
Rumahku Syurgaku. Itulah yang boleh dikatakan. Sebagai tempat tinggal untuk berlindung dan paling selamat.
Hakikatnya, rumah yang dianggap ‘syurga’ tidak lagi dan menjadi tempat ‘neraka’ apabila berlakunya sumbang mahram. Lebih teruk apabila anak-anak menjadi mangsa atas keghairahan nafsu orang yang diharapkan menjadi pelindung.
Perogol Dalam Rumah. Itulah topik Mingguan Wanita Talkshow tengah hari tadi. Antara teamu jemputan yang membincangkan tentang isu ini adalah Syed Azmi Alhabshi, Aktivis Kanak-kanak. Ulasnya:
“Isu ini patut di ambil serius dan jika tidak dibendung ia boleh menjadi kronik. Dikatakan 90% penjenayah seksual adalah orang yang dikenali oleh mangsa.
“Ada mengatakan kejadian ini berlaku kerana mungkin isteri dalam pantang dan anak dijadikan mangsa. Tetapi sebenarnya, keadaan ini berlaku apabila pemangsa memang berniat dari awal dan dia menyalahgunakan kuasa seorang ayah atau abang dan pelindung kepada anak-anak.
Kes yang pernah dikendalikan olehnya ialah mangsa berusia 5 tahun dan paling termuda. Pada usia 9 tahun, kanak-kanak itu telah mengandung. Apa yang diketahui, ahli keluarga tidak berani melaporkan kepada pihak berkuasa tentang perkara ini kerana malu atau boleh membawa aib kepada keluarganya.

Manakala menurut Suziyana Mat Jusoh, Peguam Syarie pula:
“Jika disabitkan kesalahan, hukuman penjara boleh dikenakan sekurangnya 6 tahun penjara dan maksima lebih 20 tahun dengan sebatan.
“Bila keadaan ini berlaku, ahli keluarga kena peka pada perubahan anak-anak terutamanya melihat keadaan anak-anak dalak trauma, ketakutan dan sebagainya.
“Tidak perlu malu untuk membuat laporan kerana ia bukan mengaibkan tetapi untuk membantu penyelamatkan anak itu sendiri.

Puan Rafidah Abd Aiz, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kanak-kanak, Jabatan Kebajikan Masyarakat memberitahu:
“Peranan JKM dalam isu ini terbahagia kepada tiga iaitu SEBELUM, SEMASA dan SELEPAS. Dalam SEMASA menerima aduan itu, pegawai JKM akan membuat siasatan untuk selamatkan kanak-kanak tersebut dan membawa ke hospital untuk kesahihan. Dalam tempoh ini, kanak-kanak akan ditempatkan di tempat yang selamat.
“Berilah kerjasama dan maklumat tepat dan usah risau kerana pelapor akan dirahsiakan identiti. Kita perlukan kerjasama untuk membendung jenayah ini.
Jika keadaan ini berlaku, hubungi HOTLINE : Talian Kasih 15999.

Bagi mengetahui kupsan lanjut, ikuti ulangan Mingguan Wanita Talkshow ini bersama Siti Elizad, Norman Hakim dan Erra Fazira bersama tetamu jemputan lain di Astro Prima 105 dan Prima HD 121 pada jam 8 malam nanti.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Demi Tanggung Kekasih, Sanggup Diri ‘Disimpan’ Lelaki Kaya

Assalamualaikum puan. Sebenarnya masalah yang saya ingin kongsi ini adalah berkenaan dengan sahabat baik saya, M, yang relakan dirinya ‘disimpan’ lelaki kaya demi menanggung kekasihnya. Manakala kenali saya sebagai K.
Saya dan M sebaya, berasal dari satu kampung, di sebuah negeri di pantai timur. Kami mula rapat sejak di tingkatan dua. Mak M dah lama meninggal dunia, sejak usianya 10 tahun dan dia dijaga oleh ayahnya. Sebelum menduduki SPM, ayahnya pula meninggal dunia akibat kemalangan maka M hilang tempat bergantung.

Yatim Piatu
Sebenarnya M seorang pelajar yang cemerlang namun kematian ayahnya memberi impak besar pada dirinya hingga dia tiada lagi semangat untuk berjaya. Saya tahu segala kisah suka dukanya dan menjadi tempatnya meluahkan perasaan. Keluarga saya juga banyak membantunya, mana yang kami termampu.
Dipendekkan cerita, selepas SPM, saya melanjutkan pelajaran di sebuah kolej manakala M tidak menyambung pelajarannya. Hubungan kami renggang kerana masing-masing membawa haluan sendiri.
Kami jarang jumpa kerana dia sudah tak balik ke kampung sejak bekerja. Universiti tempat saya belajar pula berlainan dengan negeri tempatnya bekerja. Hanya sesekali kami berbual menerusi telefon kerana M tak ada FB atau IG.
Kembali Rapat
Selepas tamat pelajaran, saya mendapat pekerjaan di sebuah syarikat di KL dan meminta pertolongan M yang memang tinggal di sana. Dia yang carikan rumah sewa untuk saya. Pernah saya tanya, tak bolehkah saya menyewa bersamanya, tapi dia memberi alasan dia tinggal di nurseri tempatnya bekerja.
Jika ada masa terluang, kami akan keluar bersama dan biasanya M yang akan datang ambil saya di rumah dengan kereta miliknya. Hairan juga saya kerana melihatkan kereta yang M pakai bukan murah, kereta jenama luar negara. Takkan dengan gaji guru tadika dia boleh pakai kereta sebegitu? Tapi saya bersangka baik, mungkin dia ada kerja sampingan lain.
Kekasih M
Satu hari saya diperkenalkan dengan seorang lelaki yang merupakan kekasih M. Orangnya memang handsome tapi kali pertama bersua, saya tidak menyukai lelaki itu. Saya dapat rasakan dia tidak ikhlas terhadap M. Pandangan matanya juga menakutkan saya. Tapi saya dapat rasakan M benar-benar sayangkan lelaki itu.
Pada satu kesempatan, saya mengajak M bermalam di rumah sewa kerana kebetulan waktu itu tiga rakan serumah pulang kampung. Ketika itu saya cuba selidik tentang teman lelaki M. Dia mengakui, lelaki itu sangat dicintainya dan dia sanggup berkorban apa demi lelaki itu. Malah, kepada lelaki itulah yang diserahkan kehormatan dirinya. Terperanjat besar saya dibuatnya. Tak sangka M sejauh itu.
Tanggung
Lebih membuat saya terkejut, M mengakui, dia yang menanggung teman lelakinya itu yang masih belajar di sebuah kolej swasta. Paling membuat saya tak percaya, M mengaku demi untuk mendapatkan wang lebih, dia sanggup menjadi perempuan simpanan kepada seorang lelaki kaya kerana ingin memberikan kemewahan kepada teman lelakinya itu! Mengucap panjang saya mendengarnya.
Sebagai sahabat, saya hanya mampu menasihati tapi saya tak mahu terlalu berkeras dengannya kerana cara itu akan membuatkan dia lagi jauh daripada saya.
Puan, saya sayangkan M dan anggap dia seperti adik-beradik kandung. Saya kasihankan dia yang sanggup merosakkan diri kerana seorang lelaki yang tak ikhlas cintakan dia. Saya berani katakan begitu kerana dalam diam, teman lelaki M pernah cuba menggoda saya!
Saya juga risau kalau lelaki kaya yang membela M tahu akan tembelang M, sesuatu yang buruk akan terjadi pada M pula. Bagaimana caranya saya boleh lakukan untuk membantu sahabat saya ini keluar daripada maksiat itu dan menyedarkan dia bahawa teman lelakinya itu hanya mempergunakan dia demi duit saja? Nak berkongsi dengan mak ayah saya, takut merek tak dapat terima keadaan M dan mungkin akan minta saya jauhi M pula…
Cik K, Putrajaya.
Jawapan:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Saudari adalah antara orang yang memelihara hubungan dalam persahabatan. Malah persahabatan yang saudari jalinkan sejak kecil hingga menganggapnya seperti adik beradik sendiri adalah tindakan yang mulia. Saya memahami bagaimana saudari mahu agar sahabat saudari kembali ke pangkal jalan, tidak lagi bergelumang dengan dosa dan membiarkan diri dipermainkan lelaki.
Untuk membawa insan lain ke jalan yang diredai Allah bukan suatu yang mudah. Sebagai insan yang ingin membantu insan lain, saudari hanya berusaha, yang akan menentukan dia berubah adalah hidayah dari Allah. Maka, kesabaran perlu ada untuk membawa insan lain kembali ke jalan yang diredai. Mungkin beberapa tip ini boleh membantu saudari untuk membantu rakan saudari.
Pendekatan
Pertama, anggap saudari membantunya sebagai ikhtiar untuk dia berubah, hanya Allah yang mampu mengubahnya dengan usaha saudari dan usahanya sendiri.
Kedua, dekatinya dengan santun. Dengar apa yang diluahkan. Saudari boleh jadi pendengar yang setia. Cuba lihat adakah cara berceritanya ada sedikit penyesalan tetapi tidak tahu nak atasi macam mana atau berbicara itu tanpa ada menyesal pun dengan apa yang dilakukannya.
Cara mendekatinya mungkin sedikit berbeza. Jika tidak nampak bunga-bunga penyesalan, cara dekatinya agak berbeza. Pendekatan saudari perlu dengan cara tanya persoalan-persoalan tentang erti kehidupan, biar dia menjawab soalan itu. Nasihat tidak sangat memberi kesan.
Persoalan Dan Jawapan
Beberapa soalan yang boleh tanya bergantung kepada dua keadaan yang saya nyatakan di atas. Antara soalan-soalan yang jika dia tidak nampak rasa penyesalan boleh ditanya seperti berikut:
1. Apa tujuan hidup kita?
2. Kenapa kita dilahirkan?
3. Ke mana destinasi akhir kita?
4. Adakah apa yang M lakukan itu diterima Allah? Diredai oleh ibu bapa M yang telah mati?
5. Bagaimana ibu bapanya yang telah mati. Adakah jika mereka hidup mereka suka cara hidup M begitu?
6. Bayangkan jika M jadi ibu dan anak M jadi seperti M sekarang, apakah yang M rasa?
7. Dan beberapa persoalan yang saudari rasa sesuai ditanya yang boleh menimbulkan kesedaran kepadanya untuk kembali ke jalan Allah.
Beri masa dan ruang padanya untuk menjawab soalan-soalan itu. Malah jika ditulis adalah lebih baik. Jawapannya mesti ikhlas datang daripadanya.
Jika nampak ada sedikit penyesalan dan dia mahu berubah, tetapi buntu bagaimana ingin berubah maka antara soalan-soalan yang boleh ditanya:
1. M benar-benar mencintai K (katakan kekasihnya). Adakah K setia padanya? Jika ditakdirkan K menjadikan orang lain dalam hidupnya apa M akan buat?
2. M sedar atau tidak bahawa K hanya mengambil kesempatan terhadapnya?
3. Sampai bila M akan berterusan begitu. Jika K2 (orang kaya yang menyaranya) dapat tahu apa agaknya akan berlaku?
4. M mahu berubah atau tidak daripada cara hidupnya sekarang? Mengikuti cara hidup yang lebih baik mengikut landasan agama? Jika jawapannya Ya, maka saudari perlu pandu soalan-soalan bagaimana atau apa langkah-langkah yang dia perlu buat.
5. Jika masih belum bersedia, tanyakan soalan-soalan yang boleh menyedarkan dirinya bahawa apa yang dilakukan sebenarnya amat merugikan dirinya.
Ingatkan Dia Tentang Solat…
Dekati dia dengan santun dan sering ambil berat terhadapnya. Perlahan-lahan beri dia ilmu keagamaan yang membawanya kepada kehidupan sebenar. Selalu hadiahkan sesuatu, walaupun kecil tetapi tanda ingatan. Selepas hadiah berbentuk ini, hadiahkan buku agama, telekung dan sejadah agar tanda saudari menyayanginya kerana Allah.
Bila saudari bersamanya, sedaya mungkin cuba ajak dia solat sekali, membaca ayat-ayat Allah mana yang dia tahu. Sering ingatkan dia tentang solat. Jika mampu sering ingatkan dia jangan tinggal solat. Walau buat maksiat pun sekali-kali jangan tinggal solat, yang ini selalu memperingatkan dia. Jika dia berkata, “aku buat maksiat, buat apa solat, Allah tentu tak terima”. Katakan bahawa Allah itu Maha Pengasih..Maha Pengampun…solatlah walaupun bergelumang dengan dosa. Itu pesanan yang saudari berikan padanya. JANGAN TINGGAL SOLAT.
Mohon Pertolongan Allah
Seterusnya, sering-seringlah menghantar artikel atau kata-kata melalui whatsapp yang mengajak kepada kebaikan dan kehidupan yang diredai Allah. Berbicara yang paling baik dengannya tentang erti kehidupan yang sebenar dan diredai Allah. Teruskan mengajaknya kepada kebaikan.
Saudari sendiri perlu banyakkan solat memohon Allah mengampunkan dosanya. Dan saudari perlu yakin bahawa Allah akan bantu saudari untuk membantunya jika saudari juga kuat solat dan selalu berdoa agar Allah lembutkan hatinya dan membawanya pulang ke jalan yang diredai Allah.
Moga sedikit panduan ini dan kegigihan saudari membantu membawanya pulang ke jalan Allah diperkenankan Allah.
** Persoalan ini telah dijawab oleh Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor dan Penulis Bebas, juga penulis tetap ruangan Ya Tuhan di dalam majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kenapa Suami Yang Dah Lama Kahwin, Selalu Terlupa Nak Pandang Wajah Isteri Dengan Rasa Cinta

Betapa besarnya kuasa PANDANGAN dalam kehidupan berumah tangga. Sebab belum tentu, suami isteri yang dah berpuluh tahun berkahwin dapat merasai nikmat pandang wajah pasangannya dengan penuh rasa cinta dan kasih.
Semakin lama hidup bersama, hal pandang memandang ini seakan jauh dari dalam diri suami. “Kenapa nak pandang-pandang. Kan dah duduk serumah, tidur sebantal. Cukuplah itu.”
Jangan kata macam itu.. ego sangat bunyinya tu.
Sebenarnya ada manfaat yang sangat besar dalam bab-bab memandang wajah isteri dengan penuh rasa kasih ini wahai suami. Dan inilah sebabnya kenapa perkara yang ‘simple’ macam ini pun jika diamalkan selalu boleh mengukuhkan lagi ikatan perkahwinan.
Satu lagi kebaikannya, benda yang tak biasa buat ini.. kalau dibiasa-biasakan maka akan jadi satu kebiasaan. Nanti bila sehari tak pandang wajah isteri, boleh jadi rindu mendalam.
Ha.. tak ke bahagia bila isteri tahu tu.
Bila isteri bahagia, suami pun jadi gembira. Nak makan apa, semua isteri boleh buatkan.
Pandang Wajah Isteri Dapat Pahala
Mana-mana suami yang memandang wajah isteri dengan rasa kasih, sayang dan cinta, itu pun dah dapat pahala. Kemudian, bila isteri pula membalasnya dan memandang wajah suami dengan rasa yang sama lalu Allah akan memandang mereka dengan pandangan rahmat.
Apabila rahmat Allah hadir dalam jiwa pasangan suami isteri ini, maka besar mana pun halangan atau ujian yang tuhan berikan. Pasti Allah akan temukan juga jalan penyelesaiannya.
Sayangnya, ramai pasangan selepas mendirikan rumah tangga selalu terlupa buat perkara simple macam ini.
Rasa malu nak pandang wajah isteri sendiri.
Isteri pun sama tiba-tiba selepas setahun dua hidup bersama mula lupa nak pandang wajah suami berlama-lama.
Cubalah pandang.. pegang.. tengok setiap urat-urat dan kedut wajah yang mulai timbul pada wajah pasangan.
Anda akan rasakan satu perasaan sayang. Merasakan ‘oh isteriku sudah banyak berusaha untuk rumah tangga ini. Ku nampak lelah dan penat di wajahnya.’
Jangan lupa doakan isteri ‘Ya Allah, berilah isteriku kemudahan menguruskan aku dan anak-anakku. Balaslah penat lelahnya ini dengan syurgaMu.’
Isteri juga begitu, pandang wajah suami, pegang dan doakan kebahagiaan dan kemudahan suami. Jangan terlalu ego sampai takkan dah buat semua benda remeh tapi mengeratkan kasih sayang ini.
Kenapa Mesti Malu
Selepas bertahun-tahun menjadi suami isteri kenapa mesti malu? Dialah soulmate kita, dialah racun dialah penawar. Jika itu yang anda tanamkan dalam diri.
Malu itu akan hilang.
Lebih mesra jika anda saling memandang wajah suami ketika mahu tidur malam. Masa ini boleh lakukan sambil berbual-bual dengannya.
Tentang anak-anak, tentang masa depan keluarga, tentang cinta. Tak salah pun kalau nak imbas memori percintaan lama.
Itu juga tips yang buatkan suami sentiasa dekat dengan isteri. Sentiasa ingatkan dia, dulu dia macam mana. Kadangkala suami memang benar-benar terlupa.
Maafkanlah dia.. lelaki itu sifatnya lebih pada logik. Hal-hal yang kita rasa penting, kadang remeh untuk dia. Sebab itu, isteri kena ingatkan selalu. Tapi.. dengan cara yang paling HALUS.
Bukan menerang dengan paksaan atau kasar. Penerangan dengan cara bergurau selalunya lebih menjadi.
Sememangnya syaitan selalu membisikkan hal-hal yang akan mengurangkan rasa kasih dan cinta dengan rumah tangga. Kala isteri kepenatan, dia akan mengungkapkan agar isteri rasa benci dengan suami yang tak ada perasaan mahu membantu.
Astaghfirullah!
Kalaulah ini yang terjadi wahai isteri mahupun suami. Bacalah doa ini, “Ya Allah, jika kepenatanku ini akan menjadi asbab untuk aku masuk ke syurgamu. Aku redha dan kau redhailah aku Ya Allah.. Amin”
Sebutlah banyak-banyak kali. InsyaAllah rasa penat itu akan bertukar menjadi BAHAGIA.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Dilema… Maduku Bakal Jadi Besanku!

Dia pasrah dan reda ditakdirkan berkongsi kasih dengan wanita lain. Malah, sebagai isteri muda, dia ‘sedar diri’ dan menjaga hubungan dengan madu, demi menjaga keharmonian rumah tangga.
Namun kini, timbul dilema baru apabila anak kandungnya menjalinkan hubungan cinta dengan anak angkat madunya. Patutkah dia merestui atau melarang saja?
Luahan hati ini wanita ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor dan penulis ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan wanita.

Assalamualaikum puan yang dihormati. Saya seorang isteri dan memiliki tiga orang cahaya mata. Masing-masing berusia 25, 23,19 tahun. Untuk pengetahuan puan, saya merupakan isteri kedua.
Perkahwinan saya dan suami atas kebenaran isteri pertama suami. Saya sedar bukan mudah untuk seorang wanita berkongsi kasih dan sebab itu juga saya sentiasa mengingatkan diri agar menjaga kelakuan supaya tidak timbul pertelingkahan bersama isteri pertama.
Tanpa Zuriat
Suami mengahwini saya setelah perkahwinannya bersama isteri pertama tidak dikurniakan cahaya mata setelah lima tahun berkahwin. Kata suami, isteri pertama menghadapi sedikit masalah dan tak mampu mengandung. Saya pula tak pernah bertanya lebih lanjut demi menghormati perasaan suami.
Mungkin sebab itu juga madu dengan rela mengizinkan suami berkahwin lagi demi untuk mendapatkan zuriat. Selain itu mereka turut memelihara sepasang anak angkat, yang merupakan anak saudara madu saya sendiri.
Walau pun hubungan kami tidak rapat dan sangat jarang berjumpa, tapi menghormati ‘privacy’ masing-masing sejak awal perkahwinan dulu lagi. Saya sedaya upaya tidak akan mengganggu suami ketika berada di rumah isteri pertama dan begitu juga dirinya. Ini penting untuk menjaga keharmonian rumah tangga kami.
Rapat
Walau pun saya dan madu sangat jarang berjumpa namun anak-anak saya rapat dengannya. Sejak kecil suami sering kali membawa anak-anak ke rumah madu terutama ketika cuti sekolah atau ketika saya perlu out station.
Walau pun ada pembantu rumah, tapi suami lebih suka bawa anak-anak ke rumah isteri pertama dan saya pula tak kisah bila melihatkan anak-anak gembira di sana. Kata mereka, ibu (madu saya) melayan mereka dengan baik. Itu membuatkan saya percaya madu saya itu ikhlas melayan anak-anak.
Sehingga sekarang, kadang kala anak-anak ‘hilang’ dari rumah, dan bila ditanya, rupanya ke rumah ibu mereka dan saya okay saja. Anak-anak juga rapat dengan anak angkat suami yang sering kali juga bertandang ke rumah saya.
Bahkan anak sulung saya, Irman, satu universiti dengan anak angkat suami yang sulung, Aira. Mereka sebaya. Jadi, sering kali juga Irman ambil dan balik bersama Aira.
Mengejutkan
Ramadan ke-17 lalu, saya dikejutkan dengan satu pengakuan daripada Irman. Katanya dia nak bawa teman wanitanya ke rumah untuk berbuka bersama. Sudah pasti saya tak melarang kerana dia sudah dewasa untuk bercinta.
Hari itu, saya memasak hidangan istimewa untuk menyambut kedatangan tetamu yang dinanti-nantikan. Tiba-tiba muncul Aira dan adiknya bersama Irman. Tapi saya taklah terkejut kerana Ramadan ini mereka belum datang berbuka di rumah. Saban tahun mereka pasti datang. Cuma agak hairan kenapa datang ketika ayah mereka di rumah ibu Aira? Terasa tak sedap hati pula…
Ternyata naluri saya tepat bila merasakan ada yang tak kena. Rupa-rupanya teman wanita yang Irman maksudkan adalah Aira! Saya terkedu waktu itu dan tak tahu nak cakap apa. Macam-macam saya fikir. Ternyata hubungan rapat di antara mereka telah membibitkan rasa cinta. Lebih terkejut kerana adik-adik mereka semua tahu dan tolong rahsiakan daripada saya, suami dan madu selama ini. Irman meminta saya untuk berterus terang dengan ayahnya dan ibu Aira. Dia benar-benar jujur sukakan Aira. Hati saya berbelah bagi.
Memang mereka boleh berkahwin kerana tak ada sebarang pertalian darah. Tapi saya risau kalau ibu Aira tak dapat terima anak tirinya sebagai menantu. Saya juga tak dapat bayangkan madu saya bakal menjadi besan saya. Tentu janggal sedangkan selama ini kami sangat jarang bertemu muka demi menjaga hati masing-masing.
Lebih penting lagi, apakah suami juga merestui? Puan, tak tidur malam saya dibuatnya. Tiap kali pandang wajah suami, mulut saya terkunci untuk meluahkan. Tapi saya juga kasihan pada Irman dan Aira yang ikhlas saling menyayangi. Sehingga kini mereka berdua mengharapkan saya untuk berterus terang dengan suami. Puan, saya buntu dibuatnya.
Mama Kay, Setiawangsa.

Saranan Kaunselor
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Puan Yang dirahmati Allah. Pertama sekali tahniah diucapkan kepada puan kerana memberi satu contoh yang terbaik kepada pasangan yang berpoligami tentang cara layanan dan memahami peranan dan perasaan madu dan suami.
Tidak ramai orang yang mampu melakukan seperti yang puan lakukan. Kredit kepada puan dan ini patut dicontohi oleh ramai wanita yang bergelar isteri, khusus kepada yang berpoligami. Sesungguhnya kehidupan ini boleh diurus dengan baik jika masing-masing hormat menghormati antara satu sama lain, berbaik sangka dan mengamalkan akhlak terpuji. Inilah yang dituntut dalam agama kita.
Ujian Hidup
Namun, apabila dinamakan kehidupan, pastinya ada ujian yang mendatang. Ujian itu datang dalam bentuk yang tidak disangka-sangka. Malah menyebabkan kita menghadapi masalah dan amat sukar untuk dirungkaikan. Teramat jarang kita mendengar bakal besan kita adalah madu kita sendiri.
Sememangnya pernikahan dibolehkan kerana ia bukan anak kandung suami. Dan apabila dikatakan percintaan pula antara lelaki dan wanita, teramatlah sukar untuk mereka melupakan antara satu sama lain jika ibu bapa meminta mereka memutuskannya. Pasti ada halangan besar untuk membatalkan hasrat mereka.
Nasihat
Puan yang dirahmati Allah. Pertama sekali cuba di peringkat puan dengan menasihati kedua-dua mereka. Sama ada secara berseorangan atau bersekali. Terangkan bahawa adalah sukar di kalangan masyarakat kita untuk menerima hakikat perkahwinan anak sendiri dengan anak angkat walaupun ianya dibenarkan dalam Islam.
Terangkan juga ini tidak akan menyenangkan hati ibu dan ayah, termasuk puan sendiri. Beri masa pada diri masing-masing untuk fokus kepada kerjaya terlebih dahulu, dan mengenali orang lain dalam kehidupan. Beritahu mereka juga bahawa dalam hidup ini apa yang kita suka sangat tidak semestinya baik untuk kita dan begitu juga sebaliknya.
Belajar terima ujian dalam hidup iaitu untuk melupakan perasaan cinta terhadap seseorang, kerana hidup ini bukan cinta semata-mata. Ada perkara yang lebih utama. Puan hanya boleh menasihati dan mencuba…minta mereka juga mencuba. Minta mereka lakukan solat istikharah untuk mereka membuat pilihan yang terbaik untuk mereka, dan juga untuk keluarga dan agama.
Terus Terang Pada Suami Dan Madu
Jika untuk tempoh yang ditetapkan tiada perubahan, dan mereka juga tidak mampu melupakan pasangan, maka puanlah yang perlu menyatakan ini kepada suami dan suami yang akan memberitahu madu puan. Biar suami yang buat keputusan, puan hanya mengikut. Mungkin puan boleh menjangka apa yang akan berlaku, mungkin buruk, mungkin juga dalam kawalan. Namun yang paling ditakuti adalah jika mereka bertindak di luar jangkaan yang mengundang murka Allah…nauzubillah.
Hidup ini memang ada dugaan dan ujian yang Allah berikan kepada kita. Dalam kejayaan kita mendidik anak pun masih ada ujian yang kita tidak mahu ianya berlaku. Namun takdir Allah tu adalah untuk menjadikan kita lebih beriman.
Pohonlah petunjuk daripada-Nya agar dilindungi daripada apa yang tidak diingini. Cuba sebaik mungkin untuk memahamkan mereka memberi peluang kepada hati untuk mengenali orang lain dalam kehidupan mereka. Namun jika ditakdirkan mereka bersama walau apa cara sekali pun dilakukan untuk memisahkan mereka, maka berlapang dada, terima dengan rela hati atas ketentuan-Nya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

