Sudahlah keluar bekerja sampai ke malam, balik-balik suami sibuk dengan handphone sampai bercakap pun tak pandang muka. Apa lagi nak melayan anak-anak bermain, inilah satu penyakit yang semakin menular dalam rumah tangga zaman sekarang.
Kadang isteri puas membebel sampai satu tahap menangis sebab stress tengok perangai buruk suami, nak ditegur banyak kali pun buat menyakitkan hati sendiri. Pendek kata masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Eh, yang bagi alasan sebab kerja pun ada!
Haaa… jangan susah hati ya mak-mak, mungkin tip yang Dr Taufiq Razif kongsikan ini boleh membuka mata kaum suami. Nah, baca dulu nanti boleh ikut ini.
Tarik Perhatian Suami Yang Suka Main Handphone
Ramai rupanya isteri ada masalah suami asyik sangat main handphone sampai takde masa nak layan isteri.
Saya mengaku saya pun dulu tergolong dalam golongan suami yang macam tu. Orang bisnes memang matanya macam kena pukau dengan skrin handphone sikit tapi kalau si isteri tahu cara nak atasinya, memang benda ni ada ubatnya.
Ads
Ni saya nak kongsi 5 teknik yang isteri saya pakai untuk tackle saya balik. :
1. Dia akan berhias cantik macam puteri raja. Dia tahu lelaki ni akan kalah dengan visualnya sendiri. Memang dia tahu kelemahan suami adalah pada matanya jadi dia gunakan benda ni untuk mengalahkan godaan handphone tu
2. Dia akan banyak bertanya. Sebenarnya dia nak alihkan perhatian saya je tapi memang berkesan la sebab otak lelaki ni bukan multitasking macam perempuan. Tak ramai lelaki yang ada bakat untuk jawap soalan sambil main handphone. Kena fokus buat satu benda je.
Ads
3. Dia ajak ajak saya berjalan ataupun keluar makan. Saya kan memang driver tetap dia. Mana la kita mampu nak drive sambil main handphone kan. Kadang-kadang handphone pun kita campak entah ke mana kalau nak memandu.
4. Dia akan guna kabel charger kita ataupun buat-buat pinjam powerbank kita. Suami ni pulak kalau isteri dah minta nak pinjam takkan tak bagi kan. Jadi termagu la kita seharian sambil menunggu handphone si dia dicas penuh.
5. Dia akan guna apa sahaja cara untuk distract perhatian saya terhadap handphone. Tiba-tiba je dia boleh masuk ke bilik sambil bawa buah epal la buah anggur la semata-mata nak alihkan perhatian saya. Paling dasyat sekali dia bawak masuk anak-anak. Mana boleh tahan! Comel kot! Terus saya letak handphone dan peluk cium anak saya! Argh!
Ads
Apa pun kita kena educate suami masing-masing tentang Electronic Screen Syndrome. Bagitahu suami elok-elok atau share artikel ni kat suami tentang efek buruk kalau duk mengadap je skrin handphone dan laptop tu. Antaranya :
– Menyebabkan penurunan kemampuan kognitif
– Mata jadi kering dan retina mata boleh rosak
– Susah nak tidur
– Emosi tak stabil
– Lebih cenderung untuk kena Metabolic Syndrome seperti Kencing Manis, Kegemukan dan Tekanan Darah Tinggi
Jangan risau, biasanya orang yang kurang sensitif dengan perasaan orang lain ni akan mudah tersentak dan insaf bila dia tahu benda ni ada efek buruk pada dirinya sendiri juga nanti.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Sakitnya jiwa kalau terpaksa berdepan dengan orang yang sukar. Ianya menyakitkan, namun dibuang tak dapat. Ikut tip yang dikongsikan Puan Azura Abdullah ini. Anggap saja ‘mean peple’ ini bak KERTAS PASIR.
Dalam hidup ini jika kita ditakdirkan bertemu dan perlu hadapi orang yang sukar (mean people), anggap sahaja mereka ini seperti KERTAS PASIR. KITA akan semakin LICIN dan BERSINAR digosok kertas pasir. Tetapi kertas pasir itu sendiri akhirnya akan menjadi buruk dan tiada gunanya lagi.
Terkenang bagaimana susah payah Mak menjaga ibu mertuanya @ nenek saya yang uzur tanpa mengeluh. Rumah keluarga saya dekat dengan rumah nenek, jadi secara automatiknya tugas menjaga kebajikan dan keperluan nenek jatuh kepada Mak dan Abah saya.
Entah di mana Mak kutip kekuatan, setiap kali tibanya waktu makan Mak akan berjalan kaki (10 minit) ke rumah nenek melalui jalan pintas yang semak untuk menghantar makanan dan selesaikan apa yang patut seperti mandi, tukar lampin pakai buang dan kemaskan rumah nenek.
Kemudiannya berjalan pulang ke rumah kami semula. Begitulah rutin Mak bertahun-tahun tanpa sebarang rungutan. Akhirnya nenek menghembuskan nafas terakhir pun di tangan Mak, menantu beliau.
“Mak tak penat ka hari-hari sejuta nam kali dok pi mai pi mai rumah Tok? Awat Mak yang dok susah payah, mertua ja kan?” tanya saya suatu ketika dengan penuh rasa kurang puas hati melihat tubuh kecil Mak tenang menyantuni nenek. Darah muda.
“Abah syurga Mak akak. Tok syurga Abah. Kalau Abah seronok tengok Mak dia dijaga dengan baik bermakna Allah swt pun seronok dengan Mak. Allah dah hidang jalan mudah untuk Mak pi syurga. Bukan semua orang dapat peluang lagu ni akak. Orang lain jenuh dok cari pahala. Mak tak payah pi mana pun. Dok ada depan mata Mak dah. Kita kena buat baik tak kira dengan sapa pun.”
Mulianya hatimu Mak. Saya yang ketika itu masih muda, baru tamat belajar, darah mudah menggelegak, tak sempat lagi hati ini untuk berpaut dengan otak.
Dalam kepala saya ketika itu semuanya nak pakai konsep adil dan sama rata sahaja. Mana boleh Mak saya sahaja yang berhempas-pulas. Masa itu lah. Sekarang ini bila ingat balik semua itu buat malu saja perangai angin kus-kus saya itu.
Kalaulah semua hal di dunia ini boleh adil dan dibahagi sama rata dalam setiap perkara memang tak payahlah lagi ada syurga dan neraka. Sekolah pun tak payah pergi dah. Kehidupan adalah universiti paling mahal, rugi jika kita hanya mahu kutip yang negatif sahaja.
Allah swt beri apa yang kita perlu, bukan apa yang kita mahu. Kalau ikut mahu, setiap dari kita semestinya mahu bulan dan bintang sahaja. Allah swt hantar kita ujian dan orang-orang yang sukar dalam hidup kita supaya kita belajar dan menjadi lebih baik.
Bukan setakat kita sahaja yang belajar, tetapi mereka yang dekat dengan kita juga belajar. Sekarang giliran saya tunjukkan teladan kepada anak-anak saya pula.
“Children learn from who you are, not what you teach.”
Jangan kita ingat anak-anak kita memerhati kosong tanpa menghadam, mereka semat erat apa yang kita lakonkan dan akan mereka pakai secara sedar atau tidak yang mana satu prioriti hidup yang mana satu tidak. Kerana itulah nilai hidup yang kita tanam sebagai ibu dan bapa.
Semalam ada perkongsian berkisar hal ini juga dari salah seorang rakan caregiver yang menjaga ibunya dan tidak mendapat kerjasama yang baik dari adik-beradik yang lain. Sudahlah beliau berkorban masa dan tenaga menjaga ibu, mereka yang sekali sekala pulang menziarah melemparkan kata-kata pedas pula seperti ibu tidak dijaga dengan baik oleh beliau.
Dan berbagai kekurangan lagi dipetik dikorek. Kemudiannya ramai lagi caregiver lain tampil berkongsi pengalaman yang lebih kurang sama. Akibat dari situasi sebegini kebanyakan dari caregiver dilanda keletihan emosi yang teruk. Sudahlah letih fizikal, letih emosi ini yang menambahkan lagi beban yang ditanggung.
“What Susie says of Sally, says more of Susie than of Sally.”
Maksudnya perkara buruk yang kita katakan tentang orang lain sebenarnya lebih banyak menggambarkan keburukan kita sendiri dari orang yang kita katakan itu. Jadinya tak usah peduli segala kata-kata orang.
Ada kalangan rakan-rakan caregiver bertanya bagaimana saya hadapi hari-hari saya, apatah lagi saya jauh dari keluarga saya. Pengalaman banyak mengajar saya, itu kelebihan yang saya ada.
Suami saya diserang strok secara on and off semenjak tahun 2010, jadinya berbagai pelajaran saya kutip. Mula-mula dulu hati tisu juga. La ni dah sado. Buat rakan-rakan caregiver yang baru harungi pengalaman sebegini, di doakan tips berikut dapat mengurangkan keletihan emosi kalian.
Fokus kepada kehidupan kita dan perkara yang berada di bawah kawalan kita sahaja. Diri kita sendiri perlu sihat, perlu happy, kita ada keluarga sendiri selain pesakit perlu kita peduli. Usah serabutkan diri pertikaikan kenapa ahli keluarga lain begitu begini, tidak buat begitu tidak buat begini.
Sebenarnya setiap hari sebagai caregiver secara automatik kita sudah ada jadual untuk menjalankan tugas sebagai caregiver dan kita berjaya lakukannya dengan baik tanpa menyusahkan sesiapa. Jadi kenapa perlu kita alihkan fokus kita memikirkan tentang contribution orang lain?
Jika ada manusia yang pelik-pelik peelnya hadir dalam hidup kita, diskaun terus mereka ini. Tak payah pening-pening, hidup sebagai caregiver sendiri dah cukup roller coaster dah. Bakpolah nak tambah lagikan? Hehehe.
Kena cari juga ME TIME ini. Tidak semestinya dengan bercuti, spa atau yang mahal-mahal sahaja. Kalau ada peluang why not. Saya sendiri setiap hari saya pastikan saya dapat ME TIME dalam 15 minit pun sudah mencukupi untuk recharge.
Waktu saya keluar ke kedai atau sebagainya saya akan berehat sebentar dengan mendengar lagu atau tidur sebentar di dalam kereta. Rehat sebentar atau tidur sebentar yang pure, tanpa gangguan.
Kumpulan sokongan dari kalangan caregivers adalah amat penting untuk kita berkongsi pengalaman, ilmu, informasi terkini serta meluah rasa. Terdapat banyak kumpulan sokongan di sosial media yang dapat kita manfaatkan. Jika disimpan berseorangan lama-lama ianya akan membengkak dan meletus dengan tidak terkawal.
Cuba juga untuk curi masa lakukan aktiviti senaman secara langsung atau tidak langsung seperti berkebun dan sebagainya setiap hari. Sudah terbukti di dalam banyak kajian senaman dan aktiviti berkaitan dapat mengurangkan stress dan membantu sistem pernafasan seterusnya membuatkan kita merasa lebih segar. Jika kita mampu bersusah payah menguruskan fisio terapi untuk pesakit, kita harus berlaku adil kepada tubuh kita juga.
Caregiver perlu bersosial. Libatkan diri dengan apa-apa aktiviti serta terus berkomunikasi dengan rakan-rakan. Jangan putuskan hubungan dengan dunia luar dan limitkan diri kepada skop caregiver sahaja. Caregiver bukan superhero. Caregiver perlukan kehidupan normal seperti orang lain juga.
Didoakan ada manfaatnya.
Sekali lagi saya ulang, “Dalam hidup ini jika kita ditakdirkan bertemu dan perlu hadapi orang yang sukar (mean people), anggap sahaja mereka ini seperti KERTAS PASIR. KITA akan semakin LICIN dan BERSINAR digosok kertas pasir.
Tetapi kertas pasir itu sendiri akhirnya akan menjadi buruk dan tiada gunanya lagi.“
Bagi kebanyakan lelaki, perkahwinan bukan alasan untuk mereka ‘melupakan’ hobi mereka.Bahkan ramai yang sanggup ‘bergaduh dengan isteri bila hobi mereka tak disukai isteri.
Berbeza dengan wanita. Kebanyakannya secara rela akan melepaskan aktiviti yang mereka gemari sewaktu bujang kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian pada keluarga. Lebih-lebih lagi apabila sudah mempunyai anak. Soal hobi ditolak ke tepi sepenuhnya!
Lelaki pula selalunya tiada masalah untuk meneruskan hobi mereka selepas kahwin. Tapi, bagaimana sekiranya isteri tidak merestui dan tak suka anda meneruskan hobi itu? Bagaimana caranya untuk memujuk isteri? Mungkin tips yang Mingguan Wanita berikan ini boleh dipraktikkan.
Dari awal anda perlu telus dan berterus terang dengan isteri. Jika anda sudah berjanji dengan rakan-rakan untuk pergi bermain futsal selepas waktu kerja, jangan pula bagi alasan perlu kerja ‘overtime’. Sikap sebegini yang membuatkan isteri tidak mempercayai anda dan seterusnya akan menghalang anda meneruskan hobi anda itu. Ingat ye, Tak rugi berterus terang. Mungkin kadangkala isteri akan membebel, tapi jauh di sudut hatinya dia menghargai kejujuran anda.
Tak dinafikan, isteri mana yang tak marah jika suami lebih pentingkan hobi daripada keluarga. Jadi, anda perlu buat perjanjian tak formal dengannya. Yakinkan dia bahawa anda tidak akan pinggirkan dirinya dan anak-anak. Tapi anda perlukan hobi untuk menghilangkan tekanan kerja dan sedikit waktu bersama rakan-rakan. Yang paling penting, jangan sampai dia terasa terabai.
Selain itu, seeloknya anda hadkan masa. Mungkin hanya dua kali dalam seminggu. Tidaklah setiap hari. Isteri mana yang tak sakit hati. Sudahlah seharian bekerja, di sebelah malam pula anda sibuk membuat aktiviti lain. Bila pula masa anda hendak luangkan bersama anak dan isteri? Memang patut pun isteri anda marah!
Pernahkah anda terfikir hendak membawa isteri dan anak-anak bersama untuk melakukan aktiviti yang anda sukai itu? Dengan itu isteri dapat lebih memahami hobi anda kerana pernah berada di tempat aktiviti berlangsung. Silap hari bulan, jika dia bosan, konfim dia takkan ikut lagi!
Apa salahnya jika anda bertukar hobi, selari dengan diri anda yang sudah berkeluarga. Pilih hobi yang boleh disertai oleh isteri dan anak-anak. Misalnya hobi memancing, berbasikal, bermain boling dan sebagainya. Ia juga boleh dijadikan waktu untuk anda luangkan bersama keluarga tersayang.
Selalunya isteri akan marah jika mereka telefon tak berjawab dan anda pula tidak menghubungi mereka. Tentu mereka kerisauan. Contohnya anda ingin bermain badminton. Apa salahnya anda telefon isteri sebelum bermula dan selepas tamat permainan. Jadi isteri akan tahu apa yang anda lakukan. Tidaklah tertanya-tanya.
Selain itu, jangan sesekali khianati kepercayaan isteri. Konon sibuk buat aktiviti dengan rakan-rakan, pergi memancing misalnya, tapi rupanya ‘pacing’ perempuan lain. Itu cari nahas namanya bro!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kehamilan merupakan suatu proses yang sangat mengujakan terutamanya kepada wanita yang pertama kali melaluinya kerana fisiologi badan wanita berubah secara drastik. Perubahan yang berlaku semasa wanita hamil boleh meningkatkan risiko mendapat jangkitan saluran kencing (urinary tract infection- UTI). Dr. Nooranisah Mohd Razali, Pegawai Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Kuala Lumpur mengupas lebih lanjut tentang bahaya jangkitan saluran kencing semasa hamil.
Menurut Dr. Nooranisah, perubahan hormon dan proses mekanikalnya menggalakkan air kencing menjadi kurang lancar dan refluks vesicouretral. Ditambah pula wanita hamil yang mengalami kesukaran untuk menjaga kebersihan asbab terhalang oleh perut yang makin membesar dan juga faktor semulajadi wanita yang mempunyai urethra (salur kencing) yang pendek berbanding lelaki iaitu lebih kurang 3-4cm panjang sahaja.
Tambahnya juga bagi wanita hamil yang mengalami masalah jangkitan saluran kencing, terdapat beberapa tanda yang biasanya akan dialami oleh ibu-ibu hamil. Berikut merupakan tanda-tanda anda mengalami jangkitan saluran kencing:
Jelasnya lagi, ada juga ibu mengandung yang tiada tanda jangkitan seperti yang disebutkan di atas. Hal tersebut dinamakan “asymptomatic UTI”. Namun, biasanya ia dapat dikenalpasti melalui ujian air kencing yang dihantar ke makmal.
Saluran kencing (urinary tract) dan juga vagina sememangnya mempunyai normal flora yang mendiami kawasan tersebut. Namun, ada beberapa bakteria yang boleh menyebabkan UTI, iaitu:
Escherichia Coli (E. Coli) (80-90%)
Klebsiella pneumoniae (5%)
Proteus mirabilis (5%)
Enterobacter species (3%)
Proteus species (2%)
Staphylococcus saprophyticus (2%)
Group B beta-hemolytic Streptococcus (GBS; 1%)
Jangkitan semasa proses kelahiran (intrapartum transmission) boleh menyebabkan kesan yang serius kepada bayi seperti pneumonia (jangkitan paru-paru), meningitis (jangkitan pada otak), kuman dalam darah (sepsis) dan seterusnya menyebabkan kematian.
“Kebanyakan UTI tidak berbahaya dan jarang sekali membawa kesan yang serius kepada bayi mahupun ibu. Namun sekiranya tidak dirawat, ia boleh menyebabkan jangkitan pada buah pinggang (pyelonephrithis), bacteria dalam darah (sepsis) yang boleh meragut nyawa ibu, kelahiran bayi pramatang dan kurang berat badan seterusnya memerlukan penjagaan di NICU (neonatal intensive care unit).”
Cara rawatan UTI
UTI boleh dirawat dengan antibiotik, perlu dihabiskan mengikut tempoh preskripsi yang diberikan oleh doktor. Sekiranya tidak dihabiskan, risau boleh menyebabkan ‘resistance’ dimana badan memerlukan antibiotik yang lebih kuat untuk melawan bakteria tersebut. Selain daripada itu, teruskan minum air putih yang secukupnya dan pengambilan makanan yang berkhasiat sepanjang tempoh kehamilan.
“Selamat menikmati kesihatan yang baik sepanjang tempoh kehamilan anda. Semoga anak yang bakal lahir menjadi penyejuk mata hati ibu ayah!”
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Tular video memaparkan Mona Allen dan Pekin Ibrahim memakai topi Santa serta bertukar hadiah mencetuskan dakwaan sambutan Krismas dan perdebatan hangat netizen.