Nafkah anak tertunggak RM70,750 sejak 2020, isteri kongsi bekas suami gagal tunai tanggungjawab. Seorang ibu, Mizah Salleh tampil mendedahkan kes tunggakan nafkah anak-anak yang kini mencecah RM70,750, selepas bekas suaminya gagal menunaikan tanggungjawab tersebut sejak November 2020.
Berkongsi catatan angka di facebook miliknya, Mizah Salleh jelasnya jumlah tersebut dikira berdasarkan kadar nafkah yang telah dipersetujui di mahkamah iaitu sebanyak RM1,350 sebulan, tidak termasuk perbelanjaan tambahan seperti kos awal persekolahan, persiapan Hari Raya dan keperluan harian anak-anak.
“Gambar ini bukan sekadar catatan akaun. Ia adalah bukti bertahun-tahun perjuangan saya sebagai ibu. Menanggung sepenuhnya keperluan anak-anak tanpa nafkah yang sepatutnya diberi sejak November 2020.
“Dari Nov 2020 – Dis 2024, seperti dipersetujui di hadapan Hakim Mahkamah Syariah, bekas suami perlu membayar RM1350 setiap bulan dan ini semua tak termasuk perbelanjaan tambahan seperti awal persekolahan, raya dan lain-lain. Tapi semua kewajipan yang patut bekas suami buat, tak ditunaikan.
Jelas Mizah, dia perlu menanggung semua beban perbelanjaan membesarkan anak-anak seorang diri dan ini bukan sesuatu yang sewajarnya beban ini harus diletakkan di bahu seorang ibu.
“Saya berkorban apa saja, tapi keperitan ini tak sepatutnya ditanggung seorang diri.
Kalau dulu boleh berjanji di hadapan hakim dan Allah untuk beri nafkah setiap bulan. Kenapa kini senyap tanpa khabar?
Tegasnya, ini bukan soal bekas pasangan. Ini soal tanggungjawab terhadap darah daging sendiri.
Biar sudah bertemu jodoh baru dan memiliki suami yang baik, namun tegasnya nafkah ini bukan pilihan tetapi kewajipan lelaki untuk melunasinya.
Tegasnya, nafkah anak bukanlah sesuatu yang boleh dipilih-pilih oleh mana-mana pihak, sebaliknya merupakan kewajipan mutlak yang perlu ditunaikan oleh seorang bapa, walau apa sekalipun status hubungan dengan bekas isteri.
“Anak-anak membesar tanpa tahu apa maksud ‘tunggakan’, tapi mereka rasa kesannya. Bila buku tak cukup, bila kasut koyak lambat diganti, bila mereka terpaksa tahan kehendak kerana keperluan lebih penting,” katanya lagi.
Beliau turut meluahkan rasa kecewa apabila bekas suaminya yang dahulu pernah berjanji di hadapan hakim untuk menunaikan nafkah bulanan, kini langsung tidak menghubungi atau memberi sebarang maklum balas.
Dalam pada itu, beliau menyeru agar lebih ramai ibu yang berhadapan situasi sama tampil mempertahankan hak anak-anak mereka, dengan mengumpulkan bukti kukuh dan tidak berputus asa dalam mendapatkan keadilan.
“Saya tahu ramai yang senasib. Jangan takut untuk bersuara. Kita bukan minta lebih, hanya minta yang sepatutnya hak anak-anak yang tidak pernah salah memilih untuk dilahirkan,” katanya.
Dirinya turut menjelaskan catatan dibuatnya adalah untuk bukti perjuangannya sebagai ibu yang menuntut hak anak-anak yang gagal dibayar oleh bapa kandung.
“Gambar ini bukan sekadar catatan akaun. Ia adalah bukti bertahun-tahun perjuangan saya sebagai ibu. Menanggung sepenuhnya keperluan anak-anak tanpa nafkah yang sepatutnya diberi sejak November 2020.
Kes yang berlaku terhadapnya ini sekali lagi mengangkat isu kegagalan sesetengah pihak dalam melunaskan tanggungjawab nafkah anak selepas perceraian, yang sering kali menyebabkan ibu tunggal terpaksa menanggung beban kewangan secara bersendirian.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Arwah Zara dimasukkan dalam mesin basuh hanya spekulsi, peguam keluarga minta padam video viral. Peguam yang mewakili ibu kepada remaja perempuan arwah Zara Qairina Mahathir yang ditemui meninggal di asrama sekolahnya, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, Sabah pada 16 Julai lalu tampil menafikan bahawa anak guam mereka pernah mendedahkan sebarang maklumat berhubung kejadian menimpa anaknya seperti yang tular dalam media sosial sehari dua ini.
Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan sebentar tadi, dua orang peguam bela, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri menyatakan bahawa video seorang wanita yang mendakwa Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh adalah satu spekulasi yang tidak disahkan.
“Kami menegaskan bahawa ibu Zara tidak pernah memberi apa-apa maklumat kepada sesiapa mengenai kejadian tersebut. Maklumat yang tersebar bukan daripada pihak kami,” jelas kenyataan itu.
Bahkan jika perkara itu adalah benar, pihak mereka meminta agar wanita yang menularkan video ini menyalurkan maklumat tersebut ke balai polis bagi tujuan penyiasatan.
Masa yang sama, keduanya turut menjelaskan penyebaran gambar kronologi yang menyebut Zara hanya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1 pada pukul 8.00 pagi, 16 Julai 2025 sebagai spekulasi sehaja kerana ibu Zara tidak pernah berkongsi sebarang maklumat dengan sedemikian kepada sesiapa.
“Maklumat itu adalah satu bentuk spekulasi yang memberi gambaran salah kepada orang ramai,” tambah kenyataan itu lagi.
Masa yang sama, peguam ini turut menggesa orang ramai agar tidak menularkan wajah pelajar sekolah yang didakwa terlibat dengan kes tersebut. Tindakan itu, jelasnya adalah satu kesalahan jenayah di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Selain itu, perbuatan menyebarkan maklumat peribadi pelajar juga boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, khususnya Seksyen 130 yang melindungi butiran individu.
Dalam kenyataan sama, peguam mewakili keluarga Zara menyeru semua pihak yang telah berkongsi video atau gambar berkaitan agar memadam kandungan tersebut dengan segera.
“Spekulasi tidak membantu siasatan dan hanya menambah tekanan serta kesedihan kepada anak guam kami,” tegas mereka.
Orang ramai yang mempunyai maklumat sahih berhubung kejadian turut diminta menyalurkannya terus kepada pihak polis bagi tujuan siasatan dan bukan membuat sebaran sendiri di media sosial.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Personaliti Aura Mingguan Wanita ini bukan calang-calang wanita. Nur Aliah Mohd Nor menempa kejayaan keusahawanan di usia yang masih muda.
Ketika usianya 25 tahun beliau sudah memiliki aset shop lot sendiri bernilai mencecah RM1 juta. Dan akuinya, walaupun ketika diuji pandemik Covid-19 yang memberi kesan kepada golongan peniaga.
Nur Aliah yang juga CEO Cheetaki Omey Sdn Bhd masih mampu bertahan.
Tiga perniagaan di bawah kendaliannya, De’Xandra, Public Gold dan AIA Takaful kalis pandemik. Tentu ada rahsia di sebaliknya.
Menerusi temubual bersama Mingguan Wanita, wanita yang diangkat menjadi ikon Aura Inspirasi Wanita Mingguan Wanita untuk usahawan muda, Nur Aliah berkongsi kisah.
Ibu Sentiasa ‘Support’ Nur Aliah, Pesan Jaga Simpanan
Di sebalik kejayaan usahawan muda ini, ada ibu yang sentiasa menyokong perniagaan anaknya. Ibunya, Rasimah Binti Abd Razak bukan saja memberi panduan perniagaan malah mengajar Nur Aliah ‘pandai’ membuat simpanan.
“Mama banyak ‘guide’ Lia buat simpanan. Tunjuk cara, kalau simpan dari sekarang apa jadi dekat simpanan Lia. Mama tunjuk hasilnya jika simpan dalam 3 tahun.. 5 tahun.
Dan macam mana dengan membuat simpanan itu akan berjaya. Jika orang lain membeli kereta, beg tangan malah berbelanja mewah. Lia tetap kekal dengan kehidupan yang biasa-biasa.”
Sebaliknya wanita ini mengembangkan perniagaannya. Tidak membazirkan duit ke sana sini, malah membuat simpanan secara konsisten.
Ketika beliau melihat rakan-rakan bisnes lain berdepan krisis perniagaan sehingga terpaksa menutup kedai, ada juga tang tidak lagi menjadi stokis.
Beliau masih boleh bertahan dan ‘survive’. Pengurusan kewangannya begitu mantap.
“Memang ada sesetengah kiosk terpaksa di tutup. Tapi kita boleh ‘survive’ kerana semua persediaan sudah dibuat dari awal. Itulah hasil didikan ‘parent’ Lia.
Pesan mereka, jangan berbelanja lagi. Gunakan saja apa yang ada.”
Nur Aliah Mahu Lahirkan Usahawan Ada IQ, EQ Dan SQ
Usahawan muda ini mempunyai impian mahu melahirkan usahawan yang mempunyai IQ, EQ dan SQ yang luar biasa.
Mereka bukan saja seimbang dunia malah akhirat juga. “Sebab ramai orang dalam hidup mereka fokus pada dunia saja. Tetapi mereka terlupa pada akhirat.
Justeru, perkongsian Lia bukan sekadar tentang kewangan tetapi juga spiritual.” Itulah matlamatnya setiap kali berkongsi penulisan di media sosial ataupun ketika membangunkan usahawan.
Sebagai usahawan, mereka perlu ada sasaran.
“Kena ada Big Why. Apakah Big Why dalam kehidupan. Dari situlah tahu ke mana arah sasaran yang hendak dicapai. Big Why setiap orang berbeza.”
Bagi Nur Aliah, Big Why nya adalah untuk membantu lebih ramai di luar sana terutama suri rumah, pelajar mahupun mereka yang bekerja makan gaji membuat perniagaan mereka sendiri dalam usia yang masih muda.
Sebagai usahawan muda yang menjadi inspirasi orang lain, dan sentiasa memberi panduan positif. Nur Aliah sentiasa berkongsi bimbingan. Berpesan agar tidak membazir masa dan usia muda yang mereka ada.
Perlunya meletakkan sasaran dari segi short term, middle term mahupun long term yang jelas.
Namun, sebagai individu beliau akui untuk mencapai matlamat sebegitu tidak semudah menyebutnya. Ada kalanya semangat turun dan naik.
Namun, beliau ada cara untuk mengatasinya.
“Bila mula rasa selesa dengan apa yang ada, ianya akan membunuh impian. Waktu itu dah mula rasa ‘tak buat pun tak apa’ sebab dah capai money freedom.
“Bahaya sangat tu. Solusinya, Lia mencari circle yang sentiasa berada bersama. Bertemu orang-orang hebat, wanita berjaya dan lihat cara mereka untuk mendapatkan momentum.”
Jika ada orang pernah memaklumkan suka lihat dirinya kerana kejayaannya. Begitu jugalah dirinya, perlu ‘follow’ orang-orang yang berjaya untuk teruskan usaha tanpa berasa selesa.
Biar pun menerima pelbagai anugerah dalam kerjaya keusahawanan, Nur Aliah tidak pernah berasa selesa. Lagipun, di dalam dirinya sentiasa berkobar-kobar mampu membantu kejayaan golongan muda.
Rezeki Makin Bertambah Selepas Berkahwin
Baru saja bergelar isteri kepada Hazlizan Tahlin, tidak menjadikan dirinya tersekat. Sebaliknya beliau akui lebih mudah berjaya, malah rezekinya makin bertambah.
Ini kerana, suaminya kenal akan kekuatan isteri dalam dunia perniagaan. Malah sentiasa faham dan memberi sokongan padu. Dengan galakan sebegini membuatkan hatinya lebih tenang bekerja dalam masa sama melayari bahtera perkahwinan.
Malah, urusannya jadi lebih mudah selepas mendirikan rumah tangga.
Sebagai usahawan wanita yang masih muda, Nur Aliah percaya bahawa wanita itu perlu mempunyai kehidupan sendiri.
Baik selepas berkahwin, tak perlu bergantung sepenuhnya pada suami. Bimbang jika terlalu bergantung, andai terjadinya masalah kewangan, boleh berlakunya kes bercerai berai.
Ini yang pernah dilihatnya sendiri. Akhirnya, wanita terpaksa berpatah balik pada keluarga, hidup terbeban hutang dan tertekan.
“Sebab itulah, wanita perlu ada berjaya dan mempunyai kewangan yang sagat kukuh. Malah, mempunyai pengurusan kewangan yang mantap.
Sekiranya terjadi sesuatu yang tidak diingini dalam rumah tangga, isteri boleh survive. Bak kata orang, bila duit banyak ramai yang mendekat. Bila tiada duit, tiada siapa yang mahu datang.
Jangan terlalu bergantung pada orang, berusalah bersungguh-sungguh daripada seorang suri rumah yang tiada apa-apa, menjadi ‘seseorang’ yang membina kerjaya suri rumah itu sendiri terutama dalam bisnes. Malah, tahu menjaga simpanan dengan baik.” Akhiri Nur Aliah menitipkan pesan kepada wanita di luar sana.
Pada mulanya Mohd Adli bin Yahya tidak dapat menerima hakikat bahawa anaknya Mohd Luqman Shariff mengalami autism. Bertahun juga dia berada dalam tahap ‘penafian’ atau denial terhadap apa yang berlaku pada anak keduanya ini.
Luqman disahkan mengalami autism ketika berusia setahun lebih. Adli tidak percaya dengan pengesahan doktor. Dari satu doktor ke satu doktor lain dia membawa Luqman. Semua doktor yang ditemuinya memberi keputusan yang sama. Tetapi Adli tetap tidak puas hati.
Disebabkan kecewa dengan keadaan Luqman, Adli sentiasa memarahi Luqman. Semasa Luqman masih kecil, seringkali dia marah pada Luqman kerana tidak mampu melakukan apa yang sepatutnya dilakukan oleh kanak-kanak sebayanya pada ketika itu. Buatlah apa sahaja. Luqman tidak pernah melawan.
Tetapi Adli sedar Luqman tahu kenapa dia kena marah melalui riak pandangan mata anaknya itu. Daripada perbuatan Luqman, dia ingin memegang tangan anaknya itu tetapi Luqman enggan memegang tangannya kembali kerana tahu Luqman dalam keadaan marah.
Sering memarahi anaknya itu juga akhirnya memberi kesedaran pada Adli. Terdetik juga dalam hatinya. “ Kenapa aku perlu marah pada anak aku ini? Dia tidak bersalah.”
Akhirnya lama-kelamaan Adli mula berubah. Dia perlu buat sesuatu demi Luqman. Demi masa hadapan anaknya itu, Adli sanggup berhenti kerja demi mahu membantu Luqman dalam belajar menguruskan diri sendiri. Harapannya hanya satu. Adli tidak mahu Luqman terkapai-kapai sendirian bila tiba masanya dia dan isterinya sudah tidak ada di dunia ini.
Kini Luqman berusia 19 tahun. Banyak perubahan yang berlaku pada Luqman. Adli mengharapkan sebelum dia menghembuskan nafas terakhir, Luqman mampu berdikari, mempunyai kerja sendiri dan hidup tanpa bergantung pada orang lain.
Autisme Café Project Malaysia
Pada masa itulah, Adli telah membuka Autisme Café Project Malaysia sebagai satu usaha membantu anaknya dan remaja autism lain dalam belajar mencari wang sendiri untuk menyara kehidupan mereka pada masa hadapan kelak.
Autisme Café Project Malaysia ini terletak di Puchong, Selangor. Ia bukan setakat kafe. Jika tidak berniaga di kafe itu, Adli akan membawa anaknya dan beberapa remaja autism lain berniaga di bazar. Kadangkala mereka juga akan melakukan khidmat katering.
Banyak kerja yang dilakukan oleh semua remaja autism di kafe ini. Setiap remaja diberi kerja mengikut kesukaan mereka. Ada yang suka main air akan disuruh membasuh pinggan. Ada yang pandai bercakap di suruh bekerja di bahagian hadapan.
Sebelum ini Luqman suka main air. Adli menugaskan anaknya itu membasuh pinggan. Seronok sungguh Luqman melakukannya sehingga pernah sekali itu dia basuh 200 biji pinggan tanpa henti. Betapa fokusnya Luqman pada kerjanya.
Selepas itu Adli telah memberi tugasan baru pada Luqman. Luqman perlu mengisi nasi lemak di dalam sebuah bekas plastik bertutup.
“Luqman mengambil masa setahun untuk pandai mengisi nasi lemak yang ada sambal, ikan bilis, timun dan telur. Sebelum ini, jika kita suruh isi nasi lemak dalam bekas dan tidak suruh masuk bahan-bahan yang ada, sudah pasti tidak masukkan.
“Pada suatu hari, saya pandang belakang untuk buat satu kerja. Sebelum itu saya minta dia siapkan nasi lemak. Selepas habis kerja, saya pandang semula ke hadapan untuk melihat adakah nasi lemak siap diisi dalam bekas. Saya lihat bekas plastik sudah diisi dengan nasi lemak yang lengkap segala bahan-bahannya.
“Saya rasa hendak menjerit pada orang ramai yang ada di sekeliling untuk memberitahu kejayaan Luqman itu. Dari situ saya tahu bahawa Luqman boleh diajar. Dia juga sudah faham apa itu konsep nasi lemak yang mesti ada nasi, sambal, ikan bilis, timun dan telur.
“Pada pandangan orang luar apa istimewanya dapat menyiapkan satu bekas nasi lemak. Bagi saya yang mempunyai anak autism jenis pertengahan, ini adalah satu kejayaan besar. Jika ibu bapa lain berasa amat gembira dengan pencapaian cemerlang anak dalam akademik tapi bagi saya, perasaan gembira dapat melihat Luqman siapkan nasi lemak dengan sempurna itu,” katanya dengan panjang lebar.
Setiap Hari Minta Maaf
Bapa kepada enam orang anak ini bersyukur kerana Luqman sudah dapat sedikit kemahiran. Sebagai bapa, Adli tidak minta banyak.
“Saya sedar kemampuan Luqman. Cuma saya minta Luqman dapat berdikari. Itu pun sudah cukup bagi saya. Sekarang ini, Luqman masih banyak lagi yang perlu dipelajari. Perlahan-lahan saya mengajarnya,” kata bapa yang cukup prihatin.
Banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh Adli untuk anaknya itu. Selain berhenti kerja dari sebuah syarikat swasta, Adli juga tidak menaiki kereta demi mahu mengajar anaknya itu cara-cara menggunakan pengangkutan awam.
“Saya korban masa dengan membawa Luqman menaiki komuter, tren LRT dan bas. Saya mahu dia rasa bagaimana menaiki pengangkutan awam. Saya juga mahu dia jadi normal. Memang nampak perubahan pada Luqman,” jelasnya lagi.
Memiliki anak autism adalah cabaran besar. Salah satu perkara yang perlu difahami adalah anak-anak ini akan buat perangai pada bila-bila masa sahaja. Bagi Adli, jika Luqman buat perangai, itu adalah satu perkara biasa baginya. Dia sanggup telan apa sahaja demi anaknya itu.
“Saya sedar Allah bagi saya dugaan ini sebab dia mahu saya sedar dan menghargai apa yang saya ada. Setiap apa yang Allah bagi ini ada sebabnya. Kalau saya kenangkan balik, inilah sebab Allah bagi Luqman pada saya.
“Nasihat saya kepada ibu bapa yang memiliki anak autism dan masih dalam tahap ‘penafian’ adalah agar mereka cepat sedar. Apabila sudah sedar perlulah pula ibu bapa ini redha dengan apa yang berlaku. Ada hikmah di sebalik apa yang Allah berikan kepada kita. Hanya kita sahaja yang tidak tahu.
“Ketahuilah apabila kita menafikan keadaan anak kita itu dan sebaliknya mengajar anak dengan cara biasa, ia seperti menyeksa mereka. Anak autism ini ada hati dan perasaan. Jangan siksa mereka kerana kelak hubungan akan jadi renggang. Pahit di luar kita nampak tetapi parut di dalam kita tidak nampak.
“Sebab itu jugalah apabila saya ingat apa yang pernah saya buat pada Luqman dahulu saya rasa sedih. Sekarang ini setiap hari saya akan minta maaf pada Luqman. Luqman tidak boleh bercakap tetapi saya rasa dia maafkan saya,” katanya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!