Persoalan terdetik dalam hati ini kadangkala tanpa sengaja mak ayah akan terbuat juga. Tengok anak orang tantrum depan mata, kita pun berkata-kata sendiri dalam hati ‘kenapalah mak ayah dia tak pujuk’, ‘ini mesti salah asuhan mak ayah’ dan macam-macamlah.
Bak pesan Bonda Nor, Allah itu Maha Mendengar mak ayah. Biar pun kata-kata itu cuma dituturkan dalam hati, namun bila Allah nak uji, kita akan alami apa yang mak ayah anak tantrum itu alami.
Macam mana nak perbaiki kembali diri? Inilah cara yang Bonda Nor ajar.
Pernah Tak Rasa Terdetik Hati Rasa Tak Puas Hati..
Saya mengendalikan satu seminar parenting.
Pasangan muda itu mengadukan kisah si manja mereka yang tantrum. Asyik menangis, menangis, menjerit, mengamuk. Dah buat macam-macam cara. Tak menjadi, katanya.
“Pernah tak dulu rasa rimas tengok anak orang menangis? Pernah tak terdetik kat hati tentang rasa tak puas hati pada mak ayah budak tu?”
Mereka terkejut mendengar soalan saya. Akhirnya, pelan-pelan si suami mengangguk. Pernah. Lalu segera saya menitipkan pesan.
“Banyakkan istighfar. Kalau boleh solat sunat taubat. Kadang ketika hati kita terlanjur menghakimi apa yang jadi pada orang lain, Allah akan bagi kita rasa apa yang dia rasa.”
Saya tak bercakap kosong. Saya berbekalkan pengalaman sendiri.
Satu ketika, seorang anak kecil menangis tak henti-henti. Waktu tu saya letih dan nak tidur. Tangisannya benar-benar mengganggu saya.
Ads
Mula-mula saya sabar. Budak menangis? Biasalah. Tapi anak kecil itu terus menangis. Meraung. 15 minit. Setengah jam. Satu jam. Ya Allah. Saya dah mula mengeluh. Rimas!
‘Manalah mak budak ni? Takkan tak boleh nak kawal anak sendiri? Budak je kot!’
Kata-kata yang tak terluah. Cuma keluhan dalam hati.
Nah! Allah Beri Saya Rasa Apa Yang Mak Budak Tu Rasa
Selepas itu saya mengandungkan anak keempat. Nah, Allah beri saya rasa apa yang mak budak tu rasa! Kali ini saya dapat anak jenis tantrum. Kalau mengamuk, habis-habisan. Kalau menangis, satu jam pun dia boleh meraung dan mengongoi secara berterusan.
Ads
Ketika itulah baru saya tahu bahawa memang ada kes anak menangis yang sukar dikendalikan. Memang ada! Dan segarang-garang saya, sepandai-pandai saya cuba menggunakan segala mak nenek psikologi yang ada, tetap gagal. Tetap tak mampu nak kawal! Astaghfirullah.
Jangan main-main dengan persoalan lintasan hati. Mulut tak ucap pun. Tak ada hati sesiapa yang kita sakitkan pun. Tapi Allah Maha Mendengar. Dan Allah bersedia untuk ‘mengajar’ agar kita cepat tersedar. Pengajarannya besar. Jangan nak rasa diri lebih baik daripada orang! Jangan jadi macam syaitan yang rasa dirinya lebih baik daripada Adam!
Allah.. Allah..
Bila Rasa Terdetik Dalam Hati, Cepat-cepat Istighfar
Sungguh sejak peristiwa tu, bila sesekali terdetik rasa tak puas hati dengan orang itu ini, saya cepat-cepat bilas dengan istighfar. Takut nak kutuk orang. Takut Allah balikkan pada diri sendiri. Lintasan hati je pun! Tapi saya dah rasa kesannya. Ya Allah, takutnya! Seksa!
Baru-baru ni saya berbual dengan seorang ‘kakak’ yang saya hormati. Tersentak saya bila beliau menceritakan tentang anaknya yang ditangkap polis kerana kes dadah. Sungguh, saya sangat mengagumi kebaikan dan ketenangannya. Tampak keibuan. Tampak wibawa. Suaminya juga orang hebat. Orang yang dihormati dalam masyarakat.
Tapi anaknya terlibat dengan dadah. Dah beberapa kali ditangkap polis. Ya Allah. Macam mana boleh jadi macam tu?
Ads
“Dulu, ada anak kawan akak terlibat dengan dadah. Mak ustazah. Ayah ada PHD. Terdetik kat hati akak, agaknya mak budak ni sibuk sangat sambung belajar ambil master sampai anak-anak terbiar macam tu.
Masa tu, akak sendiri pun sedang teringin nak ambil master. Nak sangat. Tapi akak batalkan. Sebab akak takut anak akak jadi terbiar macam anak dia. Akak ingat bila akak tak ambil master, anak akak baik-baik je. Tapi tak!
Allah tunjukkan pada akak satu pengajaran. Takdir Allah ni jangan kita nak pandai-pandai nak buat kesimpulan sendiri. Jangan kita pandai-pandai nak judge orang itu orang ini. Akak tak ambil master sebab takut anak terlibat dengan dadah macam anak dia. Tapi anak akak sama juga, Menagih juga! Allah…”
Allah Ajar.. ‘Jangan Pandai Pandai Nak Judge Orang Itu Ini’
Berderau darah saya mendengar ceritanya. Menggeletar jiwa memikirkan betapa Allah Maha Melihat dan Maha Mendengar walaupun pada sekecil-kecil perkara yang terlintas di fikiran kita.
Kalau hal yang terlintas di fikiran pun kita Allah balas, apatah lagi jika yang kita cakap dengan lepas. Kita tengok orang itu perangai begini dan begini, kita kutuk, kita caci. Hati-hati, terlalu besar potensi untuk keburukan itu berbalik pada diri sendiri!
Cuba kita tengok pasangan kita, anak-anak kita. Apa yang kita tak puas hati dengan dia? Apa masalah dia? Kita duduk diam-diam, kita muhasabah balik diri kita. Kita cuba cari punca. Adakah semua masalah yang berlaku itu ujian atau hukuman?
Takut-takut kesilapan yang dilakukan oleh mereka itu sebenarnya berpunca daripada kejahatan mulut kita sendiri atau pun mungkin pada sekecil-kecil perkara yang terlintas di dalam hati.
Insya-Allah, sama-sama kita cuci balik semua kesilapan kita dengan banyakkan beristighfar dan solat sunat taubat. Mudah-mudahan Allah terima dan perbetulkan kembali hidup kita.
Setiap hari ada saja ujian hidup yang memerlukan kita membuat keputusan. Kadangkala, tak pasti yang mana satu betul yang mana satu salah.
Mencari kebenaran pun bukannya mudah. Ustaz Wan Asrul Al-Kalantani berkongsi panduan untuk mak ayah yang keliru, bingung malah tak pasti untuk membuat pilihan satu-satu keputusan.
Ikut langkah demi langkah yang ustaz terangkan. Semoga mendapat petunjukNya.
SULUH TERANG : Mencari Jawapan Dalam Membuat Keputusan
Apabila sedang buntu, terkeliru, binggung dan tidak jelas hendak membuat keputusan atau tidak pasti dengan sesuatu kebenaran.
1) Angkat Wudhu
2) Lakukan solat hajat 2 rakaat. Mohon pada ALLAH akan hajat.
3) Usai memberi Salam. Istighfar 21 kali.
Pejamkan Mata. Renung ‘rawan diri’ (bayangkan diri sendiri dari punca kepala hingga hujung kami, seolah-olah memandang cermin). Letakkan tangan (tapak tangan Kanan) di atas tulang dada.
Dalam keadaan Mata terpejam. Baca Surah Al Fajr: 27 -30
يَٰٓأَيَّتُهَا ٱلنَّفْسُ ٱلْمُطْمَئِنَّةُ (٢٧)
”Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! –
ٱرْجِعِىٓ إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً (٢٨)
“Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ! –
فَٱدْخُلِى فِى عِبَٰدِى (٢٩)
“Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaKU yang berbahagia –
وَٱدْخُلِى جَنَّتِى (٣٠)
“Dan masuklah ke dalam SyurgaKU! ”
(Baca 3x)
4) Semasa ayat (27 dan 30), mohon pada ALLAH akan hajat. Mohon jalan keluar (jika buntu), mohon petunjuk (jika keliru), mohon jawapan (jika mencari-cari).
5) Selawat 11kali /21x.
6) Tarik nafas sedalamnya, semasa tarik, di dalam hati lafaz kalimah ﷲ.
Lepaskan perlahan di mulut dengan lafaz هو (Huu).
7) Tidur ke arah kanan, berlapikkan lengan kanan. Sebelum tidur dibacakan dengan Surah Al Mulk ayat 14 sebanyak 11 x, kemudian mohon pada ALLAH, ditunjukkan jalan atau petunjuk bagi permasalahan. Kemudian tidur sambil berselawat sehingga terlelap.
Semoga dihadirkan ALLAH Azza Wa Jalla kepada kalian jawapan bagi persoalan, penyelesaian bagi kebuntuan, petunjuk bagi kekeliruan.
Boleh dilakukan sebagai Amalan harian.
Diijazahkan Izin Amal kepada sekalian sahabat yang dapat membaca edaran ini.
Dengan lafaz Ajazatukum.
BarakALLAHu Fiikum.
-AFIWAAK-
MW : Semoga info ini membantu mak ayah untuk membuat apa-apa keputusan dalam hidup kalian.
Tidak dinafikan, wanita akan beralih arah apabila mereka bergelar seorang ibu. Bukannya tidak sayangkan suami, kalau tak pastilah tak kahwin. Tetapi bila anak yang dikandung lahir, pastinya segala keperluannya diutamakan. Jadi sebagai suami anda kenalah dan wajib faham bila isteri lebihkan anak-anak. Suami, awak tu dah besar kot.
Wanita dan anak, ibarat isi dan kuku. Anak adalah sebahagian daripada diri wanita setelah dirinya bergelar seorang ibu. Kadang kala kemahuan dan keinginannya diketepikan demi anak yang tersayang. Malahan sampai di suatu tahap, isteri atau wanita melebihkan segala keperluan anak-anak berbanding suami. Sikap ini lama-kelamaan tanpa isteri sedar membuatkan sang suami mula berjauh hati dan seterusnya rasa terpinggir. Ikuti pandangan Prof Madya Dr Mohd Nor Mamat tentang isu ini.
“Saya melihat dari sudut fitrah, sememangnya naluri seorang ibu akan lebih dekat dan cenderung menghabiskan waktu untuk anak-anak. Ini terutamanya selepas melahirkan anak pertama, ibu pastinya sangat teruja dan kadangkala boleh menyebabkan terabai peranan seorang isteri terhadap suami, tanpa sedar.
“Ia bukanlah suatu kesalahan tetapi perlulah diurus dengan ilmu dan kemahiran yang sebaiknya,” ujarnya memulakan perbualan.
Malahan, situasi begini perlu difahami secara bersama. Secara umumnya, seorang suami perlulah faham perubahan yang berlaku, kerana sebelum ini masa digunakan untuk mereka berdua, tetapi ia berbeza apabila jumlah masa yang sama perlu dibahagikan untuk tiga orang.
Selain itu, isteri yang bijak juga perlu menumpukan perhatian kepada anak-anak tanpa menyebabkan suami terasa terpinggir. Keterujaan bersama anak-anak perlu dikawal agar tidak keterlaluan, kadangkala tanpa sedar kita melayan suami dengan cara melayan anak-anak menyebabkan suami rasa tidak dihormati dan kadangkala kita tidak mendisiplinkan masa yang sesuai untuk melayan anak dan untuk suami.
Perkara ini berlaku kadang kala dengan pelbagai alasan seperti anak perlukan kita tanpa mengira waktu, anak-anak masih kecil perlu diberi layanan yang lebih atau alasan suami sudah pandai menjaga diri dan dewasa untuk berfikir menguruskan diri sendiri.
Ini adalah antara alasan yang akhirnya menjadikan kita berterusan tanpa ada motivasi untuk berubah dan akhirnya menjejaskan hubungan serta pastinya mengganggu keharmonian keluarga yang dibina. Seharusnya rumah tangga yang dibina menjadi indah dengan lahirnya anak-anak.
s/h: Hadkan waktu untuk anak & Suami
Di samping, jelas Dr Mohd Noor, tidak salah dan sewajarnya ibu memberikan perhatian kepada anak-anak. Apatah lagi sewaktu anak-anak masih kecil dan bergantung sepenuhnya kepada ibu. Namun kita perlu bijak untuk menghadkan waktu-waktu tertentu melayan suami:
1. Bermainlah dengan anak bersama-sama suami agar masa tersebut dapat dirasai oleh kedua-dua anak dan suami.
2. Menjadi ibu yang selekeh dengan baju lusuh mungkin tidak salah, malah memudahkan kita menyusukan anak-anak tetapi suami kita adalah lelaki yang fitrahnya sukakan wanita yang cantik, bergaya pakaian dan menarik.
3. Elakkan daripada ketiadaan masa untuk bersama suami, apatah lagi suami telah pun begitu lama bersabar sepanjang waktu pantang kita. Memang diyakini suami akan memahami dan boleh bertoleransi, tetapi jangan sampai dia terasa kehilangan langsung.
4. Ada benarnya juga sesetengah suami yang mengadu, seolah-olah kehidupan isteri seharian hanya untuk anak semata-mata. Untuk tidak terasa kekosongan sebegitu, bahagikan masa kita bersama anak, wujudkan juga masa suami bersama anak dan masa kita bersama suami. Jangan sesekali kita gunakan alasan anak untuk tidak bersama suami.
5. Jangan biarkan sesuatu permintaan suami diulang lebih dua kali. Ini kerana permintaan yang diulang bermaksud serius dan penting untuk diberi perhatian.
6. Sayangilah anak, tetapi hormatilah suami. Uruskan anak, tetapi jangan lupa jaga penampilan cantik untuk suami. Elakkan tidur bersama anak, kerana suami juga memerlukan kita sebagai temannya.
7. Kadang-kadang kita rasakan tidak adil jika suami marahkan kita bercakap tentang anak-anak, sedangkan anak adalah milik bersama yang perlu diberi perhatian. Namun, rancang supaya ada waktu kita bercakap tentang anak, ada waktu bercakap tentang hubungan kita dengan suami jug.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Hebatnya kejayaan seorang suami, kerana ada isteri seumpama bidadari yang kuat menyokong suami dari belakang. Begitulah indahnya perkongsian pelakon KL Gangster, Adam Corrie Lee Abdullah tentang peranan isteri dalam hidupnya.
Bagaimana bidadari hatinya itu, Fazema Mohd Fuad membantunya dalam berhadapan kesulitan membantu rakan-rakan yang kembali menerima Islam. Semoga perjuangan suami isteri ini diberi kemudahan oleh Allah.
Ikuti perkongsian Adam Corrie ini yang akan menjentik-jentik hati anda untuk menjadi bidadari terbaik di sisi suami.
Bidadari Saya Minta Dia Belajar Wudhuk Dulu
Saya berborak-borak dengan isteri saya tentang seorang saudara baru yang telah kembali fitrah lebih dari 10 tahun. Sudah berumahtangga dengan seorang wanita Melayu dan mempunyai anak.
Walaupun saya baru kenal beliau, tapi saya terasa bertanggungjawab tanya tentang solatnya dan pemakanannya sehari-harian.
Dia ada cakap hatinya tak tenang macam mana nak solat. Saya mengadu pada bidadari saya bagaimana nak bantu dia.
Sebab dalam kita nak suruh orang buat kebaikan kena ada caranya, tak boleh paksa-paksa, desak-desak. .
Tambahan dia tak dapat contoh dari pasangannya yang solat itu wajib serta menunjukkan Islam itu mudah dan indah dalam kehidupan seharian mereka.
“Kesian dia, dia sudah kembali pada Islam tapi masih tak dapat nikmat keindahan Islam.”
Baca Doa Ini Ketika Wudhuk
Jadi bidadari saya bagi cadangan pada saya supaya mengajar dia ambil wudhuk dahulu. Ajar perkara yang mudah dahulu.
Bagitahu dia yang ketika ambil wudhuk, seperti basuh tangan boleh disertakan dengan berdoa dalam hati seperti “Ya Allah bersihkan tangan ku ini dari membuat perkara-perkara yang haram dan hanya membuat perkara yang membawa manfaat sahaja.”
Ketika basuh telinga boleh minta Allah jauhkan kita dari mendengar perkara-perkara yang mungkar. Dan bagilah telinga ini mendengar perkara-perkara yang baik-baik sahaja dan yang berilmu sahaja.
Begitulah dengan kaki, doakan supaya kaki ini pergi mencari rezeki yang halal, berjuang di jalan Allah dan haramkan kaki ini dari pergi tempat-tempat maksiat.
Bidadari Saya sarankan saya suruh dia belajar ambil wudhuk dan buat setiap hari.
Lama-lama jika dia amalkan tentu dia rasa sesuatu.. kurang sesuatu.. iaitu solat. Biar dia belajar ingat Allah melalui ambil wudhuk dulu. Perlahan-lahan hatinya pasti ingin belajar solat.
Biar Lembut, Biar Sedikit, Lama-lama Terbit Rasa Sayangkan Allah
Bukan mudah nak ajak saudara baru kenal Allah.
Tapi itu memang dah tangggungjawab kita. Biar lembut.. biar sedikit.. lama-lama berkat kita sabar dalam dakwah ini. Dia akan sayang Allah lebih hebat dari yang kita sangka.
Sebagai pasangan ‘saudara baru’, tanggungjawabnya kita berat. Kalau kita tak ada usaha untuk berikan contoh pada pasangan kita. Dia akan terus hanyut.
Jika Saudara Baru Minta Dirahsiakan Syahadahnya..
Sepanjang saya dan bidadari saya terlibat dengan pengislaman saudara baru. Ada yang meminta syahadah mereka dirahsiakan dahulu. Hormati hak dan permintaan mereka.
Seperti saya, saya juga tidak war-warkan pengislaman saya. Tapi apabila ada yang perasan perubahan pada diri saya, baru saya mengaku saya sudah Kembali kepada FITRAH.
Sebenarnya ramai yang meminta dirahsiakan syahadah mereka. Antara sebab:
1. Empunya diri belum bersedia berhadapan dengan orang ramai sama ada yang Muslim, not yet Muslim dan non Muslim.
2. Takut ahli keluarga tidak boleh menerima diri mereka kerana sudah beragama lain.
3. Takut terima ancaman dari pihak yang tidak menyukai mereka yang telah syahadah.
4. Majikan yang seagama dulu akan berhentikan kerja / memulaukan mereka
5. Yang empunya bisnes, susah untuk dapat projek.
Jadi mereka perlukan masa untuk war-warkan pengislaman mereka. Apabila tiba masanya mereka akan umumkan sendiri atau lambat laun orang sekeliling akan sedari dengan perubahan diri mereka.
Jangan cepat buat andaian kalau alasan yang mereka berikan, anda rasa tak masuk akal.
Mereka masih baru dalam Islam.Sokongan dan pemahaman tentang Islam amat di perlukan oleh mereka.
Ini Ujian Paling Besar
Ujian paling besar adalah kita yang Muslim yang suka mendesak mereka berubah 100% dalam sekelip mata.
Sahabat-sahabat tidak berada di tempat mereka, saya sudah lalui nya. Zaman Rasulullah dulu pun. Rasulullah SAW berdakwah secara sembunyi-sembunyi dahulu.
Tapi apabila dah tiba masanya, secara terang-terangan.
Doakan yang baik-baik untuk hati yang sedang dijinakkan. Dakwah bukan cara paksa. Dakwah kita biarlah lembut, santun dan penuh berhikmah.
Senyum selalu, Selalu bersangka baik. InsyaAllah hati tenang.
Air mata terakhir Zara Qairina, bersumpah & nafi mencuri sebelum temui ajal. Inkues kematian pelajar, Zara Qairina membuka kisah memilukan apabila arwah dilaporkan menitiskan...