Uncategorized

Miri Gegar Dengan Konsert MeleTOP TVS – Wanita-Wanita Hebat Tawan Pentas Borneo

Share

Bertemakan “Nang Champiyen, Nang Legend”, konsert MeleTOP TVS berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya, pentas mega itu dibawa keluar dari Lembah Klang dan Miri, Sarawak dipilih sebagai lokasi pertama!

Dalam sambutan penuh warna, emosi dan kebanggaan, ribuan penonton membanjiri Stadium Tertutup Miri untuk menyaksikan persembahan artis-artis tersohor tanah air termasuk Dayang Nurfaizah, Stacy, Mimifly, Dolla dan ramai lagi, dalam acara yang menjadi bukti kehebatan anak seni wanita Borneo di persada hiburan nasional.

Konsert yang disiarkan secara langsung oleh gabungan gergasi hiburan Astro dan TVS itu benar-benar meraikan wanita. Antara momen paling menyentuh ialah apabila Dayang Nurfaizah ikon Sarawak yang sentiasa membanggakan dianugerahkan “Anugerah Khas Borneo MeleTOP”, sebagai penghargaan terhadap pencapaiannya mengharumkan nama negeri dan tanah kelahirannya.

“Anugerah ini bukan hanya untuk saya. Ia milik semua wanita Borneo yang bangkit dan berjuang dalam dunia mereka sendiri,” ujar Dayang dengan nada rendah diri namun sarat makna.

Antara persembahan paling bertenaga malam itu termasuk gandingan Mimifly dan Stacy dengan lagu-lagu ‘panas’ seperti Abracadabra, Menyala dan Angkat. Penonton berdiri dan menari bersama, meraikan kuasa wanita dalam muzik yang membakar semangat.

Tidak ketinggalan, Wani Kayrie, bintang muda penuh pesona, mencuri tumpuan bersama Noki menerusi Original Sabahan dan Not Like Us  lagu-lagu yang mencerminkan identiti dan kebanggaan anak jati Borneo.

Turut menghangatkan malam ialah kemunculan Marsha Milan, Nadeera dan Hairee Francis yang terus mengangkat bakat tempatan Sabah dan Sarawak ke pentas utama.

Kolaborasi Dayang dan Hael Husaini menerusi lagu Haram menjadi kemuncak malam. Lagu balada penuh emosi itu menggetarkan jiwa ribuan penonton yang menyanyi bersama, satu simbol betapa muzik mampu menyatukan tanpa batas geografi atau budaya.

Konsert yang ditutup dengan persembahan penuh glam dan koreografi memukau daripada Dolla menjadi pernyataan akhir bahawa wanita dalam muzik bukan lagi bayang-bayang, tetapi barisan depan industri.

Konsert Berkat Gawai-Kaamatan

Tak cukup dengan itu, TVS bakal kembali dengan Konsert Berkat Gawai-Kaamatan pada 21 Mei 2025, juga di Stadium Tertutup Miri. Turut dinanti-nanti ialah Ella, ratu rock negara, bersama barisan artis hebat seperti Bob Yusof, Velvet Aduk, Marina Jara (Kalimantan) dan ramai lagi.

Tiket percuma habis dalam masa singkat, tetapi masih boleh diperoleh di tvsarawak.my atau di pintu masuk satu acara wajib hadir bagi warga Miri dan pencinta budaya Borneo.

Miri – Pusat Seni, Budaya dan Suara Wanita

Menurut Pemangku CEO TVS, Mohamad Sardon Zainal, Miri adalah lokasi strategik bukan hanya untuk pelancongan, tetapi sebagai hab sambutan seni dan budaya yang inklusif dan meriah.

“Miri adalah pintu masuk ke utara Sarawak. Lokasinya dekat dengan Brunei dan Kalimantan. Ulang tahun ke-20 Miri sebagai bandaraya adalah masa terbaik untuk kita meraikan rakyat dan budaya kita secara besar-besaran,” katanya.

Follow kami di TELEGRAMINSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE

Published by
Rosmah Idayu