Lima wanita bergaduh di Pasar Awam Melor mengaku bersalah, didenda RM1000 setiap seorang. Insiden pergaduhan melibatkan satu keluarga terdiri dari ibu, anak perempuan dan menantu bersama dua beradik di hadapan Pasar Awan Melor minggu lalu didenda RM1000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah melakukan pergaduhan di khalayak ramai pada minggu lalu.
Tertuduh, Rozita Ramli, 47, bersama anaknya, Aleeya Maisara Hasbullah, 19, dan menantunya, Siti Nor Bakyah Abdullah, 19 serta Siti Sara Suaini, 30, bersama adiknya Siti Mastura Suaini, 28, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Mereka bersama-sama didakwa melakukan pergaduhan di hadapan Pasar Awam Melor, di sini, iaitu tempat awam pada kira-kira jam 2.30 petang, pada 25 Disember lalu.
Ads
Semua mereka didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
Ads
Memetik laporan Berita Harian, pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nadzir Abdullah manakala semua tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Atikah Abd Halim.
Ads
Terdahulu, Muhammad Nadzir memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada semua tertuduh namun Siti Atikah memohon hukuman minimum dengan mengambil kira video kes itu tular di media sosial yang sudah memberi pengajaran kepada mereka.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,000 masing-masing kepada setiap tertuduh dan penjara tiga bulan jika gagal membayarnya.
Minggu lalu kecoh di media sosial apabila berlakunya pergelutan melibatkan wanita di Pasar Awam Melor sehingga menerima reaksi awam. Dalam pada itu, pihak berkuasa menahan 12 individu selepas video pergaduhan itu viral bagi membantu siasatan.
Pada kejadian jam 2.30 petang itu, seorang remaja berusia 19 tahun cedera pada seluruh bahagian badan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Seorang ibu kepada anak autisme meluahkan rasa kecewa selepas anak sulungnya diarahkan tidak hadir ke sekolah tanpa penjelasan yang munasabah oleh pihak pentadbiran sekolah. Arahan itu bukan sahaja mengejutkan, tetapi turut memberi tekanan emosi kepada keluarga, terutama kerana ia dibuat tanpa bukti kukuh dan tanpa mempertimbangkan keperluan khas murid terlibat.
Elinoisna Abu, 47, seorang ibu tunggal, berkata anaknya, Solehah Azzahra Nazri, 12, bukan sahaja cemerlang dalam akademik malah aktif dalam sukan pernah menerima anugerah Olahragawati dan Atlit Terbaik sekolah 2025 serta mewakili sekolah ke Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) selama dua tahun berturut-turut. Namun, sejak 21 November lalu, pihak sekolah di Jalan Yahya Awal menggantung kehadiran Solehah selepas insiden ‘tantrum’ yang berlaku pada 20 November di sebuah kelas Tahun Lima.
Menurut Elinoisna, pihak sekolah menuduh Solehah mencederakan seorang murid perempuan berusia 11 tahun, tetapi dakwaan itu dibuat tanpa sebarang bukti jelas termasuk ketiadaan gambar kecederaan atau laporan yang sah. Dakwaan itu mengejutkan kerana sepanjang bersekolah, anak autisme itu tidak pernah menunjukkan tanda-tanda agresif atau membahayakan rakan lain.
Jelas Elinoisna, insiden tersebut tercetus selepas seorang guru menegur Solehah semasa latihan tarian konvokesyen sehingga menjejaskan emosinya. Disebabkan tekanan, Solehah menangis dan berlari masuk ke kelas Tahun Lima sebelum ditenangkan oleh beberapa rakan rapatnya.
“Dalam kejadian itu, tiada murid terkena atau cedera kerana sepanjang masa di dalam kelas Solehah Azzahra ditenangkan dan dikawal beberapa rakan baiknya, malah tangannya dipegang ketika cuba membaling gunting secara rambang.
“Pengurusan sekolah mendakwa seorang murid cedera, tetapi tiada kesan luka atau bukti gambar sebagainya sebaliknya saya difahamkan pakaian murid itu terkoyak,” katanya.
Pada 1 Disember, pihak guru mengadakan pertemuan melibatkan ibu bapa murid Tahun Lima bagi membincangkan insiden tersebut. Namun Elinoisna mendakwa anaknya dituduh membahayakan murid lain sekiranya terus bersekolah di situ, sesuatu yang dirasakannya tidak adil memandangkan rekod anaknya yang sentiasa tenang dan disenangi rakan-rakan.
Beliau turut kesal apabila terdapat ibu bapa yang mengambil tindakan melampau.
“Malah, ada seorang ibu murid menetapkan syarat saya mesti mengiringinya dari awal sampai tamat sesi persekolahan hari.
“Saya dapat rasai tekanan emosi dialami Solehah Azzahra, kami dianiaya kerana saya seorang ibu tunggal yang kerja biasa-biasa, mana mampu nak lawan mereka yang ada kuasa walaupun hanya tinggal masa seminggu dua saja lagi sesi persekolahan,” katanya.
Menurut Elinoisna, tindakan sekolah itu tidak memberikan ruang kepada anak autisme untuk dibimbing dengan cara yang betul. Beliau berpendapat pihak sekolah seharusnya mencari punca masalah, bukan mengambil jalan mudah dengan menyisihkan murid berkeperluan khas.
Selepas membuat aduan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Elinoisna dimaklumkan bahawa anaknya tidak boleh dihalang daripada hadir ke sekolah. Berdasarkan maklum balas tersebut, Solehah kembali ke sekolah pada 4 Disember.
Bagaimanapun, situasi menjadi lebih rumit apabila pihak sekolah meminta Elinoisna menandatangani surat akujanji.
“Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah itu menuntutnya menandatangani surat akujanji bahawa pihak sekolah tidak akan bertanggungjawab dan perlu menanggung risiko Solehah Azzahra disekolahkan tetapi dia enggan kerana PPD tidak memaklumkan wujudnya syarat sedemikian.
“Saya juga membuat laporan polis untuk mempertahankan tindakan saya, Jumaat lalu,” katanya.
Konflik itu menambah tekanan kepada Elinoisna yang sedang menjalani rawatan kanser tahap tiga. Beliau hanya berharap anak autisme itu dibenarkan terus bersekolah sehingga tamat sesi Tahun Enam memandangkan hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi.
Elinoisna turut membuat laporan polis di Balai Polis Sentral pada 5 Disember bagi memastikan hak pendidikan anaknya dipertahankan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin ketika diminta mengulas berkata pihaknya akan merujuk perkara tersebut kepada Jabatan Pendidikan Negeri Johor untuk mendapatkan maklumat terperinci. Kes melibatkan anak autisme ini menarik perhatian ramai kerana ia membabitkan hak pendidikan murid berkeperluan khas serta cara sekolah menangani tingkah laku yang boleh diurus dengan sokongan profesional.
Banyak pihak berharap agar penyelesaian yang adil dapat dicapai, dan Solehah dapat kembali mengikuti sesi persekolahan tanpa tekanan serta diskriminasi. Dalam masa yang sama, isu ini membuka ruang kepada perbincangan lebih luas mengenai keperluan latihan dan pemahaman mendalam dalam kalangan pendidik terhadap murid berkeperluan khas.
Dalam perjalanan hidup, setiap orang pasti berdepan ujian yang datang silih berganti. Cabaran dalam keluarga, tekanan kerja dan konflik perhubungan sering menguji emosi serta ketahanan diri. Ada yang mampu bangkit, ada yang terpaksa melalui jalan sukar sebelum menemukan kekuatan sebenar.
Dalam masyarakat hari ini, realitinya kehidupan sangat keras. Bukan saja dari aspek ekonomi, tuntutan kerjaya, hubungan kekeluargaan yang diuji serta emosi yang terpendam sering berlaku serentak. Ramai individu terpaksa memikul tanggungjawab besar dalam diam sambil berusaha mengekalkan kestabilan hidup dan keharmonian hubungan dengan orang terdekat.
Dalam berdepan ujian, sokongan keluarga dan rakan terdekat menjadi faktor penting yang menentukan kekuatan seseorang untuk terus bertahan. Realiti inilah yang diangkat dalam Pasanga 3 musim ketiga drama Tamil terbitan Astro yang menyorot perjalanan hidup tiga sahabat iaitu Raja, Jaga dan Anand apabila kehidupan mereka yang dahulunya stabil mula berubah serta diuji dari pelbagai sudut.
Kisah Pasanga 3 bermula apabila kehidupan Raja berubah selepas ibu bapanya menjadi sasaran individu berniat jahat, Kumar, memaksanya meninggalkan kota Metropolitan Kuala Lumpur dan pulang ke kampung halaman demi keselamatan keluarga.
Kepulangannya turut disertai adiknya, Vithya yang masih dibelenggu trauma silam. Namun, kampung halaman bukan tempat tenang buat Raja apabila dia terperangkap dalam konflik yang didalangi oleh Thirupathi, Kumar dan Kathir.
Di kota penuh cabaran, Jaga pula berusaha meneruskan kerjayanya sebagai penerbit filem dan berdepan dengan tekanan kerja. Masa yang sama, dirinya menjalin perasaan saynag terhadap Reshma.
Sementara itu, Anand pula diuji dalam rumahtangga apabila hubungan rapat isterinya, Geetha dengan rakannya mencetuskan ketegangan sekaligus menguji kepercayaan satu sama lain.
Sepanjang siri drama ini, kita dapat menyaksikan adanya perhubungan yang diuji, masalah kewangan dan setiap satu dari mereka berhadapan dengan konflik dalaman masing-masing.
Di sebalik konflik dan cabaran yang melanda, Pasanga 3 turut mengangkat nilai kekeluargaan dan persahabatan yang sangat diperlukan apabila kita mula rebah. Sokongan keluarga serta persahabatan yang utuh menjadi kekuatan penting dalam mengangkat kembali saat kita diuji dengan teruk.
Bagi wanita dan ibu, drama ini memberikan gambaran jujur tentang perjuangan bagaimana perlunya keseimbangan tanggungjawab kepada keluarga, kerjaya dan emosi diri.
Elemen wanita gigih dan mampu mendepani apa jua ujian yang terjadi menjadikan Pasanga 3 bukan sekadar hiburan tetapi sumber inspirasi.
Pasanga 3 mula bersiaran pada 8 Disember 2025 dan ditayangkan di Astro Vinmeen (Saluran 202) setiap Isnin hingga Khamis, jam 9 malam. Siri ini juga boleh di strim melalui sooka. Watch Pasanga 3 on Astro.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Datuk Red dan Adira pilih jawapan ‘no comment’. Isu membabitkan hubungan bekas pasangan selebriti, penyanyi Adira dan bekas suaminya Datuk Seri Adnan Abu atau lebih dikenali dengan Datuk Red sekali lagi menjadi perhatian apabila timbul dakwaan mereka telah rujuk semula dalam tempoh idah.
Terbaru kecoh di media sosial mengenai dakwaan bahawa Datu Red telah memfailkan pengesahan rujuk di Mahkamah Syariah Gombak Barat dua hari lalu, dengan tarikh sebutan kes dikatakan pada 20 Januari 2026.
Bagaimanapun Datuk Red menafikan mengetahui sebarang perkara berkaitan dakwaan tersebut.
Datuk Red lebih selesa memilih untuk tidak mengulas lanjut dan menyerahkan segala-galanya kepada proses yang sewajarnya.
“Wallahualam, saya tidak tahu. Buat masa ini memang tiada komen,” komennya seperti mana dipetik menerusi Kosmo Online.
Malah diaju tentang tarikh sebutan pengesahan rujuk yang didakwa dijadualkan pada 20 Januari tahun hadapan, Datuk Red tetap dengan pendirian untuk mengunci mulut.
“Kalau jumpa nanti untuk sahkan, barulah betul. Sekarang ini belum ada apa-apa,” sambungnya.
Sementara itu, Adira turut memilih pendekatan sama apabila enggan memberikan sebarang kenyataan lanjut berhubung isu tersebut.
“Mengenai hal ini, saya tiada komen. Saya tidak mahu mengulas apa-apa,” ungkap Adira.
Nora Danish baiki diri sepanjang Ramadan, tak mahu buat solat dengan tergesa-gesa. Semakin manis dan dilihat semakin banyak berkongsi perkara yang baik.