Nak Buat Rawatan Kesuburan? Tangguhkan Sementara Waktu Selagi Covid-19 Berleluasa!

Pakar Fertiliti dan Sakit Puan di Pusat Kesuburan Sophea, Dr Salleha Khalid menjelaskan disebabkan Covid-19, banyak persatuan kesuburan seluruh dunia termasuklah American Society for Reproductive Medicine (ASRM), British Fertility Society (BFS) dan European Society of Human Reproduction and Embryology (ESHRE) telah menasihatkan agar rawatan kesuburan ditangguhkan buat sementara waktu.

Mengapa Rawatan Perlu dihentikan Seketika?

Ujarnya  lagi, keadaan sekarang ini amat merisaukan banyak pihak disebabkan virus Covid-19 adalah virus baru, maka maklumat yang sedia ada teramat terhad.

Namun begitu, setakat ini memang tiada data yang menyatakan bahawa ibu yang dijangkiti Covid-19 boleh memudaratkan bayi di dalam kandungan sehingga mengakibatkan kecacatan kepada bayi di dalam kandungan.

Covid-19 tidak seperti virus Zika, ini kerana virus Zika boleh menyebabkan bayi dilahirkan mengalami kecacatan.

Data yang ada setakat ini menunjukkan bagi ibu yang dijangkiti Covid-19, bayi di dalam kandungan terselamat dari jangkitan virus. Bayi tersebut tidak dijangkiti oleh Covid-19. Ini bermaksud ianya tidak berjangkit dari ibu ke bayi (vertical transmission).

Bayi yang dilahirkan oleh ibu yang dijangkiti Covid-19 juga dilaporkan sihat. Tiada juga data setakat ini yang menyatakan ibu yang dijangkiti Covid-19 mempunyai lebih risiko untuk mengalami keguguran atau melahirkan bayi pramatang.

Nak Buat Rawatan Kesuburan? Tangguhkan Sementara Waktu Selagi Covid-19 Berleluasa!
Pakar Fertiliti dan Sakit Puan di Pusat Kesuburan Sophea, Dr Salleha Khalid

Jadi Mengapa Rawatan Kesuburan Tidak Diteruskan?

Saranan persatuan kesuburan seluruh dunia agar rawatan kesuburan dihentikan seketika adalah kerana telah diketahui umum sebelum ini bahawa wanita yang mengandung mempunyai tahap ketahanan melawan penyakit (immunity) yang lebih rendah jika di bandingkan dengan wanita yang tidak mengandung.

Oleh itu, secara dasarnya, wanita yang mengandung lebih terdedah kepada jangkitan kuman, termasuklah Covid-19.

Tambahan pula, ubat anti-viral yang digunakan untuk mengubati pesakit ada yang tidak boleh diberikan pada wanita yang mengandung kerana risiko terhadap bayi di dalam kandungan.

IKLAN

Walau bagaimanapun, setakat ini wanita yang mengandung dan dijangkiti Covid-19 tidak mengalami tahap jangkitan yang lebih serius berbanding dengan orang lain.

Mengapakah Tidak Dihalang Semua Wanita Agar Jangan Mengandung?

Jelas Dr Salleha lagi, rawatan kesuburan adalah rawatan perubatan. Sepertimana rawatan perubatan lain, ia boleh dirancang dan dihentikan buat seketika waktu.

Kandungan yang berlaku secara normal kebanyakannya tidak dirancang dan tidak boleh dihentikan. Maka adalah hampir mustahil untuk menghalang wanita untuk mengandung secara normal.

Pada masa yang sama, kemudahan kesihatan yang ada di hospital-hospital awam dan swasta juga akan berada dalam keadaan tepu dan tidak boleh menampung keperluan yang sedia ada sekiranya wabak ini berterusan.

Kakitangan kesihatan yang berkhidmat di kebanyakan klinik kesuburan dikerah untuk memberikan perkhidmatan mereka merawat pesakit yang dijangkiti Covid-19. Oleh itu, dengan menangguh rawatan kesuburan dapat memberi ruang supaya sumber terhad yang sedia ada dapat dimanafaatkan sepenuhnya kepada yang lebih memerlukannya pada ketika ini.

Penangguhan rawatan ini tidak hanya terhad kepada rawatan kesuburan, tetapi hampir kesemua rawatan elektif telah terpaksa dihentikan buat sementara waktu.

Adakah Semua Rawatan Kesuburan Perlu Dihentikan?

Ujar Dr Salleha, tidak semua rawatan kesuburan perlu dihentikan. Antara rawatan yang akan diteruskan termasuklah rawatan pembekuan telur atau sperma di kalangan wanita atau lelaki yang akan menerima rawatan kemoterapi kerana kanser.

Bagi mereka yang sedang dalam rawatan juga boleh meneruskan rawatan setelah sepertimana yang telah dirancangkan.

Rawatan kesuburan dalam bentuk pembekuan sperma atau telur boleh diteruskan. Begitu juga bagi wanita yang berusia hampir 40 tahun atau mempunyai rizab telur yang rendah. Ada kemungkinan rawatan kesuburan boleh diteruskan sehingga ke tahap pengambilan telur.

Embrio yang terhasilkan akan dibekukan buat ketika ini dan akan diletakkan ke dalam rahim melalui Frozen Embrio Transfer (FET) ketika waktu kembali tenang.

Sekurang-kurangnya sehingga wabak ini berada di dalam kawalan dan risiko bagi ibu yang mengandung adalah pada tahap minima.

Oleh itu bagi wanita yang belum memulakan rawatan kesuburan, rawatan ini dihentikan buat sementara dahulu. Bagi yang telah memulakan rawatan kesuburan, mereka dinasihatkan untuk membekukan embrio mereka buat ketika ini. Serta melakukan FET bila keadaan lebih terkawal.

FET dan fresh transfer mempunyai tahap kejayaan yang sama. Malah FET adalah salah satu teknik yang biasa kami lakukan bagi mengelakkan sesetengah pesakit mengalami hyperstimulasi atau lebih dikenali sebagai OHSS (Ovarian Hyperstimulation Syndrome).

Adakah Virus Covid-19 Memberi Kesan Pada Telur Atau Sperma?

Tiada data yang menyatakan covid-19 akan memberi kesan kepada kesuburan atau kepada kualiti telur dan sperma. Semestinya ramai yang terasa hampa dan sedih atas apa yang berlaku sekarang. Ada yang merasakan dugaan ini teramat berat untuk dipikul. Wabak yang berlaku kini tidak ada siapa yang menjangkakan sehingga ke tahap ini. Ini semua diluar jangkaan.

Namun setiap pasangan mempunyai keadaan dan situasi yang berbeza. Setiap klinik kesuburan juga mengamalkan prinsip rawatan yang berbeza. Adalah dinasihatkan agar setiap pasangan mendapatkan nasihat dan pendapat doktor pakar sebelum membuat sebarang keputusan mengenai rawatan kesuburan.

Pada masa yang sama, sambil kita menunggu agar risiko jangkitan berada dalam tahap yang lebih terkawal, jangan lupa amalkan gaya hidup yang sihat. Makan makanan yang seimbang dan lakukan senaman walaupun di rumah. Jangan lupa ubat Folic Acid dan Vitamin D sebagai persediaan bagi bakal ibu.

Semoga segala urusan kita semua dipermudahkan.

Dr Salleha Khalid merupakan Pakar Fertiliti dan Sakit Puan di Pusat Kesuburan Sophea dan pada masa yang sama turut menulis berkenaan isu kesuburan di www.kernamu.com