Bila tengok rancangan masakan, rasa nak tahu kenapa ada chef yang memasukkan buah keras sebagai salah satu rempah dalam masakan mereka. Apa sebenarnya rahsia buah keras dalam masakan ini?
Menurut Pakar Masakan Terkenal, Puan Noraini Adnan dalam soal jawab dengan majalah Rasa memaklumkan buah keras juga dikenali sebagai kemiri dalam bahasa Indonesia. Atau nama Inggerisnya ‘candlenuts’.
5 Rahsia Buah Keras Dalam Masakan Mak-mak
Pertama : Pemekat Kuah
Tambah Puan Noraini lagi, fungsinya dalam masakan adalah sebagai bahan pemekat kuah. Namun, buah ini tak boleh dimakan mentah. Kerana buah keras mengandungi toksik. Sebab itulah, ia perlu dimasak dahulu.
Kedua : Penyedap Rasa Dalam Makanan
Buah keras ini memang tak dinafikan jadi penyedap rasa dalam masakan. Antara jenis masakan yang boleh menggunakan buah keras adalah, sup, kari, masak merah, rendang, tumisan, sayuran dan sebagainya.
Ketiga : Masakan Jadi Lebih Lemak Berkrim
Seperti yang dikongsi oleh blogger masakan terkenal, Mat Gebu pula buah keras ini mengandungi minyak yang tinggi. Sebab itulah rempah hebat ini memberi rasa lemak, berkrim sekaligus memekatkan kuah dalam masakan.
Ia menggantikan kacang macadamia. Memandangkan harga kacang ini mahal di Malaysia, gunakan buah keras sebagai pengganti.
Ads
Keempat : Bau Harum Dalam Masakan
Ujar Mat Gebu lagi, buah keras ini jangan guna banyak-banyak dalam satu-satu resepi. Dalam 2 ke 3 biji dah memadai untuk jumlah cili kisar 11/2 cawan. Kalau nak buat gulai atau asam pedas, buah keras ini akan dikisah dengan rempah yang lain untuk naikkan bau harum.
Kelima : Rupanya Ini Rahsia Sedap Masakan Baba Nyonya
Antara rempah wajib yang ada dalam masakan tradisional Baba Nyonya dan Portugis ini tentulah buah keras. Yang mana, mereka lebih banyak menggunakan buah keras berbanding bawang putih. Ia memberikan rasa lemak dalam kuah masakan yang dihasilkan.
Ads
Sambal Buah Keras
Selain sambal belacan, sambal tempoyak mahupun budu, mak-mak boleh cuba buat sambal buah keras yang mudah ini. Resepi ini dikongsikan oleh nasamulia.
Bahan-bahan
5 biji Buah Keras (candle nuts / pelleng’ / kemiri)
1 biji Cili Hijau
1 biji Cili Merah
1 biji Bawang Merah
1 biji Bawang Putih
5 biji Cili Padi
1 biji Tomato
*Gorengkan semua bahan di atas sekejap atau sehingga agak layu.
Garam
Masukkan isi ikan goreng – ambil agak-agak dari 2 ekor ikan kembung.
Ads
Caranya :
*Tumbuk kesemua bahan yang telah digoreng dan masukkan isi ikan, perasakan.
Pati Kurma Homemade Amoijamu ini alternatif terbaik menggantikan air rebusan kurma. Sebabnya jenis pati ini buat sekali, tahannya sampai sebulan jika disimpan dalam peti ais. Kelebihan yang mak-mak kena tahu, mujarab untuk mak-mak yang nak tambah darah, buang angin lesu dalam badan dan tambahkan susu masa berpantang.
“Kebanyakkan orang akan mengenali resepi ini sebagai resipi penambah susu waktu berpantang dikalangan masyarakat melayu. Namun resipi ini telah lama diamalkan oleh kaum cina sejak zaman dahulu kala.” Kongsi Amanda Tan yang lebih dikenali dengan nama Amoijamu.
“Hari ini saya akan kongsikan bagaimana cara mengolah resepi ini menjadi sebagai pati supaya senang diamalkan jika kekurangan masa untuk merebus.”
Cara penyediaan agak mengambil masa pada permulaannya tetapi setelah selesai anda akan dapati cara ini sangat senang kerana anda boleh menikmati minuman ini bila-bila masa sahaja dan tidak perlu tunggu atau jaga api setiap kali ingin menikmatinya.
250 gram Kurma Cina kering
150 gram Longan kering
150 gram Goji Berri kering
100 gram Halia Tua
50 gram Jaggery* atau Gula Melaka
*Jaggery adalah serupa Gula Melaka tetapi diimport dari India.
**Minum panas-panas sesuai untuk ibu bersalin dalam waktu berpantang, badan yang banyak angin, mengalami masalah pencernaan/ penghadaman, mereka yang kekurangan sel darah merah / anemia, susah tidur, orang yang selalu keletihan dan mengalami tekanan.
**Oleh kerana ia mempunyai gula, ia tidak sesuai untuk mereka yang mengalami masalah kencing manis.
√ Sangat bagus untuk meningkatkan sel sel darah merah.
√ Ciri ciri antioksidan yang mampu awet muda
√ Melancarkan perjalanan darah.
√ Mengekalkan fungsi hati.
√ Memulihkan tenaga
√ Memperbaiki kualiti penglihatan.
√ Meningkatkan sistem imun badan.
√ Agen pembina darah merah.
√ Menguatkan otot dan tulang.
√ Membantu sistem penghadaman.
√ Membantu memperbanyakkan susu ibu.
Di atas adalah perkongsian Pati Kurma yang saya sendiri amalkan buat beberapa bulan ini. Efeknya bagus. Sebab tu saya kongsikan.
Demam ‘Keke Challenge’ melanda seluruh dunia, trend ini menjadi viral serta turut mendapat perhatian selebriti tempatan yang mencuba cabaran tersebut. Buat yang tidak tahu, ‘Keke Challenge’ merupakan aksi tarian yang perlu dilakukan di luar kereta dalam keadaan kereta bergerak sambil mengikut rentak lagu, In My Feelings, dendangan artis antarabangsa, Drake.
Ramai yang mengecam ‘Keke Challenge’ ini malah menganggap tarian tersebut tidak sopan dan merupakan satu aksi yang berbahaya, kerana individu perlu menari seiring dengan kereta yang bergerak. Perkara ini turut mendapat perhatian Pengacara dan selebriti terkenal Datuk Aznil Hj Nawawi,55 atau lebih dikenali dengan Pak Nil.
Menerusi perkongsiannya di Instagram, Pak Nil ada memuat naik video beberapa remaja yang melakukan cabaran tersebut tetapi tidak berjaya kerana terjatuh dan kemalangan ketika sedang keluar dari kereta.
Dalam posting yang sama Pak Nil juga memberitahu jika usianya masih muda pun, dia tidak setuju dan tidak akan menyahut cabaran tarian ‘Keke Challenge’ ini. Malah Pak Nil turut berkongsi pesanan daripada arwah mak dan ayahnya agar tidak melakukan aktiviti yang tidak berfaedah, apatah lagi yang boleh menyebabkan kemalangan dan membahayakan diri.
“Kalau #paknil muda pun Paknil rasa tak lah terikut nak buat camni. “Mak ayah Paknil pernah berpesan. ‘Dari kau baru lahir, ayah mak jaga kau sampai nyamuk gigit pun kami jaga. Supaya apa? Supaya kau tak cacat di tangan kami. Bila besar, kau sendiri pulak yang sengaja cari kecacatan dengan buat benda-benda yang tidak ada faedah”.
Ada benarnya pendapat Pak Nil mengenai Keke Challenge ni. Walaupun sekadar suka-suka, tak perlulah nak ikut sangat aksi yang boleh membahayakan dan menyebabkan kemalangan pada diri ini. Buatlah perkara lain yang lebih berfaedah.
Bukan suatu perkara yang mudah menelan sebuah kehilangan. Apatah lagi kehilangan seorang anak. Mendapatkan perkhabaran gembira usai sepurnama melafazkan ijab dan kabul, menambahkan sinar bahagia buat pasangan Siti Nur Baizura Kamaruddin, 28 tahun dan Abu Nain Umar, 29 tahun. Biar pun pasangan ini langsung tidak sangka mendapatkan cahaya mata secepat mungkin, tetapi sudah tertulis rezeki, mereka berdua menerima dengan hati yang terbuka.
Tiada Masalah
Ternyata sepanjang kehamilan Siti NurBaizura atau mesra dengan panggilan Jojo tidak berhadapan dengan masalah kehamilan yang kronik. Seperti ibu-ibu lain, dirinya tidak terlepas daripada fasa alahan di trimester pertama. Dirinya agak lesu dan lelah melalui tiga bulan pertama. Namun tidak lama, memasuki trimester kedua segalanya berjalan seperti biasa.
Begitu juga ketika proses bersalin, segalanya berjalan lancar. Tanggal 24 May 2017, lahirlah puteri yang diberi nama Abu Zea Ophelia seberat 2.3 kilogram. Setelah menjalani proses berpantang, tibalah masanya Jojo kembali bekerja. Biar pun pedih hatinya untuk meninggalkan cahaya mata yang baru berusia dua bulan bersama pengasuh, dia tetap keraskan hati.
Baginya situasi ini pastinya turut dirasai oleh ibu-ibu lain yang terikat dengan kerjaya masing-masing. Lagi pula pengasuh anaknya telah dicari sejak awal lagi, ketika belum melahirkan sebagai persiapan awal. Segalanya bermula tanpa dirancang apabila Jojo yang menjalani rutin pemeriksaan bulanan di Klinik Kesihatan tanpa sengaja berjumpa dengan pengasuhnya.
Selidik
Hanya sekadar berbual kosong, akhirnya janji termateri yang sebaik sahaja bersalin nanti, Jojo akan menghantar anaknya kepada pengasuh tersebut yang tinggal tidak jauh daripada kediaman mereka. Sebelum kembali bekerja, Jojo dan suaminya ada berjumpa beberapa orang pengasuh sebelum memilih untuk menghantar kepada pengasuh tersebut.
“Awal-awal lagi saya dah selidik dengan dia bila dapat tahu dia juga menjaga empat orang anak orang lain. Risau juga sebab semuanya bayi di bawah umur setahun, yang dijaganya seorang diri. Tetapi kami tetap hantar seperti biasa. Tetapi selepas sebulan, mula berlaku beberapa kejadian yang buatkan kami seperti ingin mencari pengasuh lain.
‘Pernah sekali anak saya Opie lebam di bahagian telinga, alasan digigit semut. Ada pula satu ketika, bibir Opie macam ada kesan luka sebab terkena botol susu. Macam-macam telah berlaku dan dalam diam kami usahakan untuk mencari pengasuh lain tetapi ada sahaja halangan. Sebelum kejadian itu berlaku pun, kami sedang menunggu seorang pengasuh lain untuk menjaga anak kami.
‘Hati saya memang risau bila nampak pengasuh ini macam cuai dalam menjaga anak kami dan anak-anak orang lain di bawah jagaan dia. Tetapi kami masih tidak dapat mencari pengasuh lain hinggalah kejadian yang meragut nyawa anak kami berlaku,” ungkap Jojo sebak.
Terima Jasad kaku
Masih segar lagi di ingatan, di satu pagi Jumaat yang hening. Seawal pagi dalam kesibukan bersiap ke tempat kerja, Opie bereaksi seperti biasa. Dia tersenyum apabila dipanggil sambil ralit menonton video kegemarannya di kaca televisyen. Segala telatahnya seperti biasa, seperti hari-hari lain. Jadi ia langsung tidak menimbulkan kemusykilan di hati pasangan suami isteri ini.
Setelah menghantar Opie ke rumah pengasuh, Abu Nain menghantar isterinya ke pejabat. Lewat tengah hari, Jojo mendapat panggilan daripada pengasuh yang Opie asyik menangis sejak pagi, tidak mahu tidur dan tidak mahu minum susu. Dalam masa yang sama pengasuhnya meminta izin untuk menidurkan Opie dalam buaian kerana selama ini bayinya hanya tidur di tilam.
“Saya cuba fahami situasinya, kita tahu kalau bayi asyik menangis pasti kita risau. Lagi pun dia ada jaga anak-anak lain. Jadi saya izinkan dia untuk letakkan anak saya dalam buaian jika itu memudahkan tugasnya. Selepas beberapa jam, saya hubungi dia dan dia katakan Opie makin baik. Jadi saya pun tiadalah banyak bertanya. Tetapi petang itu ketika suami datang jemput untuk pulang kerja, sekali lagi pengasuh saya telefon dan beritahu Opie sudah berada di hospital.
“Ketika itu memang kami tak boleh nak fikir apa, terus ke Hospital Shah Alam. Lihat anak kami di zon merah, hati kami jadi tidak keruan. Saya cuba dapatkan anak saya dan doktor yang berada di situ beritahu anak saya diserang sawan. Doktor sudah beri ubat dan mereka sedang menunggu respons daripada anak kami. Tetapi malangnya anak kami berulang kena sawan ketika itu.
“Jadi doktor ambil keputusan untuk lakukan CT scan dan daripada situlah baru diketahui bahawa ada pendarahan pada otak Opie. Pengasuh yang berada di situ bermati-matian jelaskan yang Opie tidak pernah jatuh,” cerita Jojo satu persatu.
Terdapat Kesan Retak
Komplikasi yang dilalui Opie memerlukan dirinya untuk melalui pembedahan segera dan seterusnya dirinya dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur kerana terdapat pakar. Pembedahan ini perlu dilakukan untuk mengeluarkan darah beku yang terdapat pada otak anak mereka.
Selepas tiga jam pembedahan berlangsung, doktor berjumpa pasangan ini dan menyatakan keadaan anak mereka dalam keadaan 50-50. Segalanya bergantung kepada Opie dan juga takdir, sekiranya dia kuat, dia akan pulih, begitu jugalah sebaliknya. Doktor juga terkejut dengan keadaan otak Opie yang seolah-olah menerima tekanan yang amat kuat.
Biar pun pedih untuk menelan kenyataan, Jojo dan Abu Nain berdoa agar keajaiban berlaku. Sejak pembedahan itu sehinggalah di hari terakhirnya, permata hati mereka berdua tidak sedarkan diri dan hanya bergantung kepada mesin bantuan pernafasan dalam berjuang meneruskan hayatnya.
Ketika ditempatkan di dalam Unit rawatan Rapi, Opie berada di ruang khas dan rupa-rupanya kes Opie paling kritikal pada ketika itu. Sedih mengenangkan situasi tatkala berada di wad, apatah lagi melihat jasad kecil yang baru berusia tujuh bulan berselirat wayar. Baik Jojo atau Abu Nain, masing-masing tidak mampu menahan sebak.
“Ada ketika saya bisik pada telinga Opie agar dia terus kuat untuk teruskan hidup. Tetapi ada ketikanya saya juga hampir putus asa apabila berjumpa ramai pakar, mereka pula berbeza pendapat. Kami sendiri keliru, tetapi dalam masa yang sama tidak putus berdoa agar Allah panjangkan umur Opie.
“Malam sebelum Opie pergi, ada ketua pakar berjumpa kami dan memberi pilihan sama ada kami memilih untuk meneruskan agar mesin oksigen dan ubat tidur Opie diteruskan atau tidak. Biar pun berat, kami akhirnya memilih untuk berserah pada takdir yang telah Allah tentukan.
“ Lebih-lebih lagi dengan keadaan Opie yang lemah, jadi bukan mudah untuk dia teruskan hidup,” celah Abu Nain yang akhirnya tidak mampu menahan air mata setelah anaknya pergi buat selamanya pada 14 Januari 2018.
Bukan Mudah Terima Takdir
Sebenarnya amat berat untuk menerima sebuah kehilangan, apatah di saat sedang ralit membesarkan anak yang telah mula berkeletah. Senyumnya, tawanya, tangisannya menjadi setiap momen terindah buat pasangan ini. Berat mata memandang, lagi berat bahu yang memikul.
Jojo sendiri hingga saat ini, dirinya terasa belum mampu untuk menerima segala yang berlaku. Tipulah jika dia mampu melupakan apa yang terjadi. Setiap masa bila terkenang Opie, pasti berjuraian lah air matanya. Begitu juga Abu Nain, kehadiran Opie banyak mengajar dirinya untuk bergelar seorang bapa yang bertanggungjawab, belum puas mengecap nikmat, pinjaman Allah ditarik balik.
Tetapi sebagai manusia biasa, baik Jojo atau Abu Nain sendiri, mereka perlu reda jika ini ujian yang perlu mereka hadapi. Bukan mudah tetapi perlu jua telan biar pedih, biar sakit. Ternyata kejadian yang menimpa kanak-kanak yang senasib Opie amat mengguris perasaan pasangan ini. Semoga pasangan ini dikurniakan kebahagiaan dan kekuatan dalam meneruskan hidup.
Menurut pegawai polis yang mengendalikan kes ini, katanya kecederaan yang dialami Opie mungkin disebabkan oleh kesan benda tumpul. Mereka berdua tidak mampu memberi komen lanjut kerana segalanya masih dalam proses siasatan.
Tetapi hati ibu dan bapa mana yang tidak pedih melihat pesalah yang menyebabkan kematian anak mereka tidak diadili. Dirinya hanya tidak dibenarkan untuk menjaga budak lagi buat masa ini, tetapi dia masih bebas di luar sana. Pasangan ini berharap agar pengasuh mereka mendapat balasan yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!