
Apabila Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, banyak norma baharu yang perlu rakyat Malaysia tempuh. Termasuklah rutin harian kerja yang tak sama macam dulu. Ada hari bekerja, ada hari kena duduk rumah tanpa gaji. Mujurlah bank berikan moratorium.
Kelonggaran tak bayar hutang dengan bank ini sepatutnya beri lebihan wang pada mereka yang ambil moratorium ini. Tapi ada segelintirnya dah lepas 3 bulan, duit simpanan pun tak nampak bayangan.
Baca sini : Dengan duit moratorium ayah belikan anak, isteri gelang emas.
Bila masa tiba-tiba, perlukan duit kecemasan. Tiada pula bayangan simpanan moratorium yang sepatutnya jadi bekalan saat kecemasan. Ini yang dihadapi sendiri oleh Abdul Muiez Ruslee, langsung memberikan pesanan penting untuk anda yang mungkin berdepan masalah yang sama.
Kena Bayar RM4000, Tapi Tak Cukup Duit
Minggu lepas mak saya masuk hospital.
Setelah beberapa hari, doktor wajibkan kami beli mesin CPAP dan Oxygen Concentrator.
Selepas berbincang, mahu tak mahu, kami perlu beli untuk kegunaan mak. Harga kedua-dua mesin ini lebih RM10 ribu.
Kami minta mereka hantarkan hari ini juga. Sebab, kalau tidak mak tak boleh keluar hospital.
“Kena bayar deposit RM4 ribu. Siapa boleh bayarkan. Aku tak cukup duit.” Kata adik saya.
Saya pun semak akaun bank.
“Aku pun tak cukup. Dekat Tabung Haji ada.”
Setelah berbincang, adik saya seorang lagi yang bayarkan deposit RM4 ribu tu.
Selepas itu saya termenung panjang.
Moratorium Dah 3 Bulan, Tapi Ke Mana Duitnya?
Moratorium dah 3 bulan. Bermaksud, dah 3 bulan duit pinjaman tak potong. Sepatutnya, paling tidak sudah ada RM10 ribu dalam bank. Tapi ke mana duitnya?
Terduduk sekejap saya memikirkan perkara itu.
Ya betul. Saya sudah beli itu ini. Tetapi, di mana simpanan saya?
Bila muncul hal kecemasan macam ni, mana saya nak korek?
Emas? Tak sempat nak gadai.
Tabung Haji? Tak boleh nak tunggu esok.
Aset? Bukan mudah nak dicairkan.
Saya terfikir, setidak-tidaknya perlu juga ada simpanan tunai untuk digunakan ketika saat terdesak. Kalau moratorium seribu, sepatutnya kita sudah ada tiga ribu. Katakan kalau moratorium dua ribu, kita sepatutnya sudah ada simpanan enam ribu. Kalau potongan tiga ribu, senang-senang kita boleh simpan sembilan ribu.
Berapa baki moratorium kita?
Ada baki 3 bulan lagi. Sempat rasanya untuk kita buat simpanan.
Perkara lepas jadikan sempadan. Jangan diulangi lagi kesilapan semalam.
Gittew.
MW : Penting sebenarnya simpan duit moratorium ini, nanti lepas 6 bulan mudah nak bayar faedah selambak dekat bank. Takdelah hutang tu makin berganda-ganda banyaknya. Jadi, marilah tekadkan semangat untuk gigih menyimpan.
Sumber/Foto : Abdul Muiez Ruslee *Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Doakan Anak Zikir Ya Rahim, Ya Latif Agar Sukakan Makanan Sihat

Mencabarkan nak beri anak makan makanan sihat. Terutama sayuran hijau. Jenis yang tak suka, awal-awal lagi mereka dah reject. Ada doa sebenarnya nak beri anak seronok nikmati makanan sihat.
Puan Ainini Zainal, home educator, suri rumah yang gemar berkongsi resepi dan makanan sihat memaklumkan ada 3 doa yang boleh dibacakan untuk anak-anak dalam menggalakkan mereka suka makanan sihat.
Ringkas saja setiap catatannya, tapi mengandungi ilmu yang sangat berguna untuk mak ayah praktikkan dalam kehidupan seharian.
Doa Untuk Anak-anak Sukakan Makanan Sihat
1. Zikir Ya Rahim (penyayang)
2. Zikir Ya Latif (lembut)
3. Al Fatihah – baca dan sedekahkan bacaan ini untuk roh anak. Niatkan rohnya seorang yang kuat semangat dan sukakan perkara baik.
Caranya:
Baca kedua-kedua zikir ini berkali-kali setiap hari, hembuskan pada
√ Makanan setiap kali memasak
√ Hembuskan pada anak ketika anak tidur.
Niatkan dilembutkan hati dan diberi rasa sayang kepada makanan sihat.
Dilindungi daripada yang sebaliknya.
Ini Perkara Yang Mak Ayah Kena Buat
PALING PENTING, JAGA KATA-KATA KITA SEBAGAI IBU BAPA.
“Kenapalah kakak ni suka sangat jajan?”
“Haih abang ni kenapa tak suka dengar cakap mama, makanlah yang sihat ni.”
“Anak saya tak suka masakan saya lah Kak Nini. Frust betul.”
Kata-kata adalah doa, dan doa ibu bapa ni sangat makbul terutamanya IBU. Anda mahu hasil bagus tapi kata-kata anda bagaimana?
ANAK AKAN JADI SAMA SEPERTI YANG ANDA KATAKAN DI ATAS.
Sebab Itu Mak Perlu Sebut
Tukarkan kepada yang lebih baik.
“Tak apa, sekarang abang BELUM suka, nanti mesti akan suka, mama suap sikit nanti bagi abang rasa betapa sedapnya sayur ni.” – lepas tu sesuaikanlah cara masakan kita, pelbagaikan, kreatif.
“MasyaAllah, kakak! Mama gembira dan bangga sangat kakak dah tak makan jajan kat sekolah.” – peluk anak. Bagi mereka rasai kasih sayang kita.
“Allahu, Allah. Mesti Allah sayang sangat kat Amir ni sebab Allah bantu Amir makan sayur ni. Sikit tak apa, yang penting Amir usaha makan. Meh abah peluk.”
Mengapa Perlu Hargai Anak?
KERANA MEREKA JUGA PUNYA PERASAAN.
INGIN DIBERI SOKONGAN, UNTUK USAHA MEREKA YANG INGIN DICAPAI DAN BELUM TERCAPAI.
Mereka perlukan sokongan tidak berbelah bagi daripada anda.
Mengapa Makanan Sihat Sebenarnya Murah Dan Mudah Saja Didapati
Nasi goreng bayam. Bayam kaya kalsium. Saya masukkan nenas kerana makanan kaya vitamin C dapat membantu penyerapan kalsium yang baik.
Telur hancur Afi goreng sendiri. Letak kunyit cincang dan lada hitam. Air, Kombucha Tea. Probiotik baik untuk usus dan kesihatan badan.
Tak dilupa, solar system model, Afi buat. Enterframe sama.
Makanan sihat mudah dan murah didapati? Betul?
Ramai orang tidak percaya. IA ADA DI DAPUR ANDA SENDIRI.
Saya tidak salahkan mereka kerana sebenarnya mereka tidak perasan.
Mereka tidak sedar yang bahan-bahan semulajadi yang mudah didapati di dapur mereka itulah yang menjadi IMMUNE BOOSTER untuk badan.
Apa bahan-bahan tersebut. Saya berikan beberapa contoh mudah. Yang amat mudah.

Jika di pasaraya lain, juga ada bawang ini, cari yang bukan daripada China
1. BAWANG
Tidak kira bawang merah, besar atau putih, bawang adalah immune boosting food.
Anti bakteria (bakteria jahat sahaja), anti virus, anti radang, antikulat.
Kita masukkan dalam masakan setiap hari, bukan? Kita tidak perasan.
Tips: Elakkan membeli bawang merah, putih dan besar daripada China. China tanahnya tinggi toksik. Penggunaan pesticides/racun serangga adalah tanpa kawalan.
Dapatkan yang local, tanam sendiri ataupun organik. Juga boleh dapatkan dari India/Pakistan.
Bawang putih? Organik daripada Thailand/Indonesia.
Oleh kerana majoriti bawang putih di pasaran kita diimport dari China, saya kurangkan penggunaannya dalam masakan. Gantikan dengan bawang merah/besar.
Itu contoh cara jika mahu sihat tapi tidak dapat beli selalu yang organik.
2. HALIA
Sunnah food. Zanjabil dalam bahasa Arab. Fungsinya sama seperti di atas. Ini, tanam sendiri pun boleh sangat. Benamkan halia yang telah bertunas sedikit ke dalam tanah, tunggu saja beberapa bulan.
Halia juga natural painkiller. Tahu, kan? Juga penawar migrain.
Halia tidaklah mahal mana berbanding khasiatnya masyaAllah.
3. KUNYIT
Juga tumbuhan daripada akar. POWERFUL DISEASE FIGHTER. Juga anti radang/kuman/virus/bakteria/kulat.
Selesema?
Minum sup yang diletakkan kunyit. Curcumin dalam kunyit mampu melawan penyakit yang menyerang dan membuatkan sistem pertahanan badan lebih kuat.
Kunyit juga mudah ditanam, sama seperti halia.
Anak selesema:
Selain berikan sup, cincang kunyit, campurkan dengan minyak zaitun, sapu satu badan termasuk atas hidung.
Sumber/Foto : Ainini Zainal
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Sanggup Berhabis Untuk Kediaman Sendiri – Siti Aisya

Setiap insan sememangnya mahukan keselesaan tempat tinggal. Apatah lagi buat mereka yang sudahpun mendirikan rumahtangga. Begitu juga dengan pendirian Siti Aisya Kamaruddin, 28, dalam menguruskan rumah tangganya dengan baik, bukan sahaja suami dan anak yang perlu dijaga, bahkan kediaman juga harus dijaga rapi. Bak kata pepatah ‘Rumahku Syurgaku’, maka tidak hairanlah Siti Aisya dan suaminya, Mohamad Fahmi Misroh, 28 ini sanggup berhabis untuk rumahnya bagi mendapatkan keselesaan dan ketenangan.

“Alhamdulillah, rumah kediaman kami ini mencukupi untuk kami sekeluarga berehat. Malah saya juga bersyukur akhirnya saya dapat memiliki rumah pertama dan baru saja berpindah beberapa bulan yang lalu,” ujar Siti Aisya memulakan perbualan.
Ketika melangkah masuk ke kediaman ini sememangnya, penulis berasa agak kagum, walaupun ruang rumah sederhana namun susun atur cukup moden dan menarik.
“Kami meminati konsep ringkas, minimalis dan moden. Tidak terlalu feminin ataupun maskulin. Kami memberi kebebasan kepada syarikat pereka dalaman yang dilantik iaitu ADCS (AD Creative Studio) untuk menghasilkan rekaan yang sesuai untuk kami berdasarkan konsep yang dipilih. ADCS kemudian drafkan beberapa cadangan untuk kami pilih dan membuat keputusan. Konsep yang dipilih juga mudah untuk kami kekalkan penjagaan dan kebersihan. Kos juga rendah untuk mendapatkan hasil yang moden dan minimalis. Sesuai untuk kami, generasi muda yang masih baru dalam mendirikan keluarga,” ungkap ibu kepada seorang cahaya mata perempuan ini.

Sanggup Berhabis
Mengeluarkan kos sebanyak RM60,000 untuk pengubahsuaian Siti Aisya mula minat melakukan dekorasi rumah dari rancangan TV, Casa Impian. Sejak daripada itu, dia juga telah berhasrat untuk mendapatkan rumah idaman apabila sudah memiliki rumah sendiri.
“Sumber inspirasi banyak datang dari media sosial seperti Instagram, Facebook dan Pinterest. ADCS juga banyak memberi idea dan cadangan. Alhamdulillah, bajet kami cukup untuk menghasilkan sentuhan sebegini buat kediaman kami. Tidak salah untuk berbelanja sedikit demi kediaman idaman. Kami juga tidak perlu meluangkan masa yang banyak untuk membersihkan dan mengemas rumah,” sambung Siti Aisya.
Ditanya tentang ruang kesayangannya, Siti Aisya menerangkan ruang ruang vanity di bilik tidur utama menjadi kegemarannya. Manakala suami pula gemarkan panel helmet di ruangan makan.
Siti Aisya juga berasa sangat bersyukur kerana syarikat pereka dalaman yang dilantik telahk mentafsirkan rekaan yang sesuai buat ruang yang terdapat di kediamannya. Warna yang dipilih juga berdasarkan pilihan dia dan suami yang gemarkan warna semulajadi dan warna perabot yang dibeli.

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Suami Minta Izin Kahwin Lain, Isteri Tolak Diri Dimadukan!

Izin atau tak? Suami memang berhak berpoligami. Namun, poligami adalah sesuatu yang sangat mendukakan hati isteri walau pun ia dibenarkan dalam agama. Ikuti pengakuan seorang wanita kepada MW.
Assalamualaikum puan kaunselor yang dihormati. Saya berusia seorang isteri dan ibu kepada tiga puteri berusia 11, 13 dan 16 tahun dan dua putera berusia 9 dan 5 tahun. Saya seorang suri rumah tangga dan saya sendiri yang memilih untuk tidak bekerja selepas melahirkan anak kedua dahulu. Suami seorang akauntan di sebuah syarikat swasta.
Saya bersyukur kerana suami mampu memberikan segala kesenangan untuk saya dan anak-anak. Tak pernah ada yang kurang pun. Dek kerana sibuk dengan anak-anak, saya jarang menemani keluar ke majlis-majlis anjuran syarikat atau client. Bila ada waktu hujung minggu barulah saya dan anak-anak dibawa keluar oleh suami, berjalan atau menonton wayang.
Hidup saya bahagia walau pun saya sedar hubungan saya dan suami agar renggang. Kami makin jarang bercakap dan kalau bercakap, hanya soal anak-anak. Suami juga sering kali pulang lewat kerana sibuk dengan kerja dan sering juga perlu bertugas di luar daerah sama ada di dalam mahu pun luar negeri.
Hidu Perubahan Suami
Saya sebenarnya tidak sedar bila suami mula berubah. Namun bila anak-anak mula lahirkan rasa sedih kerana papa semakin sibuk dan jarang keluar bersama, hati saya mula terdetik. Ya, dah lama juga kami tak keluar bersama.
Hujung minggu suami sibuk dengan kerja dan bermain golf. Hairan juga kerana dulunya dia sibuk juga tapi sekurangnya sehari akan digunakan untuk bersama kami. Kebelakangan ini, dia lebih banyak menyuruh saya keluar dengan anak-anak saja dan memberikan saya wang untuk berbelanja.
Puan, memang benar duit itu penting. Tapi saya dan anak-anak juga perlukan perhatian dan kasih sayang suami. Duit yang ditabur pada kami tak mampu buat kami bahagia.
WhatsApp Misteri
Baru-baru ini, saya ada menerima whatsApp daripada seseorang yang tiada nama. Cuma dia menyatakan suami saya sedang menjalinkan hubungan cinta dengan rakan baiknya. Dia kasihan pada saya yang terlalu baik katanya. Lantas dia membocorkan rahsia itu pada saya. Turut disertakan nombor wanita itu. Hanya Tuhan saja yang tahu hati saya ketika itu namun saya tak cepat melatah.
Saya cuba bersabar melihatkan kelakuan suami. Ya, memang banyak yang mencurigakan. Saya memberanikan diri untuk menghubungi wanita yang dikatakan punya hubungan dengan suami saya itu. Puan, ternyata dengan berani wanita itu mengakuinya. Katanya sudah beberapa bulan mereka bersama dan hubungan mereka serius. Lantas saya memberanikan diri bersemuka dengan suami hari itu juga.
Pengakuan Suami
Dia mengakui dia ada kekasih lain. Yang membuatkan saya rasa sedih, marah dan sakit hati, bila ditanya sebabnya, katanya kekasihnya itu boleh dibawa menemaninya ke majlis-majlis dan pandai bergaya.
Puan, luluh hati saya. Teruk sangatkah saya di mata suami? Bukan saya tak nak ikut dia, tapi dia yang tak benarkan. Katanya kasihan pada anak-anak. Sebagai isteri, saya tetap jaga penampilan di mata suami. Saya kecil molek dan wajah saya kata orang lebih awet muda daripada usia sebenar. Tapi ya, saya tak suka bersolek tebal atau seksi seperti kekasih baru suami yang ditunjukkan sendiri oleh suami. Suami juga terus terang meminta saya bersedia untuk dimadukan bila-bila masa saja.
Puan, saya sangat sedih tapi saya tak mampu nak kongsikan dengan sesiapa pun termasuk anak-anak dan keluarga. Hanya seorang rakan baik yang tahu kisah saya ini. Apa yang patut saya lakukan? Saya tak sanggup bermadu kasih.
Isteri Tertekan, Perak
SARANAN KAUNSELOR
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah.
Wanita yang bergelar isteri sebahagian besarnya akan mencurahkan sepenuh kasih sayang, kesetiaan dan kepercayaan kepada suami dan anak-anak yang Allah kurniakan kepadanya.
Tak Kaya Tak Apa...
Baginya, memadai Allah kurniakan suami yang baik, yang tidak menduakannya dan anak-anak yang baik akhlaknya, mengatasi kekayaan yang diberikan oleh suami. Sekadar ada rumah, kenderaan, wang saku dan keperluan diri dan keluarga yang mencukupi sudah boleh menjadikan seorang isteri bahagia.
Harapan isteri, dengan memberi tumpuan kepada suami dengan memberi layanan yang baik dan mentaati perintah suami, akan mendapat layanan yang baik juga dari suami, khususnya tidak ada wanita lain yang hadir dalam hidupnya.
Namun, “ku sangka anas hingga ke petang , rupanya hujan di tengah hari”. Allah memberikan ujian kepada isteri yang baik dengan menjadikan suami punya hati dan cinta wanita lain selain daripada dirinya. Ujian yang Allah berikan itu adalah untuk meningkatkan keimanan isteri. Pun begitu, cara mengendalikan suami punya beberapa alternatif, reda dan terima ketentuan Allah, atau mahu berjuang mempertahankan suami hanya untuk dirinya sahaja.
Mampukah Suami?
Kita pernah mendengar satu frasa yang menyebut “ wanita banyak sembilan nafsu tetapi hanya ada satu akal, manakala lelaki hanya ada satu nafsu tetapi ada sembilan akal. Dan nafsu lelaki yang satu itu hanyalah wanita. Maka Allah izin lelaki berkahwin hingga empat orang jika dia benar-benar boleh berlaku adil. Persoalan suami mampu atau boleh berlaku adil itu adalah soal kedua.
Yang utama adalah Islam mengizinkan suami berkahwin selagi mana dia mampu dan berlaku adil terhadap isteri-isterinya. Bukan mudah jika dia memikul amanah itu. Semuanya dipersoalkan di hadapan Allah jika dia tidak berlaku adil.
Oleh itu, bukanlah kita sebagai wanita boleh mempertikaikan hukum Allah atau melarang suami dari berkahwin lagi kerana Allah yang cipta hukum itu, maka dia tahu apa yang terbaik buat hamba-Nya.
Tiga Pendekatan
Kepada isteri seperti puan yang berhadapan dengan suami yang mahu berkahwin lai, ada tiga pendekatan yang puan boleh pilih. Pertama, meredai suami berkahwin lagi dan puan kekal sebagai isterinya.
Jika ini puan melepasi ujian ini, Masya-Allah, hebatnya puan sebagai isteri solehah yang dijanjikan syurga Allah. Kedua puan menyebut puan tidak dapat menerima poligami, iaitu dimadukan, maka puan boleh memohon perceraian. Namun ini amatlah dibenci Allah, namun ianya dihalalkan Ketiga puan menolak sekeras-kerasnya wanita itu berkongsi kasih dengan puan.
Artikel lain di sini:
Ditagih Cinta Lelaki Berstatus Suami Orang
Bila Suami Rasa Hebat Terus NIAT Pasang Dua, Lupakan Isteri Banyak Berkorban
https://www.instagram.com/mingguanwanita/
Pilihan
Saya tidak pasti manakah pilihan yang puan akan ambil tindakan. Pertama buat solat istikharah apakah cara terbaik yang puan akan lakukan. Berdasarkan apa yang puan coretkan dalam kisah ini, saya mengandaikan puan buat pilihan ketiga, iaitu tidak mahu berkongsi suami.
Mungkin beberapa pendekatan ini boleh membantu, namun ianya tidak semudah yang dijangka. Berkemungkinan besar ianya akan gagal, kerana kuatnya dorongan cinta. Namun puan jangan berputus asa. Pertama, puan perlu bersyukur kerana suami adalah orang yang bertanggung jawab terhadap isteri dan anak-anak. Keperluan puan dan keluarga senantiasa dipenuhi. Persepsi terhadap suami perlu positif jika puan mahu memenangi kembali cinta suami.
Puan juga perlu menukar penampilan, senantiasa bergaya khususnya di hadapan suami. Puan sahaja yang tahu apa kegemaran suami. Kedua, jika masih tidak berubah, puan boleh berbincang dengan suami tentang hasrat puan yang tidak mahu dimadukan.
Alasan suami puan tidak dibawa ke sana sini kerana kurang penampilan hanyalah alasan seorang lelaki yang mahu mencuba menu dan cita rasa yang lain. Dia akan tetap begitu. Puan teruskan berhias untuknya. Jika tiada perubahan, puan boleh libatkan ahli keluarga yang paling disegani oleh suami, sama ada sebelah suami mahu pun sebelah keluarga puan.
Bersemuka Dan Terus Terang
Ketiga, puan perlu berani berjumpa wanita itu bersama ahli keluarga terdekat dan nyatakan bahawa puan tidak mahu dimadukan. Jika wanita itu masih berkeras dan suami juga mahu meneruskan hasratnya, dan puan juga sudah tidak mampu membendung keadaan, maka jangan mudah mengalah.
Cuba alihkan fokus puan kepada perkara lain daripada hanya fokus kepada suami. Jangan megalah kepada “emosi” yang kalah seperti sedih, tidak boleh terima kenyataan suami ada yang lain. Dan pelbagai minda dan perasaan negatif yang hadir dalam diri puan. Saya rasa daripada apa yang puan nyatakan suami ada harta. Jika nampak suami beri beria-ria mahu kahwin, minta dia buat wasiat, iaitu harta tertentu untuk milik puan. Biar puan kalah hati, tetapi menang yang lain.
Alih Fokus
Minta suami izinkan puan menceburi bidang perniagaan atau bidang yang puan minati. Puan perlu ada sebuah kereta sendiri yang dinamakan atas nama puan. Puan aktifkan diri dengan perniagaan. Pada masa yang sama puan aktifkan diri dengan aktiviti kebajikan membantu masyarakat sekeliling yang susah dengan memberi pertolongan. Dengan kata lain, tiga perempat daripada tumpuan puan kepada suami dialihkan kepada aktiviti puan di luar daripada lingkungan rumah.
Apabila puan aktif dalam bidang ini, maka pemikiran dan perasaan puan akan dikuasai oleh faktor lain yang bukan suami dan hal-hal yang berkaitan dengan dirinya. Maka hati puan akan sedikit tenang. Ingat bahawa hidup ini bukan hanya untuk seorang lelaki bergelar suami, tetapi kepada ramai manusia, selagi mana ianya tidak menyalahi hukum dan adat.
Dan apabila puan kurang fokus kepada suami, secara tidak disedari fokus suami akan beralih kepada puan. Dalam mengendalikan pendekatan ini, puan perlu bijak dan pastikan puan dalam kedudukan yang kuat khususnya dari segi emosI. Tanda Allah sayang kita, adalah Allah hadirkan ujian untuk kita. Agar kita akan lebih dekat dengan Allah.
Dijawab oleh: Puan Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI