
Kisah penggali kubur ini perlu diangkat untuk masyarakat lebih menghargai staf kesihatan yang sepanjang masa perlu memakai sut “angkasawan” sepanjang Covid-19. Tak mudah ya, perlu bekerja dalam saat genting dengan pakaian hendak ke bulan.
Tetapi mereka akur demi keselamatan bersama. Menurut penggali kubur ini, mereka pernah menggali kubur berjam-jam tetapi terasa lebih mencabar apabila perlu memakai pakaian seolah-olah “angkasawan” ini dalam menjalankan tugas.
Hargailah Pengorbanan Kakitangan Kesihatan
“Kami pernah menggali kubur berjam-jam lamanya namun tidak pernah merasai cabaran berpakaian seolah-olah ‘angkasawan’ untuk persediaan pengurusan jenazah.
“Jadi hargailah pengorbanan kakitangan kesihatan yang terpaksa memakai sut ini dalam keadaan penuh cabaran untuk membantu menyelamatkan nyawa mereka yang terkesan dengan wabak Covid-19,” kata penggali kubur yang juga kakitangan Pejabat Kadi Segamat, Md Najib Teh, 53.
Dia yang menetap di Kampung Berata, Segamat, berkata, kebiasaan dia akan melakukan kerja menggali bersama seorang lagi rakan, Abd Rahim Abu Lias,50.
Mencuba Sut
Md Najib berkata, dia dan rakannya cuba membiasakan diri dengan memakai sut itu dan melakukan tugas menggali kubur.
“Rasa panas dan bahang memakai sut menutup dari kepala hingga keseluruhan badan menyebabkan kita mudah berpeluh dalam waktu singkat. Saya dapat bayangkan bagaimana kakitangan kesihatan yang perlu merawat pesakit Covid-19 yang mengejar masa memberikan rawatan,” katanya.
Menurutnya, mereka juga terpaksa memakai penutup hidung dan mulut selain mengambil masa antara tiga hingga empat jam menyiapkan lubang kubur.
Dia berkata, setakat ini dia bersyukur semua tugasan berjaya diselesaikan dalam tempoh ditetapkan.
Sumber: Harian Metro
MW: Semoga Allah membalas semua jasa dan pengorbanan staf kesihatan di barisan hadapan. Terima kasih petugas kesihatan dan juga staf pengurusan jenazah.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
‘Berebut Kasih Dengan Allah..’ Selepas 25 Tahun Berdua, Tuhan ‘Panggil’ Suaminya Pulang

Luah isteri ini, “separuh jiwa saya dipanggil pulang kepada PenciptaNya.” Meninggalkan luluh hati yang amat dalam.
Tiada kudrat untuk Puan Ezatul Marini pertahankan, apabila dia, suami dan anak perempuannya terlibat dalam satu kemalangan bas yang mereka naiki.
Dan akhirnya, beliau terpaksa menerima hakikat, suaminya meninggal dalam kemalangan itu. Beliau turut tercedera dan dirawat di hospital. Takdir menghalangnya melihat, bertemu jenazah suami untuk saat terakhir sebelum dikebumikan.
Wahai isteri, biar apa pun kekurangan suami, dialah jodoh terbaik yang tuhan kirimkan untuk kita. Selagi, dia masih setia, selagi dia masih kasih, selagi dia masih ada, sayangilah dirinya kerana Allah.
Semoga catatan isteri ini dapat menyuntik rasa untuk kita jadi isteri yang bersyukur.
Berebut Kasih Dengan Allah
Kami berkenalan 25 tahun yang lepas, malah kronologi yang akhirnya membawa kami ke alam rumahtangga saya perincikan dengan jelas dalam naskah “Diva Yang Rebah” dalam antologi CLEAR.
Deraf naskah itu disemak sendiri oleh beliau. Tersenyum simpul dia kala membaca keseluruhan kisah. Bangga sungguh dia kerana saya tuliskan kisahnya. Tambah teruja bila saya maklumkan 7 “storytelling” yang saya hantar untuk projek Mrs. Papa semuanya adalah kisah tentang beliau.
Kami sangat akrab. Kami bukan hanya suami isteri, malah sudah seperti rakan karib yang sentiasa bersama. Bayangkan, kala di pejabat, beliau kerap menelefon kononnya semata- mata hendak mendengar suara saya. Begitulah akrabnya kami dalam menjalani kehidupan dari awal perhubungan hingga ke satu titik yang saya bayangkan mungkin bukan sekarang.
Bermacam perkara kami angankan, tidak terkira banyaknya perancangan yang kebanyakannya tentang anak- anak.
Dia saya kategorikan sebagai “homely type”. Dunianya hanya tempat kerja dan keluarga. Apa sahaja yang beliau rancang dan laksana semuanya berlatarbelakang saya dan anak- anak.
Beliau lah pendorong, pemberi semangat, sahabat baik, abang, pendengar setia dan penyelesai masalah dan kekusutan. Tiap kali kita tanyakan pendapatnya, jawapannya pasti,
“Kita ada Allah. Tak percaya dengan Allah ke?”
Tiada Masalah Tanpa Penyelesaian
Itu pegangannya. Kerana Allah ada pada setiap masa. Dalam banyak ketika saya selalu cemburukan sikapnya yang sentiasa positif. Sedangkan saya sebaliknya, selalu risau dan banyak fikir tidak ketahuan hala.
Allah Maha Berkuasa, tanpa tanda, tanpa pesan, tanggal 23.11.2018, separuh jiwa saya dipanggil pulang kepada PenciptaNya. Luluh hati saya dipaksa menerima ketentuan perpisahan abadi yang bukan kemahuan saya dan anak- anak.
Kemalangan bas yang kami naiki untuk ke Kudat meragut nyawa suami, 3 rakan serta seorang anak rakan. Luluh hati mengenangkan saat saya hanya mampu memandang sekujur tubuh suami yang sudah tidak bernyawa.
Tambah pedih, bila mana saya terpaksa lepaskan jenazahnya dibawa pulang ke kampung halaman tanpa mampu saya temani.
Saya menangis semahu- mahunya menanda setiap detik perjalanan “pulang” jenazah hingga akhirnya selamat disemadikan.
Ramai tanyakan, kenapa saya kuat? Bagaimana saya boleh secekal itu menghadapi ujian getir yang tidak pernah saya bayangkan ini?
Saya bisikkan pada diri, “Apalah kudrat saya bilamana saya perlu berebut dengan Allah? Saya sayangkan beliau. Allah juga teramat sayang padanya. Maka, pastilah Allah lebih berhak mendapatkan kembali hambaNya yang disayangNya.”
Buang Jauh Emosi Negatif Kerana Ini Jalan Cerita Aturan Allah
Semoga itu juga mampu menjadi penguat semangat buat anak- anak yang ditinggalkan buat menemani saya hinggalah masa saya juga tiba untuk menyusul kepulangannya.
Sehingga tarikh ini, saya dan anak perempuan kami, Syahirah Nafeesa masih dirawat di Hospital Queen Elizabeth 2, Kota Kinabalu.
Saya telah selamat menjalani pembedahan memasukkan implan bagi menggantikan femur yang berkecai. Anak pula sedang melalui tahap prosedur terakhir rawatan iaitu prosedur “skin grafting” – menampal kulit baru di kawasan luka.
Sesekali timbul juga fikiran- fikiran jahat. Menerawang juga persoalan jahat seperti mengapa kami diuji sebegini? Kenapa seteruk ini kecederaan kami? Apa akan jadi pada masa depan kami? Namun, cepat saya sedarkan diri. Ini bukan jalan cerita ciptaan manusia. Ini jalan cerita aturan Allah. Allah letakkan kami dalam keadaan ini maka pastilah Allah juga sediakan penyelesaiannya.
Tugas saya hanya terus menanamkan rasa kuat dan redha pada diri saya sendiri dan anak- anak. Dan tugas saya juga untuk terus mempercayai Allah sebaik- baik perancang.
Ingatan Untuk Kita Yang Bergelar Insan
Dalam pada meneruskan rawatan di hospital, Puan Ezatul sebenarnya masih menulis di ruang facebooknya. Dan catatan ini turut dikongsikan untuk jadi pedoman pembaca Mingguan Wanita.
Semoga, beliau terus kuat dan bersemangat untuk menjalani kehidupan selepas ini.
Pasti dalam dunia pekerjaan, kita punya ramai kawan. Kawan lelaki, kawan perempuan, yang lebih berusia mahu pun pangkat adik- adik kita. Pasti juga ada yang kita mesra dan ada yang kawan begitu- begitu sahaja.
Seperkara yang perlu diingat dan dipasakkan dalam hati, dalam membina persahabatan dan memupuk “chemistry” di tempat kerja, jangan cuba- cuba bermain dengan api.
Pasti, di antara ramai- ramai yang baik dengan kita, ada yang mungkin nampak molek di mata, maka layanan kita kepadanya mungkin lebih mesra namun, ingat, jangan cuba- cuba menukar istilah teman tapi mesra itu menjadi kekasih gelap pula.
Andai kita seorang isteri, jujurlah dalam membina persahabatan dengan kawan- kawan. Jaga diri kita sendiri. Jangan nanti kita digelar lebih sudu dari kuah. Jangan cipta kontroversi lebih- lebih lagi yang berkait dengan hubungan lain jantina di tempat kerja. Jadilah pekerja yang memberi contoh baik kepada kawan- kawan bukan yang membawa budaya tidak sihat.
Andai kita seorang suami, hati dan kepercayaan isteri janganlah kita zalimi. Sampaikah hati kita mengkhianati tulusnya rasa percaya keluarga dan mencemarkannya dengan palitan perbuatan tidak jujur di belakang mereka.
Ingat, api semasa kecil memanglah kawan. Bila besar takut awak hangus terbakar nanti.
Sumber/Foto : Ezatul Marini Mohd Ghazali, 26 Disember 2018
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
‘Tak Perlu Ada Pemandangan Tasik Dari Bilik..’ Bila Bersyukur, Hati Sentiasa Cukup

Bila mana tuhan uji dengan penyakit, itu adalah salah satu cara untuk menghapuskan dosa-dosa kecil. Kalaulah ini tak kena, itu tak kena. Dari sakit sedia ada membawa ke parahnya hati.
Sebab itulah bila tuhan berikan ujian sakit, jangan pernah lupa ucapkan, “Alhamdulillah..” Bersyukurlah, kerana dengan perasaan sebegitu tak pun menurunkan darjat seseorang.
Terkesan kisah yang dialami Dr Redza Zainol, tentang rakannya yang disahkan Covid-19. Demi kesihatan, tidak pula dia minta macam-macam. Ikut saja apa rezeki yang diterima dengan penuh kesyukuran.
Bila Ditanya Mengenai Bilik, Dia Kata ‘Alhamdulillah’
“Mana doktor yang lain?” sambil mata ayah bayi ni memandang ke bilik-bilik pesakit yang lain. Entah kenapa saya pun ikut sama memandang sekeliling.
“Oo, doktor yang lain kena kuarantin. Lebih dari separuh doktor dari jabatan saya dihantar ke pusat kuarantin di Pagoh.”
Pada hari tu, cuma ada saya dan 2 doktor lain yang bekerja di NICU.
Hospital kami ni dah jadi kluster di daerah Muar. Ada beberapa staf kesihatan yang positif Covid-19. Malam tu saya hubungi seorang kawan saya yang dikuarantin di Pagoh tu.
Bila saya tanya khabar, tak putus-putus keluar perkataan Alhamdulillah dari mulutnya.
“Semuanya baik-baik saja kat sini.”
Bila tanya mengenai bilik, dia kata Alhamdulillah.
Bila tanya pasal makanan, dia kata Alhamdulillah.
Tak perlu ada permandangan tasik dari bilik. Tak perlu bilik bertaraf hotel Dorsett 5 bintang.
Setiap bilik ada 2-4 orang penghuni. Bilik biasa yang bertingkap dan tak perlu penghawa dingin. “Kau cuma tolong doakan kami di sini je. Bosan juga hari-hari duduk di bilik.
Hari tu sampel pertama kami semua negatif. Kalau sampel kedua pun negatif, bolehlah kita orang ni datang kerja semula.”
Semangat betul.
Baca sini : Muncul pula kluster baru ‘Oversea’ yang menjengkelkan, rindu geng tabligh
Yang Selalu Bersyukur, Hatinya Sentiasa Cukup
Sungguhlah kawan-kawan. Bila keadaan makin sukar, barulah muncul peribadi sebenar kita.
Yang pentingkan diri, akan jadi lagi pentingkan diri bila dirinya diuji.
Yang selalu bersyukur, maka hatinya sentiasa berasa cukup dan insaf dengan setiap ujian yang datang.
Wajah cantik, karier bagus, duit yang banyak, namun tak ada perkataan baik yang keluar dari mulut, tetap tak akan dapat hormat.
Boleh jadi seluruh alam benci orang yang begitu. Lagi takut kalau sampai Allah pun bencikan kita.
Dari Wajah Yang Cantik Jadi Kelam..
Kalau kerja kita asyik menghina dan merungut, tak mustahil Allah akan hina kita semula.
Waktu tu, semua yang kita ada dah tak ada makna.
Wajah yang cantik jadi kelam, karier yang elok jadi tenggelam dan terkubur. Duit yang banyak itu Allah boleh hilangkan begitu saja.
Kita lupa kita asalnya hina. Bukan asal dari kayangan.
MW : Kadangkala kasihan dengan frontliners yang terpaksa tahan hati, tahan penat.. dengan macam-macam kerenah pesakit kluster yang satu itu.
Sumber/Foto : Redza Zainol
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Saya Tak Pernah Menyangka Akan Berkahwin, Sampai Ke Jinjang Pelamin” Haziq

Sungguh aturan jodoh itu, adalah ketentuannya. Walau bagaimanapun keadaan kita, jika jodoh telah tertulis untuk berkahwin dan mempunyai pasangan bagi saling melengkapi, itulah takdir bahagia dari yang Maha Esa.
“Saya tidak pernah menyangka akan berkahwin, sampai ke jinjang pelamin, namun inilah yang dinamakan takdir,” kata Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal, Muhammad Haziq Samrat.

Video Viral Di Majlis Persandingan
Pemuda berusia 27 tahun itu menarik perhatian ramai selepas video majlis persandingannya bersama isteri, Nur Atiqah Amiera Ghazali, 29, tular di media sosial.
Dalam video itu, kelihatan Muhammad Haziq bergerak di atas papan selaju, beriringan dengan isterinya menuju ke pelamin untuk bersanding dan acara memotong kek.
Muhammad Haziq, yang kini menetap di Bandar Tun Hussein Onn, di sini berkata, video itu dirakam ketika majlis persandingan mereka di Dewan Besar Tun Rahah, Menara Yayasan Tun Razak, pada 10 September lalu.
Katanya, beliau tidak mengetahui ada pihak yang memuat naik video berkenaan di TikTok.
“Saya baru tahu sebenarnya dan tak sangka ia tular di laman sosial. Saya sedar ada tetamu yang mengambil gambar, video ketika datang majlis itu tapi tak sangka dimuat naik hingga tular,” katanya.
OKU Fizikal Sejak Dilahirkan
Berkongsi kisahnya, Muhammad Haziq berkata, dia adalah anak bongsu daripada tujuh beradik dan dilahirkan dengan kekurangan fizikal.
Katanya, sejak kecil, beliau diasuh untuk mengutamakan pendidikan dan tidak ketinggalan hingga memiliki Diploma Multimedia dan Animasi serta Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perniagaan.
Muhammad Haziq juga tiada masalah bergaul dengan sesiapa, malah mempunyai ramai rakan normal.
“Saya terbuka dan tiada halangan berkawan dengan sesiapa, baik lelaki mahupun perempuan.
“Cuma, bab pasangan itu saja yang tidak pernah saya jangka, apatah lagi terfikir sama ada perempuan mahukan saya atau tidak.
“Rupanya, ada juga yang sudi menerima diri saya seadanya. Kepercayaan itu akan cuba saya balas dengan melaksanakan tanggungjawab sebagai suami sebaiknya, menjaga dan mendidik isteri,” katanya.
Perkenalan Di ‘Bigo Live’
Sementara itu, Nur Atiqah Amiera, yang bekerja sebagai pembantu jururawat berkata, beliau berkenalan dengan suaminya menerusi platform Bigo Live pada November 2020 dan tertarik dengan keperibadian lelaki itu.
“Kiranya, saya yang ‘mengayat’ suami dahulu pada awal perkenalan dan dia awalnya tidak suka cerita keadaan dirinya. Saya cuba juga kenali dia hingga pertemuan pertama kami pada 12 Disember 2020.
“Saya tidak kisah keadaannya macam mana, asalkan dia memahami dan boleh didik saya, malah keluarga juga tiada halangan serta terbuka menerima hubungan kami,” katanya yang memberitahu majlis akad nikah mereka berlangsung pada 23 Julai lalu.
Bersedia Menjaga Suami ‘Istimewa’
Nur Atiqah Amiera berkata, tiada istilah terpaksa menerima pasangan OKU, sebaliknya beliau bersedia menjadi isteri yang menjaga kebajikan suami istimewanya, sekali pun berhadapan tanggapan masyarakat.
“Dari awal saya sudah tahu keadaan suami. Saya sudah tetapkan hati dan minda untuk bersedia dengan segala kemungkinan. Insya-Allah, saya mahu menjaganya hingga akhir usia kami,” katanya.
@dj_epullKalau Jodoh Tak Kemane 😎♬ original sound – DJE
Mesti Baca:Ramai Tak Tahu, Mak Ayah Ada Anak OKU Boleh Mohon Roadtax PERCUMA!
Baca Lagi Disini:Pengantin Dapat Beratus Gelang & Rantai Emas, Hadiah Kahwin Daripada Setiap Tetamu!
Artikel menarik:Trending ‘Pengantin Malu-Malu’ Gores Maruah, Tak Selesa Tangguhkan Acara Jadikan Sesi Tertutup!
Mingguan Wanita: Tahniah buat pasangan ini, sememangnya cinta sejati, tak memandang rupa dan melihat kekurangan fizikal. selamat Pengantin Baru semoga perkahwinan berkekalan hingga ke syurga.
Sumber: Bharian
JEANS BURUK JANGAN BUANG, SERTAI KELAS JAHITAN KAMI. BUAT TOTE & SHOPPING BEG
Klik link untuk daftar: https://toko.ideaktiv.com/product/kelas-jahitan-kreatif/
Tak pernah pegang mesin, tak bermakna mak-mak tak pandai menjahit. Pelajari kaedah dan teknik jahitan mudah dalam kelas satu hari sahaja.
Dalam masa beberapa jam, walaupun beginner anda mampu menyiapkan satu tote bag daripada jeans terpakai dan nasi lemak recyclable bag.
Projek 1: Denim Tote Bag
Jom tukar jeans yang tak muat dipakai menjadi tote bag. Teknik yang dipelajari bermula daripada cara memotong kain, membuat ukuran kain, menjahit lurus, jahit tangkai beg, cara cantuman sehinggalah siap sebiji beg.
Projek 2: Shopping Bag
Beg beli belah berbentuk nasi lemak! Beg kitar semula ini bukan saja menjimatkan ruang, malah dapat melindungi alam sekitar kerana kurangnya penggunaan beg plastik. Teknik yang bakal dipelajari adalah cara jahitan melengkung, jahitan lurus, cara mengukur saiz beg dan cara membuat lipatan.
Jangan ketinggalan sertai Kelas Jahitan Kreatif Denim Tote Bag & Shoping Bag di SewingWorld, One City Subang Jaya pada 15 Oktober 2022 bermula 930 pagi hingga 5.30 petang. Yuran RM60 sahaja.
#kelasjahitankreatif
#sewingworldgallery
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI