Fitrah bayi ibarat sehelai kain putih. Bersih suci dari noda. Lahirnya ke dunia, dia dicorakkan ibu bapanya. Jiwa lembut, kental mahupun terjal dibentuk dari didikan dan persekitaran hidupnya.
Mak ayah juga perlu ada ilmu keibu bapaan, agar dapat mencorak kain putih ini dengan landasan yang tepat. Apabila kebiasaan yang silap pun mak ayah tak dapat hendak membezakan bimbang akan terlahirnya satu generasi pemarah yang sukar mengawal diri ketika dilanda tekanan.
Catatan Puan Fariza Nurbaya Muhammad, 52 tahun, Guru Cemerlang SMK Tengku Ibrahim Setiu, Terengganu ini ada benarnya. Moga menjadi ikhtibar dan panduan buat ibu bapa yang lain. Agar kita berusaha melahirkan generasi yang penyabar dan saling kasih mengasihi.
1. Kenapa Seorang Anak Boleh Memukul Ibunya?
Sebab semasa anaknya masih kecil, ibu hanya ketawa dan gelak-gelak sahaja apabila anak memukul-mukulnya dan tidak memberitahu anaknya bahawa perbuatan tersebut adalah salah.
2. Kenapa Anak Remaja Sekarang Begitu Gemar Mencarut?
Dan menggunakan kata-kata kasar seperti babi, bodoh, bangang dan lain-lain.
Sebab sewaktu kecil ibu dan bapanya hanya gelak-gelak dan ketawa sahaja semasa anak yang masih kecil itu menyebut perkataan-perkataan tersebut, malah tidak menegur kesalahan anaknya.
Kata ibu bapanya, lucu dan pandai anakku!
Ads
3. Kenapa Anak-anak Remaja Berani Keluar Pada Waktu Malam?
Sebab dari kecil lagi ibu bapa tidak menghalang anak-anak mereka keluar dan tidak menetapkan peraturan bahawa anak-anak wajib berada di rumah pada waktu malam.
Apabila segalanya sudah menjadi kebiasaan kepada anak-anak, maka sudah tentu sukar bagi ibu bapa untuk membetulkan kesilapan tersebut.
Kata orang tua, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
8 Pesanan Guru Tua Ini
Ads
Untuk anak-anak muridku yang telah bergelar ibu atau bapa, ingat pesan guru tua ini.
1. Bercakaplah dengan bahasa yang baik dan sopan dengan anak-anak. Tegur dan berikan hukuman semerta jika anak-anak mengeluarkan kata-kata kesat.
2. Jangan benarkan anak-anak kecil bermain hp. Berikan buku atau permainan yang sesuai dengan umur anak-anak.
3. Jangan dibiarkan televisyen terpasang 24 jam di rumah anda. Hadkan masa menonton, contohnya pada waktu petang sahaja. Malam ialah masa untuk anak-anak mengulang kaji dan bermesra dengan ahli keluarga. Jika anak-anak tidak dibenarkan menonton televisyen, ibu bapa juga hendaklah mengorbankan keinginan sendiri untuk tidak menonton tv juga.
Ads
4. Jangan benarkan anak-anak menunggang motosikal apatah lagi memberikan motosikal kepada anak-anak. Biarlah kita yang menghantar dan mengambil mereka jika mereka mahu ke mana-mana. Susah sikit tak apa. Alah bisa tegal biasa.
5. Tiada hp adalah lebih baik. Benarkan anak-anak memiliki hp apabila anak-anak sudah bijak, matang dan dapat memanfaatkan penggunaan hp dengan baik.
6. Solat berjamaah dengan anak-anak terutama pada waktu Subuh, Maghrib dan Isyak sama ada di rumah atau masjid.
7. Waktu antara Maghrib dan Isyak sangat sesuai untuk membimbing anak-anak mengaji al-Quran.
8. Ambil tahu perkembangan pendidikan anak-anak. Semak buku-buku latihan dan kerja rumah anak-anak.
“Mak, abang pukul adikkk!” jerit si bongsu sambil meraung-raung. Aduh, tak sudah-sudah si abang, kita yang kepenatan ini pun jadi geram dibuatnya. Maka tanpa berfikir panjang, rotan pun dicapai, lalu dilibas ke tubuh kurus abang.
“Tolong Mak! Sakittt!” rayu anak sambil menepis-nepis pukulan rotan yang singgah. Air matanya bercucuran tapi kerana geram, yang kita sedar hanyalah bekas merah berbirat-birat dan sedu-sedannya yang sudah tak berbunyi.
Ya, penting bagi ibu bapa membentuk sahsiah anak-anak sejak dari awal kelahiran mereka agar tidak mengundang pelbagai masalah seperti degil, tidak mendengar kata atau sering melawan cakap orang tua.
Disebabkan itu ada antara ibu bapa yang melaksanakan hukuman untuk mendisiplinkan anak-anak mereka. Salah satu hukuman yang menjadi pilihan adalah merotan.
Menurut petikan Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Noornajihan Jaafar, dalam pada melaksanakan hukuman rotan, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian oleh ibu bapa.
ADAB MEROTAN
(a) Hukuman rotan tersebut hendaklah merupakan alternatif terakhir, setelah cara didikan lain digunakan.
(b) Elakkan merotan ketika sedang marah. Hendaklah ibu bapa menenangkan diri seketika sebelum mengambil tindakan untuk merotan.
(c) Elakkan merotan pada anggota badan yang sensitif seperti kepala, wajah dan dada.
(d) Hendaklah rotan pada kali pertama itu perlahan, dan meningkat kekuatannya pada bilangan yang berikutnya.
(e) Sekiranya rotan pada kali pertama tidak memberikan kesan kepada tingkah laku anak, bolehlah ditambah bilangannya.
(f) Elakkan merotan lebih daripada 10 kali, bertepatan dengan hadis Nabi s.a.w.
Sebenarnya terdapat banyak lagi ilmu merotan anak-anak yang mak mak di rumah mesti hadam. Topik ‘Aspirasi Rumah Tangga: Rotan – Calar Emosi & Fizikal’ inilah yang akan didebatkan dalam Mingguan Wanita, Jumaat, 21 September 2018. Sama-sama kita tambah ilmu keibubapaan jam 12.00 tengah hari esok, semestinya di saluran Astro Prima 105 dan Astro Maya HD 135.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Tak sangka bila alergi dengan ubat-ubatan boleh mengakibatkan keadaan serius pada diri.Pesanan buat mak ayah, bila anak jatuh sakit, segeralah membawa berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.Beritahulah pada doktor jika anak mempunyai alahan tertentu.Jangan sesuka hati bagi sebarang ubat pada anak-anak.
Sindrom Steven Johnson (SJS) adalah penyakit yang jarang berlaku tetapi boleh menjadi serius hingga menyebabkan kematian jika tidak mendapat rawatan yang sewajarnya. Ia adalah kelainan serius pada kulit, membran mukosa, sekitar alat kelamin dan mata yang disebabkan oleh reaksi tubuh terhadap pengambilan ubat atau jangkitan.
Pesakit boleh menderita gatal-gatal dan kulit mengelupas disebabkan oleh tindak balas berlebihan atau alergi terhadap ubat dan infeksi tertentu. Tempoh pemulihan mengambil masa yang lama sehingga berminggu-minggu.
Jadikan perkongsian oleh Puan Nur Fazella sebagai pengajaran buat mak ayah agar lebih berhati-hati memberi ubat pada anak. Anaknya, Khairi Iskandar,11 menghidap Sindrom Steven Johnson (SJS) baru-baru ini.
Berikut perkongsian yang dikongsikan:
Genap 3 minggu terlantar di hospital kerana antibiotik. Alhamdulilah discharge sudah handsomeku. Rupanya ubat bukan sahaja penawar tetapi racun yang boleh membunuh. Walaupun discharge tapi masih sambung rawatan mata dan mulut di rumah lagi. Mata masih rabun dan mulut masih sakit.
Sekadar ingatan untuk semua, berhati-hati makan atau bagi anak-anak ubat, jangan jadi seperti aku.
Keluar Bintik Merah
Pada mulanya Khairi demam dan batuk-batuk.Doktor bagi antibiotik, ubat batuk dan PCM..Selepas makan 1 biji antibiotik keluar bintik-bintik merah di mulut dan tapak tangan.
Dalam fikiran aku. Khairi kena jangkitan HFMD, teruskan makan. Selepas pil ke-3, dia mengadu sesak nafas dan kami bawa ke unit kecemasan Hospital Likas. Pada mulanya di sangka campak. Doktor pakar siasat-siasat, rupanya STEVEN JOHNSON.. Ini lah nama penyakit 1st time aku dengar. Lepas ini, kalau telan 1 biji ubat nmpk ada tanda-tanda merah di badan, buatlah sesuatu!
TERIMA KASIH pada semua sahabat dan family yang telah mendoakan Khairi.
TERIMA KASIH pada semua jururawat dan doktor di Hospital Likas, layanan memang 1st class.
Hanya Allah sahaja yg dapat membalasnya dan mudahan-mudahan kalian sentiasa dalam rahmat Allah swt.
Semoga perkongsian ini bermanfaat. Buat mak ayah semoga berhati-hati ketika memberikan ubat buat anak-anak. Bertindaklah segera sekiranya mendapati anak mengalami simptom-simptom meragukan selepas memakan ubat.
Jodoh adalah rahsia Allah. Kita tak tahu siapakah jodoh kita. Kadangkala, jodoh itu dengan individu yang usianya lebih separuh daripada usia kita sendiri!
Ikuti pengakuan daripada seorang wanita yang telah bertemu jodoh dengan lelaki yang berusia 22 tahun lebih muda daripada dirinya dan mendapat tentangan hebat daripada keluarga si lelaki terutama mak mentua. Ikuti pengakuannya kepada Puan Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor dan juga penulis tetap ruangan YA TUHAN di dalam MAJALAH MINGGUAN WANITA.
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah sentiasa. Sukar untuk saya kongsikan kisah peribadi saya ini namun saya gagahi jua untuk berkongsi agar menjadi panduan untuk wanita di luar sana yang mungkin menghadapi masalah yang sama dengan saya. Setahun lepas, saya bertemu jodoh dengan seorang lelaki yang 22 tahun lebih muda dan ini menimbulkan konflik apabila saya tak diterima oleh keluarga mentua terutama maknya.
Saya berusia 47 tahun dan memiliki sepasang cahaya mata yang kini berusia 23 dan 21 tahun. Saya memiliki perniagaan sendiri dan syukur, ia melebihi daripada mencukupi untuk menampung kehidupan saya dan anak-anak.
Warisan Suami
Saya balu kematian suami, sebelum bertemu jodoh dengan suami sekarang. Perniagaan yang saya miliki juga sebenarnya adalah perniagaan yang saya bangunkan bersama arwah suami dahulu. Kini salah seorang anak saya turut serta dalam mengendalikan syarikat tersebut.
Sepuluh tahun lalu, suami meninggal dunia secara tiba-tiba akibat penyakit jantung dan ia tamparan hebat buat diri saya kerana kami sangat rapat. Ke mana saja berdua. Nasib baik ada anak-anak yang menjadi kekuatan untuk saya teruskan hidup. Selepas kematian arwah suami, fokus saya pada bisnes dan anak-anak.
Bukan sedikit lelaki yang cuba mendampingi namun saya tolak mentah-mentah. Mana taknya, kebanyakan mereka bergelar suami orang dan prinsip diri saya, takkan sesekali mengambil hak orang atau berkongsi kasih dengan wanita lain.
Apabila anak-anak semakin dewasa dan perniagaan pun stabil, saya mula ada masa untuk libatkan diri dalam aktiviti yang saya suka. Antaranya, saya kembali aktif membuat aktiviti lasak iaitu hiking. Mulanya anak kedua (lelaki) yang kenalkan saya dengan hobi ini bila saya sibuk nak buat aktiviti sihat.
Perkenalan
Saat itulah juga saya kenal dengan seorang pemuda, M, yang merupakan rakan hiking anak. Dia bekerja di sektor awam. Pada mulanya dia memanggil saya ‘auntie’ kerana saya mak kepada rakannya (anak saya) namun saya tak tahu sejak bila, panggilan itu bertukar menjadi ‘awak’ dan ‘saya’. Katanya saya tak nampak tua malah kali pertama bersua, dia ingatkan saya ini kakak kepada anak saya.
Sikap M yang sangat ambil berat dan penyayang membuatkan saya selesa bersamanya. Namun saya tetap ‘sedar diri’ akan jarak usia kami dan pendamkan saja rasa suka yang mula bercambah. Saya rasa tak layak untuk dirinya yang baru berusia 25 tahun, lebih kurang sebaya anak saya!
Ternyata takdir tersurat, dia juga sukakan saya dalam diam dan telah luahkan isi hatinya saat kami sama-sama hiking menawan Gunung Ledang. Waktu itu, saya seakan tak percaya dan minta dia beri saya masa.
Terima
Berbulan juga saya berfikir dan buat solat istikharah. Akhirnya pintu hati saya terbuka untuk menerima dirinya walau saya sedar macam-macam rintangan akan datang. Namun, saya bersyukur kerana anak-anak dapat terima kehadiran papa baru mereka dan itu juga alasan utama saya terima M.
Masalah paling perit apabila keluarga M terutama maknya tak dapat terima saya sebagai menantu sehingga kami tekad berkahwin diam-diam di utara tanah air. Kini, selepas setahun, maknya masih tidak dapat terima saya. Hanya ayah dan adik beradik M (M anak sulung) sudah mula terima. Sebab itu juga saya tak pernah balik ke rumah M tapi saya sentiasa galakkan M balik dan jalankan tanggungjawab sebagai anak.
Saya sedar bukan mudah mak mentua saya nak terima janda berusia seperti saya sebagai menantu untuk anak bujangnya. Apatah lagi kami sebenarnya sebaya. Namun, saya tak dapat putarkan masa dan sayangkan M. Saya nak rumah tangga ini berkekalan. Apa pandangan puan untuk saya mengambil hati ibu mentua saya?
Puan K, Setiawangsa.
Jawapan:
Dengan Nama Alllah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Kata orang jodoh pertemuan di tangan Allah… tua, muda, cantik, kurang cantik, kurus, gemuk, hitam, putih, semuanya tidak terbatas apabila jodoh telah sampai dengan ketentuan Allah. Kadang-kadang ada orang tidak menjangka jodohnya dengan seseorang yang jauh beza umurnya.
Jadi Bualan
Jika lelaki lebih tua berbanding wanita, itu mungkin biasa. Namun jika sebaliknya iaitu wanita lebih jauh berusia dari lelaki, ianya akan jadi bualan orang. Pada hal, nabi sendiri berkahwin dengan Siti Khadijah yang jauh lebih berusia daripadanya dan isteri yang paling dicintai nabi.
Puan yang dirahmati Allah. Tidak dinafikan siapa sahaja yang bergelar ibu bapa mahukan jodoh yang terbaik untuk anaknya. Tidak kira anak lelaki mahupun perempuan, majoriti ibu bapa mahukan kebahagiaan bukan sahaja untuk anak mereka, tetapi “bahagia” di mata mereka.
Erti Bahagia
Mungkin bahagia pada mereka tidak sama dengan bahagia buat anak. Malah mereka cukup mengambil kira pandangan orang terhadap menantu yang bakal dipilih oleh anaknya. Bagaimana rupanya, akhlaknya, kedudukannya, harta yang dimilikinya, latar belakang diri dan keluarganya, semuanya dilihat sebagai kayu pengukur kepuasan atau kebahagiaan ibu bapa.
Kriteria Pilihan
Jika pilihan anaknya menghampiri kriteria idaman ibu bapa, maka tidaklah berlaku krisis antara anak dan menantu. Namun jika sebaliknya, maka keadaan itu boleh jadi berpanjangan yang memerlukan kebijaksanaan pihak anak dan menantu untuk menguruskan keadaan.
Jika dilihat dalam perspektif yang lebih jauh, pastinya seorang ibu mahukan zuriat daripada anaknya sendiri, iaitu cucu dari darah dagingnya. Ini adalah antara kemuncak kebahagiaan seorang ibu dan bapa apabila dapat bergelar nenek dan datuk.
Letak Diri
Jika puan dapat meletakkan diri puan dalam situasi ibu mentua puan, pastinya puan dapat merasakan betapa kecewanya hati seorang ibu. Jika puan dapat membayangkan ini terjadi kepada puan, bagaimana andai ditakdirkan anak puan yang lelaki berusia 23 tahun mendapat jodoh yang berusia lewat 40-an. Bagaimana perasaan puan?
Bagaimana puan dapat memberitahu orang lain bahawa menantu puan adalah wanita yang hampir sebaya dengan puan? Bolehkah puan menerima hakikat itu. Rasa saya siapa sahaja yang bergelar ibu berkemungkinan mengalami kekecewaan.
Faham Situasi
Jika puan dapat memahami situasi yang saya paparkan di atas, maka puan boleh menerima hakikat bahawa mentua puan masih belum menerima puan. Sekurang-kurangnya ini boleh memberi kelegaan kepada diri puan.
Untuk memenangi hati mentua bukan sesuatu yang mudah. Namun, sekurang-kurangnya puan bersyukur kerana ramai yang telah dapat menerima puan – bapa mertua dan adik beradik suami, malah anak-anak puan telah dapat menerima pilihan puan.
Tak Mudah
Seperti yang saya sebutkan, bukan mudah untuk memenangi hati ibu mentua puan, namun beberapa pendekatan boleh puan gunakan bukan untuk memenangi hatinya, tetapi puan melakukan yang terbaik untuk ibu mentua.
Mungkin puan ada melakukan ini, namun, berterusanlah berbuat baik dengannya. Pertama selalu belikan hadiah di hari ulang tahunnya, ulang tahun perkahwinan, Hari Ibu, Hari Wanita, menyambut Ramadan dan menyambut Syawal.
Hadiahkan melalui suami jika puan merasakan dia masih belum menerima kehadiran puan. Jika hadiah puan tidak sudi diterimanya, jangan mudah putus asa, anggapkan puan telah bersedekah untuk mertua. Pahala bersedekah tetap mengalir. Teruskan berbuat baik dan mengambil berat tentangnya melalui suami. Jika keadaan mengizinkan barulah puan menziarahinya.
Mohon Pertolongan Allah SWT
Kedua, banyakkan solat malam dan memohon pertolongan Allah agar dilembutkan hatinya untuk menerima kehadiran puan. Banyakkan zikir Ya Latiff dan niat agar Allah lembutkan hatinya untuk menerima puan.
Ingat, kita tidak mampu mengubah hati manusia dengan usaha yang kita lakukan, namun, Allah sahaja yang boleh melembutkan hati manusia. Ketiga, selalu ingat setiap yang Allah takdirkan dalam hidup kita ada hikmahnya yang kita tidak tahu. Allah hantar orang yang paling dekat dalam hidup kita tetapi tidak menyukai kita. Apa hikmahnya?
Tingkatkan Keimanan
Ya, Allah mahu kita berusaha berbuat baik walaupun orang tidak menyukai kita kerana Allah mahu meningkatkan keimanan kita. Allah mahu kita akan sentiasa berdoa dan mendekati-Nya memohon pertolongan. Sebab itu Allah bagi banyak ujian kepada Nabi dan kepada orang-orang terpilih kerana Allah mahu mengujinya.
Jika kita sebagai hamba menerima ujian itu dengan berlapang dada, selalu bermunajat dengan Allah untuk atasi masalah hubungan dengan orang itu, maka usaha kita mendekati Allah itulah hikmah yang kita tidak nampak. Bayangkan jika tiada ujian ini dalam hidup.
Tak Bersungguh-sungguh
Mungkin kita tidak bersungguh-sungguh berdoa , solat malam dan melakukan malan-amalan yang mendekatkan diri dengan Allah bukan? Lazimnya begitulah…. Jika tiada ujian dalam hidup kita, mungkin kita akan leka dengan kehidupan dunia, menjalani hidup yang biasa-biasa sahaja tanpa menyelami erti kehidupan yang sebenar.
Rajin-rajin mengikuti kuliah agama, bersedekah dan mendekati orang-orang miskin dan kurang upaya. Maka kita akan dapati Allah hanya menguji kita sedikit sahaja berbanding orang lain yang lebih jauh melalui kesukaran dan kesusahan dalam hidup.
Jika Allah izinkan, Dia akan lembutkan hati ibu mertua puan untuk menerima puan. Jika belum masanya, maka teruskan berdoa dan berbuat baik terhadapnya. Mudah-mudahan Allah memakbulkan doa puan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Nahas SUV di Bukit Kawah meragut nyawa sepasang bakal pengantin apabila Toyota Fortuner yang dinaiki terjunam ke dalam gaung. Baca kronologi penuh, siasatan polis dan peringatan keselamatan jalan raya.