Pejam celik, penghujung tahun 2024 bakal melabuhkan tirainya dalam masa 2 minggu lagi. Tiada yang lebih indah selain dapat berkumpul bersama keluarga dan orang tersayang, menikmati hidangan yang menyelerakan dan merasai kemeriahan perayaan.
Sempena cuti hujung tahun ini, apa kata berkumpul bersama keluarga sambil menikmati bufet yang enak dengan pelbagai jenis makanan.
Raikan musim perayaan ini dengan penuh gaya di Le Méridien Kuala Lumpur yang mengundang anda untuk merasai keajaiban Krismas dan keriangan musim percutian dengan Bufet Perayaan di Latest Recipe.
Le Méridien Kuala Lumpur membawakan keajaiban Krismas dan Tahun Baharu melalui Festive Buffet yang mewah dengan dereta pelbagai hidangan menarik yang bertepatan dengan tema penghujung tahun dan perasaan Krismas.
Latest Recipe menyediakan bufet perayaan yang pastinya memuaskan selera. Malah, setiap hidangan disediakan dengan penuh kasih sayang oleh Chef Eksekutif Antoine dan pasukannya yang berbakat.
Ads
Ditambah pula gabungan dekorasi yang meriah dan penuh dengan semangat perayaan, pastinya menjamu selera di Latest Recipe menjanjikan kenangan manis yang akan dikenang sepanjang tahun.
Jamu Selera
Pencinta hidangan berasaskan daging, bahagian Carving Station yang menghidangkan menu seperti Baked Chicken Berbera, Roasted Mediterranean Style Ribs and Ribeye, Oven Roasted Lamb and Baked Garlic-Parsley Seabass pastinya tidak mengecewakan untuk dinikmati. Malah setiap potongan daging disediakan dengan sempurna, memenuhi cita rasa setiap pengunjung.
Pencinta makanan laut pula usah bimbang kerana hidangan ini turut tersedia di Seafood Bar. Nikmati kepuasan dengan ketam, kupang, scallops, dan udang segar yang pasti akan memuaskan selera. Selain itu, di bahagian On Tray, hidangan seperti salmon salai,itik & ayam salai, serta pilihan makanan laut segar turut menggamit perhatian.
Ads
Penulis sememangnya menggemari hidangan Jepun. jadi Teppanyaki yang dimasak secara langsung pastinya menjadi pilihan. Di sini, anda boleh memilih sama ada menikmati menu berasaskan daging lembu, ayam, udang, scallops, sayuran, dan ikan yang dimasak di depan mata.
Selain itu, deretan Sushi, sashimi, temaki rolls, serta udon dengan kuah Miso atau soya turut tersedia untuk dinikmati. Pendek kata, seronoknya menjamu selera!
Hidangan ala Barat yang lain turut disediakan di meja buffet di Latest Recipe ini. Jamu selera dengan hidangan seperti Oven-Baked Stuffed crab shell, mackerel goreng, dan pelbagai jenis pasta termasuk carbonara, pesto, pomodoro, aglio e olio dan bolognese.
Ads
Manisan Tidak Dilupa
Tidak lengkap rasanya tanpa hidangan yang manis kan, turut disajikan pelbagai jenis pemanis mulut pelbagai rasa seperti cranberry baked cheesecake, cinnamon. Churros with chocolate sauce, Christmas Forest Raspberry Chocolate Cake dan the classic panettone. Buat pencinta keju, terdapat pelbagai jenis keju import bersama makanan sampingan yang lain di Fine Cheese Platter.
Kemeriahan Krismas tidak lengkap tanpa chocolate fountain with fresh berries, grapes and marshmallows, soft serve ice cream dan yoghurt kegemaran yang pastinya membuatkan mereka teruja. Bagi mereka yang tak sabar nak menikmati hidangan lazat ini, boleh mula rancang tarikh sesuai.
Tempah tempat anda hari ini dan rasai keindahan Krismas dan Tahun Baharu yang penuh dengan hidangan lazat dan kemeriahan yang tiada tandingan. Pastikan detik-detik indah ini menjadi kenangan yang kekal sepanjang hayat.
“Ibu akan sentiasa menyayangi dan merindui kamu, selalu…”
Itulah bait kata yang menggoncang jiwa seorang ibu yang kehilangan anak gadisnya dalam tragedi penuh tragis di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, semalam.
Dalam satu hantaran di Facebook, wanita itu meluahkan rasa rindu yang tidak bertepi terhadap pemergian anak perempuannya yang baru berusia 16 tahun anak yang selama ini menjadi sumber ketenangan dan kebanggaan keluarga.
“Dia seorang anak yang sangat penyayang, baik hati dan berdisiplin. Sejak kecil, dia tidak pernah membuat kami risau.
Dia sentiasa mengambil berat terhadap ibu bapa dan orang lain, serta tidak pernah meminta apa-apa daripada kami,” tulis si ibu, yang kini hanya mampu berbicara dengan bayangan memori.
Baginya, anak yang pergi itu bukan sekadar darah daging, tetapi cerminan kasih yang paling tulus.
Luahan Pilu Ibu
“Anak seindah itu, namun ditimpa nasib yang begitu kejam. Saya benar-benar kehilangan kata-kata, hati saya amat sakit. Semoga dia berada dalam keadaan baik di dunia lain, semoga rohnya tenang dan bahagia.”
Luahan itu diakhiri dengan ungkapan yang meruntun hati.
“Ibu akan sentiasa menyayangimu dan merindui kamu, selalu.”
Dalam nada tenang yang menyembunyikan derita, wanita itu turut berterima kasih kepada semua yang mengirim doa dan kata semangat buat keluarganya yang kini berdepan kehilangan paling pedih dalam hidup.
Dalam kejadian sekitar jam 9.10 pagi kelmarin, pelajar perempuan berusia 16 tahun itu ditemui berlumuran darah dengan beberapa kesan tikaman pada badan. Polis kemudian menahan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dan merampas dua senjata tajam di lokasi kejadian.
Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj selamat diijab kabul dengan suri hati Baginda, Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Binti Dato’ Abdul Aziz di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang pagi ini.
Istiadat pernikahan yang sarat makna itu disempurnakan oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Selangor, YAD Dato’ Setia Dr. Haji Anhar Opir, dengan disaksikan oleh YAM Tengku Panglima Raja Selangor, Tengku Ahmad Shah Alhaj serta YAD Tengku Indera Pahlawan Diraja, Tengku Dato’ Setia Putra Alhaj.
Akad nikah dimetrai dengan sekali lafaz tepat jam 10.08 pagi, diiringi dengan 11 das tembakan meriam yang bergema sebagai tanda penuh kebesaran dan restu istana.
Suasana Diraja Penuh Adat
Upacara ini turut disaksikan oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj serta DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, yang hadir menyaksikan putera sulung baginda menunaikan janji suci.
Walaupun berlangsung dalam suasana tertutup, istiadat ini tetap meriah dengan kehadiran kerabat Diraja Selangor, keluarga pengantin perempuan serta sahabat handai kedua-dua belah pihak.
Suri hati Baginda, Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Binti Dato’ Abdul Aziz anggun mengenakan persalinan putih di majlis akad nikah tersebut. Solekan pengantin diraja sentuhan Ahma Dani, rambut oleh Ckay Liow manakala busana pula mendapat sentuhan Adila Long.
Busana Pengantin Diraja: Anggun, Sopan & Mengakar Tradisi
Pada pagi penuh bersejarah itu, Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Binti Dato’ Abdul Aziz tampil mempersona dalam busana pengantin diraja yang menggabungkan sentuhan tradisi Melayu beradat dengan kehalusan rekaan moden yang penuh eksklusif.
Beliau mengenakan baju kurung moden berinspirasikan klasik, berpotongan terletak indah pada tubuh dengan siluet ringkas namun berwibawa.
Sebagai pelengkap, tudung rona senada dihias dengan veil panjang yang dijahit halus, menambahkan seri wajahnya yang ayu. Rias wajah dipilih lembut dan natural, menonjolkan seri tanpa menenggelamkan keindahan busana.
Keseluruhannya, penampilan YM Datin Paduka Seri Afzaa Fadini pada hari pernikahan bukan sekadar busana pengantin, tetapi sebuah pernyataan elegan tentang tradisi, kesopanan dan keanggunan seorang wanita Melayu berdaulat.
Penyatuan Kasih Dalam Keagungan Adat
Perkahwinan diraja ini bukan sahaja melambangkan penyatuan dua hati, bahkan menyerlahkan keindahan adat istiadat Melayu yang terus dipelihara. Ia menjadi saksi kepada sebuah ikatan yang diharap menyemai cinta, tanggungjawab dan keberkatan, bukan sahaja buat pasangan diraja ini tetapi juga sebagai teladan buat rakyat.
Baru-baru ini, kecoh diperkatakan tentang video tular memaparkan pasangan suami isteri yang bertengkar di sebuah pasar raya ketika membeli barangan keperluan menyambut Hari Raya Aidiladha.
Rupanya, ada kisah disebalik ‘pergaduhan’ tersebut apabila ia hanyalah sebuah gimik hasil kolaborasi luar biasa antara tiga entiti tempatan iaitu ST Rosyaman, Sri Ternak dan ikhlas.com.
Pemilik pasar raya berkenaan, Rosyam Nor berkata, antara inti pati utama video tersebut ialah inisiatif penajaan lebih 100 pakej umrah percuma kepada pelanggan-pelanggan setia ST Rosyaman dan Sri Tenak.
“Selain itu, sumbangan ibadah korban sempena Aidiladha turut menjadi sebahagian daripada usaha kolaboratif tersebut, menjadikan program ini bukan sekadar promosi perniagaan, tetapi satu bentuk tanggungjawab sosial.
“Kami mengambil pendekatan menggunakan ‘term-term’ (istilah) atau gaya penyampaian yang mampu menarik perhatian umum untuk mendekati dan memahami mesej yang ingin disampaikan,” katanya ketika ditemui di Majlis Korban Perdana dan Rewang Kenduri ikhlas.com x ST Rosyam Mart di sini, hari ini.
Jelasnya, penularan video ini telah membuka mata masyarakat mengenai peranan yang dimainkan oleh entiti perniagaan dalam menyumbang kepada kebajikan umat secara keseluruhan.
Korbankan Dua Lembu Sado
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata, ikhlas.com amat bersyukur kerana tahun ini dapat menaja dua ekor lembu sado juara bagi memenuhi syariat Islam untuk memilih ternakan terbaik dan berkualiti tinggi, terutama untuk dikongsikan bersama.
“Buat pertama kalinya selepas menggalas amanah sebagai pelaksana ibadah korban secara atas talian sejak dunia dilanda pandemik Covid-19 pada 2021, kami amat bersyukur kerana dapat menaja dua ekor lembu sado juara ini.
“Kami juga ingin berkongsi pencapaian di mana kami berjaya merekodkan jualan tertinggi dengan 10 ekor lembu sado pada tahun ini. Dengan jumlah yang memberangsangkan, kami meningkatkan sasaran tempahan lembu sado kepada 100 ekor setahun,” katanya.
Dengan pencapaian ini, Ikhlas berkata ikhlas.com menyasarkan tempahan 100 ekor lembu sado sebagai sasaran baharu.
Turut serta memeriahkan majlis ini dengan kehadiran selebriti terkenal seperti Dato’ Fizz Fairuz, Johan As’ari, Riezman Khuzaimi, Datuk Normaziah Sheikh Mohamed dan Zhiddin Aziz.
Nahas SUV di Bukit Kawah meragut nyawa sepasang bakal pengantin apabila Toyota Fortuner yang dinaiki terjunam ke dalam gaung. Baca kronologi penuh, siasatan polis dan peringatan keselamatan jalan raya.