Tidak pernah terlintas di benak fikiran gadis muda yang dahulunya menggunakan nama asal, Ester Michelle anak Peter Alli, 24 tahun, untuk menukar agama kepada agama fitrah iaitu Islam. Dia yang dijaga oleh neneknya suatu masa dahulu di Serian, Sarawak merupakan gadis berketurunan Bidayuh yang menganut agama Kristian.
Pindah ke Semenanjung
Ketika umurnya sembilan tahun, gadis ini bersama adiknya dibawa ke Kuala Lumpur untuk menetap bersama ibunya.
“Saya mengenali Islam dan banyak bercampur dengan orang Melayu setelah saya berpindah ke Kuala Lumpur. Ketika di sekolah khususnya, saya mula bergaul dengan orang Islam. Suatu hari, semasa kali pertukaran pelajaran antara Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam, saya masuk dalam kelas yang mengajar Pendidikan Islam secara sorok-sorok. Dari situ saya mendengar kisah-kisah para Nabi dan Allah dan ia sangat menarik hati saya untuk terus ketahui lebih banyak lagi.
“ Dari situ juga saya tahu tentang penciptaan manusia. Sejak kecil lagi, saya memang pernah terfikir tentang penciptaan manusia. Bagaimana terjadinya manusia di muka bumi ini? Tetapi setelah ustazah dalam kelas tersebut bercerita tentang nabi-nabi, saya masih merasa semua itu hanyalah cerita rekaan semata-mata untuk dijadikan pelajaran dan pengajaran kerana saya menganggap cerita seperti itu macam cerita dongeng yang ada ditayangkan di televisyen dan cerita kartun yang penuh dengan fantasi.
“Ketika saya di kampung, saya tidak pernah dengar kisah nabi dan Allah. Saya hanya mengenali Jesus Christ dan itulah tuhan yang saya selalu tengok di gereja. Biasalah, kita hanya percaya dengan apa yang kita nampak. Sedangkan Allah dan nabi yang ustazah cerita itu semuanya kita tak pernah nampak dalam mana-mana buku,” ujar gadis yang kini sudah menukar namanya kepada Nur Aisyah Maisara, selepas mengucapkan syahadah pada usianya 19 tahun.
Ibu peluk Islam dulu
Hidayah pertama kali menjengah keluarga Maisara ketika usianya 13 tahun, yang mana ketika itu ibunya telah memeluk agama Islam terlebih dahulu. Namun ibu Aisyah sedikit pun tidak memaksa anak-anaknya untuk turut serta sebaliknya menerapkan ajaran agama Islam secara tidak langsung di dalam kehidupan keluarganya itu.
Ads
“Semasa umur saya 13 tahun, ibu saya telah memeluk Islam. Saya dan adik tidak ikut ibu kerana bimbang akan dimarahi oleh nenek. Walaupun ibu telah bertukar agama tetapi kami sekeluarga tidak sedikit pun merasa pelik atau rasa berbeza. Masing-masing boleh menerima keadaan tersebut.
“Sekali sekala saya akan baca atau ibu akan berkongsi tentang buku agama yang telah dibaca. Banyak pengajaran yang saya dapat. Ibu tidak pernah bertanya secara terus terang kepada kami adik-beradik, adakah kami mahu ikut agama dia atau tidak kerana ibu mahu kami menilai sendiri dengan mata hati kami. Ibu juga banyak mempraktikkan cara-cara Islam mendidik anak-anak tanpa kami sedari. Ibu banyak mengajar kami tentang akhlak dalam Islam.
“Walaupun Islam itu sudah berada dalam rumah kami, tetapi ketika itu hati saya tidak merasa mahu bertukar agama kerana bagi Islam itu banyak aturannya dan saya tidak mahu bertukar agama kerana manusia. Biarlah saya melakukannya benar-benar dari hati.
Sambung Pelajaran
“Ketika saya berumur 19 tahun, saya menyambung pelajaran saya di tingkatan 6 SMK Taman Melawati. Menjadi pelajar tingkatan 6 yang bakal menduduki STPM bukanlah suatu yang mudah. Tambahan lagi saya merasa rendah diri kerana kawan-kawan saya yang lain semuanya dapat menyambung pelajarannya terus ke universiti.
Ads
“ Suatu hari, saya benar-benar dalam keadaan yang sangat tertekan dan sedih kerana saya rasa susahnya menjadi pelajar tingkatan 6. Saya bimbang tidak dapat menggembirakan hati ibu kerana saya adalah anak sulung dan saya perlu berjaya dalam hidup. Semasa saya sedang memikirkan perancangan saya untuk berjaya, tiba-tiba azan asar disiarkan di TV3. Saya merenung ke arah kotak televisyen tersebut dan mendengar azan serta menghayati maksud-maksudnya yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Saya tertarik dengan satu baris azan yang bermaksud, “marilah solat menuju kejayaan”. Dari situ saya terfikir, betul ke macam itu caranya jika nak berjaya? Solat? Okaylah aku kena cuba cara tu kalau nak berjaya. Mesti solat. Tapi kena masuk Islam, kena belajar Islam.
“Saya buntu apa yang perlu saya buat. Tetapi hati saya tetap mahu juga buat solat itu kerana bait-bait azan dan maksudnya itu terngiang-ngiang di fikiran saya. Lalu saya menceritakan niat saya untuk masuk Islam kepada ibu. Kebetulan ketika itu ibu mahu ke Terengganu. Jadi saya ikut ibu dan Alhamdulillahlah prosesnya berjalan lancar. Saya mengucapkan kalimah Syahadah pada tarikh lahir saya iaitu 2 Januari. Balik sahaja dari pejabat agama Kuala Terengganu itu, ibu ajar saya mandi wajib, ambil wuduk dan solat. Ibulah yang banyak membantu saya untuk menghafal bacaan-bacaan dalam solat dan cara solat. Hati saya rasa lapang tetapi saya masih berfikir tentang kehidupan yang saya perlu jalani. Hati kecil saya kata, saya mesti mencari sesuatu yang saya perlu dalam hidup,”cerita Maisara bagaimana dirinya mula tertarik dengan agama Islam.
Kehidupan berbeza
Sudah hampir lima tahun Maisara menjadi seorang Muslimah, kehidupannya kini lebih teratur dan punya garis panduan. Baginya banyak perbezaan yang dapat dilihat daripada kehidupan dahulu dan sekarang.
“Kini sudah lima tahun saya hidup sebagai orang Islam, saya merasa ada garis panduan dalam kehidupan. Saya sangat bersyukur. Apabila saya sedih, kini saya tahu saya perlu mencari siapa, mencari Allah dalam solat dan memohon kepada-Nya. Di situ saya dapat ketenangan.
Ads
“Banyak sangat perbezaan kehidupan sebagai muslimah dan kehidupan lama saya. Kalau kini, saya sudah tahu betapa berharganya maruah seorang wanita muslimah. Islam benar-benar menjaga hak-hak wanita. Dari segi akhlak mereka, harta mereka, dan keperibadian mereka. Kini penampilan saya lebih terjaga berbanding dulu. Peluang berada di Pusat Bimbingan dan Latihan Saudara Baru (PUSBA), telah mentarbiahkan penampilan saya dan pemikiran saya. Dulu setelah mengucap kalimah syahadah, saya menutup aurat tetapi bukan menutup dengan cara yang betul, lebih kepada membungkus diri iaitu pakai tudung tetapi baju dan seluar nampak bentuk badan. Ketika itu saya rasa itulah cara tutup aurat.
“ Tapi setelah belajar, barulah saya faham pengertian menutup aurat yang betul dan mengikut syariat. Itulah perbezaan ada ilmu dan tanpa ilmu. Menutup aurat juga bukan lah dari segi penampilan luaran sahaja tetapi begitu juga dengan akhlak kita. Ustaz Ramli selalu berpesan, wanita mesti ada rasa malu. Malu itu merupakan perhiasan wanita. Malu itulah yang menjaga diri wanita daripada diganggu. Betapa besarnya kesan Islam pada diri saya kini,” tambah Maisara.
Maisara bersama rakan-rakan saudara baru
Syukur dengan kehidupan kini
Mengakui dirinya sangat bersyukur dengan kehidupan yang dijalani pada hari ini, pelajaran awal tentang Islam adalah melalui ibunya dan juga bimbingan yang diperoleh di PUSBA. Selain itu, menyertai kelas dakwah secara berterusan banyak membantu diri gadis ini untuk terus mendalami Islam dengan lebih baik.
