Mengaku tidak bersalah, 5 remaja dituduh guna perkataan mencela terhadap Allahyarhamah Zara Qairina

Share

Tragedi yang meragut nyawa adik Zara Qairina Mahathir, 13, terus mendapat perhatian apabila lima remaja perempuan bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Kanak-Kanak di sini, hari ini.

Dalam prosiding tertutup di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus, kesemua tertuduh yang berusia bawah 18 tahun itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Allahyarhamah Zara Qairina pada malam 15 Julai lalu, di sebuah sekolah di Papar.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa secara bersama menggunakan perkataan yang boleh mengganggu perasaan arwah, antara jam 10 hingga 11 malam. Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, memaklumkan kepada media bahawa setiap tertuduh dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan deposit RM1,000 serta seorang penjamin tempatan. Beliau turut menegaskan, hanya perkara itu boleh didedahkan kerana mahkamah telah mengeluarkan perintah larangan berhubung butiran lain dalam prosiding.

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Nor Azizah bersama Nik Haslinie Hashim dan Deepa Nair Thevaharan, manakala barisan peguam bela terdiri daripada nama-nama berpengalaman termasuk Datuk Ram Singh, Joan Goh, Prem Elmer Ganasan, Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Farah Nazriah Chun Lee, Fareez Salleh dan Sylyester Kuan.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula pada 25 September dan 16 Oktober, manakala pendengaran kes dijadualkan bermula 8 hingga 12 Disember serta 15 hingga 19 Disember depan.

Sumber: https://www.bharian.com.my/

Follow kami di TELEGRAMINSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE

Published by
Rosmah Idayu