
Pelakon popular, Fattah Amin sah bergelar suami kepada penyanyi dan pelakon, Amira Othman dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan yang berlangsung penuh indah di Golden Palm Tree Resort, Sepang, malam ini.
Suasana senja yang mendamaikan menjadi saksi kepada sebuah ikatan suci, apabila akad nikah disempurnakan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Majlis itu dihadiri kira-kira 200 tetamu terdiri daripada keluarga, sahabat dan kenalan rapat pasangan berkenaan dalam suasana sederhana tetapi sarat makna.
Tema “Al-Zauj”: Dua Jiwa Disatukan Allah
Pasangan ini memilih tema Islamik Al-Zauj, yang membawa maksud dua jiwa dipertemukan oleh Allah. Simbolik tema itu dizahirkan melalui dekorasi dan suasana senja yang tenang, seolah-olah menggambarkan perjalanan baharu yang bakal ditempuh dengan keberkatan Ilahi.

Lebih istimewa, tarikh keramat ini dipilih oleh Amira sendiri bersempena ulang tahun kelahiran Fattah. “Perkahwinan ini adalah hadiah terindah buat suami saya,” ujar Amira dengan senyuman penuh syukur.
Dalam majlis itu, Fattah menyerahkan mas kahwin seutas gelang emas tunai, bersama lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak pengantin perempuan, simbol kesederhanaan namun tetap memuliakan adat.
Busana Putih: Kesucian Sebuah Penyatuan
Fattah tampil segak dalam persalinan putih rekaan pereka ternama Rizman Ruzaini, manakala Amira menyerlahkan keanggunan dengan busana putih rekaan Teh Firdaus.
Keanggunan mereka seolah-olah lengkap dengan kehadiran para tetamu yang turut mengenakan persalinan serba putih. Putih, yang menjadi lambang kesucian dan kebersihan hati, menjadikan suasana majlis lebih harmoni, damai dan penuh syahdu.
“Alhamdulillah, syukur kerana semuanya dipermudahkan. Terima kasih kepada keluarga, sahabat dan peminat yang sentiasa mendoakan kami,” kata Fattah selepas selesai akad nikah.
Sementara itu, Amira turut meluahkan rasa syukur kerana kini sah bergelar isteri kepada aktor kesayangan ramai itu. “Doakan yang baik-baik buat kami, semoga perjalanan baru ini sentiasa dalam rahmat Allah,” tuturnya penuh kelembutan.
Dekorasi Senja: Simbol Cinta Abadi
Majlis ini mendapat sentuhan dekorasi daripada Reka Teemor, dengan pengasasnya Faiz sabari dan Rozana Mumtaz menjelaskan bahawa konsep Al-Zauj dipilih bagi menzahirkan hasrat pasangan yang mahukan sebuah majlis berkonsep Islamik, sederhana namun harmoni.
View this post on Instagram
“Al-Zauj membawa makna dua jiwa dipertemukan oleh Allah. Fattah dan Amira memang mahukan konsep Islamik, jadi kami ketengahkan tema ini dengan tambahan elemen senja atau sunset yang menambah keindahan.”
Cahaya jingga senja yang meresap ke dalam majlis memberi simbolik cinta abadi. Indah, hangat, namun tetap menenangkan.
Doa Yang Mengiringi Lembaran Baharu
Terdahulu, Fattah mengejutkan ramai apabila mengumumkan bakal bernikah pada 14 September, tarikh sama ulang tahun kelahirannya, ketika pelancaran single terbaru Amira bersama Irfan Haris berjudul Rasa & Takdir.
Perjalanan cinta ini tentunya tidak sepi daripada ujian. Untuk rekod, Fattah pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Fazura pada 27 November 2017, sebelum berpisah pada 7 Oktober tahun lalu. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, kini berusia lima tahun.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI