Letupan Kuat Kejutkan Penduduk Susulan Kemalangan Pesawat Pejuang TUDM Di Kuantan

Share

Letupan kuat kejutkan penduduk susulan kemalangan pesawat pejuang TUDM di Kuantan. Penduduk sekitar Kuantan dikejutkan dengan letupan kuat susulan nahas sebuah pesawat pejuang milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Kuantan malam tadi.

Letupan Kuat Kejutkan Penduduk Susulan Kemalangan Pesawat Pejuang TUDM Di Kuantan

Seorang penduduk Taman Pandan Perdana, Khairul Azli Syahmie Abdul Aziz, 26, berkata bunyi letupan itu berlaku kira-kira jam 9 malam.

Menurutnya, pada awalnya beliau tidak menyangka bunyi berkenaan berpunca daripada insiden pesawat yang meletup sewaktu mahu berlepas.

“Kawasan perumahan saya paling hampir dengan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah dan kami sudah biasa mendengar bunyi letupan termasuk waktu malam kerana anggota TUDM sedang melakukan latihan.

“Bagaimanapun letupan ketika kejadian terlalu kuat dan luar biasa berbanding bunyi selalu didengari sebelum ini dan menyebabkan penduduk bergegas ke sini (tempat kejadian) untuk mengetahui kejadian sebenar,” katanya.

Beliau menambah, sejurus selepas kejadian, rakaman video pesawat ketika hendak berlepas mula tersebar luas di media sosial.

Sementara itu, Bernama melaporkan seorang lagi saksi, Mazlan Abdullah, 61, turut mendengar letupan kuat dari kawasan berhampiran Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah.

Katanya, ketika berada di sebuah kedai makan berhadapan pangkalan udara itu, dia terdengar bunyi letupan sebanyak dua kali disusuli cahaya api.

“Selepas bunyi letupan, saya dapat melihat api dalam kawasan lapangan terbang dan asap berkepul-kepul. Orang ramai yang berada di kawasan berdekatan juga cuba pergi melihat apa yang berlaku.

“Ketika saya melihat ke lapangan terbang, ada api sedang marak, tetapi selepas letupan kedua, api lebih marak dan ada juga bau hangit,” katanya.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam kenyataan memaklumkan, sebuah pesawat jenis F/A-18D Hornet terbabit dalam kemalangan tersebut sekitar jam 9.05 malam di landasan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, mengesahkan dua juruterbang pesawat berkenaan berjaya menyelamatkan diri dan kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Sumber: Harian Metro

Baca artikel lain juga: Pempengaruh Raih Laba, Hasil Tunggang Kes Zara Qairina

Kes Zara Qairina: Datuk Ram Singh Wakili 1 Daripada 5 Tertuduh

Datuk Ram Singh Saya Beri Khidmat Percuma, Tertuduh Bukan Anak VVIP

 

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE

 

Published by
Has