, elemen komunikasi yang positif ini merupakan satu elemen yang kritikal dalam mewujudkan perkahwinan yang sihat.
“Komunikasi yang positif juga penting kerana ia juga memberikan impak yang positif terhadap tumbesaran anak-anak dalam sesebuah keluarga.
“Disebabkan itu, kemahiran komunikasi di dalam sesuatu perhubungan jangka panjang itu teramat penting kerana ia menjamin kestabilan sesuatu perhubungan itu.
“Elemen toleransi dan sabar dalam sesuatu perhubungan itu antara salah satu faktor yang penting bagi menjamin kestabilan perkahwinan.
“Jika semasa kita bujang mungkin gaya hidup kita lebih bebas dan kita boleh membuat apa sahaja tanpa ada halangan.
“Akan tetapi, keadaan berubah apabila kita sudah berkahwin keadaan sudah berubah 360 darjah apabila kita perlu bertoleransi dalam hampir kesemua aspek kehidupan apabila kita telah berkahwin.
“Tanpa elemen toleransi yang berpanjangan ini sudah pasti konflik akan tercetus. Oleh yang demikian, para sarjana yang telah mengkaji elemen ini telah menyatakan bahawa di dalam toleransi boleh dipecahkan kepada elemen-elemen berikut bagi mewujudkan sebuah perkahwinan yang penuh dengan mawaddah rahmah dan kasih sayang.
“Antara elemen bertoleransi ialah bertoleransi dalam pembahagian kerja rumah, kebanyakan pasangan tidak sedar aspek ini dan hanya melepaskan semua tanggungjawab kepada isteri bagi membuat kerja rumah, menurut kajian pembahagian kerja rumah sama rata dapat mengeratkan dan membahagiakan para pasangan.
“Kerana sama-sama penat dan sama-sama saling bantu membantu akan mewujudkan keharmonian rumahtangga. Selain itu, pasangan juga perlu sentiasa berbincang bagi mewujudkan persefahaman dan tolak ansur dan dengan cara ini kita dapat lebih mengenali pasangan kita sedalamnya.
“Ini adalah kerana kita sama-sama pasangan perlu menyesuaikan diri dengan cara hidup pasangan masing-masing dan mengelakkan melakukan sesuatu yang tidak disukai pasangan kita supaya tidak berlaku konflik.
“Disamping itu, bertoleransi dalam pengurusan kewangan juga merupakan salah satu elemen penting dimana pasangan saling bantu membantu meringankan beban kewangan pasangan mereka bagi menanggung perbelanjaan rumah tangga. Pengurusan kewangan yang baik akan melancarkan serta mengukuhkan kesejahteraan rumah tangga.
“Selain itu, kita juga memahami peranan masing-masing serta dapat menerima segala kekurangan pasangan. Manusia itu penuh dengan kekurangan tetapi bagaimana kita ingin menukarkan kekurangan kepada kelebihan itu merupakan peranan kita dalam kehidupan perkahwinan.
“Akhir sekali pasakkan keimanan terhadap pemilik hati kita serta menjadi orang yang senantiasa sabar dan pemaaf kerna dengan cara itu, kita dapat mengekalkan dan mengutuhkan sesuatu perhubungan jangka panjang,” kongsi Amirul Akmal dan peguam ini juga berharap semoga perkongsiannya ini akan dapat memberikan manfaat kepada sidang pembaca.
“Nak kahwin punyalah susah, nak kena bukti itu ini, tiba-tiba nak bercerai dimudahkan sahaja tak susah macam nak kahwin,” begitulah persepsi masyarakat terhadap institusi agama pada hari ini.
Peguam Syarie, Amirul Akmal menjelaskan mengenai isu ini dan menurutnya lagi mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Jabatan Agama Islam Negeri telah melakukan satu program rintis iaitu Kursus Pasca Perkahwinan Islam ‘Sehati Sejiwa’.
“Program ini dilaksanakan sebagai benteng kepada berlakunya kes-kes penceraian. Program ini dipecahkan kepada empat jenis modul khas yang disasarkan kepada pasangan yang tempoh perkahwinannya yang bermula kurang dari lima tahun sehingga perkahwinan yang telah mnecapai usia 21 tahun keatas.
“Fokus program ini adalah untuk memulihkan perhubungan pasangan yang menghadapi konflik dan ia bertujuan untuk mengeratkan semula pasangan yang menuju ke arah penceraian.
“Fasa pertama bagi perkahwinan 5 tahun ke bawah dipanggil sebagai Fasa Bulan Madu, fasa kedua bagi perkahwinan yang berusia 6 tahun sehingga 10 tahun di namakan Fasa Sehati Sejiwa, fasa ketiga pula bagi perkahwinan yang berusia 11 tahun hingga 20 tahun dan fasa terakhir iaitu fasa keempat pula bagi perkahwinan yang berusia 21 tahun dan lebih yang dinamakan sebagai Fasa Syurga Cinta.
“Masyarakat hari ini tidak mengetahui siapakah sebenarnya yang patut mereka rujuk apabila mereka mempunyai permasalahan. Dek kerana tersilap membuat rujukan tentang permasalahan rumah tangga, hubungan yang mampu diselamatkan telah hancur dan pasangan bercerai berai.
“Sekiranya anda mempunyai permasalahan rumah tangga, rujuklah kepada ahlinya yang mampu membantu anda sedikit sebanyak bagi memulihkan hubungan rumah tangga anda.
“Silapnya masyarakat hari ini apabila mempunyai permasalahan rumah tangga terus ditanyakan kepada “Mahkamah Netizen” iaitu media sosial bukan bertanya kepada ahlinya iaitu Pejabat Agama Islam, Kaunselor Keluarga mahupun Peguam Syarie.
“Disebabkan sikap mengadu domba mengenai perihal rumah tangga di “Mahkamah Netizen” berbanding bertanyakan kepada ahlinya maka perhubungan tersebut terus musnah oleh kerana Hakim Mahkamah Netizen sebenarnya bukanlah orang yang berkelayakan untuk memberi kaunseling mahupun pendapat bagi membantu anda menyelesaikan permasalahan rumah tangga anda.
“Apabila ada masalah rumah tangga elakkan bercerita kepada ahli keluarga, ibu ayah mahupun kawan-kawan sebaliknya terus jumpa dan rujuk kepada ahlinya.
“Amatlah tidak wajar untuk menyatakan bahawa Mahkamah Syariah mahupun Pejabat Agama Islam ini amat mengalakkan penceraian dan memudahkan penceraian.
“Sebaliknya banyak program dan modul pasca perkahwinan yang digubal dan dibentuk sebagai benteng untuk membendung berlakunya penceraian.
“Biarlah kita tidak berilmu akan tetapi jangan sampai kita memfitnah institusi Islam yang banyak berusaha untuk membantu masyarakat dengan pelbagai program. Tambahan pula ramai pasangan yang telah tidak jadi bercerai kerana mengikuti kursus inu.
“Untuk pengetahuan semua program pasca perkahwinan ini bukan sahaja untuk orang Islam akan tetapi ia juga di buka untuk kalangan orang bukan Islam yang mempunyai permasalahan rumah tangga.
“Oleh yang demikian, pesanan saya kepada orang awam di luar sana yang mempunyai masalah rumah tangga teruslah pergi ke Pejabat Agama Islam, Kaunselor Keluarga atau Peguam Syarie yang bertauliah untuk mendapatkan nasihat yang lebih berautoriti dan membantu menyelesaikan permasalahan anda.
“Apabila anda ada masalah rumah tangga dan ingin perbaiki perhubungan anda maka pergilah ke Pejabat Agama Islam, Kaunselor Keluarga mahupun Peguam Syarie.
“Akan tetapi jika anda ingin musnahkan hubungan anda pergilah mengadu di Mahkamah Netizen atau terus ke Mahkamah Syariah untuk membubarkan perkahwinan.
“Hakim Mahkamah Syariah ni nak jatuhkan hukuman bukan mudah sahaja. Segala pertimbangan mengenai usaha untuk memperbaiki hubungan, syiqaq atau pergaduhan yang tiada penyelesaian akan ditimbang sebaiknya sebelum mereka menjatuhkan talaq tersebut.
“Semoga penerangan ini membuka mata netizen supaya salurkan pertanyaan dan permasalahan anda di tempat yang betul dan elakkan untuk mengadu domba dan membuka aib suami isteri di dalam media sosial kerana itu akan lebih memburukkan siuasi.
“Segala maklumat sekarang hanya di hujung jari pada masa kini. gunakan sosial media anda sebaik mungkin untuk menambah ilmu tentang pengurusan rumah tangga kerana perkahwinan itu merupakan suatu proses penerokaan seumur hidup untuk mengenali pasangan kita dan proses penerokaan itu berterusan sehingga kita di cabut nyawa,” terang Peguam Syarie, Amirul Akmal.
#CELIKSYARIE
Sumber: Peguam Syarie, Amirul Akmal @ Peguam Syarie: Amirul Akmal Sumber Foto: Drama Cinta Sekali Lagi, TV3 Malaysia
Insiden pergaduhan melibatkan satu keluarga terdiri dari ibu, anak perempuan dan menantu bersama dua beradik di hadapan Pasar Awan Melor minggu lalu didenda RM1000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah melakukan pergaduhan di khalayak ramai pada minggu lalu.