Sembilan bulan mengandungkan bayi dalam perut penuh cinta dan air mata, bukan semudah ABC seorang ibu dapat menyerahkannya pada orang lain. Biar pun ibu itu, serba kekurangan naluri ibu anak memang takkan mudah untuk diputuskan.
Dalam keadaan serba mendesak, pasangan suami isteri OKU penglihatan ini tabah hadapi sangkaan ketakyakinan masyarakat sekeliling dengan keupayaan mereka menjaga anak sendiri. Inilah yang dilalui Nur Hidayah Binti Jefry, 31 dan suami, Ehsan Mohamad, 32 tahun.
“Teringat semasa melahirkan baby Imran dulu, ramai orang datang ke rumah Hidayah kerana nak ambil baby Imran untuk menjaganya.
“Mereka mengatakan bahawa kami tidak layak menjaga baby kerana kami OKU. Mereka khuatir akan keselamatan baby dan sanggup ambil baby Imran sebagai anak angkat.
“Siapa tak sayang anak oooi! Dengan mudah beri anak kepada orang lain atas alasan kami OKU. Apa pun terjadi kami nekad untuk menjaga baby Imran sendiri kerana kami yakin Allah itu ada.”
Kini anak kecilnya itu, Imran Solihin dah berusia 14 bulan.
“Alhamdulillah sepanjang kami menjaganya sendiri tiada masaalah berat berlaku terhadap keluarga kami.”
Sekiranya ibu ini berhadapan masalah tentang baby, dia akan merujuk hal itu dalam grup Kelab Ibu Mengandung Malaysia (KIMM) untuk mencari info tentang baby dan sebagainya.
Ads
“Saya besarkan baby berdasarkan pengalaman. Sejak tahun 2009, saya dah tak nampak. Dari kecil penglihatan saya normal. Sampailah umur 23 tahun saya telah dikategorikan sebagai adult blind atau buta ketika dewasa.
“Berbeza dengan suami yang tak nampak sejak dari kecil lagi. Masuk umur 6 tahun dia mula hilang penglihatan.
Waktu Nak Beri Makan, Teraba-raba Cari Mulut Anak
Walaupun serba kekurangan, Hidayah tak bermasalah membesarkan anak kecilnya. “Mak saya seorang pengasuh. Jadi dari kecil saya memang dah biasa jaga baby. Umur 4 tahun saya dah pandai buat semua itu.
Ads
“Bila dah kahwin, pengalaman itu buat saya yakin boleh jaga baby sendiri. Bezanya dulu mata saya nampak, sekarang dah tak nampak.
Kesukaran itu perkara normal yang perlu mereka lalui hari-hari. “Kami bergilir beri makan Imran. Kadang saya, kadang suami. Kena raba-raba sebab nak cari mulut dia. Pernah juga termasuk hidung.
“Biasanya kami beri dekat tangan, nanti dia makan dengan sendiri (ini untuk makanan pejal). Comot itu memang standard.”
Selepas bersalin Hidayah dan suami cuma tinggal selama 3 bulan di kampung. Masuk bulan ke-4 dia nekad mahu ke Kuala Lumpur. Sebab tak sanggup dengan permintaan orang yang mahu menjaga anaknya.
Mulanya keluarganya tak yakin dengan keputusannya. Walaupun demikian, ayahnya tetap menghantar mereka sampai dengan selamat di Kuala Lumpur.
Sebaik menetap di KL, Hidayah tak bekerja dan sepenuhnya menjaga anak kecilnya itu. Jika mereka terpaksa keluar rumah, baby Imran akan dibawanya sekali. Hari ini suami isteri OKU ini dah buktikan yang mereka mampu membesarkan anak sendiri biarpun tak mampu melihat.
“Semoga urusan kami dipermudahkan dan semoga baby Imran menjadi anak yang soleh untuk saham akhirat ayah dan ummie nanti. Amin” Doanya.
Luahan hati seorang ibu bernama Saneeha Sulaiman yang lebih mesra dengan panggilan Umi Zara ini meruntun hati sesiapa saja yang membacanya. Catatan sayu itu tentang anak kecilnya, Nur Syifa Zara, 4 tahun yang menghidap penyakit Aplastik Anemia iaitu sejenis penyakit sum-sum tulang yang tidak berfungsi untuk menghasilkan darah sendiri.
Betapa susahnya mereka setiap kali mahu ke hospital. Kerana tiada kereta, Umi dan suami, anaknya yang sakit Zara malah baby 9 bulan menunggang saja motosikal dari Damansara Damai ke PPUM.
Apa yang menjadi keperluannya kini adalah tambang perjalanan ulang aliknya ke PPUM, bantuan susu dan lampin pakai buang. Anda baca luahan ini, rasai kepedihannya dan hulurkanlah sumbangan.
Saya tak pandai nak mula macam mana, nak bicara macam mana
Hanya luahan hati seorang ibu
Nur Syifa Zara permata hati Umi
Kaulah kekuatan Umi
Kalau lah semangat Umi
Siapa percaya anak Umi yang comel hidap penyakit Aplastik Anemia
Sejenis penyakit sumsum tulang tak berfungsi untuk menghasilkan darah sendiri.
Setiap kali si comel ini sakit atau lemah
Dia akan panggil Umi
“Umi tolong Zara Umi”
Tolong peluk Zara
Zara sakit”
Ya Allah sayu hati ini. Hiba perasaan. Dalam pelukan Zara akan tenang.
Tapi hati Umi tak tenang sayang. Tak kuat Umi rasa.
Tapi Umi kena kuat demi anak Umi.
4 tahun lepas Umi tak ada anak
Allah pertemukan kita
Dengan kasih sayang
Kau membesar betapa bahagianya saat itu
Dan saat bahagia bila
Allah hantar kan khabar yang Umi hamil
Ya Allah sekian lama menanti akhirnya tercapai jua
Tapi kegembiraan
Ini hanya seketika
Allahuakbar
Allah uji Umi
Dengan khabar sakit anak Umi boleh bawa maut
Ya Allah ujian apakah ini?
Baru doktor katakan Umi risiko hamil di usia 40
Dengan darah tinggi lagi
Ini pula Zara sakit tenat
3 nyawa di hujung tanduk
Zara sakit Aplistik Anemia
Sejenis sum sum tulang tak berfungsi
Seolah kilang darah dah tutup
Zara senang dijangkiti
Atau jatuh sakit. Zara tak ada darah putih
Badan Zara senang lebam senang berdarah
Dan darah yang susah untuk berhenti
Zara tak ada darah platelet
Yang paling Umi risau bila Zara jatuh. Paling takut pendarahan dalaman
Atau pendarahan otak
Ini yang paling Umi takut.
Umi akan pastikan Zara cek atau tambah darah setiap minggu.
Walau minggu ni Umi dah pecah tabung untuk tambang grab bawa anak Umi ke PPUM
Abah sakit minggu ni abah kena serang asma
Kita tak boleh naik motor, kena naik grab
Tapi Umi tak ada duit
Nasib Umi ada tabung duit syiling dapatlah buat tambang grab
Umi bersalin dengan selamat walau pun cesaer
Walau pun berpantang dekat wad menjaga Zara
Pantang Umi entah kemana
Adik pun ikut jaga kakak dekat wad
Masa di usia adik baru semingu adik dah tidur atas simen kat wad jaga kakak.
Saya tak kerja, saya kena jaga Zara sepenuh masa
Kami dapat bantuan dari Zakat 2017
RM3000 setahun zakat bayar ke hospital kos tambah darah
2018 kami tak dapat apa-apa bantuan dari Zakat
Dan kami dapat bantuan hospital PPUM untuk ringankan bil Zara
Kos ulang alik naik grab ke hosptl
Kos-kos yang terpaksa beli ubat kat farmasi luar
Itu kena cari sendiri
Dengan hanya suami yang bekerja kilang memang tak cukup
Itulah untuk rumah sewa
Untuk ubat pampers dan dan susu Zara
Kalau nak berjimat
Kami akan bangun pukul
4 pagi ke PPUM
Berasak dengan baby naik motor
Kemudian suami ke Shah alam sambung kerja
Kami tak ada kereta
Hanya motor itulah kaki kami
Umi tolak ke tepi malu Umi
Demi Zara, Umi minta bantuan
Dan sumbangan orang ramai untuk ringankan beban kami
Umi nak kerja nak menjahit
Tapi Umi tak ada mesin jahit
Masa susah kami jual semua barang yang mana boleh jual untuk menampung kos-kos rawatan.
Pada sesiapa yang ingin
Bagi bantuan ringankan beban kami
Salur kan bantuan anda ke akaun
Maybank : 512213319167 atas nama Mohamad Zamri Khalid (Ayah)
Maklumat lengkap
Boleh hubungi Umi Zara / FB : Nur sz No. Telefon : 0182775337
Siapa yang nak melawat kami pun boleh, di alamat : Lg29 saujana apartment jln PJU 10 1c Damansara Damai 47830, Selangor
Ketika Mingguan Wanita menghubungi Umi, menurutnya buat masa ini Zara doktor nasihatkan berulang alik dari rumahnya di Damansara Damai ke hospital PPUM.
“Buat masa ini doktor suruh kami ulang alik setiap 3 hari sekali. Sebab kat wad banyak kes batuk dan selesema. Tak baik untuk Zara. Sebab dia tak ada darah putih senang dijangkiti.”
Jadi, selang tiga hari dia akan ke hospital untuk urusan rawatan. Ibu ini akan mengambil grab jika masa rawatan yang singkat. Dan dibawa sekali anak kecilnya, Mohammad Zariff Rizqin, 9 bulan. Walau bermotosikal tetap si kecil ini tak ditinggalkan.
“Kalau time tengah bulan kami naik motor dengan baby sekali. Baby masih menyusu badan, Sekarang dah ajar susu botol.”
“Bila jarak ke seminggu sekali kami naik motor. Nak jimat untuk keperluan dia nanti. Ni sebab 3 hari sekali. Kesian dia penat.
“Alhamdulillah hari ini naik grab. Ada rezeki yang orang derma. Boleh lah bagi keselesaan buat Zara.”
Tambah ibu ini lagi, disebabkan penyakit anaknya itu ada banyak perkara yang perlu dipantangkan. Zara juga tak boleh ambil makanan yang ada bakteria baik. Keju tak boleh malah makanan kena betul-betul masak. “Haiwan apa pun dia tak boleh dekat, walaupun dengan kucing sebab alahan.”
Sememangnya tak mudah untuk menjaga Zara. Dalam keadaan suami yang sakit, ibu ini punya anak kecil. Umi tetap meneruskan kehidupan dan ujian tuhan dengan ketabahan.
“Saya terima takdir Allah dengan REDHA. Dia adalah semangat saya. Dia adalah kekuatan saya. Hanya dia. Demi dia. Semuanya untuk dia. Dia adalah kekuatan ku.” Inilah pegangan Umi yang membuatkan dia mahu terus berada di sisi Zara. Mengasihi anak kecil ini selagi hayat di kandung badan.
Akui Umi, Zara sangat petah berkata-kata. Dia anak yang sangat bijak. “Selalu minta nak pergi ke sekolah. Ada kawan-kawan. Macam Upin dan Ipin katanya.
“Tapi doktor tak beri Zara terdedah sangat. Kesian kat dia. Bila tak dapat nak tunaikan permintaan dia sedih rasanya. Hati ibu mana yang kuat, bila permintaan anak tak dapat nak tunaikan.”
“Kadang dekat wad dia minta macam permainan. Tengok budak sebelah main, dia pun nak juga. Umi terpaksa pujuk dengan bermacam helah. Sedih je bila anak minta belon harga RM4.50 pun tak dapat tunaikan.”
Setelah perkongsian ibu ini menjadi tular, ada di kalangan individu menghulurkan sumbangan. Begitu juga dengan Zakat Selangor daerah Petaling yang telah membuat kunjungan ke rumah Umi pada 5 Februari lalu.
“Saya baru nak hantar borang selepas mereka buat lawatan hari itu. InsyaAllah katanya lulus tahun ini.” ujar Umi ketika ditanya tentang bantuan zakat.
Pada tahun 2017, adik Syifa turut telah menerima bantuan perubatan daripada Zakat Selangor sebanyak RM3,000.
Seperti yang dimaklumkan oleh Lembaga Zakat Selangor, bantuan perubatan yang disalurkan kepada penerima adalah mengikut tempoh tertentu yang diluluskan. Oleh itu, pemohon perlu membuat permohonan baru jika tempoh penerimaan bantuan tersebut telah tamat.
“Zakat Selangor akan menyalurkan bantuan perubatan kepada keluarga Adik Syifa mengikut keperluan mereka.
“Semoga dengan bantuan zakat yang diterima kelak akan meringankan dugaan keluarga Adik Syifa. Zakat Selangor turut mendoakan Adik Nur Syifa sembuh segera,” maklum Zakat Selangor dalam updatenya di laman rasmi facebook Lembaga Zakat Selangor.
Memiliki bentuk pinggang ramping bak ‘kerengga’ memang menjadi idaman ramai wanita. Antara usaha yang boleh dilakukan untuk mendapatkan pinggang yang ramping ini ialah dengan memakai korset ketat dalam tempoh masa yang panjang.Meskipun terpaksa menanggung kesakitan, bagi golongan wanita yang obses untuk cantik ini sanggup melakukan apa sahaja hanya untuk kelihatan menawan dan mencapai impian yang didamkan.
Inilah yang dilakukan ibu beranak kembar tiga, Diana Ringo. 39 tahun dari Chula Vista, California yang sanggup memakai korset ketat selama 23 jam untuk mengecilkan pinggangnya, setelah dia merasakan diet dan senaman sahaja tidak memberikan hasil yang diingini.Diana hanya membuka korsetnya untuk mandi dan bersenam.Hasilnya, ibu kepada tiga anak itu kini mempunyai pinggang berukuran 18 inci berbanding 27 inci sebelum ini.
“Saya rasa amat seksi apabila memakai korset, sekaligus meningkatkan keyakinan diri saya.
“Malah saya selesa dengannya,” ujar Diana kepada Barcroft TV dalam rancangan Hooked on the Look.
Veteran Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) ini memaklumkan dia tidak menyukai bentuk badannya sebelum ini apatah lagi selepas melahirkan kembar tiga tahun lalu.Meskipun mengakui gemuk itu tidak salah, namun dia tidak menyukainya.
“Saya tidak gembira dengan badan saya sebelum ini kerana saya gemuk. Gemuk itu tidak salah tetapi bentuk badan saya tidak feminin.
“Bentuk badan saya jadi seperti lelaki dan saya tidak sukakan bentuk itu,” katanya.
Bekerja sebagai tukang masak tentera laut, Diana mempunyai koleksi lebih daripada 45 helai korset bernilai AS$1,955 (RM7,700) untuk membantu mengekalkan bentuk pinggangnya yang ramping.
“Saya terasa seperti tidak memakai baju dalam bila tidak memakai korset. Kerana sudah terbiasa, saya akan tetap memakainya.”
Dengan berat 60kg, Diana kini memakai pakaian bersaiz, 2 -4 dan mahu menonjolkan pinggangnya yang ramping walaupun mengakui ia nampak seperti satu kegilaan.
“Saiz pakaian saya adalah sekitar 2-4, tetapi saya perlu tonjolkan ukuran pinggang ramping yang saya ada walaupun kadang-kadang ia nampak seperti satu kegilaan,’ ujarnya lagi.
Suaminya, Brett, sangat prihatin dengan senaman pinggang Diana yang ketat namun tidak mahu isterinya mempunyai pinggang yang lebih kecil.
“Mula-mula saya bimbang dengan kesihatannya apabila pulang dari bertugas. Saya minta dia jumpa doktor,” kata Brett.
Doktor mengesahkan semuanya dalam keadaan baik dan Brett memikirkan isterinya itu masih relevan.Jelas seorang pegawai tentera laut itu, cukuplah dengan pinggang yang bersaiz 18 inci.
“Amalan itu telah meningkatkan keyakinan dirinya. Ini membuatkan dia bahagia. Isteri bahagia, hidup bahagia,’ tambahnya.
Walaupun Diana mendakwa tidak mengalami sebarang kesan atau komplikasi kesihatan yang buruk, apa yang dilakukannya dianggap bahaya oleh profesional perubatan kerana ia boleh menyebabkan kerosakan organ dan tulang belakang apabila diamalkan dalam jangka waktu yang lama.Pengamal juga berdepan risiko masalah pencernaan yang disebabkan oleh sekatan ke abdomen, masalah rahim, terutamanya jika dipakai semasa kehamilan dan membawa kepada sakit belakang.
Diana bukan satu-satunya yang sanggup memakai korset setiap masa untuk mengekalkan bentuk badan yang diidamkan.Pada tahun 2015, seorang model Venezuela Aleira Avendano,25 juga memakai korset selama 23 jam untuk tempoh 6 tahun bagi memiliki pinggang 19 inci.
Macam-macam hal, segalanya demi kepuasan diri nak nampak cantik meskipun badan terseksa dan sanggup merana menahan kesakitan. Buat wanita yang lain, tepuk dada tanya diri sendiri, sanggup ke nak cantik cara begini?
Meskipun selepas mati, kanak-kanak lelaki berusia dua tahun masih berjasa kepada dua individu apabila mak dan ayahnya memutuskan mendermakan kornea anak mereka yang maut akibat kemalangan jalan raya itu.Nilai murni dan pengorbanan yang pasangan ini lakukan sanggup mendermakan mata anak kesayangan pada yang lebih memerlukan wajar dipuji.Ia bukan perkara yang mudah.
Menurut laporan Chengdu Economic Daily, kejadian yang berlaku di Beijing ini, kanak-kanak itu, Liu Ying, meninggal dunia Selasa lalu di Suining, wilayah Sichuan, 20 bulan selepas menderita kerosakan otak dan kecederaan serius lain akibat kemalangan motosikal.
Liu membonceng motosikal bersama ibu dan bapanya apabila mereka dilanggar sebuah lori. Doktor juga terpaksa memotong kaki kirinya.
Selepas pembedahan terbaru yang mengambil masa sehari pada 1 Februari lalu, pakar bedah memaklumkan ibu bapa Liu bahawa anak mereka mungkin tidak dapat bertahan.
“Sekurang-kurangnya penerima kornea itu boleh menikmati hidup dengan melihat dunia menerusi mata anak kami,” kata ibu Liu.
Pakar bedah dan jururawat bertugas sebak dengan pengorbanan ibu bapa kanak-kanak itu serta memberi penghormatan kepada Liu sebelum memulakan pembedahan mengeluarkan korneanya untuk dipindahkan kepada dua pesakit.
Pakar mata di hospital tempat Liu dirawat, Li Heng berkata:
“Pembedahan memindahkan kornea itu berjaya. Penerima kini semakin pulih daripada pembedahan.”
Ibu bapa Liu yang identitinya tidak dikenali menderita separuh lumpuh akibat kemalangan itu, memaksa mereka berhenti kerja dan meminjam 1,000 yuan (RM629) daripada rakan untuk membayar kos hospital.
Kakitangan hospital yang bersimpati dengan nasib pasangan itu mengumpul dana lebih 30,000 yuan (RM19,000) untuk didermakan kepada mereka.
“Belas kasihan dan kejujuran yang ditunjukkan pasangan itu membuatkan kami terharu,” kata pengarah pusat pediatrik hospital berkenaan.
Pergolakan rumah tangga adik kepada pelakon wanita, Syida Melvin kembali menjadi perhatian ramai. Difahamkan, wanita itu telah memfailkan penceraian pada Disember 2025 dan prosiding mahkamah masih berjalan sehingga kini.