Mak Mak Berhijab Usia 40-an, Ini Panduan Kemas Barang Bila Jalan Jalan Oversea

Tip ini untuk bantu mudahkan mak-mak kemas barang apa perlu di bawa dan apa yang perlu ditinggalkan bila nak jalan jauh atau bercuti hingga luar negara.

Boleh cuba praktikkan panduan yang dikongsikan Azian Mohamed Isa ini. Tip inilah juga yang dipraktikkannya bila jalan-jalan ke beberapa tempat di luar negara.

Jadi tidaklah nanti mak-mak terbawa barangan yang tidak perlu.

ENAM TIP INI BUATKAN ANDA TAK SABAR UNTUK KEMBARA

Ada banyak tip tentang cara paling berkesan untuk kemas barang ketika kembara. Google saja dan pilihlah kaedah yang sesuai mengikut keperluan anda.

Untuk seorang wanita yang matang seperti saya, berusia 40-an, berhijab, mahu tampil selesa, kemas dan menarik, ini tip yang saya selalu gunakan setiap kali mahu kembara.

 

Mak Mak Berhijab Usia 40-an, Ini Panduan Kemas Barang Bila Jalan Jalan Oversea
Kg Glam, Singapore. 2016

1. The Rule of Half

Katakan tempoh kembara anda ialah 10 hari. Bawa pakaian untuk 5 hari sahaja. Dan pilih pakaian yang terbaik dan tercantik. Jangan murahkan destinasi anda yang mahal itu dengan berpakaian basahan seperti mahu ke pasar. Kebarangkalian kembara ke luar negara untuk golongan mak-mak seperti saya ini ialah 0.001. Jadi, manfaatkan sebaiknya.

 

Mak Mak Berhijab Usia 40-an, Ini Panduan Kemas Barang Bila Jalan Jalan Oversea
Port Louis, Mauritius. 2017.

2. The Rule of Third

Bawa 3 helai tudung.

IKLAN

Satu tudung jenis kasual seperti tudung bawal, shawl crumple atau tudung dua muka. Tudung ini mestilah selesa, tidak mudah renyuk, cepat kering apabila dibasuh, pinless/ pin-minimalis dan effortless. Pun begitu, dengan tudung ini anda akan sentiasa nampak menawan. Tudung inilah yang akan anda pakai sepanjang waktu penerbangan.

Mungkin ada waktu yang anda perlu solat di dalam kapal terbang. Oleh sebab itu, ia harus mempunyai ciri-ciri yang disebutkan di atas. Jadi, tidaklah anda struggling untuk menyarung tudung di dalam bilik air kapal terbang yang sempit itu. Fuh, silap pilih tudung boleh berpeluh di dalam bilik kecil itu!

Satu tudung jenis sarung atau Syria. Ini saya panggil tudung emergency. Tudung yang kita mahu pakai apabila mahu turun sarapan awal pagi, mahu duduk-duduk santai di balkoni hotel sambil membaca novel kegemaran atau tiba-tiba house keeping datang mengetuk pintu bilik mahu maklumkan sesuatu.

Dan satu lagi tudung ialah tudung glamer. Ya, tudung yang blink-blink, penuh beads and glitter atau satin shawl yang anda hanya pakai waktu dinner atau dalam majlis formal. Mana tahu, pasangan kembara anda membuat kejutan dengan menempah makan malam di restoran ternama atau river cruise yang romantik.

Oh, jangan bimbang jika suami anda bukan jenis romantik. Suami apabila nampak bini well-dressed, mestilah diajaknya ke tempat yang istimewa. Dress like you’re going somewhere better later.

IKLAN

 

Mak Mak Berhijab Usia 40-an, Ini Panduan Kemas Barang Bila Jalan Jalan Oversea
Xi’an, China, 2016.

3. One Conquers All

Kasut mesti selesa dan tahan lasak. Jangan pandang remeh hal kasut. Biarlah mahal tapi kualitinya bagus. Saya memilih jenama Skechers. Kasut itulah yang saya guna sepanjang kembara.

4. Prepare for the Worst

Sediakan baju sepersalinan di dalam hand luggage. Sepersalinan ini bermaksud sepasang seluar, sehelai baju dan pakaian dalam. Bimbang sampai ke destinasi, bagasi anda tidak muncul-muncul. Boleh berlaku apabila ada transit dalam itinerari penerbangan anda.

Ini berlaku semasa saya di Turkiye. Bagasi sampai selepas dua hari saya di sana. Mujur ada baju spare. Kalau tidak, terpaksalah shopping baju.

 

IKLAN
Mak Mak Berhijab Usia 40-an, Ini Panduan Kemas Barang Bila Jalan Jalan Oversea
Dolmahbace Palace, Istanbul, Turkiye, 2016

5. Roll Isn’t Everything

Asal packing je, gulung. Asal gulung je packing. Ini mitos. Sweatshirt dan cardigan jangan digulung. Lipat dan letakkan di atas gulungan pakaian di dalam beg. Hal yang sama untuk shawl.

6. Handy Hanger

Ya, saya bawa satu set hanger (ada 6). Bukan hanya untuk gantung, tapi untuk sidai baju. Baju atau seluar dicuci tangan. Sidai di dalam bilik air. Dah berhenti menitis, carilah tempat yang sesuai untuk gantung. Tak perlu cari dobi. Servis dobi di hotel libatkan kos.

Ketika di Mekah, bilik hotel kami langsung tiada hanger. Berguna sangat hanger yang dibawa. Apabila mahu berangkat balik, kami wakafkan saja hanger itu.

Semoga apa yang dikongsikan bermanfaat. Yang tak sesuai tak perlu ikut ya.

Salam kembara,

Sumber/Foto : Azian Mohamed Isa

Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI