
Isi Kandungan
ToggleDari sebuah senyuman pun kita boleh bayangkan wanita berbadan dua ini cukup bahagia dan bersemangat dalam bisnes yang dibuat. Walau pun Adeela Azhar berniaga tepi jalan, namun usahanya untuk mencari rezeki yang halal tak pernah hilang.
Bukan tak pernah masuk ofis tetapi makan gaji tetapi ada sebabnya. Ikuti cerita penuh daripada peniaga Nasi Lemak dan Nasi Ambeng ini.
Sebelum Mulakan Bisnes Jual Nasi Tepi Jalan
Menerusi tulisannya, dia bercerita tentang pengalaman kerjanya sebelum ini yang mana dia sendiri juga pernah buka butik hasil perkongsian dengan rakannya. Namun akhirnya dia lebih rasa puas apabila mulakan bisnes sendiri dengan berniaga nasi tepi jalan.
Tak mudah patah semangat, malah dia lebih rasa puas dengan hasil yang dia dapat hari ini…
“Bak kata laki aku, sabar sayang.
Ni baru permulaan. Kita boleh pergi jauh!”
Aku ada diploma engineering.
Laki aku pun ada diploma bisnes.
Masing masing boleh kalau nak cari kerja kalau nak. Aku pernah kerja office bahagian HR, starting gaji dah RM1.6K tahun 2014 kat perlis pula tu dengan tak ada pengalaman kerja. Aku pernah jadi technician kilang besar kat penang, kalau sebut ja nama kilang ni mesti orang akan kata gaji tebal la hang dok kilang tu. Kadang-kadang buat ot boleh pergi 3K gaji masa tu, ni cerita 2014 dulu.
Pernah Buka Butik
Aku penah bukak butik, tapi share dengan kawan aku. Lani dia dah bukak 2 cawangan dah. Lani sapa makan gaji ada diploma nak dapat 3K sebulan pun susah wei. Struggle gila gila buat dua tiga kerja. Tapi ini semua ikut rezeki masing-masing, kalau dia dapat rezeki kerja company elok. Elok la gaji dia.
Sebab tu, lepas kawin aku dah malas sangat sangat nak kerja. Nak ulang alik minyak kereta. Bayar sewa rumah. Lunch kat luar lagi. Berapa sangat tinggal bulan bulan. Tu belum cerita beli susu anak dan pampers anak lagi.
Banyak bidang aku dah tempuh, now aku cabar diri jual makanan tepi jalan pulak. Normal lah orang kata 5 tahun fasa perkahwinan. Struggle gila nak survive!
“Seriously, memang aku ni ditakdirkan muka tak reti malu. Laki aku suruh ambik gambar buat peace ka buat gaya atomen ka. Aku buat ja! Ada aku kisah orang lalu lalang dok tengok.”
“Bagi aku cari rezeki tepi jalan ni, memang agak mencabar. Kadang kadang hujan tak ada orang. Ribut mai serang habis lauk lauk atas meja. Duit sale terbang sekali dengan angin ribut pun pernah wei. Banyak gila suka duka jual tepi jalan ni.
Tapi kalau nasi habis, lauk habis itulah benda paling menggembirakan hari tu! Sedih! Nak nangis wei. “
Doakan Ibu Muda Ini
Apa apa pun aku redha, rezeki aku Allah bagi ikut sini. Doakan aku sampai berjaya ye kawan kawan semua.
Niat aku satu ja, aku berniaga ni. Kerana Allah. Aku nak settel kan hutang hutang dan aku nak bantu family aku. Kami bukan orang senang. Kalau kita tak tolong diri sendiri takda sapa nak tolong kita. Yang penting hidup kena ukur baju kat badan sendiri.

Pesanan Adeela Buat Wanita Yang Buat Bisnes
Ada sesetengah orang rasa segan nak berniaga macam-macam, takut sangat dengan kata-kata orang luar. Padahal kalau tak mula siapa yang tahu lebat mana rezeki yang Allah nak bagi. Bak kata Puan Adeela, abaikan pandangan orang luar dan teruskan semangat untuk bisnes.
“Apa pun cabang bisnes ampa buat, jangan pernah malu! Pekak kan ja telinga. Suara suara sumbang kat belakang tu biasa la. Tak payah fikir pun. Last last nanti depa jugak malu. Last last nanti depa jugak dok mai mintak tolong kita. Tu normal beb. Normal. Jadi ja diri sendiri. Confident level kena tinggi. Malu tu buang jauh jauh!
Dan lagi satu, jangan pernah malu nak buat bisnes dengan laki sendiri. Siapa lagi nak tolong suami sendiri kalau bukan kita isteri dia ni.”
Apa pun cabaran yang bakal tiba, Puan Adeela mohon netizen doakan yang baik-baik buat dirinya yang tengah sarat ini semoga berjaya dalam bisnes yang dia sedang buat.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Mulut Emak Memang “Masin”, Jadi Hati-hati Kesannya Anak Yang Tanggung

Isi Kandungan
ToggleBenarlah kata orang mulut emak memang “masin”. Setiap kata-kata emak menjadi doa buat anak-anaknya biar pun dia tak berniat. Oleh sebab itu mak seharusnya berfikir dahulu sebelum berkata-kata.
Jangan disebabkan kata-kata emak, hidup anak-anak jadi terbeban dan rezekinya terhalang. Berhati-hatilah kerana anak-anak yang menanggung setiap kata-kata seorang mak.
Ikuti perkongsian, Puan Dhuha Rashidi
Ibu bapa kena banyak doakan anak. Doa tidak sekadar khas lepas solat saja. Bila lihat, doakan. Bila pegang, doakan. Bila meragam, doakan. Bila happy, doakan. Yang baik-baik.
.
Saya teringat satu kisah benar. Moga menjadi pelajaran dan pengajaran pada kita semua.
.
Pernah suatu ketika semasa emosi tidak diurus baik, saya menjadi bersalah sangat pada diri sendiri. Semacam ada benda yang menganggu fikiran. Rasa terjerut. Baru setahun jagung jadi ibu , tentulah banyak proses salah dan silap. Ahh! Semacam tidak berfungsi sebagai ibu yang bagus pula. Terlebih bimbang. Masa itu.
Datang satu cetusan , kenapa aku tidak ‘ringan hati’ doakan anak-anak aku? Maksud ‘doakan’ di sini , selalu memandang lebih kebaikan pada setiap kejadian dari keburukan. Apa salah sendiri. Apa yang perlu dibetulkan. Begitu. Benda inilah yang asyik berlegar di fikiran.
Ada satu peristiwa semasa dalam perawatan Islam. Allah izinkan saya melihat sendiri kisah perjalanan hidup seorang anak lelaki yang selalu datang mahu berubat.
Hidup Banyak Halangan
Beliau datang mengadu pada ustaz, ada masalah iaitu rasa terhalang dalam kehidupan. Apa yang dibuat semua tidak menjadi. Pernah dirikan bisnes, tidak pernah satu pun berjaya. Pernah niaga kecil-kecilan, pun entah apa-apa. Ada saja halangan. Mahu juga merasa bahagia berpasangan, maka berkahwinlah. Perkahwinan pun tidak tentu hala jadinya.
Disangkakan salah jin. Asyik menyangka kena sihir. Bila ustaz beritahu tiada unsur sihir, terkaku kelu.
Nak dipendekkan ceritanya , ustaz bertanya kepada lelaki itu. Ada ibu lagi atau tidak. Beliau kata masih ada. Ustaz cadangkan minta ampun pada ibu jika ada dosa dan salah silap yang belum diredhai. Minta doa yang baik-baik dari ibu.
Lelaki ini mendengar nasihat ustaz. Mengangguk. Namun, seperti ada sesuatu yang disimpan.
Tak lama dari itu, beliau membuka cerita.
“Saya tahu ada dosa saya, tapi mak saya ini ustaz , suka cakap yang tak elok , macam mana nak mintak doa yang baik-baik ”
Ustaz tidak jelas.
Apa yang tidak eloknya. Contoh yang macam mana. Betulkah tidak elok.
“Mak saya suka maki saya ustaz, bila jumpa, mak mesti bercakap buruk-buruk pada saya, bila jauh, saya telefon, mak maki dalam telefon pulak ustaz, kadang saya malas nak angkat telefon ustaz, bila mak nak datang rumah saya elak ustaz, tak tahan dengar ” . Nadanya sayu menepis sebak yang tertahan.
Astaghfirullah.
Minta Mak Doakan
“Tak apa, teruskan berdoa dan selalu minta mak doakan yang baik-baik ” kata ustaz.
“Pelik juga saya ni ustaz, bila saya jumpa mak , 10 minit je mak okey , lepas itu mak kata, mak runsing dengan saya, mak kata saya ini tak pernah buat mak tenang, saya pelik, dalam masa sekejap itu saya buat apa pada mak. Mak mesti ungkit dia dah berhabiskan duit, anak tak jadi apa, dia nak saya jadi macam mana ustaz”
Ustaz yang merawat setia mendengar. Kejap tunduk pejam mata. Kejap ‘hmm’ tanda faham cerita.
“Ayat mak selalu sebut, kamu ini apa pun tak boleh buat, semua bankrap, apa benda buat pun, tak pernah jadi, kamu nak jadi apa, apa pun tak boleh harap, banyak kali ustaz, dari saya sekolah,” lelaki itu melepaskan nafas lega dan hiba.
“Mak sudah jadi biasa cakap bukan-bukan, bila saya kata mak sabarlah, mak doakan saya, mak kata, berapa banyak sudah aku doa, apa pun tak makbul, sampai kadang itu saya bergaduh juga dengan mak, saya merajuklah juga, mak pun ada merajuk dengan saya”.
Ustaz diam. Lelaki itu pun turut diam. Saya tidak nampak wajahnya bagaimana ketika itu. Di antara nada suara, saya tahu dalamannya terseksa. Ustaz tidak menghukumnya. Malah menasihati dengan berkali-kali pesan. Walau mungkin terselit juga keegoan diri daripada seorang anak yang dirasakan tidak dihargai.
Tiada cadangan lain yang saya dengar cuma ustaz memesan, mohon ampun pada ibu dan mintalah doa yang baik-baik keluar dari mulut ibu. Dengarkan kata-kata yang baik itu dengan telinga. Aminkan doa ibu itu. Kalau ibu tak mahu, pesankan pada ibu, tolong ucapkan doa sekian-sekian untuk kita.
Saya teringat kisah ini berasa gayat memikirkan lebih-lebih. Ada di mana rahmat buat anak-anak bila ayat yang keluar dari mulut ibu bapa, hanya bermula dari kesalahan dan kekecewaan pertama, terus dapat ayat yang buruk. Menyedihkan jika berlarutan sampai tua. Nauzubillahiminzalik.
Apakah kita tidak boleh fikir, satu masanya, kesan buruk bakal berlaku pada anak-anak akibat dari mulut kita sendiri. Seperti kata orang , mulut emak mulut ‘masin’.
Mengingat pesanan ustaz bahawa percakapan ibu adalah satu DOA buatkan saya termuhasabah lagi.
Keluar Ayat Yang Indah
Ya Allah, kurniakan aku kesabaran mendidik anak. Pinjamkan aku kekuatan membesarkan anak. Supaya yang keluar dari mulut ini adalah ayat yang indah lagi menenangkan hati anak-anak ku. Supaya lidah ini menjadi asbab bila mereka mengingati ibu , terus berzikir ingat kepada Allah.
Mungkin , hati ibu lelaki itu tadi tercalar dek perilaku anak. Mungkin juga kecewa dengan harapan sendiri. Boleh jadi juga, emosi yang tidak diurus dan ada perkara pahit belum dilepaskan si ibu. Sehingga membuatkan ibu menjadi biasa memaki hamun anak-anak sebegitu mudah.
Jika tidak dirawat hati yang penuh kekecewaan, harapan yang punah, inilah kesannya. Anak-anak menjadi mangsa. Apakah mahu dibiarkan pula hati sendiri terus-terus menderita?
Dan… ya, untuk melatih diri bercakap benda kebaikan pada anak ini kena ada kesedaran yang perlu dilatih selalu. Ia proses demi proses.
Lupa mendoakan bukan alasan. Tetapi ia perlu dilatih jadi kebiasaan.
Saya teringat pesan emak sendiri. Jadi ibu, jangan cakap bukan-bukan pada anak. Sesakit mana hati pun, tahan mulut dari memaki hamun. Banyakkan doa. Esok anak tak mahu dekat. Kita pun kena mohon ampun. Sayu. Saya tahu emak saya. Terima kasih mak.
Kalau difikir semula, kita ini , banyak mendoakan atau tidak. Waktu memandang anak-anak kita. Waktu menyentuh memeluk anak kita. Waktu dia happy, dia sedih, waktu dia tantrum. Waktu dia tidur. Ada tak kita doakan. Mungkin selama ini kita tidak sedar , banyak marah dan buat tak endah yang kita beri. Buatkan mereka sunyi , merajuk hati atau rasa jauh.
Jadi, disini saya lanjutkan dengan amalan yang biasa saya buat.
Ini dia #Empat point saya tuliskan.
- Bila lihat doakan.
Setiap hari, uruskan anak-anak, kita lihat mereka. Makan, bersiap, buat kerja sekolah, tidur, kita lihat mereka , kita doa dalam hati , ” Ya Allah, mudahkan urusan kami menjalankan amanah ini, moga dia jadi anak yang dimudahkan urusan sepanjang hidupnya, makbulkan doaku ya Allah”
Saya selalu ambil peluang waktu hantar anak ke sekolah. Bila mereka semakin berlalu hilang dari pandangan, saya suka lihat mereka sambil mendoakan sesuatu. Bukti syukur kita. Latihlah. Saya pun sedang berlatih.
Kadang saya doa senyap senyap. Nampak termenung mungkin. Anak tegur. Saya kata , mak doakan anak mak lah. Dia happy.
Kadang mereka tidur. Saya usap kepala. Kita doa. Hati kita rasa lapang.

- Bila pegang doakan.
Berapa kali dalam satu hari kita menyentuh anak kita. Memeluk. Mengusap kepala. Usap belakang. Tepuk bahu. Main sep sep. Pimpin tangan. Kan. Banyak tempat dan ketika kita boleh doakan.
Satu amalan yang dilakukan oleh arwah bapa mertua saya kepada suami masa dia kecil adalah membacakan ‘Alam Nasyrah’ diubun kepala sewaktu menyikat rambut.
Begitu juga suami , akan memanggil anak-anak . Sambil sikat , membaca ayat itu dan menyampaikan pesan. Kemudian ucap ayat yang baik baik.
” Ya Allah , mudahkan urusan hidup anak ini. Jadikan dia hambaMu yang patuh kepada Mu ya Allah , sayangi dia ya Allah , lembutkan hatinya ya Allah ,tenangkan dia yaAllah ” kita buat ayat ayat manja dan meminta kepada Allah. Biar anak dengar doa itu. Selain dari berdoa dimasa kita bersendiri.
- Bila meragam doakan.
Kerap kali, bila anak buat perangai tantrum dia, saya akan peluk. Bila anak dah selesa dipeluk (semua anak dibuat begini) saya doakan. Bagi dia dengar doa tu. Usap belakangnya. Lama-lama dia tenang sangat. Insyallah, sekejap sangat dia meragam.
Dari baby lagi saya sudah praktikkan begini. Ya Allah , hamba-Mu (merujuk kepada kami) ini rasa letih ya Allah , dia mengantuk sangat ya Allah , kurniakan dia sabar. Dia anak yang mendengar. Yang taat. Tenangkan hatinya ya Allah.
- Bila happy doakan.
Waktu anak tengah happy melompat bermain, tengah happy sebab dapat something , teruja depan mak ayah, waktu tu, kita doakan dia. Ajar mereka untuk bersyukur masa happy.
Ucapkan ayat yang baik-baik. Elakkan menjerit marah-marah , mencubit atau rotan. Kesiannya budak tengah mood happy melompat , tapi kena marah pulak. Kita ucapkan ayat yang buat mereka rasa lebih syukur gembira. InshaAllah , bila ada doa doa baik , mereka akan tenang. Tak banyak ragam. Mereka akan rajin, ringan tulang bantu ibu bapa , boleh jadi mereka offer buat kerja. Jika merajuk pun tak lama.
Bertaubatlah
Sebagai ibu atau bapa, kita yang kena banyak muhasabah dengan Tuhan. Anak bermacam perangai yang memeningkan itu terbentuk dari siapa juga. Kita heboh dan rimas anak kita tak mahu bertaubat, kita bertaubatkah pula. Saya ingat betul pesanan ini semasa ceramah Ramadan tahun lalu.
Insyallah, bila kita pandang begitu. Hidup kita dipermudahkan. Semua urusan terselesai dengan izin Allah. Itulah makna rezeki melimpah.
Insyallah.
Mudah – mudahan buat sahabat yang membaca ada yang dapat manfaat ya.
Mana yang baik ambil. Mana yang kurang sesuai , tinggalkan. Boleh saja #SHARE dengan senang hati.
Dalam cerita orang, ada pelajaran untuk diri.
Puan Dhuha Rashidi.
Trainer Islamic Calligraphy.
Sumber: Puan Dhuha Rashidi
MW: Semoga perkongsian ini memberi inspirasi buat mak-mak di luar dalam mendidik serta membesarkan anak-anak. Berhati-hati dalam berkata-kata terutamanya terhadap anak.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Waspada Trend ‘Child Shaming’, Buka Aib Malukan Anak Di Media Sosial!

Isi Kandungan
ToggleBukan semua perkara boleh dikongsikan di media sosial. Akhir-akhir ini, terdapat segelintir mak ayah yang gemar berkongsi video atau gambar kesilapan anak serta hukuman yang diberikan pada mereka disiarkan di media sosial. Ia dilakukan atas alasan untuk mendidik mereka!
Tanpa sedar fenomena ‘Child Shaming’ ini sebenarnya membuka aib, menjatuhkan maruah dan harga diri anak.Walaupun anak masih kecil, kesannya cukup mendalam dan memberi kesan pada mereka.
Jemput baca perkongsian oleh Puan Noor Afidah Abu Bakar dari Parent Connect Consultancy mengenai perkara ini sebagai panduan.
MENGHUKUM ANAK ‘ONLINE’.
Antara mendidik dan meraih populariti.
Dunia sekarang semakin aneh.
Di kala ramai ibubapa menggunakan platform media sosial untuk memuatnaik gambar dan video anak-anak yang bijak, keletah, kreatif, inovatif, cergas, tangkas, kritis, dan positif, ada juga ibubapa yang memuatnaik gambar dan video yang membuka aib anak dan menjatuhkan maruah dan harga diri anak kononnya kerana hendak mendidik anak.
Seorang ibu dari Alaska yang dikenali sebagai ‘hot sauce mom’ telah dibawa ke muka pengadilan kerana telah memuat naik video dirinya yang sedang menuangkan sos pedas ke dalam mulut anak sebagai hukuman kepada anak yang berbohong kepadanya. Dia juga memuat naik video menghukum anak dengan memaksa anak berdiri di bawah pancutan (shower) air sejuk. Tindakannya memalukan anak dengan mempertontonkannya kepada umum telah menerima kecaman yang hebat.
Adakah kaedah menghukum dan menyiarkan (punish and broadcast) ini efektif dalam mengubah tingkah laku anak?
Apakah benar semua ini dilakukan atas nama disiplin dan kasih sayang ataupun adakah ia dilakukan kerana ayah atau ibu tersebut inginkan perhatian?
Fenomena ‘Child Shaming’
Fenomena ‘child shaming’ atau membuka aib anak ini ternyata semakin mendapat perhatian. Terdapat lebih 30 000 klip video yang memaparkan bagaimana kanak-kanak dimalukan di media sosial oleh ibubapa sendiri atas nama disiplin. Saya lihat ‘trend’ ini juga sudah menular di kalangan ibubapa di negara kita. ‘Trend’ baru ini hangat diperdebatkan kerana ia melibatkan jiwa anak-anak yang masih memerlukan bimbingan dan perlindungan daripada orang dewasa terutamanya ibubapa.
Kesilapan, kenakalan dan kedegilan anak adalah aibnya. Tidak ada manusia yang waras mahu aibnya disebarkan. Cara untuk membimbing kesilapan anak bukanlah dengan mempertontonkan hukuman ke atas anak kepada orang ramai, sebaliknya dengan nasihatinya dan membimbingnya secara tertutup peringkat demi peringkat sehinggalah dia berupaya untuk memperbaiki dirinya.
Menghakis Kepercayaan Anak
‘Shaming’ meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri kanak-kanak. Kaedah ini mungkin berkesan untuk jangkamasa yang pendek selama mana ibubapa masih ‘memegang kuasa’. Walau bagaimanapun luka yang dipendam anak boleh menghakis kepercayaan anak kepada ibubapa sedikit demi sedikit sehingga terhakisnya hormat.
Ibubapa adalah satu-satunya insan yang dipercayai anak sejak dia lahir. Walaupun satu dunia berpaling tadah, kita tahu ibubapa kita tetap akan mempercayai dan menyokong kita. Jika kepercayaan itu hilang dari dalam jiwa anak disebabkan sikap ibubapa yang gemar membuka aib anak untuk dipertontonkan kepada umum, bagaimanakah rasanya kepercayaan anak itu terhadap nilai dirinya sendiri?
Anak Rasa Terhina
‘Shaming’ bukannya kaedah yang kreatif untuk mendisiplinkan anak, sebaliknya ia merupakan satu kaedah yang destruktif. Anak yang merasa terhina akan memekakkan telinga kepada sebarang perubahan yang diharapkan.
‘Shaming’ menjadi kitaran penderaan (abusive cycle) yang akan diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi, terutamanya apabila ayah atau ibu yang memalukan anak itu berkata “ Abah lakukan (memalukan kamu) semua ini kerana sayangkan kamu.”
Mak Ayah Patut Lindungi Anak
Hakikatnya, kasih sayang sebenar akan mendorong ibubapa untuk menutup dan menjaga aib dan harga diri anak-anak. Kasih sayang seharusnya menjadikan kita ibubapa yang melindungi anak, bukannya ibubapa yang memberi ruang kepada mereka yang tidak mengetahui duduk perkara sebenar untuk mengecam dan mengeji anak kita.
Walaupun mungkin kaedah membuka aib anak ini menjadi amalan sejak turun temurun tetapi media sosial memberi impak negatif yang lebih besar kepada anak kerana aibnya ditonton oleh ramai orang termasuk yang langsung tidak mengenali si anak.
Kesan memalukan anak di media sosial berbeza dari kesan menceritakan ‘kenakalan’ anak kepada Mak Piah atau Pak Usop sebelah rumah yang kita percayai untuk meminta nasihat. Penceritaan kepada Mak Piah dan Pak Usop mungkin mencapai capaian hingga tangga rumah sahaja tetapi capaian media sosial merentasi hingga hujung benua, dari kutub utara ke kutub selatan.
‘Digital Footprint’ Anak
Di mana anak mahu meletakkan mukanya?
Anak kecil juga mempunyai maruah dan harga diri.
Kawan-kawan mengejek dan orang sekeliling memandang sinis kepadanya.

Aib ini akan timbul kembali dari masa ke semasa seumur hidup anak kerana ia sudahpun menjadi ‘digital footprint’ anak yang tidak akan boleh dipadamkan lagi.
Tidakkah kita kisah?
Kadang-kadang dalam kita beria-ia membuka aib anak, dalam kita teruja memperolehi banyak ‘like’ dan ‘share’ di media sosial, dalam kita berbangga kerana kita dianggap oleh segelintir pihak sebagai ibubapa yang berjaya mendidik anak kerana menghukum anak, kita tidak sedar yang kita sebenarnya membuka aib diri kita sendiri kepada mata dunia.
Jika ibubapa perlu bergantung kepada kaedah membuka aib anak di media sosial supaya diadili oleh orang asing, itu bermakna ibubapa itu sendiri tidak pandai menguruskan anak-anak dan keluarga hingga menyebabkan anak menjadi susah dikawal.
Kenapa harus dipertontonkan aib kita, anak-anak kita dan keluarga kita secara sukarela kepada orang ramai sedangkan Allah SWT sentiasa menutup aib kita.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dan dijadikan panduan buat para mak ayah dalam mendidik anak-anak. Bukan semua perkara perlu dikongsikan di media sosial, apatah lagi mengaibkan dan memalukan anak sendiri.
Baca Disini: “Abah Rotan Sebab Nak Cess Faham Erti Maruah Seorang Perempuan..”
Sumber: Parent Connect
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Sebelum Masuk Teman Isteri Sakit Bersalin, Hafal Dulu 10 Tip Dari Doktor Ini

Isi Kandungan
ToggleSebelum berdepan dengan sakit bersalin, kebanyakan isteri awal-awal buat permintaan mahu suami teman semasa proses kelahiran anak. Mengharapkan suami bagi kata-kata semangat dan sehabis boleh nak suami ada di sisi.
Tetapi kalau betul nak teman isteri, golongan suami kena hafal dulu beberapa tip persediaan sebelum masuk bilik bersalin. Nah, ini pesanan ‘manis’ daripada Pegawai Perubatan Kesihatan wanita & Kehamilan, Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak.
10 tips untuk suami – sebagai peneman isteri di kala sakit bersalin
Walaupun amat sukar bagi seorang suami melihat isterinya dalam kesakitan, namun kebanyakan mereka merasakan bahawa kelahiran bayi mereka yang tunggu-tunggu adalah saat yang paling indah dalam hidup mereka, nak-nak lagi baby pertama kan?
Jadi, apakah cara yang terbaik untuk suami memberi sokongan kepada isteri dalam mengharungi detik yang mungkin yang paling mencabar dalam hidupnya?
Berikut adalah 10 tips yang saya kongsikan kepada suami – yang saya dapat dari bapa yang sudah melalui pengalaman ini.
Dipendekkan cerita, pengalaman dari bapa ke bapa yang lain:
1. Pastikan anda tahu apa yang isteri mahukan
Berbincang dengan isteri anda terlebih dahulu mengenai apa yang dia mahu atau tidak mahu semasa dalam proses kelahiran. Anda adalah orang yang bertanggung jawab memaklumkan perkara ini kepada doktor atau bidan terlatih.
Sebelum sakit bersalin tu datang, biasanya isteri masih lagi dapat berfikir dengan baiknya, jangan ditanya isteri masa dia tengah sakit – silap hari bulan boleh kena penumbuk!
2. Bawa barang keperluan anda sendiri
Semua akan menumpukan perhatian kepada isteri anda, tetapi anda juga jangan abaikan kebajikan anda sendiri. Jika mahu bermalam di hospital, atau menemani isteri dalam kamar bersalin, bawa segala keperluan anda bersama. Contohnya, bawa la baju sehelai dua, selipar jepun dan keperluan-keperluan lain.
Jangan lupa bawa sedikit snek dan minuman kerana anda mungkin terpaksa berada agak lama di hospital, ini yang paling penting!
3. Tahu apa yang harus dijangkakan
Bila sakit bersalin dah bermula, tak sempat dah nak google atau membaca buku panduan berkenan kelahiran.
Lebih adfhal jika anda dapat meluangkan masa menghadiri kelas-kelas antenatal bersama isteri anda dengan fikiran yang terbuka. Dengan cara ini, anda akan memperolehi maklumat mengenai proses kelahiran dan bersalin, serta dapat membuat sedikit-sebanyak perancangan bagaimana hendak menghadapi hari tersebut.
Tak ada lah terpinga-pinga melopong bila doktor dok beriya-iya menerangkan keadaan isteri dalam dewan bersalin.
4. Fleksibel
Proses kelahiran ini bukan berlaku dalam masa yang singkat, ianya mengambil masa yang cukup lama. Anda kena bersabar dan fleksible untuk menempuh apa yang berlaku.
Bukannya menggesa doktor untuk mempercepatkan proses kelahiran sebab tak sanggup menunggu, katanya penat nak tunggu.
Buat pembacaan sedikit mengenai proses bersalin sebelum marah staf dewan bersalin tak tentu pasal.
Staf dewan bersalin juga manusia seperti anda, punya hati dan perasaan. Perlu masa untuk makan, ke tandas dan sebagainya.
Kami tak ada kuasa sakti boleh mengeluarkan bayi segera, dan tahu bila bayi akan dilahirkan. Wallahualam.
5. Cari sesuatu untuk mengalihkan perhatian
Melahirkan anak biasanya adalah satu tugas yang sukar dan prosesnya panjang. Pada satu ketika semasa kelahiran yang panjang, anda dan isteri akan mengenalpasti sesuatu yang dia boleh fokuskan perhatiannya semasa datangnya kontraksi.
Tugas anda ialah untuk membantu isteri anda mengalihkan perhatian isteri untuk berperang dengan kesakitan ini atau dia sudah mula nak surrender.
Contohnya – urut tapak kaki isteri, urut belakang isteri. Kaedah-kaedah lain yang anda mungkin pelajari di kelas-kelas antenatal memfokus kepada mengajar bakal-bakal ibu bagaimana menghadapi sakit bersalin menggunakan teknik-teknik bertenang dan teknik pernafasan.
6. Lakukan segala-galanya sendiri
Walaupun ramai orang yang lebih berpengalaman di sekeliling anda yang boleh membantu, anda adalah tonggak utama yang paling penting bagi isteri anda. Buat apa sahaja dan dapatkan apa yang diperlukannya.
Tidak kiralah jika anda terpaksa berlari ke kafetaria untuk membeli gula-gula ataupun mengambilkannya segelas air, ataupun berbincang dengan doktor bagi pihaknya.
Biasanya isteri nak dekat-dekat bersalin ni manjanya terlebih. Layankan aje!
7. Tahu batas-batas anda
Bilik bersalin adalah tempat yang sangat sibuk dan banyak pesakit-pesakit lain sedang bertarung nyawa untuk bersalin. Pastikan anda tahu apa yang anda boleh lakukan dan apa yang perlu diserahkan kepada mereka yang lebih tahu dan bertauliah.
Jangan pula terkejut kalau orang sebelah-sebelah terpekik terlolong menahan kesakitan. Itu perkara biasa dalam dewan bersalin.

Pastikan anda jenis yang tidak mabuk darah – ada kes suami yang pengsan dalam dewan bersalin sebab lihat darah yang banyak. Satu hal lagi, nak rawat isteri, kena rawat suami sekali!
8. Bersedia untuk membuat keputusan pada saat-saat genting
Hanya anda dan isteri yang tahu apa yang anda berdua mahukan, tetapi isteri anda mungkin tidak dapat membuat keputusan yang penting pada ketika itu. Bersedialah untuk melangkah ke hadapan dan membuat keputusan apabila situasi memerlukan anda berbuat demikian.
Lazimnya doktor akan menerangkan keadaan – dan pilihan rawatan yang ada dalam kecemasan.
Sila bekerjasama dgn doktor, berbincang dengan isteri dan berikan keputusan mengikut nasihat doktor
Bukannya, telefon kaum kerabat di rumah, untuk meminta nasihat pada saat-saat genting. Keluarga di rumah tidak tahu menahu mengenai apa yang sedang berlaku, maka tidak perlu hiraukan mereka. Doktor hanya berbincang dengan anda dan isteri sahaja.
9. Bersedia untuk menunggu
Tidak seperti yang anda lihat dalam filem ataupun televisyen, kebanyakan wanita terpaksa menempuh sakit bersalin selama berjam-jam sebelum mereka pergi ke hospital.
Banyak pasangan yang merasakan lebih selesa berada di rumah sahaja pada peringkat awal kelahiran. Tambahan pula, banyak pusat-pusat bersalin yang lebih suka jika anda menunggu sehingga kontraksi anda lebih kerap dan jarak di antaranya lebih dekat sebelum anda mendaftar masuk.
10. Berada di sisinya
Rakan kelahiran merupakan perkara yang penting bagi seorang wanita yang dalam proses bersalin. Walaupun pada hari ini si bapa biasanya akan hadir, banyak hospital yang menerima sesiapa sahaja yang dipilih oleh si ibu sebagai rakan kelahiran. Ramai wanita yang meminta ibu mereka untuk membantu, jika suaminya tidak dapat menemani ketika hendak bersalin.
Bagi setiap rakan kelahiran, ini merupakan salah satu peristiwa di mana kehadiran anda adalah amat bermakna untuk wanita ini. Jangan lepas tangan nak serahkan kepada pihak hospital mentah-mentah.
Ingat, wanita yang sedang sakit bersalin, perlukan peneman di sisi. Jangan abaikan mereka. Kongsi saat indah ini bersama, supaya anda lebih menghargai isteri anda.
Kepada wanita nak bersalin tu, jangan ‘berperang’ sendirian, jom bawa sekali suami teman anda.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI