
Bukan anti makan jamu tetapi ada sesetengah tak boleh telan sebab kesannya pada anak. Tambah pula kalau anak kena jaundis! Jadi inilah pilihan yang Juara Akademi Fantasia (AF5), Mila Jirin ada, cuma kena rajin buat. Jemput tiru petua ini ya mak-mak muda…
Biar pun agak kekok pada mulanya menguruskan Mohamed Arif Zikri. Tetapi Mila, 30, percaya menguruskan anak mengambil masa, mujurlah suaminya banyak membantu, jadi tugas ibu muda ini menjadi lebih mudah. Rutin harian Mila juga sedikit sebanyak berubah sejak kehadiran permata hatinya.
“Sebenarnya Mila tidak kisah anak kami lelaki atau perempuan, maklumlah anak sulung. Tetapi daripada scan pertama kali lagi kami sudah tahu jantina bayi, jadi segala persiapan memang diatur khas untuk dia termasuklah pakaian dan sebagainya.
“Dugaan paling besar sekarang ini ialah untuk menyesuaikan kehidupan dengan baby baru. Dahulu kami berdua boleh bersenang lenang, kini bukan sahaja tidur tak cukup, malah makan pun perlu bergilir-gilir dan cepat.
“Kalau mahu ke mana-mana, keperluan Mohamed Arif Zikri yang diutamakan. Dahulu boleh nak stail macam-macam tudung, kini apa yang sempat sahaja kerana bimbang anak meragam. Sebenarnya tidaklah sukar untuk uruskan dia, tetapi Mila sahaja yang masih belajar untuk sesuaikan diri,” jelasnya sambil tersenyum.
Berpantang 100 hari
Penyanyi kecil molek ini mengakui bahawa dirinya turut melalui fasa peningkatan berat badan secara mendadak sepanjang proses kehamilan. Menurut Mila, beratnya naik 12 kilogram sepanjang tempoh mengandung. Jadi bukan satu perkara yang mudah untuk dia dapatkan kembali tubuh asal, lagi pula dia melahirkan anak secara pembedahan.
Fasa pertama berpantang iaitu 44 hari telah selesai dan Mila mengikuti dengan jayanya. Ketika ini Mila masih meneruskan pantangnya hingga hari ke 100 terutamanya dari segi pengambilan makanan kerana anaknya menyusu badan.
Jelas Mila, dia tidak mengamalkan sebarang pengambilan sebarang jenis jamu kerana bimbang akan kesihatan anaknya. Tetapi amalan harian Mila adalah senaman kagel setiap hari di sebelah siang dan malam. Di samping itu, Mila juga memperuntukkan sedikit masa untuk berenang dalam mendapatkan tubuh asalnya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
[#WanitaTerhebat] Ada Duit & Popular Tapi Kalau Hati Tak Gembira, Tak Guna Juga. Ini Pandangan & RAHSIA Neelofa Tepis Masalah Hidupnya!
![[#WanitaTerhebat] Ada Duit & Popular Tapi Kalau Hati Tak Gembira, Tak Guna Juga. Ini Pandangan & RAHSIA Neelofa Tepis Masalah Hidupnya! 6 [#WanitaTerhebat] Ada Duit & Popular Tapi Kalau Hati Tak Gembira, Tak Guna Juga. Ini Pandangan & RAHSIA Neelofa Tepis Masalah Hidupnya!](https://www.mingguanwanita.my/wp-content/uploads/2017/08/Lofaa.jpg)
Cantik, ada duit, berjaya dan popular. Noor Neelofa Mohd Noor memiliki pakej yang amat diimpikan oleh wanita seusianya. Pasti ada terselit rahsia Neelofa yang orang ramai sendiri tak tahu macam mana nak berjaya dalam bisnes walau kadang disinggah masalah gosip. T
idak hairanlah dia telah dipilih menjadi duta dan jurucakap kepada lebih 10 jenama produk tempatan mahupun luar negara. Disebabkan kepopularannya itu jugalah dia memiliki lebih 4.8 juta pengikut di Instagram. Neelofa bersyukur dengan apa yang dinikmatinya kini.
Namun sebelum berada pada kedudukan sekarang, banyak onak dan duri perlu dihadapinya. Secara jujurnya Neelofa menjelaskan orang ramai hanya nampak benda yang baik dan secara luaran sahaja.
“Tetapi apa benda yang saya kurang dan saya rasa masih tidak capai lagi hanya saya sahaja yang tahu. Hanya mereka yang dekat dengan saya sahaja yang tahu. Saya rasa saya perlu belajar dan lebih tambah ilmu dari semasa ke semasa. Saya ada gambaran ini di mana insan yang bagaimana saya perlu jadi. Tetapi saya masih belum sampai lagi ke arah itu. Sekarang ini saya masih lagi banyak belajar dan berusaha lagi.
“Banyak lagi yang perlu saya buat. Ilmu dalam diri belum cukup lagi. Saya mencari ilmu bukan sahaja untuk berjaya tetapi untuk menjadi lebih gembira. Saya mahu mencari kegembiraan melalui ilmu. Kita perlu menyayangi diri sendiri barulah kita dapat menyayangi orang lain.”
Tidak Lari Daripada Masalah
“Saya tidak tahu.” Itulah jawapan Neelofa bila ditanya bilakah statusnya akan berubah menjadi suri rumah tangga. Sesungguhnya dia sudah biasa menerima soalan sebegitu apabila dia mula rapat dengan kawan lelaki.
Bercerita mengenai diri yang sering digosipkan dengan artis dan orang kenamaan, Neelofa menjelaskan kebanyakan masa apabila gosip mengenai dirinya keluar, dia akan berfikir bagaimana untuk menghadapinya.
“Saya akan fikir sama ada gosip itu berbaloi atau tidak untuk saya membuka mulut memberi penjelasan. Kadangkala saya perlu tengok juga seteruk mana saya kena dengan gosip itu.
“Kalau gosip itu ala kadar dan ringan sahaja, pendekatan yang saya ambil adalah buat tidak tahu sahaja. Kalau gosip itu memberi kesan pada karier dan maruah, barulah saya ambil tindakan seperti bertemu dengan wartawan itu dan lihat sama ada benda ini boleh dibersihkan semula.
“Tetapi kebanyakan orang apabila ada gosip mereka akan post dan bantai balik. Kemudian bergaduh sesama mereka. Saya tidak begitu. Dalam menghadapi gosip sebegini saya tidak tertekan tetapi rasa sedikit kacau.
“Dalam menaikkan semangat semula, saya bersyukur kerana ada kawan-kawan dan keluarga yang memberi semangat. Saya rasa kuat disebabkan mereka ini. Tetapi pada masa yang sama, kita kenal diri kita sendiri. Kita perlu sedar bagaimana orang luar melihat diri kita. Adakah kita yang jenis lemah atau senang jatuh apabila orang menjatuhkan anda.”
Jelas Neelofa apabila ada orang yang cuba menjatuhkan dirinya, cara yang dibuatnya adalah kebanyakan masa dia buat tidak tahu sahaja.
“Kalau saya beri tindakan balas, mereka lagi suka. Saya banyak simpan, saya hadam sendiri dan saya belajar bagaimana untuk menghadapinya. Kalau benda itu pedih dan menyakitkan hati saya hadap benda itu.
“How bad it will break me? If you how bad it will break, you know how to overcome that thing in the future. Kalau kita sentiasa lari daripada masalah, kita tidak tahu betapa teruknya ia akan memakan diri.”
Jelas Neelofa, faktor umur juga membuatkan dia semakin matang dalam menghadapi sebarang gosip mahupun pendapat negatif orang ramai.
Sebaiknya…
“Tidak perlulah membuang tenaga untuk fight dan beri kenyataan kerana pada akhirnya semuanya akan kembali reda. Saya sudah lain kerana kali ini saya tidak fikir apa orang cakap. Sekarang ini semuanya berkaitan dengan diri saya. Apa yang saya fikir mengenai diri saya.
Apa yang yang saya mahu buat pada diri saya dan apa yang boleh buatkan diri saya gembira. Saya gembira sekarang kerana diri ada kesedaran tersebut. Dahulu saya masih tercari-cari apa yang saya hendak dalam hidup ini.
Ada duit dan popular kalau tidak gembira, tidak berguna. Oleh itu perlulah tahu bagaimana untuk cari kegembiraan? Dalam mencari kegembiraan, perlulah belajar menyayangi diri sendiri terlebih dahulu. Cari apa yang boleh buat diri gembira dan apa yang boleh buat diri heartbroken.
Kita perlu bezakan benda dan orang dalam situasi yang boleh menjatuhkan atau benda atau situasi yang boleh menaikkan semangat . Apabila kenal, anda tertarik dengan positif. Sebab itu saya suka cari ilmu kerana ilmu boleh mengubah seseorang. Saya hendak belajar buat bisnes juga sebab ilmu juga.”
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Amalan Ayu Raudhah Masa Hamil, Telan Sarang Burung Hampir Nak Muntah Pun Salah Satu!

Kelahiran Laura Zuleykha sememangnya dinanti-nanti oleh pasangan selebriti terkenal Ayu Raudhah serta suami, Zaquan Adha. Anugerah cahaya mata ketiga ini nyata menyerikan lagi kehidupan rumah tangga mereka yang sedia bahagia.
Kata Ayu, di awalnya keadaan sedikit kelam kabut kerana ‘meriahnya’ anak-anak menerima adik baru tetapi lama-kelamaan ia menjadi aktiviti rutin yang harus dilakukan.
Suara riuh-rendah anak-anak menjadi muzik terapi buat pasangan ini. Ayu Raudhah mengakui hidupnya dan suami kosong bila anak-anak tiada di sisi walaupun dalam tempoh waktu yang singkat.
Amalkan Pengambilan Sarang Burung
Penulis mengambil kesempatan mencungkil cerita si comel Laura Zuleykha. Dengan kulit yang putih mulus serta langsung tidak banyak ragam, pasti ada rahsia yang cuba disembunyikan Ayu. Meleret senyuman Ayu apabila ditebak soalan yang sebegitu. Katanya, tidak ada rahsia sangat tentang puteri kesayangannya itu cuma ketika mengandung dahulu, dia ada mengambil sejenis makanan selain mempraktikkan sedikit amalan yang diberi oleh orang tua-tua.
“Waktu disahkan hamil, saya mula mengambil sarang burung sebagai makanan tambahan. Ketika itu, saya belum tahu lagi bayi kami perempuan atau lelaki. Saya amalkan makan sarang burung setiap hari. Ada kalanya rasa macam hendak muntah tetapi bila fikirkan khasiatnya, saya telan juga.
“Suami pula sudah seperti jururawat di rumah. Asyik tanya sahaja sama ada saya sudah makan atau belum sarang burung. Pada masa yang sama, saya amalkan bacaan surah al-Fatihah apabila teringatkan anak-anak.
“Alhamdulillah, setakat ini saya rasa perubahan yang positif. Lasak dan aktif, itu dah memang sifat anak-anak tetapi bonding antara kami sangat kuat. Garang? Rasanya bukan saya garang kot tetapi lebih kepada tegas kerana saya mahu mendidik dan mendisiplinkan anak-anak.
“Suami pula jenis yang fleksibel, sebab itulah anak-anak sangat rapat dengan dia. Tetapi bila sampai masa tidur, dengan sayalah mereka akan datang menghimpit. Saya dan Zaquan memang tidak boleh berenggang dengan anak-anak, mereka harta kami yang paling berharga,”katanya.
Cinta Semakin Kuat
Melihat ahli keluarga yang semakin ramai, Ayu Raudah tidak nafikan kehidupannya dan suami begitu sibuk sehinggakan masa untuk berdua-duaan menjadi amat terhad.
“Ada juga yang bertanya, bila sudah ada anak ramai ni macam mana dengan waktu privasi saya dan suami. Terjejas atau tidak. Sebenarnya, saya tidak suka guna perkataan terjejas sebab anak-anak bukanlah gangguan tetapi anugerah yang sangat berharga buat kami berdua.
“Ketika bersama dengan anak-anak, kami akan gunakan waktu sebaiknya. Bermain, bercerita, melukis dan sebagainya. Saya isi waktu terluang dengan aktiviti yang anak-anak suka, momen ini sangat indah.
“Istilah privasi itu pula biasanya kami praktikkan saat berdua, tidak kiralah di mana-mana sahaja. Pada saya, selagi kuatnya rasa kasih dan sayang, takkan timbul perasaan jemu atau penat untuk bercinta. Tempoh bulan madu bukan di awal perkahwinan tetapi setiap saat yang kita lalui bersama. Sekalipun suami lebih muda usianya tetapi fikirannya matang. Sikap family man, penyayang dan romantik benar-benar membuatkan saya jatuh cinta setiap hari.
“Bercerita tentang perancangan tahun baru, rasanya tak banyak yang berubah. Saya akan beri lebih tumpuan kepada perniagaan pakaian suami dan produk kecantikan saya yang dilakukan secara online.
“Alhamdulillah, sampai ke hari ini sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Mungkin kerana harga yang ditawarkan mampu milik selain berkesan kepada pengguna. Hendak ‘ligat’ berlakon kembali, rasanya biar dululah ya,” katanya yang baru sahaja mewujudkan akaun Instagram buat Laura dan penangan follower sangat memberangsangkan.
Penulis/Wartawan Mingguan Wanita: Nazwa Selamat
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Jenis Suka Makan, Liza Hanim Bongkar Rahsia Berat Badan Tanpa Pil Pelangsing

Penyanyi bersuara lunak dan lantang, Liza Hanim atau nama sebenarnya Haliza Hanim Abdul Halim,38, yang merupakan salah seorang peserta akhir Gegar Vaganza(GV) musim ke-empat sekali lagi membuktikan kemampuannya apabila berjaya merangkul naib Juara Gegar Vaganza 4.
Penampilan Liza Hanim yang tampil lebih langsing amat mencuri perhatian semua orang. Perkara ini bukan datang bergolek, sebaliknya memerlukan usaha keras kerana Liza Hanim tidak mahu kurus dengan bantuan pil, sebaliknya atas usaha sendiri. Oleh itu, biar pun agak sukar, namun dengan disiplin yang tinggi akhirnya Liza Hanim mendapat berat idealnya.
Liza Hanim Dedah Cara Kurus
Segalanya bermula apabila dirinya merasakan dirinya terasa tidak selesa untuk berjalan, mudah sakit kaki kerana saiz kaki yang kecil tidak mampu menampung berat badan seterusnya sukar bergerak membuatkan artis ini terdetik, inilah masanya untuk dirinya menurunkan berat badan. Selebriti ini turut akui bukan perkara yang mudah untuk turunkan berat badan secara natural, lebih-lebih lagi anaknya sedang menyusu badan ketika itu.
Bermula dengan belajar apakah jalan terbaik untuk dirinya turunkan berat badan, seterusnya Liza Hanim cuba memahami cara untuk kuruskan badan secara teratur dan mengikut kondisi tubuh sendiri. Bertambah getir apabila Liza Hanim merupakan pencinta makanan, namun dia mula mengkaji makanan apa yang sesuai untuknya dan mula mengambil makanan mengikut keperluan dan bukannya kehendak semata-mata.
Liza Hanim turut bersenam dengan banyakkan berjoging dan berlari. Selain menurunkan berat badan secara catu makanan, bersenam juga amat penting kerana apabila kita bersenam, dia akan dapat memantapkan otot-otot dalam masa yang sama.
Wanita ini juga banyak menyertai acara larian yang dianjurkan pada ketika itu. Tambahnya menurunkan berat badan bukanlah untuk keyakinan dan kelihatan cantik semata-mata sebaliknya untuk tampil sihat dan bertenaga. Paling penting kesihatan turut terjamin.
Turun Berat Badan Tanpa Pil Pelangsing
“Sebenarnya ketika anak dara dan baru berkahwin, berat saya hanyalah sekitar 58 kg. Tetapi selepas melahirkan anak, berat saya mencecah 78 kg. Sebab itu saya kuatkan tekad untuk dapatkan berat badan yang ideal. Jadi setelah kejadian itu, setiap kali mengandung saya lebih berhati-hati dalam mengambil makanan, jadi berat badan saya naik secara terkawal.
“Saya tak boleh terus tak makan kerana kita perlukan tenaga. Berpada-pada dalam mengambil makanan dan bersenam. Macam sekarang saya memang tiada masa untuk aktif berlari macam dulu tetapi kenalah gantikan sesuatu yang lain untuk keluarkan peluh.
“Berat badan sebenarnya mempengaruhi suara saya, sudah tentu apabila berat badan meningkat kita akan jadi cepat penat dan kurang tenaga untuk menyanyi dengan baik. Oleh itu, kita perlu kawal pemakanan seperti penyanyi baru yang miliki masalah berat badan seharusnya mulakan dengan soalan kenapa anda perlu turunkan berat badan kerana setiap orang miliki masalah yang berbeza.
“Sesetengah orang biar pun miliki badan besar tetapi mereka sihat, kurus juga tidak bermakna sihat. Oleh itu, ketahuilah berat badan ideal dan cuba usahakan untuk turun berat badan mengikut kemampuan,” jelasnya lagi.
Rahsia Bahagia
15 tahun melayari bahtera rumah tangga bersama bekas anggota kumpulan Indigo, Mohamed Shahrin Samsudin sesungguhnya satu perjalanan yang cukup indah buat Juara Bintang Penghibur HMI (1999). Perbezaan sikap Liza Hanim yang manja dan suaminya yang selamba membuatkan pasangan ini serasi bersama. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami, isteri. Sesekali bersengketa bukanlah alamat pengakhir hubungan sebaliknya ianya adalah fasa untuk pasangan ini lebih mengenali antara satu sama lain.
“Bagi saya dalam apa cara sekali pun dalam hubungan suami, isteri, jangan lupa bahawa lelaki yang berada di sisi adalah suami kita. Hormatilah dia seadanya dan letakkannya di tempat yang tertinggi dalam segala hal. Sikap bertolak andur dan saling mempercayai adalah ramuan utama dalam perkahwinan.
“Sampai ke satu tahap kita akan berasa bosan apabila kita melalui satu rutin yang sama dalam jangka waktu yang panjang tetapi sebagai suami dan isteri kita perlu lakukan sesuatu untuk semarakkan hubungan. Saya sendiri setelah sekian lama tak menghabiskan masa berdua, kami cuba cari kelainan dengan pergi bercuti berdua dan tinggalkan anak-anak tahun lalu.
“Walaupun susah dan kekok, maklumlah selama ini anak-anak ada bersama dan riuh sepanjang jalan. Rasa janggal apabila sunyi dan tinggal berdua sahaja. Tetapi seronok jika dapat luangkan masa berkualiti dengan pasangan, seolah-olah mood bercinta dan sweet moment itu datang kembali. Jadi bagi pasangan berkahwin, sesekali curi masa untuk habiskan masa berdua. Percayalah perkara ini berjaya untuk hangatkan kembali hubungan anda,” ungkapnya teruja.
Pantang Sebut Cerai
Jelas Liza Hanim, dirinya amat bersyukur kerana dianugerahkan seorang suami yang amat memahami dan penyayang. Paling penting, bukan sekadar bergelar suami, Mohamed Shahrin menjalankan tugasnya sebagai bapa sebaiknya. Hingga ke saat ini, Liza Hanim masih kuat memegang nasihat ayahandanya yang berpesan agar sekusut mana sekali pun berhadapan dengan masalah dalam rumah tangga, jangan sesekali menyebut perkataan “cerai”.
Pesanan yang diberi sejak dirinya belum bernikah dengan suami membuatkan dirinya lebih berhati-hati dan sentiasa beringat. Sekiranya berlakunya pergaduhan, dirinya cuba mengambil jalan tengah dan muhasabah diri agar masalah rumah tangga dapat diselesaikan secara tenang dan di bawah pengaruh akal yang waras.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!



![[#WanitaTerhebat] Ada Duit & Popular Tapi Kalau Hati Tak Gembira, Tak Guna Juga. Ini Pandangan & RAHSIA Neelofa Tepis Masalah Hidupnya! 7 rahsia neelofa](https://www.mingguanwanita.my/wp-content/uploads/2017/08/lofa1.jpg)
![[#WanitaTerhebat] Ada Duit & Popular Tapi Kalau Hati Tak Gembira, Tak Guna Juga. Ini Pandangan & RAHSIA Neelofa Tepis Masalah Hidupnya! 8 rahsia neelofa](https://www.mingguanwanita.my/wp-content/uploads/2017/08/lofa2.jpg)






