postinor

Tidak dinafikan ramai wanita guna macam-macam kaedah untuk merancang kehamilan. Salah satunya dengan mengambil pil perancang yang banyak dijual di pasaran. Namun perlu lebih berhati-hati jangan ambil pil sebarangan kerana kelak boleh memudaratkan diri.

Menerusi perkongsian oleh Jururawat Terlatih, Bel Nawhen ini ada mengingatkan bahawa bahaya mengambil Postinor. Ini kerana menurut beliau, ramai wanita yang beli pil ini kerana menyangkakan ia adalah pil perancang.Hakikatnya pil tersebut hanya boleh digunakan pada waktu kecemasan malah jika kerap diambil boleh menggangu kitaran haid serta menyebabkan pendarahan luar biasa!

Berikut perkongsian tersebut;

POSTINOR BUKAN PIL PERANCANG

Postinor BUKAN pil perancang tapi ia pil cegah kehamilan yang HANYA boleh digunakan dalam kes betul-betul kecemasan sahaja.

Contoh, terpancut dalam semasa bersama, salah kira waktu subur dan tak amalkan perancang jenis pil, kes rogol dan kondom didapati bocor.

Pil Postinor Boleh Ganggu Kitaran Haid & Sebabkan Pendarahan Luar Biasa!

Kesan Ambil Postinor

Ambil postinor secara berlebihan atau kerap tanpa konsultasi doktor boleh menyebabkan;

1. Ganggu kitaran hormon
2. Risiko tinggi untuk TIDAK HAMIL kelak.
3. Sukar lekat.

• Satu pil Postinor mengandungi hormone levonorgestrel (sejenis progestogen) dalam kandungan 750mcg. Oleh kerana dosnya 2 pil (diambil selang 12 jam), maka total dosnya 1500mcg.

IKLAN

• Dos 1500mcg adalah >6 kali ganda dos yang terkandung dalam pil perancang biasa. Cuma postinor tidak mengandungi oestrogen.

** Maka tidak hairanlah pil postinor boleh mengganggu kitaran haid dan menyebabkan pendarahan yang luar biasa jika sering diambil.

• Postinor tidak mengelak dari telur (ovum) disenyawakan. Ia mengelak daripada telur yang telah pun disenyawakan daripada melekat di dinding rahim.

• Lain daripada pil perancang biasa yang menghalang ovulasi (penghasilan telur). Maknanya, postinor tidak mengelak kehamilan, tetapi menyebabkan kehamilan itu gugur terus.

Yang pelik, wanita tidak suka makan pil perancang kerana ia mengandungi hormone katanya, tapi rela pula makan postinor yang kandungan progestogennya jauh LEBIH TINGGI daripada pil perancang biasa. Memang ia tidak mengandungi oestrogen, tetapi ia tetap hormone.

Rujukan : Dr Anna Liza Roslani

IKLAN

Ada banyak kaedah merancang dinegara kita seperti pil pencegah kehamilan, iucd, implanon, injection depo provera serta condom.

Antara kesan tidak merancang keluarga dengan sempurna;

1. Gangguan Psikologi

Gangguan Psikologi pada ibu, bila ibu itu tidak BERSEDIA untuk hamil dalam tempoh terdekat.

2. Anemia

Ibu berisiko untuk mendapat anemia apabila menjalani proses bersalin yang kerap dan menyebabkan kehilangan darah.

3. Rahim Jatuh

Prolaps Uterus ataupun rahim jatuh . Bilamana keadaan ini boleh mengganggu organ lain seperti pundi kencing, usus besar dan faraj. Biasanya, masalah rahim jatuh ini dikaitkan dengan bilangan kelahiran. Semakin kerap melahirkan bayi, semakin tinggi risiko ibu menghadapi keadaan ini.

4. Kematian

Kematian Ibu. Disebabkan kehilangan banyak darah yang dialami oleh seorang ibu ketika bersalin boleh menyebabkan ibu meninggal dunia.

IKLAN

5.Menjejaskan Tulang

Bilamana bayi dalam kandungan memerlukan kalsium yang banyak untuk proses tumbesaran. Bayi akan mengambil kalsium daripada ibu. Keperluan kalsium ibu hamil sangat tinggi berbanding biasa. Begitu juga selepas melahirkan, ibu memerlukan kalsium yang tinggi untuk disalurkan kepada bayi melalui susu ibu. Jadi, jika ibu kurang mengambil kalsium, dia berisiko untuk mendapat masalah tulang. Bayangkan kalau ibu itu mengandung rapat?

6. Hormon Tak Seimbang

Disebabkan jarak kehamilan yang rapat. Ketidakseimbangan kandungan hormon terutama estrogen di dalam badan secara tidak langsung akan mengganggu penyerapan kalsium ke dalam tulang. Estrogen penting untuk penyerapan kalsium. Gangguan pada hormon akan mengganggu struktur tulang.

7. Rahim Pecah

Ini terjadi pada ibu yang bersalin secara pembedahan caesarean dan mengandung lagi dalam tempoh terdekat, ibu berisiko tinggi untuk menghadapi masalah uterine rupture atau rahim pecah. Kebarangkaliannya memang kecil tetapi jika berlaku ia boleh memberi kesan buruk kepada ibu dan bayi, malah boleh meragut nyawa keduanya.

Tidak salah jika anda mahu memberikan penerangan tetapi dengan penerangan yang salah, ramai pula yang beli pil kerana menyangkakan ia adalah pil perancang.

Notakaki:
Rujuk kepada yang ahli sebelum anda mengeluarkan apa-apa kenyataan. Nanti sebarang komplikasi berlaku, adakah anda mahu bertanggungjawab?

#BelNawhen
#SayaJururawat

MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat! Jadi buat para wanita pastikan benar-benar tahu jenis pil perancang yang diambil. Jika salah ambil, kesannya boleh memudaratkan diri. Sebaiknya berjumpalah dengan doktor dan minta pandangan perubatan untuk merancang kehamilan dengan cara yang selamat.

Sumber: Bel Nawhen

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI