vaksin influenza

Adalah biasa untuk seseorang itu dijangkiti influenza (lebih dikenali sebagai flu). Namun, segelintir golongan yang berisiko tinggi lebih mudah untuk mendapat komplikasi yang serius susulan jangkitan berlaku1.

Salah satu contoh golongan yang berisiko tinggi adalah pesakit dengan penyakit paru-paru kronik. Bagi mereka, perkara biasa seperti bernafas boleh menjadi sangat sukar. Sekiranya dijangkiti, influenza boleh merumitkan lagi keadaan mereka. Ini kerana influenza boleh menjadikan masalah paru-paru sedia ada menjadi lebih teruk atau menyebabkan komplikasi sekunder seperti radang paru-paru2.

Jelas sekali, adalah penting untuk mencegah influenza di kalangan pesakit penyakit paru-paru. Ini telah menyebabkan pelbagai badan perubatan di seluruh dunia dan di Malaysia menyarankan vaksinasi influenza tahunan2,3 untuk golongan yang berisiko tinggi ini.

Dalam populasi umum, vaksinasi influenza tahunan menunjukkan tahap keberkesanan sebanyak 60% dalam mencegah jangkitan influenza4. Tambahan pula, kebarangkalian untuk kemasukan ke ICU menurun sebanyak 37% bagi mereka yang telah divaksinasi berbanding mereka yang tidak mendapatkan vaksin. Risiko kematian juga berkurang sebanyak 52-79% bagi mereka yang mengambil vaksin berbanding golongan yang tidak mendapatkan vaksin5. Vaksinasi influenza boleh memberi perlindungan lebih baik terhadap pesakit berpenyakit paru-paru.

COPD MEMBUAT ANDA TIDAK BOLEH BERNAFAS

Sekitar setengah juta rakyat Malaysia menghidap penyakit penghalang pulmonari kronik atau COPD6 pada tahap sederhana atau teruk, di mana aliran udara sentiasa tersekat7. Jenis-jenis COPD yang lazim berlaku termasuklah emfisema (kerosakan sel-sel paru-paru) dan bronkitis kronik (keradangan sekunder hingga jangka panjang pada saluran udara)7.

Biasanya, pesakit COPD akan mengalami sesak nafas, berdehit, dada berasa ketat, dan batuk kronik dengan kahak7. Namun, keadaan ini hanya menjadi ketara apabila lebih daripada separuh sel-sel paru-paru telah rosak8. Ketika ini, mereka mengalami kesukaran yang teramat sangat walaupun untuk melakukan tugas-tugas harian. COPD menjejaskan kualiti kehidupan apabila 23% pesakit tidak dapat bekerja manakala 42% hanya mampu melakukan kerja atau aktiviti yang terhad sahaja9.

IKLAN

Influenza adalah ancaman serius kepada pesakit COPD. Sehingga 1 daripada 10 kemasukan ke hospital adalah akibat influenza10. Apa yang lebih membimbangkan, pesakit COPD akut dan teruk yang dijangkiti influenza adalah lebih berisiko untuk meninggal dunia semasa dirawat di hospital11.

Vaksinasi influenza telah terbukti dapat mengurangkan kadar kemasukan ke hospital bagi pesakit penyakit paru-paru kronik sehingga 50% dan mengurangkan risiko kematian sebanyak 70%3. Sehubungan itu, Garis Panduan Amalan Klinikal bagi Pengurusan COPD (edisi ke-2) menyarankan supaya pesakit COPD mendapatkan vaksin tahunan untuk melindungi mereka daripada komplikasi akibat influenza dan simptom-simptom COPD yang lebih teruk3.

FLU BOLEH MENCETUSKAN SERANGAN ASMA

Asma atau lelah ialah salah satu masalah respiratori kronik yang paling lazim berlaku di dunia12. Di Malaysia, sekitar 7.1% kanak-kanak dan 4.5% orang dewasa menghidap asma13. Mereka biasanya akan mengalami masalah berdehit, dada berasa ketat, sesak nafas dan batuk12. Gejala ini boleh terjadi disebabkan saluran udara yang menjadi sempit akibat keradangan, penghasilan mukus berlebihan dan pengecilan saluran udara12.

Bagi penghidap asma, gejala yang menjadi teruk secara mendadak (serangan asma) adalah amat membimbangkan. Serangan ini boleh dicetuskan oleh pelbagai faktor seperti debu, bulu haiwan dan debunga14. Influenza juga dapat mencetus serangan asma dan perlu dielakkan kerana ia boleh menyebabkan komplikasi-komplikasi yang jauh lebih serius14.

IKLAN

Kanak-kanak pesakit asma yang dijangkiti influenza mungkin memerlukan dua kali ganda preskripsi antibiotik (untuk merawat asma) dan kunjungan ke hospital yang lebih kerap berbanding mereka yang tidak menghidap asma15. Tambahan pula, risiko kegagalan bagi rawatan asma boleh meningkat sebanyak 24.9% jika adanya jangkitan influenza16.

Jangkitan influenza boleh menyebabkan seseorang dewasa yang menghidap asma lebih terdedah kepada jerutan bronkus dan kemerosotan fungsi paru-paru yang berpanjangan17. Serangan asma yang dicetuskan oleh influenza dikaitkan dengan kadar kemasukan ke hospital dan kematian yang sepatutnya boleh dielak, terutamanya di kalangan warga emas17.

Menyedari bahaya influenza, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat menyarankan vaksinasi influenza tahunan kepada kanak-kanak yang menghidap asma supaya penyakit asma mereka tidak menjadi teruk atau simptom-simptomnya terkawal2.

PERANAN AHLI KELUARGA DALAM PENCEGAHAN INFLUENZA

Menjaga pesakit berpenyakit paru-paru kronik mencabar kerana seseorang itu perlu sentiasa peka dan bersedia untuk bertindak sekiranya berlaku sebarang serangan. Oleh itu, ahli keluarga dan penjaga perlu mengetahui dengan lebih lanjut mengenai influenza dan aktif berperanan dalam menggalakkan vaksinasi influenza untuk pesakit dan diri mereka sendiri18. Ini pasti akan membantu mencegah penularan influenza di rumah, di samping mengelakkan kos dan bebanan yang dikaitkan dengan komplikasi-komplikasinya.

IKLAN

Peranan ahli keluarga bagi menyarankan vaksinasi influenza sangat penting. Kira-kira 33-42% individu yang berisiko tinggi tidak mengambil vaksin untuk influenza. Ada yang percaya mereka boleh mengelakkan jangkitan19 tersebut manakala yang lain pula menyangka influenza adalah demam selesema biasa. Malah, semasa wabak influenza H1N1 pada tahun 2009, 41% orang dewasa di Malaysia percaya ia cuma penyakit ringan dan tidak perlu mendapatkan vaksin untuknya20. Persepsi yang salah seperti ini masih wujud sehingga hari ini.

Sebaliknya, kajian menunjukkan bahawa galakan peribadi boleh menghasilkan perbezaan yang besar. Nasihat daripada pakar penjagaan kesihatan dan ahli keluarga telah menunjukkan ia boleh meningkatkan liputan vaksinasi sebanyak 25-48%19. Ternyatalah, perubahan boleh diwujudkan daripada sikap prihatin.

TAMAT

Rujukan:

1.CDC (2018). People at High Risk of Developing Flu-Related Complications. Retrieved from https://www.cdc.gov/flu/about/disease/high_risk.htm
2.CDC (2017). Adults With Chronic Conditions: Get Vaccinated. Retrieved from https://www.cdc.gov/features/vaccineschronicconditions/index.html
3.Ministry of Health Malaysia (2009). CPG Management of Chronic Obstructive Pulmonary Disease 2nd Edition, p21. Retrieved from www.acadmed.org.my
4.CDC (2017). Vaccine Effectiveness – How Well Does the Flu Vaccine Work? Retrieved from https://www.cdc.gov/flu/about/qa/vaccineeffect.htm
5.Arriola et al (2017). Influenza Vaccination Modifies Disease Severity Among Community-dwelling Adults Hospitalized With Influenza. Infectious Diseases Society of America. 2017;65(8):1289–97
6.Regional COPD Working Group (2003). COPD Prevalence in 12 Asia-Pacific Countries and Regions: Projections Cased on the COPD Prevalence Estimation Model. Respirology 8(2):192-198
7.COPD Foundation (2018). What is COPD? Retrieved from https://www.copdfoundation.org/What-is-COPD/Understanding-COPD/What-is-COPD.aspx
8.Cleveland Clinic (2015). Emphysema. Retrieved from https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/9370-emphysema
9.Lim et al (2015). Impact of Chronic Obstructive Pulmonary Disease in the Asia-Pacific Region: the EPIC Asia Population-based Survey. Asia Pacific Family Medicine. 14(4):DOI 10.1186/s12930-015-0020-9
10.Qureshi et al (2014). Chronic Obstructive Pulmonary Disease Exacerbations: Latest Evidence and Clinical Implications. Therapeutic Advances in Chronic Disease. 5(5):212-227
11.Koul et al (2014). Contribution of Influenza to Acute Exacerbations of Chronic Obstructive Pulmonary Disease in Kahsmir, India, 2010-2012. Influenza and Other Respiratory Viruses 9(1):40-42
12.WHO (2017). Asthma. Retrieved from http://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/asthma
13.Ministry of Health (2006). National Health and Morbidity Survey III. pp28,31. Retrieved from http://iku.moh.gov.my/images/IKU/Document/REPORT/2006/ExecutiveSummary.pdf.
14.McErlean et al (2010). Viral Diversity in Asthma. Immunology Allergy Clinic North America. Nov 30(4): 481-495
15.National Foundation for Infectious Diseases (2006). Influenza and Children with Asthma. Retrieved from http://www.nfid.org/Content-Conversion/pdf/fluasthmamono.pdf
16.Merckx et al (2018). Respiratory Viruses and Treatment Failure in Children With Asthma Exacerbation. Pediatrics. 142(1):e20174105
17.Watanabe et al (2005). Prevention of Asthma Exacerbation with Vaccination Against Influenza in Winter Season. Allergology International. 54(2):305-309
18.Yeung et al (2016). Factors Associated with the Uptake of Seasonal Influenza Vaccination in Adults: A Systematic Review. Journal of Public Health. 38(4):746-753
19.Kroneman et al (2006). Influenza Vaccination Coverage and Reasons to Refrain among High-Risk Persons in Four European Countries. Vaccine. 24(5):622-628
20.Wong et al (2010). Factors Influencing the Uptake of 2009 H1N1 Influenza Vaccine in Multiethnic Asian Population. Vaccine. 17(28):499-505

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI