Sebentar tadi sewaktu menjadi artis jemputan program Mingguan Wanita Talkshow Pengarah Drama terkenal Michael Ang, 43, berkongsi tentang keindahan Islam.

“Sejujurnya banyak orang bercerita, selepas hijrah seseorang itu akan berubah jadi lain. Pada saya selepas peluk Islam saya masih teruskan hidup seperti biasa. Cuma saya dapat rasa tuhan ada nama. Saya kenali siapa tuhan saya. Itu saja perubahan.

“Bagi perjalanan bila saya peluk Islam paling saya dapat rasakan ialah bila saya jadi seorang yang penyabar,” kongsi Michael.

Ditanya bagaimana dia mempelajari agama Islam setakat ini, Michael menerangkan merupakan seorang yang gemar membaca Al-Quran.

“Sebenarnya saya dah belajar dan baca Al-Quran sebelum masuk Islam. Tapi baca dalam versi bahasa Inggeris. Selepas peluk Islam hari-hari saya baca. Ada aplikasi di telefon bimbit jadi saya baca. Kelas mengaji saya belum pergi lagi tapi saya tetap baca Al-Quran. Saya baca, faham dan kemudian hayati,” ungkap Michael.

Rasa Lega

Beberapa bulan lalu, Michael juga berasa sangat lega selepas mengumumkan  secara rasmi tentang dirinya yang telah berhijrah dan memeluk Islam.

“Sebelum ini ramai juga rakan artis yang bertanya tentang status agama saya. Terutama apabila ada yang nampak kad pengenalan Islam saya yang telah mula tersebar sejak April lalu. Jadi, saya ambil keputusan untuk membuat pengumuman secara rasmi sebelum pelbagai spekulasi timbul.

“Bila dah luahkan secara terang-teranganan, sekarang ini saya berasa lega. Saya sudah boleh menjawab dan beri ucapan salam kepada semua rakan kenalan artis dan sesiapa saja tanpa rasa serba salah,” ungkap Michael seperti mana yang dipetik menerusi Sinar Harian Online.

Hormat Ibu Bapa, Kekal Nama Asal 

Mengenai nama Islam, Michael berkata dia mengekalkan nama asal.

“Ini adalah nama pemberian ibu bapa, jadi saya kena hargai dan hormati. Lebih-lebih lagi mereka turut menyokong apabila saya mengambil keputusan untuk memeluk Islam,” tuturnya ketika diwawancara di Mingguan Wanita Talkshow.

“Lepas Peluk Islam Saya Jadi Seorang Yang Penyabar” Hijrah Terindah Michael Ang
gambar: sumber instagram Michael Ang.

Mimpi Kaabah

Menyelami episod gembira pengarah drama Suri Hati Mr Pilot itu lagi, dia turut berkongsi sejak berusia belasan tahun lagi dia sudah mempercayai bahawa Tuhan hanya ada satu.

“Sebenarnya, sejak saya berusia 15 tahun lagi sudah percayakan bahawa Tuhan hanya ada satu. Tuhan yang mana satu, pada ketika itu saya masih mencari-cari lagi.

“Sehinggalah dua tahun lepas saya bermimpi, ada orang bawa saya masuk ke dalam rumah. Selepas saya Google, rupa-rupanya rumah itu adalah Kaabah. Sejujurnya sebelum ini saya fikirkan Kaabah itu adalah batu yang dibaluti dengan kain dan tak tahu pula di dalamnya ada ruang.

“Jadi, dalam mimpi itu memang serupa sebagaimana yang saya cari di Internet dan saksikan video dalam Kaabah di YouTube. Dalam mimpi saya juga, ada emas yang tergantung dan kalau dapat kita tengok di dalam Kaabah pula ialah teko. Kemudian dalam mimpi saya juga ada pancuran air yang wangian macam bunga ros.

“Selain itu, ada diperlihatkan tulisan jawi pada jubin dinding rumah. Dalam erti kata lain, selepas mimpi itu ada perasaan yang kuat mengatakan rumah berkenaan adalah Kaabah.

“Selepas bermimpi, saya mula belajar perlahan-lahan tentang Islam sampailah saya membuat keputusan berhijrah,” luah Michael.

“Lepas Peluk Islam Saya Jadi Seorang Yang Penyabar” Hijrah Terindah Michael Ang
Berkongsi kisah hijrahnya bersama penonton Mingguan Wanita Talkshow.

Bagi anda yang mahu mengikuti lebih lanjut kisah-kisah tentang penghijrahan mualaf saksikan Mingguan Wanita Talkshow yang membincangkan topik Hijrah Terindah hanya di Astro Prima 105 & Prima Hd 121 pada jam 5 petang ini.

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI