Hari ini, pneumonia merupakan salah satu punca utama kematian dalam kalangan kanak-kanak, yang menyumbang 18 peratus daripada semua kematian kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah di seluruh dunia.

Pneumonia, sejenis jangkitan paru-paru, boleh disebabkan oleh bermacam-macam bakteria, virus dan kulat. Penyakit pneumokokal, dalam bentuk invasif atau tidak invasif, adalah jangkitan yang disebabkan oleh bakteria Streptococcus pneumoniae (pneumococcus) .

Pneumococcus boleh menyebabkan pelbagai jenis jangkitan, yang sebahagiannya boleh mengancam nyawa. Malah, salah satu penyebab yang paling umum buat pneumonia yang teruk ialah bakteria pneumokokus.

Selain pneumonia, bakteria pneumokokus juga boleh menyebabkan jangkitan telinga dan sinus (tidak invasif).

Bakteria pneumokokus ‘invasif’ boleh mencerobohi aliran darah yang menyebabkan jangkitan saluran darah (bakteremia) dan meningitis (jangkitan pada tisu dan cecair yang meliputi otak dan saraf tunjang).

Kanak-kanak yang berusia di bawah lima tahun adalah amat terdedah kepada penyakit ini terutama mereka yang mempunyai sistem imun terjejas yang mungkin lemah kerana kekurangan zat makanan atau kekurangan makanan, terutamanya bagi bayi yang menyusu selain daripada menyusu badan , walaupun dalam kebanyakan kes, ia sebenarnya dapat dicegah dan dirawat.

Sangat Serius

Di Malaysia, pneumonia disenaraikan sebagai salah satu daripada lima penyebab utama kematian di Malaysia mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia. Pada tahun 2018, pneumonia merupakan punca kematian utama bagi penduduk berumur 0 hingga 14 tahun, mencecah 4.8 peratus.

Manakala, berdasarkan kajian 4 tahun (2014 – 2017), pada setiap tahun di Malaysia, insiden penyakit pneumokokal invasif (IPD) adalah dianggarkan sebanyak 3.8 bagi setiap 100 000 kes dalam kalangan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah.

Penyakit pneumokokal ialah penyakit yang sangat serius, namun penyakit pneumokokal invasif (IPD) pula boleh mengakibatkan maut kerana ia merupakan jangkitan bakteria invasif pada kanak-kanak. Kanak-kanak berumur bawah dua tahun dikategorikan sebagai kumpulan umum yang paling berisiko mendapat IPD.

Penvaksinan

Namun begitu, terdapat vaksin untuk mencegah penyakit pneumokokus pada kanak-kanak dan orang dewasa. Pengenalan vaksin konjugat pneumokokus (PCV) di banyak negara di seluruh dunia telah membantu mengurangkan kematian bayi akibat pneumonia.

Secara global, ia dianggarkan bahawa 71.3 juta bayi telah menerima PCV. Tetapi pada akhir tahun 2018, masih terdapat 55 juta bayi yang belum mendapat akses kepada PCV.
Kempen Vaccinate for Life GSK, yang dilancarkan sempena Hari Pneumonia Sedunia pada 12 November lalu telah mementingkan penvaksinan.

Ia dihadiri oleh Pakar Perunding Pediatrik dan Neonatologi Dato’ Dr. Musa Mohd Nordin;  Pakar Perunding Pediatrik dan Kardiologi Pediatrik Dr. Yong Junina Fadzil; Pengurus Besar, GSK Malaysia Dr. Lien Pham ; Pengarah Perubatan Vaksin GSK Malaysia Dr. Ashwini Saha ; dan Pengarah Komunikasi & Hal Ehwal Kerajaan, GSK Malaysia En. David Lin.

Melindungi Dan Membantu Menyelamatkan Nyawa

Menekankan lagi betapa pentingnya vaksinasi, Dato’ Dr. Musa berkongsi, “Apabila usia semakin lanjut, sistem imun kita turut bertambah usia. Ini menjadikan kita semakin terdedah kepada penyakit yang mengancam nyawa.

“ Dengan menguatkan sistem imun kita melalui vaksinasi sepanjang hayat, ia pasti dapat melindungi kita dan orang-orang sekeliling kita di mana akhirnya, membantu menyelamatkan nyawa.

“ Vaksinasi yang kita terima sewaktu kanak-kanak pasti dapat melindungi kita daripada penyakit yang mengancam nyawa atau melemahkan. Malah ia turut memperkuatkan asas untuk imuniti yang lebih kuat di masa hadapan.”

Sementara itu Dr. Yong Junina Fadzil berkata, ” Terdapat tanggapan yang amat salah tentang vaksinasi dan kesannya terhadap kesihatan anak kita.

“Oleh itu, pendidikan masyarakat yang berterusan, kerjasama dengan profesional penjagaan kesihatan serta penambahbaikan dalam dasar-dasar negara boleh mengubah sudut pandang masyarakat.

“Langkah Kerajaan untuk menyenaraikan vaksin pneumokokal ke dalam NIP seharusnya perlu dipuji dan ia menguatkan lagi betapa pentingnya untuk memberikan kanak-kanak vaksin terhadap penyakit berjangkit ini.

“Sama seperti senaman kerap dan pemakanan yang sihat, mengikut program vaksinasi yang telah dijadualkan adalah penting untuk mengekalkan gaya hidup yang sihat. “