Nak Goreng Guna Minyak Yang Sama Hanya Boleh 3 Kali Sahaja!

Ingat tau. Apabila guna minyak masak terutamanya minyak kelapa sawit  untuk menggoreng makanan, kita hanya boleh guna 3 kali sahaja. Jangan pula goreng sehingga minyak berubah jadi warna hitam pekat.

Pengamal Perubatan Am, Penuaan Sihat & Estetik, Dr Marlinda Mohd Ali menjelaskan kalau mengikut standard, hanya boleh ulang 3 kali sahaja minyak kelapa sawit kalau diguna untuk tujuan menggoreng.

Nak Goreng Guna Minyak Yang Sama Hanya Boleh 3 Kali Sahaja!
Pengamal Perubatan Am, Penuaan Sihat & Estetik, Dr Marlinda Mohd Ali

“Tetapi ada kajian yang menunjukkan ia kestabilan minyak itu sampai kali kelima. Tetapi selepas itu tidak digalakkan kerana selepas ia terdedah pada haba yang terlalu lama, ia akan menyebabkan bertukar. Risiko untuk minyak berubah kepada lemak trans dan teroksida.

“Saranan saya pada orang Malaysia, minyak yang paling sesuai dan praktikal ialah menggunakan minyak kelapa sawit untuk tujuan menggoreng makanan. Gunakan minyak kelapa sawit atau minyak kelapa untuk memasak dan menumis. Jika hendak mendapat kebaikan tambahan bolehlah menggunakan red palm oil atau minyak kelapa sawit merah kerana ia banyak mengandungi nutrisi.”

Minyak Sawit & Minyak Kelapa Paling Sesuai Digunakan Untuk Menggoreng

Dr Marlinda Mohd Ali menjelaskan dalam memilih minyak, satu perkara yang perlu dilihat adalah kestabilan minyak tersebut.

“Minyak tepu adalah minyak paling stabil. Contoh minyak tepu adalah seperti minyak kelapa dan minyak untuk menggoreng. Minyak sebegini sangat sesuai untuk menggoreng dan menumis. Minyak yang stabil boleh digunakan untuk semua penggunaan cara masak.

“Tetapi isunya di sini adalah kita selalu dimomokkan bahawa minyak seperti minyak canola, minyak soya. Itu sebenarnya adalah minyak poly unsaturated fat atau lemak poli tak tepu. Lemak poli tak tepu ini adalah minyak paling tak stabil kita gunakan dalam memasak dan digunakan dalam haba yang tinggi. Memang sangat tidak sesuai.”

IKLAN

Minyak Sayuran Tidak Ada Kolesterol

Bercerita mengenai minyak, ramai yang takut dengan kandungan kolesterol yang terdapat di dalamnya. Jelas Dr Marlinda, minyak daripada jenis sayur-sayuran seperti minyak kelapa sawit, minyak zaitun dan minyak kelapa tidak mengandungi kolesterol.

Minyak yang mengandungi kolesterol itu adalah daripada minyak daripada sumber haiwan seperti mentega dan minyak sapi. Tetapi itu adalah kolesterol baik.

Bagaimana Hendak Tahu Ketulenan Minyak Masak?

Pakar Perubatan Umum, Pengkhususan Perubatan Nutrisi, Dr Norman Norawi menjelaskan berkaitan isu ketulenan, masyarakat sebenarnya risau terhadap minyak masak yang dijual dalam paket atau bungkusan plastik.

Nak Goreng Guna Minyak Yang Sama Hanya Boleh 3 Kali Sahaja!
Pakar Perubatan Umum, Pengkhususan Perubatan Nutrisi, Dr Norman Norawi

“Sebenarnya minyak masak (minyak kelapa sawit) paket itu adalah minyak masak asli kalau ia datang dari syarikat yang mendapat lesen sah MPOB. Minyak dalam paket ini dipanggil minyak masak subsidi. Manakala minyak masak (minyak kelapa sawit) dalam botol itu adalah minyak masak tidak ada subsidi. Itu sahaja bezanya kerana kedua-dua minyak ini adalah minyak asli.

“Tetapi kalau minyak recycle atau kitar semula ini digunakan untuk biodiesel. Kalau minyak recycle ini digunakan untuk tujuan memasak itu mungkin daripada syarikat tidak berdaftar.”

IKLAN

Pengguna boleh membaca label bagi mengetahui ketulenan minyak kelapa sawit. Jika boleh cari minyak kelapa sawit yang ada tertulis RSPO certification pada labelnya.. Label ini menunjukkan bahawa minyak tersebut berkualiti tinggi.

Bagaimana Hendak Tahu Ketulenan Minyak Zaitun?

Dr Norman Norawi menjelaskan bahawa minyak zaitun mempunyai khasiat antioksidan dan antikeradangan. Kajian membuktikan antioksidan ini mampu membantu mencegah sakit jantung.

Persoalannya sekarang, jika anda ingin menggunakan minyak zaitun, bagaimana hendak tahu ketulenan minyak zaitun tersebut?

Dr Norman Norawi menjelaskan ketulenan minyak zaitun itu boleh diketahui melalui warna botol yang gelap, tahap keasidan dan tamat tempoh boleh digunakan itu mesti 2 tahun.

IKLAN

“Mengapa botol gelap? Sebenarnya 4 antioksidan yang terdapat di dalam minyak zaitun ini sangat sensitif pada cahaya. Ia boleh rosak disebabkan cahaya itu. Botol yang terang itu akan menyebabkan minyak zaitun mudah rosak. Sebelum digunakan minyak itu akan teroksida. Keadaan panas boleh menyebabkan minyak itu teroksida. Oleh itu sebelum digunakan dalam masakan, minyak zaitun itu telah rosak.”

Walau begitu, jika minyak zaitun itu telah tamat tempoh penggunaannya, jangan pula dibuang minyak tersebut. Dr Norman menjelaskan minyak zaitun ini boleh digunakan untuk kegunaan luar. Sebagai contohnya sapu pada rambut.

Ikuti Siaran Ulangan

Dr Marlinda dan Dr Norman adalah tetamu yang dijemput bagi mengupas topik Variasi Minyak di Mingguan Wanita Talkshow yang disiarkan secara langsung dari pukul 12.00 hingga 1.00 tengah hari.

Nak Goreng Guna Minyak Yang Sama Hanya Boleh 3 Kali Sahaja!

Siaran ulangan Mingguan Wanita Talkshow yang dihoskan oleh Raja Azura atau Kak Engku ini boleh ditonton semula pada pukul 8.00 malam pada hari yang sama di saluran Astro Prima 105 dan Astro Prima HD.

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI