Kanak-kanak lelaki lemas dalam kolam renang, Ahmad Firdaus Iqbal akhirnya pergi jua. Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang sebelum ini dirawat di Hospital Melaka akibat insiden lemas di sebuah kolam renang, disahkan meninggal dunia pada pagi Selasa.
Kanak-kanak Lelaki Lemas Dalam Kolam Renang, Ahmad Firdaus Iqbal Akhirnya Pergi Jua
Perkhabaran duka itu dimaklumkan sendiri oleh bapanya, Ahmad Ridzuan Supian, 36, yang turut mengesahkan kesahihan poster tular daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Rinting 3, Johor mengenai pemergian anaknya, Ahmad Firdaus Iqbal.
Menurut Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Melaka, Datuk Ngwe Hee Sem, jenazah kanak-kanak tersebut yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik telah diserahkan kepada keluarganya pada jam 12.05 tengah hari untuk urusan selanjutnya.
Ads
“Waris membawa pulang jenazah ke rumahnya di Taman Rinting, Pasir Gudang, Johor bagi urusan pengebumian,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ads
Sebelum ini, media melaporkan tentang insiden malang yang menimpa sebuah keluarga apabila percutian mereka bertukar menjadi tragedi. Dalam kejadian pada Ahad itu, Ahmad Firdaus Iqbal ditemui dalam keadaan kritikal selepas dipercayai lemas di kolam renang sebuah rumah inap yang terletak di kondominium Taman Kota Shahbandar, Kota Laksamana.
Diam bukan bererti tiada apa yang berlaku. Lama mengunci mulut, akhirnya komposer tersohor tanah air, Sharon Paul, membuka lembaran yang telah lama tertutup.
Rumah tangganya bersama pelakon veteran Rusdi Ramli yang terbina sejak tahun 2008 telah pun menemui noktahnya secara rasmi pada Januari tahun lalu.
Sharon, 48, memilih untuk tidak menoleh ke belakang lagi. Keputusan bercerai bukan sesuatu yang mudah, tetapi baginya, ia adalah satu keperluan untuk memulakan semula.
“Saya sudah bercerai sejak Januari tahun lalu. Saya sendiri yang uruskan semuanya. dari lantik peguam hingga selesai proses mahkamah. Kalau harapkan dia, memang tak ke mana,” luah Sharon, tenang namun tegas.
Sharon turut mendedahkan bahawa perkahwinannya tidak terlerai kerana badai besar, tetapi kerana satu bentuk penderitaan halus yang jarang dibicarakan ‘cold violence’, atau keganasan senyap.
“Saya rasa bebas sekarang. Kadang-kadang, kita perlu jatuh dulu sebelum kita boleh bangkit. Tahun ini saya anggap sebagai tahun pemulihan,” katanya.
Keganasan emosi, yang tidak meninggalkan lebam di kulit tapi mencengkam jiwa, itulah yang menjadi duri dalam diam buat Sharon. Dalam diam itulah dia terluka, dan akhirnya, memilih untuk sembuh.
Perkahwinan Sharon dan Rusdi dikurniakan dua anak lelaki, Reo Ridza, 16, dan Ryan Ridza, 13. Kedua-duanya memilih untuk tinggal bersama ibu mereka selepas perceraian.
“Mereka boleh saja tinggal dengan Rusdi, tapi mereka lebih selesa dengan saya. Saya tak minta nafkah pun, malas nak bazirkan duit bayar peguam,” ujar Sharon dengan nada realistik.
Bagi Sharon, ketenangan dan kestabilan emosi anak-anak lebih penting daripada soal hitam putih perundangan.
Sebelum berkahwin dengan Sharon, Rusdi pernah mendirikan rumah tangga dan memiliki seorang anak lelaki, Efiezal Ridza, kini berusia 34 tahun.
Sharon kini menempuh fasa baharu dalam hidupnya – fasa pemulihan, pembebasan dan penemuan semula jati diri. Dalam diam dan tabahnya, tersimpan kekuatan seorang wanita yang enggan terus terperangkap dalam silu dan sepi.
Fakta Mengenai Cold Violence:
“Cold violence” atau keganasan dingin dalam konteks rumah tangga merujuk kepada bentuk penderaan emosi secara halus dan berterusan, tanpa melibatkan kekasaran fizikal. Ia tidak meninggalkan lebam di tubuh, tetapi mencederakan hati dan meruntuhkan harga diri pasangan secara perlahan-lahan.
Pasangan enggan bercakap atau memberi respons sebagai cara menghukum. Sikap dingin ini boleh berlangsung berhari-hari, malah berminggu, sehingga membuat pasangan rasa bersalah atau tidak dihargai.
Pasangan dilayan seolah-olah tidak wujud — tiada interaksi, tiada perhatian, tiada empati. Segala keperluan emosi dinafikan tanpa sebarang penjelasan.
Sindiran, cemuhan tersembunyi atau memperlekehkan secara pasif-agresif yang berterusan — walaupun dalam bentuk bergurau — sebenarnya mencetuskan rasa rendah diri dan menyemai keraguan dalam diri pasangan.
Pasangan menggunakan rasa bersalah, ketakutan, atau rasa tak berguna untuk mengawal keputusan dan tindak tanduk. Ia mungkin tidak disedari, tapi memberi kesan psikologi yang mendalam.
Pasangan langsung tidak memberi sokongan dalam kerjaya, minat atau cabaran yang dihadapi. Usaha dan kejayaan dipandang sepi, kegagalan dijadikan senjata.
Walaupun tiada kesan fizikal, cold violence adalah bentuk penderaan rumah tangga yang sangat berbahaya kerana ia menular secara senyap dan memusnahkan dari dalam.
Wanita yang mengalaminya sering merasa keliru seolah-olah masalah itu berpunca daripada diri mereka sendiri. Hakikatnya, setiap insan berhak untuk didengar, dihargai dan dikasihi secara sihat dalam sebuah perkahwinan.
Jika anda atau seseorang yang anda kenal sedang melalui pengalaman ini, dapatkan bantuan emosi atau kaunseling profesional. Memilih untuk keluar daripada penderaan bukan bererti gagal. Ia adalah keberanian untuk sembuh dan hidup kembali.
Penunggang motosikal meninggal dunia tercampak dalam parit, kemalangan babit dua motosikal. Seorang lelaki berusia 58 tahun disahkan meninggal dunia selepas tercampak ke dalam parit dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Jalan Parit Buntar ke Sungai Bogak, pagi Selasa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.08 pagi. Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai digerakkan ke lokasi kejadian.
Setibanya di tempat kejadian, pasukan mendapati kemalangan melibatkan dua buah motosikal iaitu Yamaha LC dan Honda EX5 yang dipercayai bertembung.
“Penunggang Yamaha LC, lelaki berumur 58 tahun, tercampak ke dalam parit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Manakala, seorang lagi penunggang motosikal Honda EX5, lelaki berusia 44 tahun, hanya mengalami kecederaan ringan.
Tambah Sabarodzi, ketua operasi membuat penilaian awal di lokasi sebelum mengarahkan pemberian rawatan awal kepada kedua-dua mangsa.
Jenazah mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa cedera dibawa ke Hospital Parit Buntar menggunakan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bagi mendapatkan rawatan susulan.
Operasi yang melibatkan lapan anggota, satu jentera bomba dan satu unit EMRS itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.00 pagi.
Jodoh beza umur 32 tahun – “Bila kami keluar berdua, ramai ingat isteri emak atau mak cik saya.” Rata-rata ramai yang terkejut apabila tahu hal sebenar. Itu perkara biasa kami lalui sejak berkahwin, tapi saya tak pernah malu kerana apa pun, dia isteri saya dan sangat sayangkannya.”
Demikian pengakuan jujur Mohamad Nazir Annuar Mohamad Kazri, 29, yang kini menjadi perhatian ramai kerana kisah cintanya bersama isteri tersayang, Salmah Jaya, 61. Lebih menarik, Salmah sebelum ini merupakan ibu tunggal kepada tujuh anak setelah kehilangan suami akibat serangan jantung pada 2016.
Pasangan ini mula dikenali selepas video mesra mereka dikongsi Nazir Annuar di media sosial, namun ada segelintir warga maya menyangka mereka anak dan ibu kerana perbezaan umur yang ketara. Ada juga yang tidak percaya mereka sebenarnya suami isteri sah.
Menceritakan kisah sebenar, Nazir Annuar berkata mereka mendirikan rumah tangga pada 16 April 2022 selepas mendapat restu kedua-dua belah keluarga.
Menurut anak kedua daripada tujuh beradik ini, dia sememangnya cenderung kepada wanita berusia dan menganggap jodohnya bersama Salmah sebagai satu anugerah.
Katanya, proses memikat hati isterinya bukanlah sesuatu yang mudah dan memerlukan kesabaran yang tinggi.
“Saya mula stalk, follow dan cuba add isteri di Facebook (FB) sejak 2018 sebab dia nampak comel dan daripada awal memang tahu dia wanita berusia.
“Tapi sebab nak kenal, saya cuba juga dan lama nak tunggu dia terima permintaan saya…isteri pun tak layan saya pada awalnya sampai kecewa.
“Bukan senang nak ‘mengorat’ isteri kerana selepas dapat nombor telefon pun, saya disekat sampai bertukar nombor telefon untuk cuba hubunginya. Tapi akhirnya isteri sudi berkawan dan pertemuan pertama kami pada 2021 di rumah didiaminya dengan anak,” jelas Nazir.
Selepas pertemuan itu, mereka mulai rapat dan serasi disebabkan beberapa minat yang sama termasuk warna kegemaran dan minat terhadap perkara mistik. Hubungan yang bermula dengan persahabatan itu akhirnya berputik menjadi cinta hingga membawa ke jenjang pelamin selepas setahun berkenalan.
“Keluarga saya tiada masalah sebab semua tahu minat saya cuma anak tiri tak boleh terima pada awalnya kerana usia saya muda.
“Tapi mereka akhirnya lembut hati untuk terima dan paling terharu apabila isteri pun ajak kahwin bagi menghalalkan hubungan.
“Awal perkahwinan kekok juga dan paling tak dapat lupa waktu bermaafan di pagi raya tapi lama kelamaan okay. Cuma isteri berpengalaman jadi dia pernah tegur misalnya bab memasak dan ada masa ‘melantun’ juga mungkin sebab saya suami tapi kini, kami semakin boleh bertolak ansur,” kata Nazir yang kini bekerja sebagai kru katering di pelantar minyak.
Nazir juga tidak menolak wujud pandangan negatif daripada sesetengah pihak, namun dia memilih untuk tidak melayan kecaman tersebut.
“Tapi saya tak endahkan kerana bagi saya, perkahwinan kami adalah ketentuan-Nya. Jadi tak ada isu pun kerana sejak awal sudah sedia maklum dengan siapa saya berkahwin.
“Soal anak pun bukan masalah kerana tahun pertama kahwin, isteri hamil cuma tak ada rezeki kami selepas dia keguguran.
“Jadi tak ada apa yang saya harap dan doa melainkan dapat jadi suami lebih baik juga kebahagiaan dalam perkahwinan kami,” ujarnya penuh harapan.
Sementara itu, Salmah mengakui dirinya tidak pernah berhasrat untuk berkahwin semula selepas pemergian arwah suami, malah menolak ramai yang ingin berkenalan dengannya ketika dalam tempoh iddah.
“Waktu dalam tempoh iddah pun, sudah ada lelaki datang nak berkenalan, kebanyakannya umur 30 hingga 40 an tapi saya tak terima ketika itu kerana fikir sudah tak nak kahwin.
“Suami pun umurnya lebih kurang anak jadi berat nak terima awalnya tapi yang buat saya lembut hati bila tengok kesungguhan suami yang sanggup redah motosikal dalam banjir untuk jumpa saya.
“Anak mulanya susah nak terima dan saya pun tak pernah pujuk tapi mereka akhirnya akur kerana enggan saya menangis sebab tak bahagia.
“Pernah juga tanya suami, tak malu ke jalan dengan saya dan katanya tiada apa nak dimalukan. Sebagai wanita, saya bersyukur dapat pasangan sepertinya dan berdoa semoga jodoh kami berpanjangan,” ujar Salmah dengan penuh rasa syukur.
Pasangan unik ini membuktikan bahawa cinta sejati tidak mengenal usia, dan yang paling penting adalah keikhlasan, kesungguhan serta kesetiaan dalam perhubungan.
Seronok melihat perkembangan Alana Dunsmore, seorang pempengaruh yang lebih dikenali sebagai alanaspinktravels seorang gadis dari Scotland yang bertemu jodoh dengan pelakon tempatan, Abbas Mahmood di Malaysia.