Mimpi anak sulung mangsa tragedi di Sungai Korok-“Ayah cakap jangan sedih, jaga kakak dari jauh.” “Pagi tadi saya bermimpi ayah kata jangan sedih, ayah dan ibu akan jaga kakak dari jauh, ramai orang akan ambil berat pasal kakak,” luah Puteri Qisya Nur Izzat, 12, anak sulung pasangan yang maut dalam tragedi lemas sekeluarga di Sungai Korok, Jitra, Kedah.
Puteri Qisya berkata, dia terjaga daripada tidur selepas mimpi itu dan terus ke ruang tamu untuk mencari nenek serta saudara-mara yang ada di rumah.
“Saya nampak mereka menangis dan cakap ‘jangan sedih kakak, kami ada jaga kakak’. Masa tu baru saya tahu ayah, ibu dan adik-adik dah tak ada,” katanya sebak ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Dalam kejadian tragis itu, ibu bapanya, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khalijah Razman Efendi, 31, bersama empat adiknya iaitu Putra Rayyan Nur Izza, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan ditemui lemas di dalam sebuah kereta Proton Iswara yang tenggelam di Sungai Korok.
Menurut Puteri Qisya, dia tidak menyangka keputusan untuk tidak mengikut keluarganya bermalam di rumah saudara di Taman Seri Aman, Jitra menjadi detik yang memisahkan dia daripada insan tersayang buat selamanya.
“Selalunya saya ikut, tapi malam tu rasa malas sangat. Ayah dan ibu benarkan saya tinggal di rumah tok di Jerlun,” katanya.
Namun keesokan paginya, dia dikejutkan dengan berita yang meruntun jiwa apabila mendapat tahu semua ahli keluarganya sudah tiada.
Kini, Puteri Qisya bergelar yatim piatu dan hanya tinggal bersama keluarga sebelah nenek di Jerlun.
“Buat masa ni saya akan duduk dengan tok, saya tak tahu lagi apa akan jadi selepas ni. Kehidupan saya dah tak sama tanpa mereka,” luahnya sayu.
Difahamkan, keenam-enam ahli keluarga itu dilaporkan hilang Sabtu lalu selepas dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Jerlun kerana Mohamad Azim dijadualkan masuk kerja sebagai pengawal keselamatan pagi itu.
Bagaimanapun, mereka tidak pernah sampai ke rumah, menyebabkan ibu mentua Mohamad Azim menghubungi adik arwah, Nur Adliah Syuhada Ishak, 26, untuk bertanyakan hal itu.
Namun, Nur Adliah memaklumkan pasangan itu sudah keluar dari rumahnya dan segala usaha menghubungi mereka gagal, sehinggalah penemuan kenderaan yang tenggelam di Sungai Korok pagi tadi.
Sumber: Harian Metro
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE