Lengkapkan Dokumen Tuntut Harta Tu SUSAH, Adik Beradik Ipar Wanita Ini Buktikan MUDAH

Selepas suami meninggal, urusan pembahagian harta perlu isteri selesaikan sendiri. Prosesnya tak mudah, melibatkan banyak pihak termasuk ibu bapa malah adik-beradik ipar. Ada yang sampai bertahun pun belum selesai.

Peguam syariah ini, Roslina Sabiyah & Co. berdepan dengan satu kes unik.

Melibatkan seorang wanita yang baru kematian suaminya. Ketika dia memfailkan tuntutan harta sepencarian inilah peguam ini melihat keajaiban berlaku depan mata.

 

Lengkapkan Dokumen Tuntut Harta Tu SUSAH, Adik Beradik Ipar Wanita Ini Buktikan MUDAH

Isteri Kematian Suami Tuntut Harta Sepencarian

Ingin saya kongsikan satu kisah yang indah. Tentang harta pusaka dan hubungkaitnya dengan isu kekeluargaan, kasih sayang dan persaudaraan.

Wajahnya jernih, tenang dan sentiasa menguntum senyum. Tak sangka pun sebenarnya beliau baru sahaja kematian suami beberapa bulan yang lalu. Arwah suami meninggalkan harta sebuah rumah yang berdaftar atas nama arwah seorang. Mereka tidak dikurniakan zuriat dan tambahan lagi arwah suami juga mempunyai 11 orang adik-beradik sebagai waris faraid..

Sangkaan pertama saya, tentu makcik ini menghadapi masalah untuk menuntut hak ke atas rumah tersebut. Bahagiannya sebagai isteri hanya 1/4. Kalau nak dapatkan bahagian yang lebih, makcik ini perlu memfailkan permohonan harta sepencarian di Mahkamah Syariah terlebih dahulu.

Ia tentulah memakan masa dan melibatkan kos pula. Sedang saya mencongak-congak cadangan penyelesaian untuk makcik ini tiba-tiba dia bersuara..

IKLAN

Puan.. adik-beradik arwah semua dah setuju nak lepaskan bahagian faraid mereka ke atas rumah tu kepada saya. Seterusnya apa yang saya perlu buat Puan?”

Allah.. takkan semudah itu? 11 orang maksudnya 11 kepala dan 11 ragam. Sedangkan yang hanya 2 beradik pun boleh bergaduh dan tak sepakat apatah lagi yang 11 orang ini?

Saya pun terangkan prosedur jika nak lepaskan hak, mereka semua perlu tandatangan Borang Persetujuan (DDA) untuk melepaskan hak. Tapi sebelum peguam boleh sediakan dokumen itu, peguam perlu dapatkan maklumat mereka semua seperti salinan kad pengenalan, salinan surat beranak dan alamat terkini.

 

Lengkapkan Dokumen Tuntut Harta Tu SUSAH, Adik Beradik Ipar Wanita Ini Buktikan MUDAH

IKLAN

Walau Dalam Bank Tak Ada Baki, Arwah Tak Lokek Dengan Adik-Beradik

Maka bermulalah satu situasi yang sangat indah tapi tak mampu saya nak rakam atau ungkapkan. Di depan saya juga makcik tu terus menghubungi seorang demi seorang adik-beradik arwah untuk mendapatkan maklumat awal seperti nama penuh, ic dan alamat bagi saya menyediakan dokumen.

Bicaranya tersusun dan sopan. Diterangkan satu-persatu untuk urusan apa, minta izin untuk dapatkan maklumat, ucap terima kasih berkali-kali dan hasilnya.. semua maklumat diberi dengan sukarela dan mudah!

Untuk makluman semua, dalam urusan harta pusaka, proses pengumpulan dokumen adalah proses yang kritikal sekali. Tapi dalam kes makcik ni, nampak sangat urusannya begitu mudah dan lancar.

Tentu arwah seorang yang istimewa, bisik hati saya. Saya pun bertanya untuk mengorek rahsia..

Makcik.. arwah meninggal sakit apa? Mudahnya adik-beradik arwah nak bagi kerjasama.. arwah mesti baik dengan semua adik-beradik kan?” saya berbasa-basi.. meluap rasa ingin tahu.

IKLAN

Ya Puan.. arwah meninggal sebab sakit kanser. Arwah memang baik dengan semua adik-beradiknya. Kami tak ada anak. Jadi arwah anggap semua anak-anak saudaranya macam anak arwah sendiri.

Kalau adik-beradik buat kerja kahwin anak mereka, arwahlah yang sukarela banyak membantu. Walaupun akaun dalam bank arwah sendiri kadang-kadang tak ada baki, tapi arwah memang tak lokek dengan adik-beradiknya.”

Masa arwah terlantar sakit.. tak putus-putus semua ahli keluarga datang ziarah. Anak-anak saudara pun rapat dengan arwah. Saya terkilan sebab tak dapat habiskan masa menunggu arwah sebab terlalu penat melayan ahli keluarga yang tak putus datang ziarah..”

Isteri Arwah Pun Jaga Hubungan Baik Dengan Ipar Duai Dan Mentua

Allahu.. patutlah urusan arwah sangat mudah. Rupanya arwah seorang yang sangat menjaga hubungan baik dengan adik-beradik dan disenangi semua ahli keluarganya. Bukan arwah sahaja yang baik, makcik ini juga baik dengan ipar-duai dan keluarga mertuanya. Sebab itu mereka juga mengekalkan hubungan yang baik dengan isteri arwah..

Puan borang-borang tu nanti kalau dah siap biar makcik yang hantar sendiri ye. Sebab makcik nak ambil sendiri salinan dokumen yang puan perlukan jadi tak perlu susahkan mereka nak pos atau hantar sendiri. Lagipun adik-beradik arwah ada yang tak sihat jadi makcik nak pergi ziarah mereka sekali

Allahu makcik.. it’s really something to ponder.. bagaimana pula hubungan kita dengan adik-beradik kita? Ipar duai dan saudara mara kita?

Semoga kita semua dapat pengajaran daripada kisah yang saya kongsikan ini. Betapa isu utama bukanlah berpunca dari harta pusaka ataupun faraid tetapi nilai pusaka itu sendiri yang semakin hilang iaitu persaudaraan, kemanusiaan dan kasih sayang!

Sumber/Foto : Roslina Sabiyah & Co.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI