Lelaki ini, Prof. Madya Dr. Midhat Nabil berkongsi keputusan peperiksaan PMR (PT3) yang pernah diperoleh ketika zaman persekolahannya. Tidak cemerlang seperti yang mak ayah harapkan, namun akhirnya dia tetap berjaya membawa pulang kejayaan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) untuk mak ayahnya.
Mereka Yang Tak Cemerlang PMR (PT3), Usah Bersedih
PMR (PT3) saya hanya mendapat 2A sahaja, tetapi Alhamdullilah akhirnya dapat menggenggam PhD.
Salam, pertama sekali tahniah saya ucapkan kepada mereka yang telah mendapat keputusan yang cemerlang untuk PT3 semalam (ketika status dimuatnaik). Syabas buat diri anda. Saya pasti ibu bapa anda juga gembira dengan kejayaan tersebut.
Ads
Bagi mereka yang tidak mendapat keputusan yang cemerlang, usahlah bersedih. Perjalanan anda sebenarnya masih jauh lagi. Jadikanlah kegagalan ini sebagai pemangkin untuk kejayaan-kejayaan yang akan datang.
Pengalaman saya sendiri dahulu bagi PMR (PT3), saya hanya mendapat 2A sahaja, iaitu untuk subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Subjek Sains saya mendapat B. Manakala untuk subjek Matematik pula, saya mendapat C.
Terus terang saya katakan yang ketika itu saya betul-betul malas untuk belajar sebelum menduduki peperiksaan PMR. Ibu bapa saya berasa sungguh kecewa dengan keputusan PMR saya, kerana mereka telah memberikan yang terbaik di pihak mereka untuk melihat saya berjaya.
Ads
Ini termasuklah membeli buku-buku latihan tambahan, menghantar saya ke kursus-kursus motivasi dan juga menghantar saya ke pusat tuisyen.
Mak Ayah, Teruslah Beri Galakan Untuk Anak
Tetapi sepanjang menempuh perjalanan-perjalanan akademik yang seterusnya, saya bangkit semula dan belajar dari kesilapan yang lalu. Sehinggalah akhirnya saya berjaya untuk menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Kimia dari sebuah universiti di United Kingdom (UK) dengan mendapat biasiswa penuh daripada kerajaan Malaysia.
Ads
Kepada ibu bapa yang anak mereka tidak mendapat keputusan yang cemerlang untuk PT3, usahlah bersedih, kerana perjalanan mereka masih jauh lagi. Teruskanlah memberi galakkan dan sokongan kepada mereka. Setiap orang sesungguhnya mempunyai potensi diri yang berbeza.
Jika tidak berjaya pada hari ini, Insya-Allah akan berjaya di kemudian hari. Kepada para pelajar yang bersedih pula dengan keputusan PT3 anda, bangkitlah semula untuk peperiksaan-peperiksaan berikutnya.
Buktikanlah bahawa anda juga sebenarnya boleh menggembirakan hati ibu bapa anda.
Ingatlah pesanan saya sekali lagi, “Gagal sekali, bukan bererti gagal selamanya”.
YAKIN BOLEH!!! Insya-Allah.
Sumber/Foto : Midhat Nabil, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bioproses, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Dalam perkahwinan, setia memang sangat penting. Namun, bagaimana jika suami atau isteri itu setia 'membuta tuli' hingga akhirnya membawa keburukan pada diri sendiri di kemudian hari?
Tahun 2020, genap 22 tahun saya berkecimpung dalam kerjaya sebagai Perunding Kekeluargaan, Perkahwinan Dan Guaman Syarie. Sepanjang tahun 2019 yang baru berlalu, ada dua kes yang betul-betul mencabar rasa sabar saya – ada rasa nak goncangkan badan klien agar sedarlah diri dan sayangkanlah diri sendiri lebih daripada sayangkan suami.
Isteri Tanggung Semua
Kenapa? Dalam kedua-dua kes tersebut, satu kes dengan usia perkahwinan 23 tahun dan satu kes lagi, usia perkahwinan 35 tahun, dah ada menantu dan cucu pun.
Persamaan kedua kes ialah kedua-dua suami dalam kes tersebut tidak bekerja sejak daripada awal perkahwinan dan segala pembiayaan keperluan rumah tangga, isteri dan anak-anak termasuklah keperluan si suami, ditanggung oleh si isteri yang berusaha menjalankan perniagaan bermula dengan kecil-kecilan hingga mampu mengumpul pelbagai harta – rumah, kereta dan tanah.
Ironiknya pula dalam kedua-dua kes tersebut juga, semua harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan tersebut adalah atas nama suami. Alasan diberikan oleh kedua-dua isteri – "saya ikhlas sayangkan suami…"
Membabi Buta
Saya tak pasti luahan rasa anda para pembaca, tapi yang jadikan saya beremosi – bukan sedih tapi marah dan geram – ialah kerana kesetiaan si isteri yang membuta tuli!
Betullah! Isteri perlu taat kepada suami. Secara mudah maksud taat ialah setia kepada si suami. Sabda Rasulullah s.a.w: "Sekiranya aku boleh menyuruh seseorang supaya sujud kepada orang lain tentu sekali aku akan menyuruh isteri sujud kepada suaminya." – hadis riwayat Abu Daud dan al-Hakim.
Hadis ini menjadi satu bukti betapa isteri perlu taat dan setia kepada si suami. Namun, ada pengecualiannya. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Tidak boleh mentaati mahluk dalam perkara menderhaka kepada Allah SWT." – hadis riwayat Ahmad.
Tapi dalam kes tadi, tak ada pula suami menderhaka kepada Allah SWT. Mungkin itu antara yang difikirkan oleh pembaca, betul tak? Siapa kata tak ada?
Abai Tanggungjawab
Merujuk semula kes tadi, si suami telah mengabaikan tanggungjawab yang perlu dan wajar dilaksanakannya buat isteri dan anak-anak antaranya menyediakan keperluan makan minum yang sempurna dan menyediakan tempat tinggal yang sempurna. Bermaksud si suami telah menderhaka kepada Allah kerana sengaja cuai dan gagal melaksanakan hak isteri dan anak-anak. Dalam keadaan ini, si isteri tidak perlu lagi taat. Tak perlu lagi setia malah wajib berjuang bagi mendapatkan haknya dan anak-anak.
Mungkin pembaca terfikir, kalau dah ikhlas, kenapa pula kedua-dua isteri tersebut bertemu dengan saya? Sebab kedua-dua suami yang ditatang bagai minyak yang penuh itu telah berkahwin lagi di sempadan dan sedang berseronok menghabiskan harta diusahakan oleh si isteri yang kononnya setia tadi.
"Tahu tak kenapa Allah izinkan suami akak kawin lagi? Akak fikirlah…kalau lah suami akak tak kawin lagi, akak takkan rasa pun suami akak tu tak bertanggungjawab…akak rasa suami akak baik je…akak pun tak de rasa dia tu sebenarnya sedang aniaya akak…". Jawapan sama buat kedua-dua wanita yang hanya mampu tersenyum kelat.
Islam tentukan suami bertanggungjawab berusaha bagi menjaga kebajikan isteri dan anak-anak termasuk membiayai segala keperluan isteri dan anak-anak. Tatkala tanggungjawab tersebut dibiarkan sepi dan isteri pula dengan gagah berusaha mengambil alih tanggungjawab tersebut atas alasan sayang dan setia, suami tidak lagi merasakan susah dengan perkahwinan malah rasa seronok dan teruja sebab hidupnya lebih senang. Sebab tu juga si suami berusaha menambah cawangan, kalau-kalau boleh tambahkan lagi kesenangan.
Janji Pada Allah
Pesan saya buat para isteri; kalau betul sayangkan suami, pastikan suami melaksanakan tanggungjawabnya yang perlu sebab suami bukan saja memegang janji dengan anda sebaliknya berjanji dengan Allah menerusi akad ijab dan qabul tika nikah dulu.
Jika suami gagal taati Allah dan Rasul-Nya, apa jaminan dia akan menjadi suami anda yang baik? Usahakan agar suami laksana tanggungjawab seperti saranan syariat, insya-Allah, biar hidup cukup-cukup makan tetapi bahagia anda akan berpanjangan dan kekal dalam keharmonian.
Usah jadi lilin yang membakar diri menerangi orang lain. Relevankan setia anda seperti lampu kalimantang yang hanya akan berfungsi menerangi ruang anda jika anda setia membayar bil TNB anda!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Solat merupakan satu kewajipan dan tiang agama. Penting buat mak ayah didik dan biasakan anak-anak untuk mendirikan solat sejak dari kecil lagi. Sebenarnya anak doa yang mak ayah boleh amalkan agar anak-anak boleh solat tanpa perlu disuruh, dibebel mahupun dipukul terlebih dahulu.
MACAM MANA NAK BUAT ANAK ANDA SOLAT TANPA PERLU DISURUH, DIBEBEL DAN DIPUKUL
Kisah daripada seseorang yg mpunyai anak perempuan..anak saya umur 13 tahun dan sangat ‘liat’ nak solat.Satu hari, terlintas di hati nak pantau anak saya solat. Boleh dia hampar sejadah atas lantai je.. tapi tak solat.Bila saya tanya dah solat ke belum, katanya ‘dah’.Saya rasa sangat marah dah la tak solat, menipu pulak.
Disebabkan perasaan marah, saya pukul anak saya. Maasyaa Allah, saya tahu saya dah buat silap.Saya menangis dan saya mohon ampun pada Allah.Saya dah pukul anak saya, saya dah bebel-bebel, saya dah bagi warning tapi anak saya tetap tak berubah dan susah dan liat nak solat.
Pada suatu hari,ada kawan bagitau saya satu cerita.Dia ada pergi ke rumah salah seorang kawan lamanya.Kawannya tu tak la kuat agama sangat,tapi bila azan berkumandang, anak-anaknya terus bergegas bangun untuk solat.Tak perlu disuruh.
Kawan saya ni tanya la macam mana nak buat anak-anaknya solat tanpa perlu disuruh..Beliau berkata,
“Sebelum saya berkahwin saya baca doa ni dan saya masih amalkan sampai sekarang”
Sejak dari hari tu, saya tak putus-putus baca doa ni.Saya baca dalam sujud..setiap kali solat dan bila-bila je doa, doa dan doa.
Alhamdulillah, sejak mengamalkan doa ni, anak perempuan saya yang dulu liat solat dah mula berubah. Solat tak perlu disuruh dah solat Subuh pun boleh bangun sendiri, tak payah saya kejutkan.
Dan Alhamdulillah, adik beradik yang lain pun semuanya ikut kakak dioarang. Solat tanpa perlu disuruh.Doanya adalah dalam Surah Ibrahim ayat 40.
Dan Doa adalah
“Rabbij ‘al nii muqiimas solaati, wa min zurriyyatii, rabbanaa wataqobbal Du’aa’
[14:40] “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku.Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku”
InsyaAllah… Jom Amal….semoga anak-anak kita semua rajin mendirikan solat bersama Aamiinn.
MW: Semoga perkongsian ni bermanfaat.Jadi buat mak ayah boleh amalkan doa dalam Surah Ibrahim ayat 40 ini. Semoga kita dan anak-anak kita sentiasa menjaga dan mendirikan solat.
Ketika dilanda konflik rumah tangga kronik dengan isteri yang sedang hamil, wahai suami.. ingatlah bahawa hormon isteri anda ketika itu tidaklah stabil. Amatlah peritnya jika suami cerai isteri dalam keadaan isterinya hamil.
Kerana itu, anda sebagai ketua keluarga seharusnya bertindak wajar, lebih bijak dan perhalusi semula niat untuk melepaskannya. Biarpun, hukumnya harus lafaz cerai yang dilepaskan pada isteri mengandung dan jatuh talaknya, namun dimanakah kewajaran bagi seorang suami.
Apatah lagi, ketika itu isteri sedang mengandungkan zuriat suami dan terpaksa berdepan keletihan malah tekanan perasaan lagi-lagi melibatkan bayi dalam kandungannya.
Lelaki ini, BroOhsem, Akhtar Syamir berkongsi gambaran benar yang isteri hamil lalui. Sungguh prosesnya tak mudah, malah memeritkan.
Cerai isteri ketika hamil. Ini adalah satu perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab yang boleh dilakukan oleh seorang lelaki.
Apa bezanya waktu lain dan semasa hamil? Kalau anda tak nampak perbezaan ini, maknanya hati dan mata anda sebenarnya telah buta. Sama ada buta ditusuk cinta dan sayang orang yang baru atau sememangnya dilahirkan tidak mengambil berat mengenai isteri.
Proses kehamilan itu bukan sekadar hamil sahaja. Ianya bermula dengan sebelum terjadinya hamil itu. Sebelum hamil itu berdua. Kalau seorang sahaja memang tak jadi. Jadi, selalunya di tahap ini, indah dan seronok.
Kemudian tibalah tahap di mana isteri itu disahkan hamil. Segala hormon di dalam badan isteri berkecamuk umpama kapal yang sedang terbalik. Percayalah pada ketika ini, isteri sangat memerlukan suami.
Makan itu tak boleh, bau ini nak muntah. Kepala sentiasa pening, mood selalu tidak baik. Apabila makan pun tidak terurus, tenaga pun akan berkurangan ditambah pula dengan muntah yang berlarutan.
Di sini datangnya keperluan seorang suami untuk membantu isteri menjalani kehidupan yang normal dengan keadaan sebegitu. Isteri sangat memerlukan sokongan moral kerana pada masa inilah jiwanya terganggu.
Dari segi fizikal pula, si isteri yang mengalami alahan yang teruk tidak akan cukup nutrisi dan zat di dalam badan. Ini kerana isteri tidak berhenti muntah sehingga tidak terkira berapa kali sehari. Suamilah yang patut bantu masak atau menyediakan makanan.
Dari segi pakaian, dari segi kebersihan juga perlu dibantu. Ada kalanya nak bangun dari katil pun satu perkara yang sukar untuk dilakukan seorang diri. Inikan pula mandi. Suami yang prihatin, pasti akan mandikan isterinya.
Kehamilan tidak dapat lari dari kunjungan ke klinik kesihatan. Nampak seperti satu perkara yang mudah. Pergi klinik dan jumpa Doktor. Apa yang susahnya? Jika anda berfikiran sebegini, malanglah isteri anda.
Ini kerana proses pemeriksaan di klinik kesihatan adalah antara perkara yang paling menyusahkan dan memenatkan wanita yang sedang hamil. Dari masa pergi, daftar, menunggu, menunggu dan menunggu hinggalah akhirnya semua proses itu selesai berjam-jam selepas itu.
Itu belum campur jika ada keperluan lain seperti buat BSP yang pastinya memberi lebih tekanan kepada bakal ibu. Tanpa suami, terkontang-kantinglah isteri seorang diri menguruskan semuanya. Jika ada anak kecil pula, pastinya lebih teruk.
Proses menunggu waktu bersalin juga adalah fasa yang memenatkan. Jika tidak sakit, hati pasti akan sentiasa risau dan gundah gulana. Ada pula yang sentiasa rasa sakit tetapi badan tidak bersedia. Pada waktu ini, suamilah yang menjadi tempat mengadu dan menenangkan jiwa. Risau, takut dan ada yang kecewa kerana lebih dari tarikh yang sepatutnya sangat memberi tekanan.
Apabila sudah masuk di dalam dewan bersalin. Isteri akan ditinggalkan keseorangan memikir seribu persoalan di dalam kepala. Adakah semuanya akan selamat?
Bagaimanakah anak aku nanti? Pada waktu itu, sangat penting bakal ibu ditenangkan oleh suami.
Saya sendiri luka di tangan akibat digenggam dengan kuat oleh isteri. Biar dia luka, biar saya sakit. Saya tahu itu hanya secebis sahaja kesakitan yang isteri sedang alami.
Saat meneran juga antara saat yang terpenting dalam proses kelahiran. Nyawa isteri berada di hujung tanduk. Kekuatan bukan datang dari diri sendiri lagi kerana semuanya telah habis digunakan.
Kesakitan yang dialami tiada tolok bandingnya. Jika semua suami boleh merasai kesakitan itu, saya jamin tidak akan ada yang tergamak melayan isteri dengan buruk. Cuba bayangkan anda digunting dan dijahit tanpa bius. Bayangkanlah.
Selesai bersalin, masa pemulihan pun bermula. Jahitan akibat digunting perlu ambil masa untuk pulih. Si ibu akan sibuk menguruskan bayi. Jalannya tidak teratur. Langkahnya singkat. Perlu sentiasa berhati-hati kerana jika kesannya amat buruk jika tersilap langkah.
Jika ada anak lain pula yang perlu diuruskan, sememangnya satu tugas yang perit. Mungkin ada yang boleh buat semuanya, tetapi ramai yang benar-benar tidak mampu. Mana nak jaga diri, mana nak jaga anak lagi.
Faktor gangguan emosi juga sering terjadi selepas bersalin. Terlalu banyak kes depresi yang terjadi. Ada yang terlalu teruk sehingga timbul perasaan untuk mencederakan anak. Allahuakbar. Jika tiada peneman, tiada yang menenangkan, akibatnya amatlah buruk.
Begitulah serba sedikit perjalanan dari awal sehingga selepas hamil. Ini hanya sedikit gambaran kasar. Hanya yang melaluinya sahaja tahu betapa sukarnya mengandung dan melahirkan anak.
Manusia biasa pasti tidak tergamak membiarkan isteri melalui semua itu seorang diri. Manusia yang berakal akan cuba membantu sebaik mungkin untuk memudahkan segala urusannya. Perlu ingat, mereka jadi seperti ini disebabkan suami juga. Jadi, bertanggungjawablah atas perbuatan itu.
Inilah sebabnya kenapa saya kata, lelaki yang menceraikan isterinya semasa hamil adalah lelaki yang sangat tidak bertanggungjawab. Tidak kiralah anda siapa. Anda seorang yang kejam.
Tidak kira perpisahan itu atas sebab apa. Sebagai seorang suami yang bersama-sama semasa proses bermulanya kehamilan, ianya perlu diteruskan sehingga selesai kesemua proses itu. Bukan ditinggalkan begitu sahaja.
Semoga kita dijauhkan dari keadaan seperti ini. Hargailah isteri anda. Tiada siapa yang boleh melahirkan zuriat sendiri selain isteri. Jadilah manusia yang bertanggungjawab.
Kongsikan penulisan ini buat pedoman semua. Ini bukan soal menyibuk hal rumah tangga orang lain. Ini soal memberi kesedaran. Jika tiada siapa yang beritahu, tidak semua akan faham apa yang isteri lalui.
MW : Jangan ingat wanita hamil ini semua kuat, mungkin hatinya kata kuat. Tapi siapa tahu apa yang ‘baby’ dalam perut itu sedang alami. Fikirlah sedalamnya sebelum buat keputusan mahu cerai isteri semasa hamil.
Sumber/Foto : Akhtar Syamir, yang selalu menulis mengenai hubungan suami isteri, kekeluargaan dan isu semasa.