Inspirasi

Madnor Korbankan Kerjaya Demi Jaga Ibu, Tanpa Disangka Rezekinya Makin Murah

Share
Satu keputusan besar dibuat oleh pempengaruh dan pencipta kandungan, Madnor ialah melepaskan kerjaya demi menjaga ibunya.

Madnor Korbankan Kerjaya Demi Jaga Ibu

Ya, bukan kerana mengejar populariti atau mahu menjadi seorang influencer sepenuh masa tetapi pemilik nama Muhammad Noor bin Zakaria korbankan kerjaya demi keluarga.
Ketika ibunya diserang strok pada awal 2025, kehidupan Madnor berubah dalam sekelip mata. Waktu inilah Allah beri ujian antara tuntutan kerjaya dan tanggungjawab sebagai anak, mana satu yang dia patutu dahulukan. Dia sedar ada sesuatu yang perlu dikorbankan.
“Saya berhenti kerja sebab saya perlukan fleksibiliti. Mak saya kena strok dan enam bulan pertama memang perlukan penjagaan sepenuhnya.
“Pada mulanya majikan beri peluang bekerja secara fleksibel. Saya cuba uruskan kerja, kemudian balik untuk mandikan mak dan menjaganya. Lama-kelamaan saya penat. Akhirnya saya buat keputusan berhenti supaya saya benar-benar ada masa untuk keluarga.”

Tanpa Disangka Rezekinya Makin Murah

Ketika ramai mengejar kestabilan kerjaya, Madnor memilih jalan yang penuh dengan ketidakpastian. Tiada jaminan pendapatan, tiada kepastian tentang masa depan, hanya satu harapan agar dapat menjadi anak yang mampu berada di sisi ibu ketika paling memerlukan.

Namun, di situlah takdir seolah-olah mula menulis bab baharu dalam hidupnya.
Lebih setahun selepas meninggalkan pekerjaan tetap pada Mei 2025, kehidupan Madnor berubah jauh daripada apa yang pernah dibayangkannya.
Jika dahulu dia memulakan perjalanan itu dengan hanya seorang kakitangan, hari ini pasukannya sudah berkembang kepada 10 orang. Kandungannya pula tidak lagi terhad kepada video pendek, sebaliknya turut merangkumi podcast, program memasak dan perkhidmatan pemasaran digital.
Bagi Madnor, semuanya berlaku sedikit demi sedikit.
“Bila orang tengok keadaan sekarang, mereka nampak hasilnya. Tapi bagi saya, ini baru permulaan. Kami masih belum sampai ke sasaran yang kami impikan. Masih banyak yang perlu diusahakan.”
Satu susunan rezeki yang cukup indah. Apa yang dinikmatinya hari ini bukanlah sesuatu yang pernah dirancang.
Tujuan asalnya cukup sederhana iaitu mahu menjaga ibunya dengan lebih baik. Namun daripada niat itu, lahirlah peluang yang tidak pernah disangka.
“Tujuan asal memang sebab nak jaga mak. Tapi akhirnya Allah tambah pula dengan rezeki yang lain.”
Mungkin itulah yang membezakan Madnor daripada ramai pencipta kandungan lain.
Di sebalik jutaan tontonan dan pengikut di media sosial, dia tidak pernah melihat kejayaan digital sebagai sesuatu yang berlaku secara kebetulan.
Sebaliknya, dia percaya setiap perkara, walaupun sekecil mana sekalipun, perlu dilakukan dengan kesungguhan yang luar biasa.
“Kita bermula dengan buat video ulasan sahaja. Tapi walaupun orang anggap kerja itu kecil, kita buat bersungguh-sungguh.
“Kalau orang suruh buat biasa-biasa, kita buat luar biasa. Saya percaya kalau nak buat sesuatu, buatlah secara luar biasa.”

Pernah Juga Dikritik

Prinsip itu jugalah yang perlahan-lahan membina identiti Madnor di media sosial.
Daripada sekadar menghasilkan kandungan hiburan, dia semakin dikenali kerana perkongsian yang dekat dengan realiti kehidupan. Nasihat tentang kewangan, kerjaya, keluarga dan pembangunan diri menjadikan kandungannya lebih daripada sekadar hiburan yang berlalu di garis masa.
Tidak hairanlah apabila ramai melihat Madnor sebagai suara yang dekat dengan kehidupan masyarakat, khususnya generasi muda yang sedang membina kerjaya dan masa depan.
Namun, seperti mana-mana figura di media sosial, dia juga tidak terlepas daripada kritikan.
Bagi Madnor, mustahil untuk membuatkan semua orang menyukainya. Apa yang lebih penting ialah memastikan dirinya sentiasa memperbaiki kelemahan dan tidak membiarkan segelintir komen negatif menenggelamkan ribuan kata-kata positif.
“Kita selalu tak adil dengan diri sendiri. Katakan ada 100 komen, 90 orang puji kita, 10 orang kecam. Yang kita fikir hanya 10 komen itu.
“Sedangkan yang menyayangi kita jauh lebih ramai. Hargailah mereka yang sentiasa menyokong kita.”

Mahu Buka Peluang Pekerjaan Lebih Banyak

Di sebalik segala pencapaian hari ini, Madnor sebenarnya masih menyimpan satu impian yang lebih besar. Tidak juga melihat kejayaan sebagai jumlah pengikut atau nilai kerjasama dengan jenama terkenal.
Sebaliknya, dia mahu membina sesuatu yang mampu memberi manfaat kepada orang lain.
Impian terbesarnya ialah menubuhkan sebuah perniagaan yang memfokuskan kepada latihan, bimbingan dan konsultasi, selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat.
“Saya nak beri semula kepada masyarakat. Kalau boleh, saya mahu buka lebih banyak peluang pekerjaan. Itu antara impian terbesar saya.”
Inilah sisi Madnor yang jarang diketahui ramai. Di sebalik wajah ceria yang sering muncul di media sosial, tersimpan kisah seorang anak yang pernah memilih untuk melepaskan kerjaya demi menjaga ibunya.
Di situlah letaknya rahsia sebenar rezeki. Kerana ada kalanya, keputusan yang dibuat bukan untuk mengejar kekayaan, tetapi untuk berbakti kepada ibu bapa.
Tak ramai mampu buat, tetapi jika ikhlas dan fokus pada sebuah tanggungjawab, pasti semuanya akan ‘cantik’ tersusun mengikut apa yang sepatutnya berlaku. Dan siapa sangka, daripada sebuah pengorbanan lahirlah perjalanan yang mengubah seluruh kehidupan.
Gambar: Madnor
Published by
Nadia Mohamad