Ramai yang bercakap soal isteri. Isteri aku begini isteri aku begitu malah ramai juga yang
berbicara soal seorang isteri patut begini seorang isteri sepatutnya begitu namun tidak
ramai yang sedar bahawa siapa seorang isteri itu dan bagaimana seorang isteri itu ditentukan juga oleh siapa dan bagaimana seorang suami itu patut berperanan.

Inilah realitinya mahu dielakkan, realiti yang akan menjejaskan hubungan suami isteri.
Hari ini artikel ini akan menyentuh tentang suami yang romantik. Lazimnya bila kita
bercerita tentang romantik, ramai yang akan terasa lain macam seolah-olah romantik ini hanya untuk golongan tertentu sahaja, hanya untuk mereka yang berada.

Apa tidaknya kita sentiasa dimomokkan dengan scenario romantik itu bermakna suami ini perlu bawa balik bunga untuk isterinya, atau makan malam disinari candle light , dan dilihat juga sebagai romantik itu dengan pemberian hadiah yang wow mahal hingga nipis poket jadinya? Semuanya ini sangat cliché. Apakah hanya ini skop romantik buat seorang suami? Jika inilah tentu saja ramai yang tidak mahu dilihat sebagai romantik, bimbang kopak poket kecil si suami jadinya nanti.

Jadi apakah itu romantik? Jika soalan ini ditanya kepada isteri, mungkin jawapannya berkait dengan soal rasa, soal bagaimana isteri itu merasakan kehadiran suaminya dalam keadaan yang dirinya rasa dicintai, dan dihargai, dalam keadaan isteri ini rasa dirinya diperlukan hingga dia boleh merasai kehadiran suami yang sentiasa merinduinya. Perasaan halus seorang isteri diusik oleh romantiknya si suami.

Bila bercakap tentang soal rasa ini, mana mungkin rasa ini akan timbul jika tiada
pencetusnya, tentu saja rasa ini tidak wujud tanpa pencipta rasa, bermakna si suami perlu
jadi romantik

Erti kata mudahnya, isteri akan merasakan dirinya cantik dan bertambah cantik untuk suaminya jika suami ini seorang yang romantik. Tidakkah ini yang suami mahukan? Untuk isteri kelihatan cantik tidak hanya pada paras rupanya malah cantik pada akhlak dan budi
pekertinya, hati dan emosinya, dan kuncinya ini ada pada suami.

Suami romantik isteri akan bertambah cantik jadinya.

Bagaimana perasaan seorang isteri yang menerima pujian daripada suaminya yang mengatakan dirinya cantik, senyumannya manis, wangi bau rambutnya, dan sedap masakannya? Tidak kah isteri ini akan merasakan yang dirinya cantik dan ingin menjadikan dirinya semakin cantik agar terus mendapat pujian daripada suaminya yang romantik?

Sebenarnya tidaklah susah untuk menjadi suami yang romantik ni, fokuskan kepada perkara rutin harian yang dibuat Cuma kali ini sentuhannya adalah sentuhan romantik.

Ada 10 tip untuk suami yang mahu jadi romantik yang dikongsikan oleh Mohd Shariman Che Deris, Professional Learning Fasilitator (mastery) @ Ketua Pembelajaran Excite Learning Consultancy

Nak Jadi Suami Romantik Tak Perlu Hadiah Bagai, Cara Ni Pun Cukup Buat Isteri Bahagia

1.Peluk Isteri 10 Saat

Sebelum keluar rumah, amalkan sentiasa untuk peluk erat isteri selama 10 saat dan cium
isteri. Tidak cukup dengan hanya isteri yang salam dan cium tangan suami sahaja. Kuasa
pelukan ini akan buatkan isteri merasai yang suaminya sangat mencintai dia.

Malah impaknya akan jauh menusuk ke kalbu isteri bila suami yang sambil memeluknya turut mengucapkan kata-kata cinta dan sayang buat isterinya. Buat setiap hari untuk isteri, hinggakan isteri akan merindui pelukan 10 saat setiap pagi daripada suaminya. Suaminya suami romantik.

2.Whatsapp dan Teks Isteri

Zaman millennium ini media massa sangat memainkan peranan untuk suami zahirkan nilai romantik dalam dirinya. Tidak perlulah skema sangat dengan ayat-ayat buku bila whatsapp dengan isteri. Selitkan ikon-ikon dan grafik dalam whatsapp, buat secara konsisten, isteri akan merasakan dirinya sentiasa di hati suami.

Bayangkan jika pagi-pagi suami teks isterinya “Sayang, abang dah sampai pejabat” atau
“Makan apa tu tengahari ni, abang tak lalu sangat sebab sayang tiada sama ni” mungkin juga “Abang dalam perjalanan balik, sayang ada nak pesan apa-apa? Tidak sabar nak sampai rumah ni”
Mudah sangat dan suami akan kelihatan romantik di mata isterinya malah isteri juga akan
sentiasa merindui suaminya,

3.Berjenaka Dengan Isteri

Kajian rambang bila ditanya dengan wanita, ramai yang akan bersetuju suami yang pandai berjenaka akan dipandang romantik dan lebih membahagiakan. Bukanlah bermaksud, suami ni perlu jadi maharaja lawak. Hanya perlu ada elemen jenaka dan gurau senda bersama isteri. Kegilaan sekarang dengan pickup line juga boleh dijadikan antara elemen gurau senda dengan isteri. Rasulullah saw juga bergurau senda dengan isteri Baginda.

4.Mandi Bersama

Ramai yang bersetuju bila berbicara soal mandi bersama ni, ramai yang hanya mengamalkannya di peringkat awal perkahwinan sahaja, antara 3 – 5 tahun. Selepas itu kekerapan dan keinginan untuk mandi bersama makin kurang, ini perlu dikembalikan dan diamalkan selama mungkin di sepanjang perkahwinan.

Bila ditanya ada yang respons bila makin berusia ni dah mula rasa malu dan segan, atas
faktor diri yang tidak lagi seperti dulu. Ini antara perkara utama namun perlu diingatkan
kembali adalah nilai mandi bersama itu, adalah pasakan romantik yang sangat baik.

5.Membantu Isteri

Ramai yang akan berkata bahawa mereka sentiasa membantu isteri, betul dan memang jadi kelaziman suami-suami membantu isteri, insha Allah.Namun bagaimana untuk kita jadikan, membantu isteri ini sebagai romantik? Kuncinya adalah buat bersama-sama, bila melihat isteri lipat baju, suami datang membantu, bila melihat isteri sibuk di dapur, suami juga datanglah potong bawang, selitkan dengan jenaka dan gurau senda, bertepuk tampar usik mengusik Cuma janganlah sampai tak siap kerja rumah dek kerana sibuk bergurau senda.

6.Cari Isteri Dulu Bila Balik Bertugas

Senyum simpul isteri bila suaminya balik terus cari dirinya dan say hi apatah lagi jika
dipeluk cium seolah bertahun sudah tidak jumpa. Inilah romantik, elakkan daripada sekadar masuk rumah dan terus ke bilik mandi dan rehat. Jumpa dulu isteri kemudian baru berehat. Sangat mudah dan praktikal namun kesannya sangat mendalam di hati isteri.

7.Panggilan Manja buat Isteri

Panggilan-panggilan seperti awak saya atau I you ataupun namanya adalah satu kelaziman dalam perbualan rutin. Dalam kelaziman ini, tambahkan rencah resepi pemanis romantik suami dengan panggilan-panggilan sayang ataupun nama yang manja untuk menarik rasa istimewa pada si isteri. Rasulullah saw sendiri memanggil isteri Baginda Aisyah dengan panggilan “Wahai Humaira” iaitu panggilan sayang untuk Aisyah. Ini akan buatkan isteri rasa panggilan itu hanya untuk dirinya.

8.Suapkan Isteri

Kata bijak pandai less is more. Bayangkan bilamana ketika suami dan isteri makan bersama, sesekali suami menyuap makanan ke mulut isteri dan isteri pula buat-buat mengigit manja tangan suami, subhanaAllah ini suasana romantic yang sangat dicari-cari. Apatah lagi bila suami mengambil dan makan pula lebihan makanan isteri daripada pinggannya dan minum daripada cawannya sebagaimana yang dibuat Rasulullah saw.

9.Berikan Hadiah Buat Isteri

Sangat romantik, bukanlah mesti hadiah ini nilainya yang besar dan kerap. Bila keluar
bertugas di luar kawasan, bawalah hadiah balik buat isteri dan sebut kepadanya ole-oleh ini untuknya. Suami akan dilihat sebagai romantik biarpun yang dibawa pulang hanya sekilo buah manga ataupun sekotak coklat, apa yang penting adalah pemberian ini daripada suaminya.

10.Dengar dan Bersama Keluhan Isteri

Ramai isteri yang suka bercerita, dan dia akan lebih teruja jika dapat bercerita dengan
suaminya, apatah lagi jika suami mendengar dan respons dengan baik. Inilah nilai romantik yang diingini, suami perlu mendengar dan biarkan isteri bercerita semahunya, biarkan isteri luahkan rasanya biarpun mungkin bercampur emosi dalam ceritanya. Apa yang penting adalah suami berada di sisinya untuk sama mendengar setiap ceritanya. Isteri perlukan perhatian dan suami yang romantik tahu bagaimana untuk memberi perhatian dan mengisi rasa untuk isterinya.

10 tips ini hanyalah sebahagian daripada banyak tips lainnya yang boleh diamalkan oleh suami untuk menimbulkan rasa romantik pada isterinya. Bayangkan begini, bila isteri melihat suaminya romantik, dia juga mahu kelihatan romantik di mata suaminya, suami isteri begini akan saling menjaga keharmonian dan kebahagian, kesejahteraan dan kecintaan dalam keluarga agar berkekalan sampai ke syurga-Nya.

Tidakkah ini yang dimahukan oleh setiap pasangan suami isteri?
Suami romantik, insha Allah isteri akan berusaha untuk tambah cantik di mata suaminya.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI