Penggunaan kenderaan elektrik (EV) semakin popular di Malaysia, terutamanya dengan penambahan stesen pengecasan di kawasan bandar utama. Namun, perjalanan ke Pantai Timur sering dianggap mencabar oleh pemilik EV kerana infrastruktur pengecasan yang masih terhad.
Baru-baru ini, saya diberi kesempatan menyertai konvoi khas untuk pemandu wanita anjuran MyZEVA, dengan kerjasama TNB Electron, Gentari, dan ChargeSini. Konvoi ini membawa kami menjelajah Pantai Timur selama tiga hari, melalui perjalanan yang menyeronokkan, apatah lagi memandu beberapa jenama kenderaan EV yang baharu dan semakin dikenali di Malaysia.
Pengalaman Mengujakan
Ini merupakan kali kedua penulis berpeluang mengikuti konvoi khas anjura MYZEVA ini di mana tahun lalu, kami memandu kereta EV ke Kuantan, Pahang. Tapi kali ini perjalanan semakin ‘jauh’ sehingga ke Kelantan dan Terengganu.
Pengalaman memandu kenderaan EV tahun lalu telah membuka ruang dan peluang untuk saya memiliki sendiri kenderaan EV setelah merasai sendiri keseronokan dan kelebihan memandu kenderaan EV terutamanya di ibu kota.
Perjalanan bermula dari TNB Bangsar, Kuala Lumpur, menuju Kota Bharu sejauh 600km. Saya berpeluang memandu GAC Aion Y Plus, MPV elektrik lima tempat duduk yang menawarkan reka bentuk “one-box” unik dengan ruang dalaman yang luas. Aion Y Plus menyokong pengecasan AC sehingga 6.6 kW dan pengecasan DC sehingga 80 kW, membolehkan pengecasan pantas sepanjang perjalanan kami ke Pantai Timur.
Meskipun terdapat beberapa stesen pengecasan sepanjang perjalanan antaranya termasuklah di antaranya Pahang Technology Park di Gambang. Di sini, pengecas DC 60kW Gentari membantu mengecas bateri dalam masa hanya 20 minit, membolehkan kami meneruskan perjalanan tanpa kebimbangan.
Selain itu, jika anda tidak ingin berhenti di RnR, anda juga boleh merancang untuk singgah ke Petron Kampung Gemuruh di mana jaraknya kira-kira 124km dari RnR Paka. Di sini, Petron dengan kolaborasi bersama TNB Electron telah menyediakan stesen pengecas EV – menawarkan output sebanyak 34kW yang boleh diakses menggunakan aplikasi Go To-U.
Harga pengecasan yang ditawarkan adalah RM1.40 per kWh, menjadikannya pilihan yang berpatutan untuk pengecasan sebelum sambung perjalanan ke Kota Bharu.
Sepanjang perjalanan dari Paka ke Kota Bharu, saya berpeluang mencuba Neta X. Ia dilengkapi motor elektrik berkuasa tinggi 120 kW, NETA X mampu mencapai kelajuan 0-100 km/h dalam masa 9.5 saat. Bateri LFP 62 kWh memberikan jarak pemanduan sejauh 480 km (NEDC) dengan satu cas penuh, sesuai untuk perjalanan jarak jauh.
Untuk mengekalkan penggunaan tenaga yang optimum dengan baki jarak dari Petron Kg. Gemuruh ke Hotel Perdana sekitar 147km, mod perjalanan yang digunakan adalah mod ECO. Ini bagi memastikan penjimatan tenaga yang baik sebelum tiba ke lokasi pengecasan yang seterusnya.
Hotel Perdana di Kota Bharu juga menyediakan kemudahan pengecasan yang komprehensif, membuktikan usaha meningkatkan akses pengecasan EV di Pantai Timur semakin giat dilakukan.
Untuk tetamu yang menginap di hotel, anda disarankan untuk menggunakan pengecas AC dengan kuasa output 11kW dan 22kW. Ini bagi menjimatkan kos pengecasan – yang mana ia ditawarkan pada harga RM0.90 per kWH.
Selain dua pengecas AC, Hotel Perdana Kota Bharu juga turut menampilkan satu pengecas DC 60kW dengan dua nozel CCS2yang boleh digunakan untuk pilihan pengecasan pantas pada harga RM1.50 per kWh. Hari pertama perjalanan ke Kota Bharu, Kelantan tamat dengan jayanya dan masa untuk berehat.
Ads
Hari kedua pula, saya berpeluang memandu Xpeng G6 yang memiliki kecekapan penggunaan yang sangat bagus dengan purata penggunaan tenaga sekitar 15Wh/100km atau 6.67km bagi setiap 1kWh.
Secara teori, bateri 87.5kWh membolehkan Xpeng dipandu sejauh 583km untuk satu pengecasan penuh. 2. Xpeng G6 hanyalah seberat 2025kg – sebuah kenderaan elektrik yang menawarkan gabungan antara kuasa dan keselesaan.
Sebelum bergerak ke Kuala Terengganu, kami sempat singgah di Dataran Rehal, Kota Bharu bagi sesi merakamkan gambar kenang-kenangan bersama kenderaan yang terlibat dalam konvoi media wanita ini.
Kami mengucapkan selama tinggal buat bandar Kota Bharu sekitar jam 10.30 pagi di mana kami meneruskan perjalanan ke destinasi pertama kami iaitu Petron Selising. Di sini, kami berhenti untuk makan tengahari sambil menerokai stesen pengecas terbaru oleh TNB Electron di cawangan Petron ini.
Petron Selising ini merupakan stesen minyak yang pertama hadir dengan stesen pengecasan untuk kenderaan elektrik di Kelantan. Penambahan lokasi pengecas EV di Petron Selising akan menjadi lokasi strategik terbaru bagi TNB Electron untuk memudahkan akses pengguna EV di kawasan ini.
Menurut TNB Electron, penawaran ini adalah selari dengan misi mereka – di mana kira-kira 100km perjalanan, anda akan menemui stesen pengecas EV yang seterusnya (jarak antara Petron Kg Gemuruh ke Petron Selising adalah sekitar 117km).
Langkah ini bukan sahaja meningkatkan jaringan stesen pengecasan di sepanjang laluan Pantai Timur tetapi juga membantu mempromosikan penggunaan EV dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong.
Ads
Dengan adanya pengecas DC berkapasiti tinggi iaitu 100kW di Petron Selising, pemandu EV kini mempunyai pilihan untuk mengecas dengan pantas ketika melalui laluan ini. Kemudahan pengecasan ini diharap dapat memudahkan perjalanan jarak jauh, khususnya bagi mereka yang melakukan perjalanan dari Lembah Klang ke Pantai Timur dan sebaliknya.
Selepas selesai makan tengahari, konvoi meneruskan perjalanan ke Pantai Penarik sebelum tiba ke destinasi seterusnya. Sebelum menamatkan hari kedua yang bakal melabuhkan tirainya di Raia Hotel & Convention Centre, konvoi berhenti di Mydin Gong Badak untuk menerokai stesen pengecasan EV yang disediakan oleh ChargeSini.
Dengan kehadiran ChargeSini di pusat membeli-belah kegemaran rakyat Terengganu, nampaknya, pengguna EV di kawasan Terengganu mungkin akan lebih tersenyum lebar. Ini kerana langkah ini memberi peluang kepada pengguna untuk mengecas kenderaan mereka sambil membeli-belah atau menguruskan urusan harian di pusat beli-belah tersebut.
Stesen pengecasan yang disediakan oleh ChargeSini ini menawarkan satu pengecas DC 60kW dengan dua nozel CCS2. Dan untuk pengecasan di pengecas ini, harga yang ditawarkan adalah RM1.39 per kWh.
Fahami Kenderaan EV Anda
Berdasarkan pengalaman rakan-rakan media yang membuat perjalanan pulang ke Kuala Lumpur pada hari ketiga, rata-rata sudah mula memahami ‘rentak’ pemanduan kenderaan EV berbanding hari pertama perjalanan ke Kota Bharu.
Mana tidaknya, kenderaan elektrik bukan sahaja tampil dengan prestasi yang bertenaga tetapi juga menawarkan pelbagai ciri bantuan pemanduan yang menjadikannya stabil dan mudah dikendalikan walaupun dalam perjalanan jarak jauh.
Mengenai pengecasan pula, untuk perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Kuala Terengganu, kami berhenti hanya berhenti sekali untuk pengecasan iaitu di Pahang Technology Park di Gambang. Ini kerana ia merupakan destinasi yang paling ideal untuk berhenti sebelum meneruskan perjalanan semula ke TNB Bangsar, Kuala Lumpur.
Masa Menunggu
Disebabkan konvoi ini menampilkan bilangan kereta EV yang banyak, maka ia beri kesan kepada tempoh menunggu kami di Pahang Technology Park. Ini kerana jarak perjalanan dari Kuala Terengganu ke Pahang Technology Park agak jauh, sekitar 328km. Jadi, apabila tiba di stesen pengecasan Gentari ini, masing-masing mempunyai peratus bateri yang rendah iaitu kira-kira 5% hingga 10%.
Ads
Pengalaman memandu tiga model EV yang berbeza selama tiga hari ini benar-benar membuka mata saya tentang potensi kenderaan elektrik. Memandu kenderaan elektrik (EV) dari Lembah Klang ke Pantai Timur merupakan pengalaman yang cukup berbeza dan menarik.
Sebelum memulakan perjalanan, perancangan rapi adalah kunci. Pengguna EV perlu menyemak lokasi stesen pengecas sepanjang laluan, terutamanya di kawasan luar bandar yang masih terhad infrastrukturnya.
Aplikasi navigasi EV dalam kenderaan menjadi sahabat setia sepanjang perjalanan. Selain itu, memastikan bateri dicas penuh sebelum bertolak adalah langkah penting untuk mengelakkan sebarang kebimbangan.
Salah satu momen yang menarik adalah ketika berhenti di stesen pengecas. Ia memberikan peluang untuk berehat seketika, menikmati pemandangan atau mencuba makanan tempatan seperti lemang di Bentong atau ikan patin masak tempoyak di Temerloh. Pengecas pantas biasanya mengambil masa sekitar 30-45 minit untuk mengecas 80%, memberikan masa yang cukup untuk merehatkan badan.
Range Anxiety? Tak De Hal La!
Perjalanan ini bukan sahaja menjimatkan kos tetapi juga mengurangkan pelepasan karbon. Perasaan bahawa anda menyumbang kepada usaha memelihara alam sekitar sambil menikmati keindahan semula jadi Pantai Timur menjadikan pengalaman ini lebih bermakna.
Walaupun bilangan stesen pengecasan di sepanjang laluan Pantai Timur maish lagi terhad, namun disebabkan perancangan yang teliti tentang jarak dari satu stesen ke stesen yang lain yang masih lagi dalam jumlah kilometer yang tidak jauh, ia sedikit sebanyak membantu mengurangkan kebimbangan kehabisan kuasa bateri.
Untuk pengetahuan anda, menjelang tahun yang mendatang, TNB Electron turut menyasarkan untuk membuka lebih banyak lagi stesen pengecasan bateri – dengan jarak dari satu stesen ke stesen yang lain sekitar 120km menjadikan pemanduan lebih tenang dan selamat.
Jika anda seorang pemandu wanita yang ingin mencuba pengalaman memandu EV sambil menikmati keindahan Pantai Timur, itinerari ini mungkin menjadi panduan terbaik untuk anda. Perjalanan ini bukan sahaja mendekatkan saya dengan keindahan alam, tetapi juga menunjukkan kepada saya bahawa masa depan pemanduan benar-benar berada dalam tangan teknologi elektrik.
Memandu kenderaan EV ke Pantai Timur adalah pengalaman yang memerlukan sedikit perancangan tetapi memberikan kepuasan tersendiri. Selain menjimatkan kos dan mesra alam, ia juga membuka perspektif baharu tentang masa depan pengangkutan di Malaysia.
Secara keseluruhannya, pengalaman memandu EV ke Pantai Timur menawarkan cabaran, tetapi juga keseronokan yang tiada bandingan, dengan manfaat alam sekitar yang lebih bersih dan pengalaman pemanduan yang lebih nyaman.
Bagi wanita yang ingin mencuba, pastikan anda bersedia, dan nikmati perjalanan anda dengan tenang dan yakin!
Kegembiraan yang tidak mampu disembunyikan. Itulah yang jelas terpancar di wajah pempengaruh media sosial dan usahawan popular, Bella Park, apabila berkongsi khabar paling indah dalam hidupnya, dia disahkan hamil lagi.
Berita manis ini hadir selepas sedekad menanti, membuatkan hatinya dipenuhi rasa syukur, sebak dan bahagia yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
“Alhamdulillah, kami berdua sangat emosi sebab terus terbayangkan Nenel. Dia dah 10 tahun umur, memang teringin adik sangat-sangat,” luah Bella dalam nada penuh haru.
Bella atau nama sebenarnya Nurul Nabila Zolkepli meluahkan perasaan di laman sosial dengan menulis,
“Alhamdulillah, kami berdua sangat emosi sebab terus terbayangkan Nenel. Dia dah 10 tahun umur, memang teringin adik sangat-sangat.”
Doa Buat Pasangan Yang Masih Menanti
Bagi pengikut setia perjalanan hidupnya, ramai maklum bahawa Bella bukan sekadar simbol gaya hidup glamor. Pada usia 30 tahun, dia adalah seorang ibu yang tabah membesarkan anak lelakinya yang istimewa, Nenel, dengan penuh kasih sayang dan kekuatan.
Dalam hantaran itu juga, Bella menitipkan doa khusus buat pasangan yang masih berusaha mendapatkan zuriat:
“Bella doakan semua yang tengah TTC (Trying To Conceive) akan diberikan zuriat secepat yang mungkin. Amin.”
Ungkapan ringkas tetapi sarat dengan makna itu nyata mengundang rasa terharu warganet, terutama kalangan wanita yang senasib.
Tak Sedar Sedang Hamil
Lebih menarik, Bella mengakui dirinya langsung tidak menyedari sedang berbadan dua walaupun aktif melakukan pelbagai aktiviti lasak.
“Tak perlu tanya berapa bulan dah Bella mengandung. Cukup tahu Bella dah panjat unta, naik roller coaster, lari dalam guni, malah lawan lari dengan suami. Memang tak tahu kata mengandung!”
Kisah spontan itu membuatkan ramai pengikutnya terhibur, malah kagum dengan ketabahan dan sikap selamba Bella.
Rezeki Allah Yang Terindah
Bella juga mendedahkan hanya mengetahui tentang kehamilan beberapa hari sebelum berangkat ke luar negara.
“ALLAH ni Maha Baik sebab jaga kandungan. Masa tahu tu pun lagi beberapa hari nak terbang ke Bosnia, Croatia, Montenegro. Kalau tak tahu ada, dah di sana lah ni,” ujarnya penuh syukur.
Sejarah Hidup Yang Tabah
Sekadar info, Bella pernah mendirikan rumah tangga buat kali pertama sebelum berpisah. Hasil perkahwinan itu, dia dikurniakan seorang anak lelaki, Nenel, yang kini berusia 10 tahun.
Kini, dengan khabar gembira ini, rezeki Allah sekali lagi hadir menyinari hidupnya menutup 10 tahun penantian panjang dengan anugerah paling bermakna.
Kerajaan Negeri Kedah baru-baru ini telah melancarkan Tahun Melawat Kedah 2025 dengan tema “Experience Kedah” yang pastinya bakal menarik kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara.
Antara acara yang disusun untuk memeriahkan lagi industri pelancongan di Kedah ialah melalui penganjuran Gastro Groove Fest, sebuah festival yang julung kali dibawakan dengan menggabungkan makanan, pesta muzik dan budaya.
Acara ikonik ini akan diadakan di Taman Jubli Emas, Alor Setar, Kedah dari 31 Januari hingga 2 Februari 2025, membawa pengalaman unik kepada pengunjung dengan pelbagai aktiviti menarik dan interaktif.
Festival ini dirancang sebagai platform strategik untuk mempromosikan makanan tradisional Kedah, disamping mengangkat elemen muzik dan budaya tempatan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Gastro Groove Fest, Ally Isyraf, Gastro Groove Fest bukan sekadar pesta, ia adalah ruang bagi komuniti untuk berhubung, berkongsi budaya dan memupuk perpaduan.
“Acara ini adalah sebahagian daripada kempen Tahun Melawat Kedah 2025 yang bertujuan memperkayakan tawaran pelancongan negeri ini. Kami mahu memperkenalkan semula keunikan budaya Kedah kepada dunia sambil menggalakkan penglibatan belia dalam pelbagai aktiviti yang membina,” katanya.
Gastro Groove Fest akan menawarkan pelbagai aktiviti menarik yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat. Dari segi makanan, pengunjung boleh menikmati sajian asli Kedah yang disediakan oleh pengusaha tempatan. Selain itu, gerai makanan yang menampilkan konsep moden dan tradisional akan menjadi tarikan utama.
Festival ini juga mempersembahkan pelbagai acara kebudayaan, termasuk Wayang Kulit, Mek Mulung, dan Wayang Pacak, yang dirancang untuk memperkenalkan semula seni tradisional Kedah kepada generasi muda. Persembahan ini akan memberikan pengalaman autentik dan memupuk apresiasi terhadap warisan budaya negeri ini.
Tidak lengkap sebuah festival tanpa hiburan. Gastro Groove Fest akan menampilkan persembahan artis-artis terkenal yang akan menyemarakkan suasana dengan pelbagai genre muzik. Pentas utama festival dijangka menjadi tumpuan, menawarkan hiburan berkualiti sepanjang tiga hari.
Antara selebriti yang bakal membuat persembahan adalah Gerhana Ska Cinta, Ruffedge, Monosterio, dan ramai lagi.
Gastro Groove Fest turut menawarkan pelbagai aktiviti mesra keluarga seperti zon kanak-kanak, permainan tradisional, dan rumah hantu yang interaktif. Aktiviti E-Sukan juga akan menjadi tumpuan, memberikan peluang kepada golongan muda untuk mempamerkan bakat mereka di pentas kompetitif.
Penganjuran Gastro Groove Fest adalah hasil kerjasama erat antara agensi kerajaan dan syarikat korporat. Kerjasama ini membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk mempromosikan perniagaan mereka, sekali gus menyokong pembangunan ekonomi negeri.
Ally Isyraf menjelaskan, “Kami percaya dengan platform seperti ini, usahawan tempatan dapat memperluaskan rangkaian mereka dan meningkatkan pendedahan kepada produk-produk mereka.”
Gastro Groove Fest menjanjikan pengalaman yang menggabungkan elemen tradisional dan kontemporari, menyediakan ruang kepada komuniti untuk bersama-sama menikmati dan meraikan warisan negeri Kedah. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah, dari 31 Januari hingga 2 Februari 2025 di Taman Jubli Emas, Alor Setar.
Untuk maklumat lanjut mengenai Gastro Groove Fest, sila ikuti platform media sosial Gastro Groove Fest atau sebarang pertanyaan boleh hubungi +6012-398 0553.
Islam menghalalkan jual beli dan menggalakkan perniagaan supaya umat Islam dapat memakmurkan dunia serta mampu menjana kekuatan ekonomi mereka.
Di samping itu, ia menjauhkan diri daripada makan harta secara haram atau memiliki barang secara batil. Nabi SAW sendiri sewaktu muda pernah berniaga hingga baginda memperoleh keuntungan yang banyak. Begitu juga sahabat RA ramai yang menceburi bidang perniagaan antaranya Abu Bakr RA, Uthman RA, Abdur Rahman bin Auf RA dan Talhah bin ‘Ubaidillah RA.
Hari ini, semakin ramai umat Islam bergelar usahawan baik secara kecil-kecilan mahupun besar. Hal ini terbukti apabila seramai 390 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dari seluruh negara di bawah bimbingan pementoran Spire berjaya mencapai misi dengan jualan RM1 juta pertama sejak diperkenalkan enam tahun lalu.
Antara jenama yang dibimbing dan dibina dalam Spire seperti The Raw., Ella Furniture, Adriana Gold, Farmasi Everlife, Salleh Food, Athifa Azzahrah, Poji Tempe, Andalusia Tijarah, Normey HQ dan banyak lagi.
Menurut Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks), Radz Mohd., kejayaan tersebut datangnya daripada ilmu, strategi dan sistem terbukti yang ditambah baik dari semasa ke semasa.
Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks, Radz Mohd
Sehubungan itu, katanya, kami mengumpulkan hampir 300 usahawan bimbingan Spire dan RichWorks dikumpulkan dalam program Inner Circle Forum (ICF) bagi melihat kembali perjalanan bisnes mencapai jualan RM1 juta pertama dalam tempoh enam ke 12 bulan.
“ICF ini merupakan inisiatif RichWorks bagi mempersiapkan usahawan Spire dalam pementoran kami dengan ilmu dan strategi penting untuk berdepan pelbagai cabaran pada masa ini.
“Setiap minggu mereka juga ada sesi khas bersama mentor usahawan, Datuk Wira Dr. Azizan Osman secara dalam talian dan ICF ini bagi kami dapat jumpa berdepan bagi melihat perkembangan bisnes,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi RichWorks, Suley Nordyana Yahya; Ketua Ketua Bimbingan dan Pementoran, Hafiz Jasmi dan Ketua Pegawai Sumber Manusia, Liz Ibrahim.
Tambah Radz, seramai 87 usahawan juga akan menerima anugerah bagi pencapaian mereka dengan jualan RM1 juta ke atas pada 2023, alami pertumbuhan lebih enam peratus dan jualan RM500,000 ke atas dalam enam bulan tahun ini serta berjaya upgrade ke pementoran Titanium. Salah seorang usahawan Spire juga menyaksikan pertumbuhan hingga 5,000 peratus dari Januari hingga Jun lalu berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ketua Pegawai Operasi RichWorks, Suley Nordyana sambil disaksikan Radz dan Hafiz menyampaikan sijil pencapaian jualan RM1 juta ke atas pada 2023 dan pertumbuhan bisnes kepada selebriti terkenal, Norman Hakim bagi bisnes NorMey Hq dalam Inner Circle Forum (ICF).
Kelab Usahawan 1 Juta
Dalam pada itu, Radz kongsikan, modul dalam pementoran Spire juga kami gunakan dan tambah baik dalam Kelab Usahawan 1 Juta (KU1J) hasil kolaborasi dengan Kementerian Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW) yang berjaya lahirkan 21 usahawan desa capai jualan RM1 juta pertama dalam tempoh 12 bulan.
“Pencapaian ini berlaku disebabkan RichWorks yang ditubuhkan sejak 16 tahun lalu ada formula kejayaan seseorang usahawan untuk bina bisnes yang berjaya.
“Hasil pengalaman dan ilmu yang sentiasa ditambah baik bersama barisan speaker dan mentor berpengalaman serta komited untuk memperkasa usahawan yang nak alami pertumbuhan dalam bisnes,” ujarnya.
Radz memberitahu, jika ada usahawan di luar sana turut nak alami pertumbuhan dalam bisnes boleh berhubung dengan pasukan RichWorks kerana peluang sentiasa ada meskipun pelbagai cabaran yang pastinya dihadapi bangsa usahawan mengikut tahap masing-masing.
Untuk maklumat lanjut, mereka boleh hubungi RichWorks di talian 0192442244 atau layari richworks.com.
“Rezeki Anak, Hadiah Dari Allah” — Ibu muda berpantang, Nurshafikah Abd Manaf, raih dua anugerah tertinggi di Konvokesyen UniSZA ke-17 walaupun baru sebulan melahirkan anak.