Nak Amal Gaya Hidup Sihat, Kena Ada Matlamat, Hebat Cabarannya!

Tengku Muniza Tengku Izhar kini berazam untuk memastikan dirinya kekal dengan amalan gaya hidup sihat. Sebelum ini badannya agak berisi. Kini dia hampir mencapai berat ideal yang diimpikan.

Ternyata keputusannya itu tepat kerana banyak perubahan baik berlaku pada dirinya. Sejak hampir 3 tahun lalu, wanita yang berasal dari Kedah ini mula mengamalkan gaya hidup sihat.

Kalau saya tak demam dan sakit kepala dan pening, mungkin saya tak sedar apa yang sedang berlaku pada kesihatan saya. Kepala rasa teramat pening dan dada rasa berdebar. Risau dengan keadaan tersebut, saya singgah di farmasi untuk buat ujian tekanan darah.

“Pada masa itu memang bacaan tekanan darah memang tinggi. Tetapi saya kurang yakin dengan ujian yang dilakukan di farmasi. Pada waktu malam hari yang sama, demam dan sakit kepala itu semakin teruk, saya ambil keputusan untuk terus ke klinik.

“Doktor buat pemeriksaan dan keputusannya bacaan tekanan darah saya 190/100. Ketika itu berat badan adalah 80 kilogram.

Sukar Untuk Berubah Pada Mulanya.

Atas nasihat doktor, guru Bahasa Inggeris berusia 41 tahun ini melakukan perubahan demi kesihatan yang lebih baik.

Hendak melakukan perubahan pada mulanya memang sukar terutamanya dalam penjagaan pemakanan. Untuk melakukan aktiviti sukan memang tidak ada masalah sangat kerana sebelum ini saya pun aktif.

“Sebelum ini saya rasa tak perlu untuk menjaga pemakanan. Sebab saya rasa walaupun berat macam itu, saya mampu lagi buat aktiviti fizikal. Namun apabila mendapat kesedaran daripada masalah kesihatan itu, saya tukar pandangan.

Hebat cabaran untuk mengurangkan berat badan. Cabaran saya adalah bila dikelilingi dengan makanan yang sedap sedap memandangkan saya tinggal di kawasan yang dikelilingi dengan tempat makan yang menarik.”

Walau berhadapan dengan cabaran tinggi, Tengku Muniza berazam untuk mengurangkan berat badan. Akhirnya dia berjaya melakukannya. Beratnya 80 kilogram telah turun kepada 60 kilogram. Dalam masa 15 bulan dia berjaya melakukannya.

IKLAN

Berat badan saya memang banyak. Malah sejak sebelum kahwin saya badan berisi. Apabila dapat turunkan berat badan, saya puas hati dan sangat gembira kerana saya rasa dulu macam mustahil untuk menurunkan berat badan.”

Nak Amal Gaya Hidup Sihat, Kena Ada Matlamat, Hebat Cabarannya!
Tengku Muniza (baju belang) sebelum dan selepas dapat mengurangkan berat badan.

Kawal Portion Makanan Dan Lakukan Aktiviti Fizikal

Sewaktu temuramah ini dilakukan, Tengku Muniza mengakui dia terpaksa menambah berat badan bagi memastikan wajahnya tidak kelihatan cengkung. Berat badannya kini lebih kurang 67 kilogram.

Walaupun begitu, Tengku Muniza menjelaskan dirinya masih lagi mengawal saiz atau portion makanan yang diambil.

Portion is King. Kita boleh makan tetapi kena tahu samada portion itu sesuai atau tidak dengan aktiviti fizikal kita. Selain itu kita terus melakukan aktiviti fizikal secara konsisten.

“Contohnya kita boleh berlari, jogging, Zumba, berbasikal, hiking sekurang-kurangnya 4 kali seminggu. Aktiviti yang dilakukan itu perlu berubah-ubah supaya ada variasi dan tidak jemu.”

Mula Dengan Zumba

Bercerita mengenai aktiviti fizikal yang dilakukannya itu, Tengku Muniza masuk Zumba pada mulanya sebab hendak isi masa lapang sahaja.

IKLAN

Saya nak bersosial memandangkan tahun 2015, 2016 zumba sangat popular. Tetapi disebabkan saya tidak jaga pemakanan, berat saya tidak berubah. Selepas saya jaga pemakanan dan kemudiannya diselang-selikan dengan Zumba, berat saya dan emosi saya lebih baik.

“Hiking pula, saya bermula agak lambat sedikit. Tapi masih ketika berat 80 kilogram. Keadaan yang sama. Pernahlah saya menangis nak turun berat sebab tiada ada keyakinan diri. Tetapi selepas saya berjaya menurunkan berat badan, saya telah berjaya mendaki Gunung Kinabalu sebanyak 3 kali dalam masa 4 tahun. Dua kali ke puncak kerana kali pertama cuaca sangat buruk.

Untuk berlari pula, saya bermula dengan Fun Run 5 km sahaja. Dan pernah gagal untuk memenuhi kriteria finisher. Alhamdulillah tahun 2019 saya telah berjaya buat half marathon 21 km yang pertama sebagai finisher. Sepatutnya ini memang dah daftar untuk full marathon 42 km tapi atas sebab Covid, ditangguhkan.”

Baca Sini Lagi:
Tip-Tip Pemakanan Mencegah Diabetes Dengan Gaya Hidup Sihat
Cubalah Ambil 8 Makanan Terbaik Ini, Pasti Kulit Cantik & Sihat!

Buang Rasa Ego

Bagi mereka yang ingin mengamalkan gaya hidup sihat, bolehlah cuba ikut tip yang diberikan oleh Tengku Muniza ini.

Kena ada matlamat yang jelas dan logik. Saya jadikan diri sebagai contoh. Pada peringkat awal, saya memang fokus pada masalah darah tinggi. Saya makan ubat selama setahun. Dalam masa setahun itu juga secara perlahan-lahan saya turunkan berat sehingga 20 kilogram.

IKLAN

“Apabila berat saya turun, secara automatik tekanan darah saya menunjukkan perubahan yang baik. Sekarang saya sudah 2 tahun saya bebas daripada darah tinggi. Tekanan darah saya berada dalam paras normal.

Sekarang ini saya berada dalam fasa mengekalkan berat. Saya lebih aktif daripada sebelum ini. Jika dulu saya hanya mampu jadi pengikut di belakang. Sekarang saya boleh mengetuai di hadapan.”

Nak Amal Gaya Hidup Sihat, Kena Ada Matlamat, Hebat Cabarannya!
Aktiviti seperti mendaki, hiking dan berlari mula jadi pilihan Tengku Muniza

Tetapkan Matlamat Jelas & Realistik

Tambahnya lagi, tip paling penting bagi saya adalah kita perlu menetapkan matlamat yang jelas dan realistik.

Pertamanya supaya kita jelas apa yang kita mahu, dan realistik supaya kita tidak kecewa dengan sasaran kita yang tinggi. Selain daripada itu, jadikan cara hidup sihat ini sebagai lifestyle, bukan bersifat sementara.

“Tidak perlu terlalu rigid. Kalau rigid kita akan tertekan. Tidak perlu hanya bermenukan salmon grill atau oat sebab kita takkan boleh kekal dengan cara sebegitu. Makan makanan yang biasa dengan budaya kita Cuma dengan cara lebih sihat.

Kena buang rasa ego. Sebab awal dulu saya rasa ego. Saya badan besar tapi saya tidak ada masalah pun nak bersaing. Jadi kenapa hendakkan kurus? Atau sekurangnya adan BMI yang normal. Bila saya mula ada masalah tekanan darah tinggi itu baru saya tau ego itu pun punca masalah.

“Akhir sekali, kena tukar pendapat kita bahawa tak kisah gemuk asalkan sihat. Gemuk lebih mengancam nyawa dan kualiti kehidupan. Bila kita mula open minded sebegitu, kita akan lebih terbuka dengan pendapat dan nasihat-nasihat baik yang diberikan.”

MW: Kisah Ini Telah Disiarkan Dalam Ruangan Motivasi Sihat Majalah Mingguan Wanita Edisi November 2020.

Foto: Tengku Muniza

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI