Tragedi menimpa adik Zara Qairina Mahathir, 13 tahun, terus mendapat perhatian apabila pagi ini, lima remaja perempuan bawah umur dijangka didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak berhubung kes buli yang menggemparkan negara.
Kesemua remaja terbabit tiba di pekarangan mahkamah menaiki sebuah van diiringi polis sekitar jam 9.05 pagi. Remaja perempuan yang berusia di bawah 18 tahun itu akan dituduh di bawah Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan, berkaitan kesalahan menggunakan atau membuat sebarang perkataan atau komunikasi berbentuk ancaman, kesat atau penghinaan.
Menurut kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC), pihaknya telah meneliti kertas siasatan yang dirujuk oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan memutuskan untuk mendakwa beberapa suspek berdasarkan keterangan yang ada. Namun begitu, prosiding inkues tetap akan dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian Zara Qairina.
Tragedi ini bermula pada 16 Julai lalu, apabila Zara ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolah. Beliau kemudian dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I, namun selepas sehari bertarung nyawa, Zara disahkan meninggal dunia pada 17 Julai.
Kisah duka ini bukan sekadar tentang kehilangan seorang anak, tetapi juga membuka mata masyarakat tentang isu buli di sekolah yang semakin membimbangkan. Bagi keluarga Zara, kesedihan ini masih segar, namun perjuangan menuntut keadilan untuk arwah kini menjadi tumpuan seluruh negara.
Sumber: https://www.hmetro.com.my/
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE