Setiap tahun, tanggal 12 Rabiul Awwal merupakan satu tarikh yang istimewa khususnya bagi umat Islam. Ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW atau dinamakan sebagai Maulid Nabi disambut secara besar-besaran dengan pelbagai pengisisan.
Antaranya adalah perarakan, bacaan selawat beramai-ramai juga majlis kenduri dan ceramah agama berkaitan Baginda SAW.
Ikuti perkongsian Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr. Mohd. Anuar Ramli berkaitan timbulnya pelbagai penyalahgunaan terhadap sunnah yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW.
Dari segi pensejarahan, sambutan maulid Nabi dikaitkan dengan tradisi pemerintah Islam pada zaman Fatimiyyah. Ia menjadi titik polemik antara golongan yang mengharuskan sambutan maulid dan yang melarang.
Larangan ini timbul kerana sambutan hari kelahiran tidak pernah dilakukan oleh Nabi dan juga khulafa’ al-rasyidin, sebaliknya hanya dilakukan oleh umat Islam terkemudian.
Akibat jahil dan tidak mengenal Nabi dan mendalami Sunnah Nabi SAW, mereka telah mengekploitasikan Sunnah Nabi atas nama “mengamalkan Sunnah”. Natijahnya lahir produk, perkhidmatan, amalan atau gaya yang dinisbahkan kepada Nabi SAW.
Strategi Pemasaran
Terdapat kalangan pengusaha yang menggunakan pelabelan Sunnah dalam produk dan perkhidmatan sebagai strategi pemasaran. Justeru mereka menghasilkan produk makanan Sunnah dan minuman Sunnah dengan berbagai jenama dan kandungan bahan Sunnah.
Sedangkan produk yang dihasilkan bukan berasaskan penelitian dan penyelidikan yang mendalam sama ada mengikut tatacara pengambilan oleh Nabi SAW dalam bentuk sukatan kuantiti dan kualiti makanan terbabit, juga amalan pengambilan makanan dalam latar belakang budaya Arab di samping latar belakang iklim setempat di Mekah atau Madinah.
Penelitian terhadap cara pengambilan dan latar belakang budaya masyarakat adalah signifikan bagi melihat bentuk dan kadar pengambilan dan kesesuaiannya dengan pengguna setempat di Malaysia.
Sebaliknya mereka sekadar memetik hadis Nabi secara umum dan memasukkan unsur bahan yang disebut tersebut ke dalam produk yang dihasilkan.
Tindakan pengusaha ini biasanya melibatkan OEM (Original Equipment Manufacturer), iaitu sesuatu produk dikeluarkan oleh pihak lain kepada pengusaha di bawah jenama yang dikehendaki oleh pihak pengusaha.
Pihak pengeluar akan mengadunkan bahan-bahan yang diminta oleh pengusaha ke dalam produk yang dihasilkan hinggalah ke proses pembungkusan dan pelabelan.
Ads
Dalam rantaian penawaran produk ini, pengusaha membayar sejumlah wang kepada pengeluar dan hanya menerima produk siap yang diinginkan untuk dipasarkan kepada pengguna.
Di samping itu, produk yang dihasilkan juga disertakan dengan dakwaan melampau dan juga testimoni pengguna.
Tanpa Melalui Kajian Dan Ujian Klinikal
Produk ajaib yang mengandungi bahan Sunnah didakwa boleh merawat 1001 jenis penyakit termasuklah 20 jenis penyakit yang tidak boleh diiklankan sebagai tuntutan perubatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Antaranya seperti kanser, jantung, kencing manis dan lain-lain. Malangnya produk yang dihasilkan hanya bersandarkan khasiat makanan Sunnah tanpa melalui kajian dan ujian klinikal pasca pengeluaran untuk dibuktikan keberkesanannya, sebaliknya hanya menggunakan testimoni pengguna yang boleh dipertikaikan.
Analisis kandungan terhadap produk tertentu menunjukkan adanya bahan berbahaya seperti dexamethasone dan prednisolone iaitu bahan steroid yang dilarang di bawah Akta Makanan 1983 di sebalik pelabelan Sunnah. Sejajar dengan dakwaan khasiat yang pelbagai, produk turut dijual dengan harga yang tinggi kepada pengguna.
Selain kemelut dakwaan melampau dalam produk yang dihasilkan, terdapat juga kalangan ibu bapa yang menolak kaedah rawatan moden dengan menggunakan pendekatan alternatif, iaitu pengambilan makanan Sunnah di samping mengamalkan teknik yang dikaitkan dengan Sunnah.
Misalnya golongan antivaksin berkeras menolak suntikan vaksin kepada kanak-kanak dengan alasan untuk menjaga kesucian tubuh anak daripada najis dan hanya mengambil makanan Sunnah sebagai ganti imunisasinya.
Ads
Begitu juga dengan golongan yang mengamalkan kaedah melahirkan anak di rumah (homebirth) tanpa pemantauan anggota kesihatan terlatih, mereka menolak kaedah moden dan mengamalkan pengambilan makanan Sunnah serta mengikut amalan secara alami sepertimana dalam kisah kelahiran Nabi Isa AS.
Justeru senario ini merupakan sebahagian daripada barah dalam masyarakat yang tidak salah faham dengan Sunnah yang diwariskan oleh Nabi Muhammad SAW kepada pengikutnya.
Mencari Keuntungan
Semakin jauh dari zaman Nabi SAW, umat semakin keliru dalam memilih Sunnah untuk diamalkan, malah ada pihak mencari keuntungan di sebalik senario tersebut.
Sedangkan Nabi Muhammad SAW telah bersabda:
“Aku telah tinggalkan kepada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya, (iaitulah) al-Quran dan Sunnah NabiNya.” (Riwayat Malik, no. hadis: 1594).
Jelasnya, Baginda telah mewariskan dua khazanah penting kepada umat Islam untuk dijadikan panduan dalam kehidupan.
Sehubungan dengan itu, dalam aspek pengambilan makanan dan minuman, syariat Islam tidak meletakkan makanan Sunnah sebagai keutamaan asas hingga menafikan makanan setempat yang halal lagi tayyib.
Ads
Sebaliknya dalam al-Qur’an, perintah yang diturunkan adalah arahan mengambil makanan secara umum (al-Baqarah [2]: 60) dan makanan yang halal lagi tayyib (al-Baqarah [2]: 168, 172; al-Ma’idah [5]: 88; Surah al-Nahl [16]:114).
Selain itu juga, penyalahgunaan label Sunnah turut memberi imej yang buruk terhadap Nabi SAW. Umpamanya apabila berlaku implikasi kemudaratan dan kematian akibat pengambilan produk yang dilabel dengan Sunnah, ia dapat memberi kesan negatif terhadap kesucian Sunnah Nabi SAW.
Di samping itu, menafikan rawatan dan perubatan moden yang diyakini keberkesanannya turut bersalahan dengan Sunnah Nabi SAW.
Ini kerana dalam urusan perubatan, Baginda pernah mengarahkan Sahabat untuk bertemu dengan doktor untuk mendapatkan rawatan (Riwayat Abu Daud, no. hadis: 3875).
Selain itu, dalam urusan keduniaan, Baginda meletakkan panduan asas umpamanya sabda Baginda: Kamu lebih mengetahui urusan duniamu. (Riwayat Muslim, no. hadis: 2363).
Kembali Hayati Sirah Dan Teladan Nabi Muhammad SAW
Panduan ini selari dengan firman Allah SWT dalam surah al-Nahl [16], 43: Maka bertanyalah para ahli (pakar), jika kamu tidak mengetahui. Jelasnya menolak kaedah rawatan dan perubatan moden dengan alasan mengutamakan Sunnah Nabi adalah suatu tindakan yang kontradiksi dengan ajaran Islam.
Sempena dengan memperingati maulid Nabi SAW, kesempatan ini perlu dimanfaatkan untuk kembali menghayati sirah dan teladan Baginda serta Sunnah yang Baginda wariskan.
Sebaliknya, jika ingin mengikuti dan menyintai Sunnah Baginda adalah bukan dengan mengeksploitasi label Sunnah untuk menghasilkan produk dengan dakwaan yang melampau, bukan juga dengan tindakan eskapisme daripada rawatan dan perubatan moden dengan motif tertentu.
Kehadiran Nabi Muhammad SAW sebagai contoh ikutan dan juga rahmah kepada ummah perlu dihargai dengan penuh kecintaan yang tulus. Marilah bersama sama berselawat kepada Baginda Rasulullah SAW.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
ISTIQAMAH Buat 3 Perkara Ni, Banyak Betul URUSAN Dipermudahkan! Cuba semak kembali dalam kehidupan kita selama ini, jika terasa sulit, sukar dalam setiap urusan, pasti ada kurang di mana-mana. Jika ingin setiap urusan dipermudahkan, dilapangkan pintu-pintu rezeki cuba istiqamah buat perkara ini iaitu jangan kedekut, banyakkan bersedekah dan bela kucing di rumah.
Seorang kawan bercerita, tentang bagaimana hidupnya yang selalu sangat sulit akhirnya dipermudahkan.
Dia kahwin lama. Tapi tak dapat anak. Macam-macam ikhtiar, tapi susah sangat nak lekat. Pergi check doktor, dua-dua sihat dan subur.Kemudian isterinya dapat kerja. Tapi malang lagi sekali, tempat kerja jauh beratus batu. PJJ la pula hubungan mereka.
Isi borang tukar, bertahun-tahun tak dapat. Entah mana silap, orang lain cepat je lulus, sampai turn wife dia entah kenapa susah benar.
Kemudian katanya hidupnya macam selalu disukarkan. Kena penyakit susah nak sembuh, padahal penyakit biasa. Urusan apa-apa selalu jadi sulit.
Akhirnya suatu hari, saudara dia jumpa berdepan dan tegur. Teguran lembut tapi sentap teruk juga katanya dia.
Isteri Kedekut
Saudara dia ni dah perhati lama kehidupan mereka suami isteri ni. Dia perasan isterinya jenis kedekut yang amat termasuk pada keluarga sendiri.
Pulang rumah mertua tak pernah bawa buah tangan. Kadang beli makanan, beli KFC, beli buah-buahan, coklat ke apa, bawa masuk dalam bilik makan sorang-sorang.
Nak belanja adik-beradik, ipar duai, lagi lah payah. Dah kerja dapat gaji pertama, usah kat nak hulur duit sedikit buat keluarga rasa gaji dia, sate secucuk pun tak ada bawa pulang.
Pesan 3 Perkara
Saudara dia pesan tiga perkara. Jangan kedekut. Banyakkan bersedekah. Bela kucing.
Dia renung balik teguran saudaranya, dan dia akui memang wife dia jenis yang kedekut. Maka dia pulang dan nasihat wife dia elok-elok.
Awalnya wife tak boleh terima teguran tu. Namun setelah dipujuk akhirnya si isteri akur.
Tabung Sedekah Subuh
Mereka suami isteri buat tabung Sedekah Subuh. Setiap pagi mereka akan simpan RM1 – RM5 sahaja. Setiap hari Jumaat, duit tu mereka akan masukkan dalam tabung masjid, belanja kanak-kanak, sedekah pada fakir dan sebagainya.
Belanja Ahli Keluarga
Kat rumah pula, mula belanja ahli keluarga, pulang rumah mertua bawa buah tangan, beli barang dapur.
Bagi Kucing Makan
Cuma mereka tak bela kucing sahaja. Sebab katanya isteri dia alergik bulu kucing. Ada asthma. Namun mereka beli makanan kucingdan selalu bagi kucing liar makan.Dalam kereta sentiasa ada makanan kucing. Pergi kedai, pergi pasar, nampak ada kucing mereka bagi makan.
Banyak Urusan Dipermudahkan
Ajaibnya kata dia, beberapa bulan selepas istiqomah buat begitu, isterinya mengandung. Selepas lahirkan anak, isterinya dapat tukar pula. Katanya sepanjang mereka istiqomah buat tiga perkara ni, banyak betul urusan mereka dipermudahkan.
Panjang dia cerita sebenarnya. Ni aku dah pendekkan. Aku minta izin dia untuk kongsi hal ini dan dibenarkan. So, here it is.
Kawan-kawan. Sedekah ni banyak sungguh keajaibannya. Layanan baik pada ahli keluarga pula tuntutan agama.Berbuat baik pada binatang itu pun antara punca urusan kita dipermudahkan.
Semoga Bermanfaat!
Yang mana selalu susah dalam urusan, masih belum ada rezeki anak, banyak masalah hidup, cubalah 3 tips mudah ini.
Moga-moga apa yang dihajati dimakbulkan Tuhan. Amin.
Selamat pagi dunia maya!
Nak BERJAYA, Yakinkan Diri Dan Hilangkan Segala Keraguan. Tak kira dalam apa juga bidang yang diceburi. Sama ada kerjaya mahu pun kehidupan peribadi.
Asas ke arah membina kejayaan dan kebahagiaan hidup adalah keyakinan. Islam datang membina keyakinan dalam diri sebagai tunjang kehidupan manusia. Kejayaan dakwah Islam digerakkan oleh individu-individu yang memiliki keyakinan diri yang tinggi dan tidak mudah diganggu-gugat.
Nak Berjaya, Kukuhkan Keyakinan
Kejayaan dan kebahagiaan hidup akan tercapai melalui keyakinan diri yang diperkukuhkan tanpa jemu. Keyakinan diri ini perlu diusahakan agar individu terselamat daripada cengkaman keraguan (doubt) yang sering membantutkan usaha-usaha ke arah membina kejayaan dan kebahagiaan diri.
Kemuncak bahaya keraguan diri ini tentulah keraguan diri terhadap kekuasaan dan kasih sayang Allah kepada makhluk-Nya. Keyakinan kepada Tuhan mula tergugat terutama ketika diri dilanda tekanan hidup yang tiada entah bila akan berakhir. Diri mula mempersoalkan keadilan dan kasih-sayang Allah ke atas diri.
Kenapa Nak Doubt?
Tanpa mengira usia, bangsa dan agama, keraguan (doubt) boleh melanda sesiapa sahaja. Ia berlaku secara sedar atau secara tidak disedari. Jika tiada ikhtiar untuk menyingkirkannya, impak negatif keraguan diri ini boleh dirasai hingga ke hujung hayat seseorang.
Keraguan yang menghantui seseorang boleh disebabkan oleh beberapa faktor. Pertama, apabila seseorang sering dibelenggu persekitaran hidup negatif. Persekitaran negatif itu selalu berulang dalam hidupnya atau ia sendiri selalu memikirkan, merasakan dan membayangkannya (V.A.K.) dalam kehidupan harian.
Sebagai contoh, seseorang mengalami trauma negatif pada suatu ketika dahulu.Trauma negatif itu masih menghantui diri hingga kini. Dia sendiri selalu mengingatinya atau menceritakannya hingga trauma itu semakin kuat mencengkam fikiran, emosi dan spiritualnya.
Dalam contoh lain, ada anak-anak yang dilabel dengan label-label negatif oleh ibu bapa, rakan-rakan atau guru-gurunya. Label-label negatif seperti “nakal”, “tak boleh diharap”, “tak ada harapan untuk berjaya”, “degil” dan seumpamanya hanya menambah penderitaan diri anak-anak.
Sayugia disarankan kepada ibu bapa khususnya, cuba elakkan label-label negatif atau ayat-ayat menghukum ini kepada anak-anak. Jika saban hari mereka dilabelkan sedemikian rupa, maka semakin parah impak negatifnya kepada mereka.
Kita bimbang, impak negatif yang akan terbina daripada label-label negatif itu terutama bila mereka besar nanti. Mungkin ibu-bapa telah ‘merancang’ kegagalan dan kekecewaan anak-anak sendiri di masa hadapan!
Diri Mudah Dipengaruhi
Keraguan juga terbentuk apabila seseorang mudah dipengaruhi persekitaran hidup negatif. Seseorang tidak menjadi dirinya sebenar tetapi terlalu mudah terikut-ikut dengan pengaruh luaran.
Sebagai insan ciptaan Allah yang hebat ini, setiap insan ada harga diri yang perlu dipertahankan. Sepatutnya individu menguasai diri ke arah perkara-perkara positif dan bermanfaat. Individu bina diri dengan acuan akhlak dan nilai budi luhur, memiliki jati diri muslim mukmin yang unggul. Individu mempengaruhi suasana, bukan suasana yang menguasai diri individu.
Bila seseorang hilang daya pengawalan diri, maka ia akan hanyut dengan arus negatif yang melanda. Bila ia dilanda masalah maka ia tenggelam dalam masalah tersebut. Bila tenggelam dalam masalah,itu bermakna masalah menguasai diri. Bila diri dikuasai masalah, maka sukar baginya untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Hilang Fitrah Diri
Fitrah diri setiap insan adalah positif. Diri insan dipenuhi dengan sifat-sifat terpuji (Asma’ ul husna) yang menjadi inti pati ruh yang ditiupkan ke dalam diri semenjak ia dilahirkan. Energi positifnya tanpa had, melepasi dan melampaui.
Dengan fitrah ini, semua benda mudah, tapa had, tiada halangan, tiada sekatan, semua dalam jangkauan dan dapat dirasakan. Fikirannya bebas, perasaannya bebas, bebas dari ikatan masa dan ruang.
Letakkan Diri Dalam Keraguan
Hilang fitrah diri bermaksud seseorang telah hilang kesemua atau sebahagian besar ciri-ciri fitrah yang dinyatakan itu hingga akhirnya meletakkan dirinya dalam keraguan dan kebimbangan yang tiada hentinya. Roh diri menjadi sempit, terkongkong dan tidak bebas. Pelbagai halangan muncul dalam diri yang nak mengajak kepada kegagalan, kekecewaan dan kesedihan.
Kemuncak kepada kehilangan fitrah ini sudah tentu hilang kepercayaan diri kepada Allah sebagai Ilah yang wajib disembah dan tempat bermohon. Pada peringkat ini dikhuatiri syahadah seseorang boleh terbatal, secara disedari atau tanpa disedari.
Nak Kikis Keraguan Daripada Diri!
Sebagai rumusan, keraguan diri yang sering mencengkam minda dan perasaan harus dikenal pasti dan kemudiannya dikikis daripada diri. Kejayaan dan kebahagian hidup yang kita impikan selama ini mungkin tersekat dek gangguan ini.
Mohon pertolongan Allah agar belenggu keraguan ini dapat dibersihkan daripada diri dan kita memperoleh fitrah asal kejadian yang menjanjikan kebahagiaan dan kejayaan hidup, duniawi dan ukhrawi.
Sumber: Dr Muhamad bin Jantan, Perunding Motivasi & Psikologi
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ramadan makin meninggalkan kita. Bila tiba di sepuluh terakhir Ramadan, maka ramailah yang fokus untuk mengaut kelebihan Lailatul Qadar. Tak kurang juga yang terus leka dengan dunia sendiri, seperti tiada apa yang berlaku.
Kaum hawa, antara yang selalu bertanyakan soal ini. Ada yang merasa bersangatan sedih bila tak dapat beribadah seperti biasa kerana uzur Syar’ie.
Jangan Risau Dan Sedih
Janganlah bersedih. Kalian diciptakan memang fitrahnya begitu. Bahkan takkan terkurang walau sedikit kasih sayang Allah SWT pada kalian. Allah SWT Maha Mengetahui, kerana DIA yang menciptakan kita semua. DIA Maha Adil.
Banyak ibadah lain yang boleh dilakukan selain bersolat dan membaca al-Quran. Pernah dalam sebuah hadis, Saidatina Aisyah r.anha bertanya pada Rasulullah SAW: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ وَافَقْتُ لَيْلَةَ الْقَدْرِ مَا أَدْعُو قَالَ تَقُولِينَ اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي Wahai Rasulullah, apakah pandangan kamu sekiranya aku bertemu dengan Lailatul Qadar apakah yang patut aku berdoa?
Maka kata Nabi SAW: ‘’Ucapkanlah: Ya Allah, sesungguhnya Kau maha Pengampun, dan Kau sukakan pengampunan, maka ampunkanlah aku’’. Ini bermakna, kaum hawa yang berhaid boleh memperbanyakkan baca doa di malam itu. Digalakkan juga berzikir. Zikirlah dengan khusyuk.
Ibnu Abi Dunia meriwayatkan bahawa Az-Zuhrie berkata: تسبيحة في رمضان أفضل من ألف تسبيحة في غيره “Sekali bertasbih dalam bulan ramadan lebih baik dari seribu tasbih di waktu yang lain.”
Lalu Apakah Amalan Lain Lagi Boleh Dilakukan?
Bangunlah awal. Kejutkan ahli keluargamu untuk beribadah. Kemudian kalian boleh terus sediakan juadah untuk sahur pada mereka. Niatkan, “Ya Allah, aku sediakan hidangan ini keranamu. Kerana ingin mendapat pahala ibadah.”
Bila keesokan harinya, sediakan pula juadah berbuka buat mereka. Menyediakan hidangan buat mereka berpuasa, MasyaAllah Tabarakallah pahalanya juga besar saudari-saudari sekalian. Sebuah hadis menyebutkan: مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا
Daripada Zaid bin Khalid al-Juhani r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.” [Hadis Riwayat Al-Tirmizi no. 807]
Imam Izzuddin al-Izz bin Abd al-Salam menjelaskan tentang fadilat memberi makan kepada orang yang berpuasa: “Sesiapa yang memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa dalam sepanjang tahun, maka dia akan mendapat pahala berpuasa selama setahun”. [Rujuk Maqasid al-Saum, Izz Abd al-Salam (Hlm. 18)]
Ini juga berdasarkan firman Allah SWT: مَن جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا “Sesiapa yang melakukan suatu kebaikan maka baginya sepuluh ganjaran pahala.” [Surah Al-An’am: 160]
Ada Tak Lagi Amalan Lain?
Ada. Kalian boleh perbanyakkan bersedekah. Sebagaimana yang kita maklum, amalan sedekah di dalam bulan Ramadan mempunyai ganjaran yang amat besar di sisi Allah SWT. Banyak cara sedekah yang boleh dilakukan.
Memberikan makanan kepada jiran, bersedekah barang keperluan, menyebarkan nasihat dan kalimah-kalimah yang baik di media sosial dan bermacam cara lagi. Senyum pun boleh. Tapi janganlah tersalah senyum pula. Nanti ada pula yang angau. Naya.
Kalian juga boleh saja mendengar bacaan al-Quran. Mendengar juga beroleh pahala Insya-Allah. Jangan pula bangun malam semata-mata untuk layan movie, tengok drama, dengar lagu lagha dan sebagainya. Rugilah. Dibuatnya kena malam Lailatul Qadar, sudah terlepas.
Selain itu, kalian juga boleh perbanyakkan istighfar, berselawat dan membaca buku agama serta membelek tafsir al-Quran.
Allah SWT sukakan orang yang beristighfar di waktu sahur. Firman Allah SWT: وبالأسحَارِ هُم يَستَغفِرُون
“Mereka sentiasa beristighfar waktu sahur.”
[Surah az-Zariyat: 18]
Insya-Allah, semuanya dikira amal ibadah jika kita ikhlas Lillahhi Ta’ala. Semoga Allah SWT menerima amalan kita, dan mendapat juga kelebihan hebat Lailatul Qadar itu. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
Bantu share kepada rakan-rakan muslimah yang lainnya ya. Moga perkongsian ini juga dikira amal ibadah buat kita semua.
Gadis 15 tahun hilang sejak Oktober 2025 dan keluarganya merayu bantuan orang ramai. Baca laporan penuh dan ketahui ciri-ciri Qaseh untuk membantu pencarian.