
Putra Faris Ditemui
Berakhir pencarian kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang dilaporkan hilang, mayat Putra Faris ditemui 50 meter sahaja dari lokasi selipar yang dijumpai sekitar Sungai Ganggarak.
Mangsa, Putra Faris Suhaimi, ditemui terapung oleh pasukan penyelamat kira-kira jam 3.30 petang, hanya sekitar 50 meter dari lokasi selipar yang dipercayai miliknya ditemui semalam.
Penemuan itu merungkai misteri kehilangan Faris, namun pada masa yang sama meruntun hati ahli keluarga yang tidak putus-putus berharap agar anak kecil itu ditemukan dalam keadaan selamat.
Difahamkan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan sejurus pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 6.36 petang semalam. Seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Layangan bersama polis, Pasukan Bomba Komuniti Atas Air Tanjung Aru, Jabatan Hidupan Liar serta penduduk kampung berganding bahu mencari mangsa.
Pelbagai usaha dilakukan termasuk menyusuri sungai menggunakan bot kecil dan bot besar, selain pemantauan keadaan sekitar sungai yang dipercayai mempunyai risiko kehadiran buaya.
Namun, takdir Allah mengatasi segala-galanya apabila Faris akhirnya ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa.
Tidak mudah untuk menerima takdir Allah ini, namun segalanya sudah tertulis di lut mahfuz. Jenazah mangsa telah dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat. Apa pun, doakan moga ahli keluarga mangsa kuat hadapi ujian kehilangan anaknya dan semoga arwah ditempatkan di kalangan orang beriman dan soleh.
Gambar dan Info: Sinar Harian