Mendaki pada usia melebihi 40 tahun bukanlah mudah. Semangat barangkali penuh membuak-buak, namun yang membataskan keinginan tersebut adalah soal kesihatan dan stamina diri. Berpegang pada kata-kata sang bijak pandai, segalanya bermula dengan langkah pertama. Kalau tidak mencuba, mana mungkin kita tahu kemampuan diri.

Memulakan dunia pendakian tiga tahun lepas, wanita yang juga anak kelahiran Pahang Darul Makmur ini, skeptikal dengan keupayaan dirinya.

‘Boleh ke aku ni memanjat gunung? Kedua-dua lutut puh pernah dibedah akibat kemalangan pada tahun 2001, takut nanti `terbarai’ tengah jalan ‘, bisik hati kecil Nor Asikin Hassan menerusi perkongsiannya melalui aplikasi whatsapp.

“Cuma apa yang mendorong saya terlibat dalam hobi ini ialah soal menjaga kesihatan. Melihat ramai rakan sebaya sudah mula didatangi pelbagai penyakit, maka saya harus menghalangnya dari awal mengikut kemampuan sendiri.

“Prinsip saya mudah, jaga kesihatan sebelum dapat sakit kerana apabila sudah ditimpa pelbagai penyakit, fokus hidup sudah pastinya akan tertumpu kepada soal rawatan. Jadi, elakkan sakit dengan segala usaha yang boleh dan nikmati hidup seluas-luasnya ketika sihat.

“Sebelum aktif dalam dunia pendakian, saya berjinak-jinak dalam larian. Bukan hebat mana pun, paling jauh rekod penyertaan peribada ialah larian sejauh 10 kilometer (km) manakala selebihnya lebih banyak menyertai kategori `fun run’.

“Memulakan hobi mendaki pada tahun 2016 bersama NGO, Nadi Sihat (yang rata-rata ahlinya terdiri daripada mereka yang berusia 40 tahun ke atas), awalnya sekadar bukit-bukit di sekitar Lembah Klang kami daki. Kemudian, naik taraf ke gunung-ganang yang ada. Yang nyata, daripada sekadar hobi untuk mengeluarkan peluh bersama rakan-rakan sambil bersembang, akhirnya cinta saya tertumpah sepenuhnya dalam dunia pendakian,”kongsinya yang menemui minat baru menjelang usianya memasuki angka 40-an.

Lutut ‘barai’ tak halang Asikin hiking

Cabar diri tawan bukit dan gunung

Minat membuatkan dirinya bagaikan gian kalau berlama-lama tidak menghirup segarnya udara di dalam hutan serta menatap hijaunya landskap alam yang terbentang dilatari kabus dan awan. Bersama rakan-rakan sealiran, mereka bersama akan merencana bukit mahupun gunung yang ingin ditawan. Pendek kata, jika tidak terikat dengan komitmen kerja…wanita ini tidak teragak-agak untuk lapangkan diri untuk mendaki.

“Bersama rakan-rakan, kami dalam rangka jelajah setiap pelusuk bukit dan gunung untuk menikmati keindahan alam semula jadi, menghirup udara segar dan sekaligus meningkatkan stamina diri. Dengan adanya kumpulan sebegini kami membina hubungan baharu dengan rakan-rakan lain yang luar daripada kelompok bukan rakan sekerja dan berkongsi komentar baru tentang ‘obstacle’ gunung ataupun bukit yang bakal dijelajahi.

“Sebagai orang baru dalam dunia ‘hiking’, pencapaian saya masih di skala amatur. Malah banyak lagi gunung-gunung di Malaysia yang masih saya belum `khatam’ habis lagi. Banyak lagi gunung-ganang yang berada dalam senarai ‘bucket list’ peribadi dan saya ingin membuktikan wanita di usia saya juga mampu melakukannya sekiranya kita tidak pernah berhenti mencuba,”kongsinya.

Lutut ‘barai’ tak halang Asikin hiking

Berdepan risiko AMS

Pada tahun 2016, beliau berjaya menawan Gunung Kinabalu. Setahun kemudian dia mencapai kejayaan peribadi buat kali kedua dengan menawan Annapura Base Camp (ABC), Nepal. Terkini awal September baru-baru ini beliau berjaya menjejakkan kaki ke Everest Base Camp (EBC)…pencapaian yang membuatkan air matanya tumpah meraikan kejayaannya itu.

“Menceritakan kembali pencapaian menawan EBC, sesungguhnya ia bukanlah mudah. EBC yang setinggi 5364 meter bersama Ohana Adventure Sport melakar satu pengalaman yang cukup indah. Perkara paling ketara adalah keupayaan berlawan dengan cuaca sejuk luar biasa dan boleh mendatangkan risiko yang membahayakan.

“Selain itu bagi pendaki yang tak biasa dengan landskap dan cuaca sejuk melampau, mereka terdedah kepada risiko AMS atau altitude mountain sickness. Orang yang tidak biada dengan altitud tinggi boleh berisiko untuk terkena AMS. Lazimnya ia berlaku apabila anda bergerak dari kawasan rendah ke kawasan tinggi dengan cepat. Di kawasan yang tinggi, oksigen kurang dan boleh menyebabkan kesukaran bernafas.

“Cara mengatasinya ialah dengan melangkah perlahan-lahan agar badan mampu menyesuaikan iri dengan ketinggian dan suhu sejuk. Jika terjadi AMS yang teruk seperti sakit kepala yang melampau atau muntah berlebih-lebihan…cara merawatnya hanya dengan turun sahaja ke aras lebih rendah,”ceritanya.

Lutut ‘barai’ tak halang Asikin hiking

Kebaya dan air mata di EBC

Sebaik tiba di puncak EBC, air mata ini tumpah tanpa dapat tahan-tahan. Syukur segala perih jerih mengusung muatan di belakang badan, sambil melalui halangan dari muka bentuk bumi dan juga cuaca yang tidak menentu…akhirnya di usia ini saya berada di puncak yang tinggi. Lebih syahdu kejayaan ini dirakam kemas di kala tanah air tercinta sedang meraikan sambutan kemerdekaan yang ke 62 tahun.

“Pendakian ke EBC dilaksanakan ketika Malaysia masih lagi menyambut bulan kemerdekaannya. Syukur segalanya dipermudahkan. Sepanjang 20 hari pendakian biarpun penat dan sejuk mengigit tulang, sebaik sahaja kaki menjejaki EBC…hilang segala rasa sakit yang dirasai.

“Sebagai tanda menzahirkan rasa kecintaan kepada Malaysia, saya abadikan foto berkebaya sambil memegang bendera Malaysia di EBC. Sama seperti di ABC, saya mengulang kembali kelangsungan daripada misi peribadi bergambar sambil menggayakan pakaian tradisional;kebaya. Sesungguhnya saya tidak akan berhenti disini…doakan saya terus dikurniakan kesihatan yang baik dalam meneruskan cita-cita menawan beberapa lagi gunung-ganang lain di masa depan,”kongsi wanita gunung ini menutup bicara.

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI