Mak ayah mana yang tak sedih andai anak-anak tidak ada matlamat dalam hidup. Suruh belajar malas. Bila tanya cita-cita, katanya lepas belajar nak kerja sebagai penghantar makanan saja. Bukan merendahkan sebarang kerja, asalkan halal tak mengapa. Tapi, sebagai mak ayah pasti ingin yang terbaik untuk anak. Lebih-lebih lagi mereka sedar anak itu berpotensi besar untuk berjaya dalam pelajaran. Ikuti luahan hati seorang ibu ini.
Assalamualaikum Puan. Saya ibu kepada tiga orang cahaya mata. Dua perempuan dan seorang lelaki. Saya seorang guru dan begitu juga suami.
Saya mengalami dilema yang mungkin ada ibu bapa yang bergelar pendidik turut mengalaminya. Orang kata, didik anak orang jauh lebih mudah daripada didik anak sendiri.
Dua Anak Perempuan Cemerlang
Dua anak perempuan saya iaitu yang sulung dan nombor dua sangat mendengar kata dan cemerlang dalam akademik. Keduanya kini sedang mengikuti pengajian di dua buah universiti tempatan. Saya tak ada masalah dengan mereka. Tapi, berbeza dengan anal lelaki.
Ketika UPSR, dia mendapat keputusan yang cemerlang, semua mata pelajaran A. Tentu saya dan suami sangat gembira. Tapi semakin meningkat remaja, dia menunjukkan penurunan prestasi yang teruk dalam bidang akademik. Keputusan PT3 dulu sangat mengecewakan walau pun semua kredit.
Ada Lebih Masa
Kini dia bakal menduduki SPM dan bila dianjakkan ke tahun hadapan, saya dan suami menarik nafas lega kerana ada ruang untuk anak kami itu membuat persediaan. Tapi yang merungsingkan kami bila anak itu tak menunjukkan langsung minat belajar. Puas disuruh baru belajar. Hantar tuisyen tapi keputusan tetap tak memberangsangkan.
Saya dan suami tak tahu lagi apa yang patut dilakukan. Rasa gagal dan kecewa bila anak sendiri tak mampu dididik. Risau dengan masa depannya kelak. Pernah kami tanya apa dia nak jadi kalau tak minat belajar. Katanya, ulat dalam batu pun boleh hidup asal usaha. Katanya dia tak kisah nak kerja sebagai penghantar makanan asal tak perlu masuk kolej.
Puan, sedih saya dibuatnya. Bukan pandang rendah pada orang yang cari rezeki sebagai penghantar makanan. Tapi, harapan saya tinggi, nak juga lihat dia macam kakak-kakaknya. Saya tak kisah, kalau dah ada ijazah, kerjalah apa saja. Nak jadi petani sekali pun saya okay. Asalkan jadi petani yang berilmu. Baru boleh maju dan bukan di takuk yang sama saja.
Bagaimana saya nak sedarkan dia betapa pentingkan pendidikan…Saya dah habis cara. Dia umpama tak fikir panjang soal masa depannya.
Ibu risau. Melaka.
Jawapan Kaunselor
Foto: Pexels
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah..
Setiap ibu bapa mahukan kejayaan untuk anak-anaknya. Kejayaan dunia dan kejayaan di akhirat. Lazimnya, kejayaan dalam akademik adalah kayu pengukur yang menjadi kebanggaan ibu bapa.
Ads
Ibu bapa yang mementingkan pendidikan lazimnya sanggup bersusah payah menyediakan segala keperluan anak demi mencapai kejayaan pencapaian akademik hingga mendapat ijazah. Majoriti Ibu bapa memang meletakkan harapan yang tinggi terhadap anak. Harapan agar anak berjaya dalam akademik, hingga mampu mengharumkan nama sama ada di sekolah, di peringkat daerah , malah negeri akan menjadi kebanggaan ibu bapa yang tiada nilainya. Seboleh mungkin jika ada anak tujuh orang contohnya, mereka mahu ke tujuh-tujuh mencapai kecemerlangan yang lebih kurang sama.
Ikut Penilaian Umum
Perpektif kita sebagai ibu bapa tentang kejayaan adalah dalam penilaian yang diterima umum. Namun kini ramai ibu bapa agak kecewa kerana anak tidak mengikut cara dan perspektif yang ibu bapa tentukan. Bagi anak, kejayaan bukan dengan mencapai kecemerlangan dalam akademik hingga dapat melengkapkan pengajian ke peringkat ijazah.
Bagi mereka, tugas atau kerja yang menyeronokkan itulah kejayaan dan kebahagiaan. Perkara yang membebankan bagi mereka seperti berhempas pulas belajar adalah seperti menyiksa diri. Walhal kefahaman kita, kehidupan sememangnya begitu, perlu kekuatan minda, kekentalan jiwa dan ketahanan fizikal.
Mak Ayah Terlebih Beri Tumpuan
Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada anak yang tidak mahu meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Pertama, ini banyak berlaku kepada anak bongsu. Kadang-kadang kita (termasuk saya) terlupa, kita beri terlebih tumpuan dari segi material, masa, dan kasih sayang dan layanan kepada anak bongsu.
Bagi kita, layanan terhadap semua anak adalah sama, namun kita tidak perasan bahawa secara tidak langsung layanan kita terlebih kepada anak bongsu. Ketegasan dalam mendisiplinkan anak bongsu lazimnya kurang berbanding dengan adik beradiknya yang lebih tua daripadanya.
Perkara ini hanya disedari oleh anak-anak yang lain, bukan dari pandangan kita. Mungkin benar, mungkin sebaliknya. Namun itulah hakikat yang dapat dilihat pada kebanyakan ibu bapa cara layanan dan tumpuan kita terhadap anak bongsu ada perbezaan jika dibandingkan terhadap anak-anak lain.
Justeru, kelebihan layanan dan tumpuan ini boleh diambil kesempatan oleh anak. Kedua, faktor jantina juga boleh mempengaruhi. Anak lelaki memang kurang tumpuan dan kurang ketaatan kepada pelajaran berbanding anak perempuan. Mereka cepat bosan, tidak suka kerja-kerja rutin yang tertumpu kepada satu tugas (seperti belajar) dan sukakan sesuatu yang “adventure”, suka melakukan tugas yang menggunakan kemahiran dan kekuatan fizikal serta pengalaman luar yang mencabar.
Puan seorang guru, puan tahukan perbezaan pelajar lelaki dan pelajar perempuan.
Ketiga, pengaruh sosial media, penggunaan gajet, kemudahan internet menjadikan mereka terbuai dan lalai dengan tugas hakiki mereka iaitu belajar. Keseronokan yang dirasai dengan kehadiran “dunia fantasi” boleh mempengaruhi minda mereka ke arah yang leka dan tidak berjejak di bumi nyata.
Faktor lain pula ialah mempunyai anak sebegini adalah ujian untuk kita. Anak adalah ujian. Jika apa yang kita mahu dan kita rancang itu menjadi realiti, maka tidak adalah ujian dalam hidup. Selalu ingat, Allah beri kita anak yang sihat dan baik, itu juga adalah kejayaan kepada ibu bapa.
Mak Ayah Letak Jangkaan Tinggi
Sebagai ibu bapa kita sering meletakkan jangkaan yang tinggi terhadap anak. Seolah-olah kita mahu memenuhi impian kita, bukan impian mereka. Mungkin kita tidak dapat semasa kecil atau dalam hidup kita, tetapi kita mahu ianya dilaksanakan oleh anak agar impian tercapai.
Logiknya apa yang kita mahu daripada anak itu betul, sebab kita tahu bagaimana mencorakkan kehidupan yang lebih untuknya, kita tahu bahawa ilmu perlu dalam hidup, kita tahu cabaran dalam kehidupan. Namun sebaliknya ia tidak dapat ditafsir dan dinilai oleh anak kerana faktor luaran yang lebih menarik. Kita hanya mampu berdoa agar anak kita menjadi anak yang soleh.
Kadang-kadang kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Mungkin anak yang sebeginilah yang akan bersama kita hingga ke hari tua. Kita mungkin kata dia dan kita akan bahagia jika dia punya ilmu yang tinggi dan pekerjaan yang baik. Itu belum tentu menjadikan dia anak yang baik yang boleh mendoakan untuk kita. Mana tahu jika dia tidak menjawat jawatan yang tinggi, tidak punya ilmu yang tinggi, tetapi mampu membahagiakan kita di hari tua.
Ads
Mak Ayah Berdoalah Untuk Anak
Justeru, sebagai ibu bapa, seringlah berdoa untuk anak. Berdoalah agar anak jadi anak yang soleh, jika hajat kita tidak ditunaikannya ketika ini. Pada masa yang sama cuba dekatinya tanya apa perancangan yang ingin dibuat.
Tanya dia soalan adakah dengan perancangannya itu boleh memberi jaminan hidupnya. Juga bawa cerita tentang bagaimana berjaya dan sukanya Allah jika seorang anak mampu membahagiakan ibu bapanya. Beritahu juga apa yang puan mahu itu sebenarnya untuk kebaikan dia juga.
Sebaliknya, jika puan mahukan dia ikut perancangan daripada puan dan suami, puan masih boleh mencuba. Sebagai guru, puan tahukan sistem ganjaran dan dendaan? Berilah ganjaran jika dia buat apa yang puan suruh. Dendalah atau tarik balik keistimewaan yang puan berikan kepadanya jika dia tidak lakukan.Puan lebih tahu membentuk disiplinnya.
Lihat Hikmah Di Sebaliknya
Akhir kata jika apa yang puan lakukan itu tidak berjaya, mungkin ada hikmah di sebaliknya. Dalam hidup kita, Allah selalu beri apa yang kita perlu, cuma Allah tidak beri apa yang kita nak.
Allah beri anak buat teman di kala kita tua nanti. Kejayaan di dunia yang kita harapkan dari anak mungkin tidak dapat, namun berkat doa dan kesabaran kita mungkin anak inilah yang mampu membahagiakan kita di hari tua dan mendoakan kesekahteraan kita di alam kubur.
Justeru, teruskan berdoa setiap kali sujud agar dia menjadi anak yang soleh. Seringlah berdoa khusus di waktu tahajud yang baik-baik untuk anak, kerana doa ibu khususnya amat mustajab. Moga anak puan menjadi anak yang soleh. Aamiin. Wallahualam.
Soalan Dijawab oleh: Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor
Pernah tak ibu bapa terfikir apa yang hendak dibuat jika tiba-tiba anak tercekik?
Tercekik adalah satu keadaan di mana saluran pernafasan tersekat atau tertutup disebabkan oleh sesuatu objek. Ini menyebabkan bekalan oksigen terhalang ke paru-paru dan seterusnya ke otak.
Masalah tercekik boleh berlaku kepada semua peringkat umur. Kejadian tercekik sering berlaku pada kanak-kanak dan ia merupakan salah satu penyebab kematian di kalangan kanak-kanak
Jangan panik!
Ikuti perkongsian Doktor Telinga, Hidung & Tekak, Dr. Ezairy M. Sallih berkaitan langkah-langkah yang patut dilakukan jika anak tercekik secara tiba-tiba.
Sedang anda menonton televisyen, anak anda tiba-tiba saja terbatuk-batuk. Beliau dilihat sedang termengah-mengah. Susah nak bernafas.
Apakah langkah anda pada saat itu?
Ingat, anak anda mungkin sedang tercekik. Beliau sedang bertarung dengan nyawa!
Pastikan Anda Lakukan Langkah Ini Untuk BAYI Anda:
Minta bantuan kecemasan
Tiarapkan bayi di atas lengan.Letakkan kepala sedikit di bawah. Tepuk belakang dada di antara tulang belikat sebanyak lima kali
Letakkan bayi menelentang. Periksa mulut bayi. Keluarkan benda asing jika kelihatan
Jika keadaan masih sama, letak dua jari di tengah-tengah dada. Lakukan tekanan sebanyak lima kali.
Foto kredit Facebook Dr Ezairy M.Sallih
Untuk KANAK-KANAK BERUSIA LEBIH SETAHUN, sekiranya gagal setelah melakukan tepukan lima kali di belakang, lakukan tekanan di bawah diafragm ‘Heimlich Manouvre’.
Cara melakukan Heimlich Manouvre:
Berdiri di belakang mangsa.
Letak kedua-dua tangan di pinggang mangsa dan tekan abdomen ke arah dalam dan atas.
Keluarkan benda asing jika kelihatan.
Jangan Buang Masa!
Jika anak anda tiba-tiba tidak sedarkan diri. Jangan buang masa. Lakukan CPR. Hubungi ambulans!
Saya tahu jika situasi ini berlaku kepada anda. Situasi panik boleh menguasai diri. Sebab tu amat penting untuk menguasai ilmu asas ini.
Semoga ilmu ni berguna untuk anda. Jangan lupa kongsi kepada pasangan anda dan juga orang yang anda sayang.
Jemput Like dan Follow Facebook page saya ni supaya anda tak terlepas nota-nota kesihatan daripada saya.
Dr Ezairy M.Sallih
Doktor Telinga, Hidung & Tekak
(Ear, Nose & Throat, ENT)
Kekoknya bila kena ambil tugas memandikan bayi baru lahir. Awal-awal dulu, bolehlah harapkan bidan bersalin bantu ibu. Selepas sehari dua, ibu mahupun ayah muda perlulah berdikari sendiri, belajar mandikan bayi.
Tak perlu rasa susah hati, mandikan bayi baru lahir ini jadi mudah sekiranya pasangan tahu cara melakukannya. Sekiranya bidan pernah mengesyorkan beberapa tip, kali ini MW berikan panduan yang boleh membantu pasangan suami isteri memandikan bayi mereka.
Ini Panduan Betul Mandikan Bayi Baru Lahir
Suhu air kenalah sesuai dengan tubuh bayi baru lahir
Elakkan menggunakan air sejuk untuk mandikan bayi anda. Suhu yang paling tepat akan buatkan bayi rasa hangat. Tak terlalu panas, ataupun sejuk. Sebelum memandikan, periksalah suhu air terlebih dahulu.
Caranya ibu atau ayah, celupkan siku ke dalam air untuk mengukur tahap kehangatannya. Jika siku anda rasa panas, bermakna air itu panas untuk kulit bayi anda. Sebelum memeriksa air, bersihkan bayi anda terlebih dahulu. Misalnya, keluarkan lampin pakai buang bayi.
Pegang bayi dengan lembut
Ibu atau ayah perlulah memegang bayi dengan kemas dan lembut sepanjang memandikan. Gunakan satu tangan untuk menyokong bahagian belakang bayi. Sementara tangan satu lagi untuk merangkul bahu dan memegang leher bayi. Posisi ini mesti tetap sepanjang memandikan. Gunakan tangan yang memegang belakang bayi untuk mencuci badan bayi anda secara perlahan-lahan dan memandikannya.
Sentuhan air pertama pada tubuh bayi
Disarankankan memandikan bayi anda pada waktu dhuha iaitu sekitar 28 minit selepas waktu Syuruk. Ini kerana, pada waktu dhuha fisiologi kitaran darah dan degupan jantung bayi dalam keadaan tenang.
Siramlah pada belakang badan bayi secara perlahan-lahan, kemudian barulah siram kaki dan naik ke bahagian punggung. Seterusnya siram dari belakang hingga ke kepala. Pada bahagian kepala, siram perlahan-lahan supaya air tak mengalir masuk ke lubang telinga. Ibu atau ayah boleh tutup telinga bayi semasa proses ini.
Semasa menyiram air di belakang kepala ke bahagian hadapan dahi, gunakan tangan untuk menggosok dahi bayi. Pastikan tak menyiram mukanya, kerana boleh melemaskan bayi dan menyebabkan lubang hidungnya lembab. Kelak bayi mudah terkena selesema atau jangkitan kuman.
Siraman terakhir, lakukan dari atas dada ke bawah. Tak digalakkan menyapu sabun pada bahagian hadapan tubuh bayi kerana bimbang sabun menyebabkan pusat bayi lembab dan melambatkan proses gugur tali pusat.
Pentingnya belaian dan pilih sabun yang lembut
Sepanjang proses memandikan, ibu dan ayah belailah bayi melalui gosokan yang lembut. Dengan cara ini, pengaliran darah bayi akan berjalan dengan lancar dan baik. Pilihlah sabun yang lembut untuk memandikan bayi terutama yang telah tanggal tali pusatnya.
Jenis sabun lembut terbaik perlulah mengandungi pelembap aloe vera dan minyak almond, bebas sabun, bebas paraben malah hypoallergenic untuk memelihara kulit mulus bayi. Rangkaian penjagaan kulit bayi yang diperbaharui, Cetaphil Baby + New Cetaphil Baby Advanced Protection Cream diformulasi untuk kulit bayi baru lahir yang halus.
Malah semua produk Cetaphil Baby diuji secara dermatologi dan disyorkan oleh pakar pediatrik sebagai mandian yang membersih dan menghaluskan kulit mulus bayi dengan lembut.
Sebaik selesai, apa perlu dilakukan
Lapkan seluruh tubuh bayi anda dengan tuala yang bersih. Mulakan mengelap dari bahagian kepala dahulu. Jika terlambat, boleh menyebabkan kepala dan ubun-ubun bayi basah seterusnya membuatkannya selesema.
Balutkan bayi dengan tuala kering atau selimutkannya. Peluk bayi anggaran 10 minit untuk memberi kehangatan pada tubuhnya. Kemudian, pakaikanlah baju dan balut bayi dengan selimut kering.
Setelah mengetahui panduan memandikan bayi anda yang baru lahir ini, tentunya ibu dan ayah akan jadi lebih berani dan yakin untuk melakukannya. Memandikan bayi ini sebenarnya, boleh menambah lagi kasih sayang dan eratkan bonding bersama.
Rangkaian Penjagaan Cetaphil Baby + New Cetaphil Baby Advanced Protection Cream
Penting untuk ibu dan ayah memilih penjagaan mandian untuk kulit bayi baru lahir dengan betul. Lagi-lagi kulit bayi baru lahir lebih sensitif, mudah berubah mengikut suhu malah mudah mendapat ruam kulit jika penjagaannya kurang teliti.
Rangkaian penjagaan Cetaphil Baby + New Cetaphil Baby Advanced Protection Cream ini bukan saja lembut malah tiada paraben, minyak mineral, pewarna, bahan asal haiwan dan rangkaian sabun Cetaphil Baby dirumus khas agar lembut dan sesuai untuk kegunaan harian.
New Cetaphil Baby Advanced Protection Cream
Rangkaian penjagaan kulit terbaru ini melindungi kulit bayi yang kering daripada masalah iritasi dan ketakselesaan, memberi kelembapan bagi memulihkan kembali kulit bayi yang kering. Sesuai untuk jenis kulit normal sehingga kulit sangat kering.
Selain lembut, krim serbaguna ini disahkan mengandungi ekstrak organic celendula, allantoin dan shea butter yang berupaya memberi kekuatan pada kulit dan mengekalkan kelembapan kulit bayi. Ia juga mengurangkan ketidakselesaan yang disebabkan oleh masalah kulit kering, iritasi dan kulit melecet malah memberi kesan kelembapan sehingga 8 jam.
Antara lain rangkaian penjagaan ialah Cetaphil Baby gentle Wash & Shampoo, Cetaphil Baby Moisturising Bath and Wash, Cetaphil Baby Shampoo dan Cetaphil Baby Daily Lotion.
Ibu dan ayah yang mahu mendapatkan maklumat lanjut berkaitan rangkaian penjagaan Cetaphil baby boleh layari :
Selepas berpisah ayah tetap perlu tunaikan nafkah pada anak-anak. Walaupun susah berpisah dengan isteri dan bergelar suami tetapi anda masih tetap “ayah” kepada anak-anak.
Jangan sesekali terlupa tanggungjawab ayah-ayah kepada anak ya. Mereka masih berada di bawah tanggungan anda walaupun mereka di bawah jagaan mak mereka. Jangan ambil mudah dan lepas tangan bab nafkah, jika ayah-ayah culas akan disoal kelak di akhirat sana.
Ikuti perkongsian Firdaus Shakirin ini dan fahami baik-baik iya:
Kita mungkin bukan lagi seorang suami, tapi kita masih seorang ayah…
Ini adalah tanggungjawab yang sering dilupakan lelaki selepas berpisah…
Nafkah anak ini, bukan hanya ketika kita hidup bersama sahaja kita kena bagi, tapi bila sudah tidak hidup bersama, sudah berpisah pun tetap kena tunaikan nafkah anak ini sebab hukumnya adalah WAJIB…
Dalam jagaan atau pun bukan dalam jagaan, nafkah ini tetap kena bagi… Apa yang dimaksudkan dengan nafkah anak?
Makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan perubatan mengikut kemampuan kita…
Tak ramai lelaki yang masih meneruskan kewajipan ini setelah berpisah… Ramai yang lepas tangan dengan beranggapan, si anak dalam jagaan ibunya, maka ibunya lah yang perlu menanggung kesemuanya…
Jangan Dilupa Tunaikan Nafkah Anak
Bila bekas isteri tidak menuntut nafkah ini, maka nafkah ini terus dilupakan si ayah…
Ada yang menuntutnya di mahkamah, sudah kluar arahan untuk tunaikan sekian-sekian nilai, tapi culas…sekejap bagi, sekejap tak bagi…
Sesuatu yang diwajibkan dalam Islam, bila tak buat, hukumnya adalah BERDOSA…
Banyak mana pun amalan yang kita buat, kalau di akhirat nanti ianya ditimbang dengan “dosa” ini, dan jika dosa tidak menunaikan nafkah anak ini lebih berat daripada amalan yang kita buat, maka agak-agaknya di manakah pengakhiran untuk kita…
Renung-renungkan…
MW: Jangan jadikan perpisahan anda dengan bekas isteri memerdekakan seorang ayah daripada tanggungjawab dalam memberi nafkah kepada anak-anak. Memberi nafkah kepada anak-anak adalah wajib dan jika tidak ditunaikan berdosa. Ingat tu!
Jururawat hampir kehilangan RM4000 akibat emel palsu, "diminta verify kalau tak akaun Netflix digantung. Seorang jururawat hampir kehilangan wang simpanannya selepas menjadi mangsa penipuan...