“ Saya sangat bersyukur dengan kehidupan sekarang. Sedikit demi sedikit Allah memberikan kebaikan kepada kehidupan saya. Jika dulu saya sangat kecewa kerana tidak dapat menyambung pelajaran saya ke universiti, kini Allah dah makbulkan doa saya.
“ Saya sedang belajar di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Bangi,mengambil Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dan Multimedia. Saya tidak menyangka Allah akan memberi jalan ini kepada saya. Saya tidak pernah terlintas untuk masuk agama Islam sehinggalah saya menghayati maksud azan tentang kejayaan. Jika dulu saya benar-benar cemburu dengan kejayaan kawan-kawan saya yang lain, kini saya tidak perlu membandingkan diri saya dengan mereka. Saya percaya semuanya atas kehendak Allah. Saya tidak perlu tamak dan cemburu dengan rezeki orang lain kerana Allah telah menentukan rezeki hambanya masing-masing dengan usaha diri sendiri dan semuanya lahir dari hati yang ikhlas bukan kerana ikutan semata-mata.
Maisara turut aktif dengan program khidmat masyarakat
“Saya yakin hidayah Allah itu hanyalah pinjaman sementara. saya perlu menjaga hidayah yang diberikan oleh Allah dengan sebaik mungkin. Allah telah banyak memberi petunjuk kepada saya, cuma saya tidak dapat menilai dengan baik. Saya bersyukur dengan pilihan saya. Saya harap saya mampu menggenggam agama Islam dengan ilmu sehingga akhir hayat. Saya harap Allah sentiasa menjaga dan melindungi saya serta keluarga kerana iman ini senipis kulit bawang yang mudah koyak dan rapuh. Inilah hikmah yang saya pelajari tentang Islam. Islam banyak mengajar saya tentang kehidupan yang sebenar.Dulu saya hidup seperti saya tidak akan mati meninggalkan dunia tetapi kini saya sedar erti tujuan sebenar hidup. Bukan hanya kerana kejayaan dunia tetapi juga kejayaan akhirat. Ingin berjaya dalam hidup, ingatlah Allah. Mengingati-Nya adalah dengan solat,” akhiri Maisara.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Mengalir air mata pelakon Amar Asyraf bila Zizan Razak borong baju dan sambal jualannya. Begitulah, perasaan yang sukar digambarkan apabila barangan yang dijual menerusi sesi live di Instagram mendapat sokongan dari rakan artis.
Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini sememangnya memberi kesan kepada ekonomi. Begitu juga dengan anak seni tanahair.
Mengalir Air Mata Pelakon Amar Asyraf
Amar begitu tersentuh hati dan mengalirkan air mata apabila rakan seni Zizan Razak sudi membeli baju dan sambal yang dijualnya.
Pada awal sesi live Amar sedang mempromosikan baju jualannya namun tidak mendapat respons dari pembeli. Namun tanpa putus asa, Amar tetap mempromosikan barang jualannya itu.
Ketika sedang bersiaran rezeki yang tidak disangka apabila Zizan sudi membeli baju daripada Amar.
Zizan telah membeli baju daripada Amar berjumlah RM500. Selain itu, Zizan turut menambah RM500 lagi dengan membeli sambal.
Malah pelawak terkenal itu juga meminta barangan yang dibeli itu disedekahkan kepada orang ramai.
Bukan itu sahaja, pelakon Johan Arrif juga telah membeli baju daripada Amar dengan harga RM200.
Terima Kasih Ramai Yang Beli Sedekah Baju Pada Penonton
“Allahuakhbar. Hari ini ALLAH hantar @zizanrazak869 untuk saya. Kemudian @johanarrif_asari tolong saya. Tadi saya nampak seorang lagi saudara saya @zahiriladzim jugak.
“Terima kasih juga pada ramai lagi yang beli untuk sedekah baju pada viewers.
“Saya tak tahu nak cakap macam mana. kalau ada rakan rakan terdekat saya tak perasan tadi saya minta maaf.
“Terima kasih tolong saya. Betapa jasa tuan puan ALLAH sahaja yang dapat balas,” tulis Amar yang turut menjual sambalnya @halal.foods.byamarasyraf .
Mingguan Wanita : Sememangnya Pandemik Covid-19 memberi kesan pada ekonomi terutamanya anak seni. Syukur ada yang hulurkan bantuan ringankan beban mereka yang terkesan.
APA RAHSIA KEJAYAAN KAMI JADI JUTAWAN MILENNIAL?
Chocodap’s, Faith Fleur, Anggun Cotton Collection, Teh Ais Pyorr, Masak-masak Cekyana (Oden viral) dan bayak lagi jenama lain mempunya ratusan ribu pelanggan masing-masing.
Tak ramai anak Melayu kita mampu bina empayar perniagaan dari bawah dari tiada apa-apa. Ia bukan dicipta sehari dua. Banyak pengorbanan terpaksa dilakukan sepanjang pendakian.
• Apa rahsia mereka?
• Apa yang mereka lakukan?
• Apa ilmu-ilmu yang diamalkan?
• Siapa yang susah senang bersama mereka?
• Apa dugaan dan keperitan yang dilalui?
Teringin ikut jejak mereka?
Semua ini akan terjawab di program Webinar Eksklusif CEO BIsnes Viral anjuran Mingguan Wanita pada 25 September 2021 secara virtual. Dangarkan sendiri perkongsian jujur mereka. Eksklusif!
Menangi hadiah-hadiah cabutan bertuah serta wang tunai bernila RM100.
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Guru muda (tudung ungu corak) lulusan IPGM Kampus Perempuan Melayu Melaka, pengkhususan dalam Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran berdepan situasi cemas, menyaksikan seorang Pawang menangkap buaya tanpa apa-apa senjata canggih melainkan sebatang buluh.
Pengalaman sukar dilupa yang mengundang ketakutan dalam dirinya. Ketika kejadian, Nurul Akma Khalid, 36 terpaksa menggunakan bot menyeberang jalan sungai untuk membolehkannya sampai ke sekolah.
“Waktu itu, jambatan untuk menghubungkan Simunjan dan Gedung masih dalam pembinaan. Bot satu-satunya pilihan pengangkutan terdekat. Kalau guna jalan darat, masa diambil antara 3 ke 4 jam untuk sampai ke sekolah,” maklumkan yang perlu membayar RM200 untuk menyewa bot sebulan.
Satu pagi, ketika dalam perjalanan merentasi sungai ke sekolah. Pemandu bot menunjukkan ke arah seekor haiwan yang bergerak ligat di dalam sungai. “Ada buaya terkena jerat.” Katanya.
Enjin bot dihentikan. Ada seorang pawang menunggu di situ. Dia berperang dengan buaya yang tak kurang kuatnya melawan. Tiada senjata canggih pun ada di tangan Pawang melainkan sebatang buluh. Pergelutan itu akhirnya berjaya menumpaskan buaya dan ia dibawa naik ke darat.
“Tipulah kalau saya tak takut sepanjang menyeberang Sungai Sageng. Setiap kali mengenang anak-anak murid menunggu dalam kelas, saya jadi kuat semangat.
“Anak-anak ini kekuatan saya. Mereka memberi keseronokan sepanjang saya mengajar di sana. Pentadbir dan rakan sekerja juga sangat baik. Ambil berat tentang saya, sampaikan pegawai di PPD Simunjan bekalkan jaket keselamatan untuk saya pakai setiap pagi.”
Semangat guru muda ini boleh dijadikan inspirasi. Biarpun terpaksa merentasi sungai yang ada buaya untuk sampai ke sekolah, dia tidak hilang semangat. Malah terus cekal memberikan baktinya pada anak-anak kawasan pedalaman yang memerlukan khidmat didikannya.
Kiriman WhatsApp dari anak pendidikan khas membuatkan guru muda ini terharu. Apabila anak murid dapat mengeja sesuatu perkataan, mengenakan butang baju sendiri, kenal ABC dengan baik, itu sudah cukup bererti baginya yang mengajar murid-murid istimewa.
Pengalaman Mengajar Cikgu Nurul Akma Khalid
Guru Pendidikan Khas Integriti.
Mengajar subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Kemahiran Manipulatif dan Pendidikan Seni Visual.
Ini Antara Sekolah-sekolah Yang Pernah Menerima Sumbangan Baktinya
Januari 2010 – Jun 2011 : Sekolah Kebangsaan Petra Jaya, Kuching Sarawak
2011 – 2014 : Sekolah Kebangsaan Abang Man Simunjan, Sarawak
2015 – hingga kini : Sekolah kebangsaan Kampung Kolam Kuala Rompin, Pahang
Sebab Itu Jika Posting Ke Pedalaman, Bertenanglah Guru Muda Praktikkan Ini
Bila Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mula bersuara agar guru baru yang ditukarkan ke kawasan pedalaman bertahan pasti ada guru-guru muda yang resah dan susah hati. Bertahan di sini bermaksud tidak memohon pertukaran ke Semenanjung sampailah diri mereka disahkan jawatan.
Sebenarnya ramai daripada kalangan guru-guru di Malaysia yang pernah berhadapan situasi dihantar ke sekolah pedalaman pun pernah melaluinya. Ini antara tips yang dikongsikan.
Ketika Berbot Ke Sekolah, Guru Saksikan Buaya Tewas Di Tangan Pawang Bersenjata Sebatang Buluh
Posting Pertama: SK Sulabayan Semporna, Sabah (Di hujung Pualu Bum Bum)
Kini Mengajar : SK Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah
1. Bila dapat surat posting tu. Kita kena cari dulu maklumat tentang tempat tu. Di mana kedudukannya. Apa budayanya. Macam mana kehidupannya. Apa adat tradisi budaya di sana. Apa yang boleh atau tak boleh di kalangan masyarakat di sekitar tu. Macam mana anutan agama. Background budak-budak di situ.
2. Kita mesti tahu apa kemudahan yang ada di tempat tu. Apa yang tak ada di tempat tu. Supaya kita lebih bersedia dari segi mental emosi menghadapi kehidupan seharian di situ.
3. Kita mesti nampak gambaran jelas tentang tempat tu dari segi fizikalnya. Contohnya. Hari pertama saya berkasut tinggi. Naik bot laju. Dan masa nak turun ke jeti kasut saya tersangkut dan jatuh ke laut. Sebabnya? Saya tak sangka yang tempat tu begitu rupa.
4. Kita mesti dapatkan rumah sewa yg betul-betul dekat dengan pekan. Memudahkan kita bergerak dan dapat apa-apa kemudahan. Dapat housemate 2 atau 3 orang. Supaya ada teman ke sana sini. Sakit susah pun ada yang tolong tengokkan.
5. Kita mesti berkawan atau mesra dengan masyarakat sekitar tempat tinggal atau sekolah tu..atau ibu bapa murid-murid tu..sebab kehidupan kita sepanjang di situ banyak bergantung dengan mereka. Kalau diorang nampak kita baik. Anggap diaorang macam keluarga sendiri. Insya-Allah diaorang akan lebih baik dan selalu tolong kita.
6. Kita mesti bersedia mental emosi..tahap kesabaran yang tinggi. Sebab biasanya budak-budak di pedalaman ni kurang fasih berbahasa Melayu atau Inggeris. Kalau kita ngajar cakap laju ja bahasa yang betul pun bukan diorang paham sangat. Jadi kita kena turun lebih rendah sikit. Cuba belajar bahasa diorang yang mudah-mudah. Membantu kita untuk mencapai objektif kita sebenarnya.
“Kalau mental dan fizikal ready. Insya-Allah okey. Tapi kalau dari awal-awal dah tak okey, semua benda jadi negatif. Kalau macam saya tak terasa sangat, sebab saya sendiri memang biasa hidup tanpa bekalan air, elektrik dan telefon. Paling mudah buat senarai semak supaya kita tahu apa yang dibawa.”
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
“Dik, aku mimpi jumpa ayah. Dia panggil aku ikut dia,’ kata Ibrahim Hussin.
Berulang kali juga warga emas berusia 81 tahun ini menyampaikan cerita kepada adiknya dan panggilan “ikut’ itu menjadi kenyataan apabila dirinya maut 15 Mei lalu selepas dirempuh oleh sebuah motosikal berkuasa tinggi ditunggang oleh Muhamad Kamaruzzaman Desa, 39 tahun dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Kampung Lalang, Baling.
Warga emas itu maut di tempat kejadian selepas sebahagian tempurung kepalanya pecah akibat rempuhan manakala penunggang motosikal berkuasa tinggi yang berasal dari Taman Bertam Indah, Kepala Batas, Pulau Pinang meninggal dunia di Hospital Baling jam empat petang hari yang sama.
Berkongsi kesedihan di hati akibat kejadian tak terduga ini, isteri kepada arwah Ibrahim, Siti Aishah Derani, 71 tahun berkata, arwah suaminya keluar rumah sekitar jam 10.00 pagi. Dia mahu membeli gam untuk membaiki paip.
“Makcik tak menyangka yang bukan-bukan sehinggalah datang orang ke rumah memaklumkan pakcik sudah meninggal dunia selepas dilanggar oleh konvoi motosikal. Hanya Allah sahaja yang tahu kesedihan ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya dari Kampung Tanjung Pari, Mukim Siong, Baling beberapa hari selepas kejadian.
Sama sekali tidak menyangka kemalangan itu meragut nyawa suami dikasihi, kata Aishah, sudah berulang kali anak-anak melarang arwah menaiki motosikal berikutan faktor usianya namun suaminya itu sama sekali tidak mengendahkannya.
“Arwah suami tiada sakit apa-apa, tubuh badannya sihat. Mata, pendengaran juga baik. Tak ada pun kencing manis, darah tinggi dan sebagainya. Cuma kudratnya sedikit lemah berikutan usia. Kalau ada masalah pun cuma tekanan darah rendah dialaminya,” memaklumkan suaminya dahulu menoreh getah.
Aishah redha namun tidak sanggup melihat gambar kemalangan biar disuakan melalui telefon di hadapannya.
Ini bukan kes pertama dan diharap tidak lagi berulang kerana ikutkan, sudah ramai yang menjadi mangsa kejadian. Jika tidak maut, pasti ada luka di sana sini kerana masalah lampu isyarat yang bertukar hijau secara serentak biar berlainan simpang.
Menurut bekas guru, Abdul Nasir bin Idris, pihaknya sudah memaklumi tentang masalah lampu isyarat yang kerap bertukar secara serentak mesti berbeza simpang.
“Ada gambar sebagai bukti dan masalah lampu isyarat ini sebenarnya sudah sampai ke pengetahuan pihak polis dan Majlis Daerah. Malah mungkin sudah diperbincangkan dalam mesyuarat mereka.
“Buat masa ini, belum ada jalan penyelesaian namun kita mengharapkan agar insiden begini menjadi pengajaran tidak kita buat penduduk kampung mahupun penunggang-penunggang yang melalui kawasan ini.
“Laluannya memang lurus dan cuma ada lampu isyarat untuk ke simpang-simpang. Mungkin bila semuanya bertukar warna dalam masa yang sama, ia boleh mengakibatkan kekeliruan kepada pengguna,’ katanya.
Cikgu Nasir mengharapkan permasalahan lampu isyarat itu dapat diperbaiki sesegera mungkin agar kejadian ini tidak lagi berulang.
Ketua Polis Daerah Baling, Superitendan Shariffuddin Yusof dalam satu kenyataan akhbar berkata, pelanggaran dua motosikal berkenaan berlaku disebabkan lampu isyarat di persimpangan itu tidak berfungsi.
Ibrahim yang menunggang Honda EX-5 dipercayai dari Pekan Kampung Lalang untuk pulang ke rumahnya di Mukim Siong manakala motosikal berkuasa tinggi yang ditunggang Muhammad Kamaruzzaman pula dari arah Tanjung Pari ke Baling.
“Ketika melewati persimpangan lampu isyarat berkenaan, motosikal yang ditunggang Ibrahim dirempuh oleh motosikal yang ditunggang oleh Muhammad Kamaruzzaman Desa menyebabkan kedua-duanya tercampak dari motosikal masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, Ibrahim mengalami kecederaan di kepala kerana tidak memakai topi keledar dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Shariffuddin berkata, penunggang motosikal berkuasa tinggi dihantar ke HB untuk rawatan namun meninggal dunia di hospital berkenaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu melulu dan menyebabkan kematian.
“Saya Cuba, Bertahan, Usaha Tapi Gagal. Tiada Lagi Kita” itulah yang diluahkan oleh Aprena Manrose tentang rumah tangganya yang dikatakan sudah berantakan.Pelakon cantik, Aprena...