Berita Sosial

Misteri Kehilangan Tiga Beranak Terungkai, Pasangan Serah Diri & Direman Siasatan Kes Duit Kutu

Share

Misteri kehilangan tiga beranak terungkai, pasangan serah diri & direman siasatan kes duit kutu.

Misteri kehilangan tiga beranak yang menjadi perhatian ramai sejak lebih dua minggu lalu akhirnya terungkai apabila pasangan suami isteri, Khairul Azhar Ahmad, 39 dan Siti Zulaikha Ahmad Sabri, 36 tampil menyerah diri kepada polis awal pagi Khamis sebelum direman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan melibatkan urusan duit kutu.

Pasangan itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu kira-kira jam 1.50 pagi sebelum ditahan. Mereka kemudian dibawa ke Mahkamah Jitra untuk proses permohonan reman bagi membolehkan siasatan diteruskan.

Misteri Kehilangan Tiga Beranak Terungkai

Pasangan Serah Diri & Direman Siasatan Kes Duit Kutu

Kes kehilangan mereka sebelum ini mencetuskan kebimbangan apabila Khairul Azhar, Siti Zulaikha dan anak lelaki mereka, Adid Khairul Azhar, 9 gagal dihubungi ahli keluarga sejak 20 Julai lalu.

Kehilangan tiga beranak itu hanya disedari selepas bapa kepada Siti Zulaikha gagal menghubungi anak perempuan, menantu serta cucunya selama beberapa hari sebelum membuat laporan di Balai Polis Bukit Kayu Hitam kerana bimbang akan keselamatan mereka. Semakan dengan pihak sekolah turut mendapati Adid tidak hadir ke Sekolah Kebangsaan Felda Batu 8, Changlun sepanjang tempoh kehilangan tersebut.

Siasatan awal polis melalui rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di kediaman mereka mendapati tiga beranak itu pulang ke rumah sekitar jam 1.12 pagi sebelum keluar semula kira-kira jam 2.20 pagi menggunakan kenderaan yang sama. Bagaimanapun, selepas itu tiada sebarang petunjuk mengenai keberadaan mereka sehingga kes berkenaan tular di media sosial dan mendapat perhatian orang ramai.

Ketika usaha mengesan mereka masih dijalankan, siasatan mengambil perkembangan baharu apabila polis menerima satu laporan daripada seorang lelaki berusia 23 tahun yang mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM25,000

dalam urusan duit kutu.

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim sebelum ini memaklumkan laporan tersebut dibuat terhadap Siti Zulaikha, manakala polis sedang menyiasat sama ada terdapat kaitan antara kehilangan pasangan itu dengan dakwaan membabitkan urusan duit kutu.

Beliau berkata, setakat itu polis tidak mengesan sebarang rekod menunjukkan pasangan berkenaan meninggalkan negara, malah siasatan dijalankan dari pelbagai sudut termasuk kemungkinan mereka menjadi mangsa jenayah, kemalangan atau mempunyai kaitan dengan isu kewangan yang sedang disiasat.

Penyerahan diri pasangan itu awal pagi Khamis sekali gus menamatkan pencarian yang berlangsung lebih dua minggu dan menjawab pelbagai spekulasi yang timbul sepanjang kehilangan mereka.

Bagaimanapun, sehingga kini polis belum mengumumkan sebarang pertuduhan terhadap pasangan terbabit, manakala siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti sama ada dakwaan berkaitan urusan duit kutu mempunyai unsur kesalahan jenayah atau sebaliknya.

Published by
Almaswa Haji Che Ros